Dua Kali Bergelar JANDA, Ibu Tunggal Ini Rasa Bahagia Hidup SOLO

Share

Lumrah kehidupan, Allah menjadikan hamba-Nya hidup berpasangan. Namun tidak semua beruntung dalam menjalani kehidupan berumah tangga. Setengahnya berkahwin dan kekal bahagia hingga ke hujung nyawa. Tidak kurang juga ikatan suci yang terbina putus di tengah jalan.

Ternyata bergelar ibu tunggal dalam usia yang muda iaitu 27 tahun, bukanlah sesuatu yang mudah ditelan. Anak adalah sumber kekuatan Saharizan Haji Md Shah, 40-an, meneruskan kehidupan. Ketika itu, anak tunggalnya baru berusia dua tahun, apalah yang dia faham dengan perpisahan.

“Setiap kali rasa sedih datang ketika itu, terapi utama yang saya lakukan untuk menghilangkn kesedihan adalah dengan cara menyibukkan diri. Mungkin lain orang, lain caranya.

“Saya cuba penuhkan masa dengan aktiviti-aktiviti di pejabat dan ditambah pula dengan kerja saya yang tidaktentu masa membuatkan saya lupa masalah buat seketika. Biasanya setelah selesai urusan di pejabat, saya sibukkan diri dengan menguruskan anak yang amsih kecil.

“Jika ada masa terluang barulah saya bersukan, saya memang aktif bermain bola jaring. Jadi saya memang tiada masa yang lama untuk berduka dan bersedih sangat walaupun sesekali perasaan sedih tetap datang,”

terangnya satu-persatu.

Urus Anak Sendirian

Sejurus perpisahan memang anak tunggal lelakinya tinggal bersama Saharizan. Segalanya diuruskan sendiri termasuklah menghantar anak ke rumah pengasuh dan mengambil anak.

Setelah anaknya bersekolah, Saharizan selesa menghantar anaknya sendiri ke sekolah biar pun agak sibuk dengan tugasnya sebagai anggota polis. Sesekali apabila tiba waktu yang mendesak atas tugas yang tidak dapat dielakkan maka dia terpaksa meminta bntuan daripada bekas suami.

“Membesarkan anak seorang diri bukan tugas yang mudah, masa memang cemburu dengan saya. Memang setiap hari terkejar-kejar. Sekiranya ada tugasan luar, saya cuba tumpangkan anak di rumah pengasuh dan kadang-kadang minta bantuan bekas kakak ipar.

“Walaupun telah berpisah, tetapi hubungan saya dengan bekas suami serta keluarganya masih baik. Kemudian saya berusaha membeli rumah sendiri di Sepang dan berpindah ke sana dengan niat ingin berdikari membesarkan anak seorang diri.

“Memang payah bila anak makin meningkat usia, sudah tentu beragam perangai dan karenah. Tetapi sebagai ibu dan jaga sebagai bapa, saya kena hadap semua ujian ini sebaik mungkin,” jelasnya lagi.

Malang Bertimpa

Pada Mac 2012, Saharizan menghidapi batuk berpanjangan sehingga membuatkan suaranya serak dan hampir hilang suara selama tiga hingga empat bulan. Walaupun telah mendapatkan rawatan di klinik, batuknya masih tidak baik.

Namun apabila keadaan beransur baik, dia kembali aktif bersukan termasuklah bermain bola jaring, bola tampar dan juga menjadi jurulatih aerobik.

“Ketika latihan bola jaring, saya dapati ada ketulan di dada kanan. September 2012, saya ke Hospital Serdang untuk jalani mamogram dan ujian ultra sound. Sah terdapat ketulan dan setelah dua minggu saya dikehendaki buat biopsi.

“Keputusan dari biopsi mengesahkan saya mengidap kanser payudara tahap tiga, agresif. Kanser ini dianggap angresif kerana dia mampu menyerang organ lain iaitu hati, paru-paru, tulang dan otak.

“Ketika itu saya rasa memang nyawa sudah di hujung tanduk, saya hanya fikirkan keadaan anak saya kelak. Saya ikut arahan doktor untuk jalani pembedahan segera kerana sel kanser mula merebak dengan cepat,” ungkapnya sebak.

Setelah mendapat khabar duka, dia cuba berkongsi berita sedih dengan bekas suami. Keadaan bertambah gawat, rupanya bekas suami juga sedang bertarung nyawa dan dia juga perlu menjalani pembedahan. Sebelum sempat Saharizan menjalani pembedahan, bekas suaminya yang diharapkan untuk menjaga satu-satunya zuriat pula meninggal dunia.

Berpindah Ke Selatan

Dalam masa yang sama, bapa Saharizan juga disahkan menghidap kanser. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk berpindah balik bersama abang sulungnya yang banyak membantu menguruskan Saharizan dan anak setelah sakit.

Sepanjang menjalani rawatan di hospital, adik-beradiklah yang banyak membantunya. Memang segala jasa dan pengorbanan mereka sudah tentu tidak upaya Saharizan ini membalasnya. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baik mereka selama ini.

Selepas setahun jalani rawatan kanser, saya bertemu semula jodoh setelah 15 tahun hidup solo. Namun jodoh kami tak panjang apabila lima tahun kemudian kami berpisah. Ketika itu saya rasa mungkin diri saya tidak cukup sempurna. Jadi sejak itu, saya terima apa juga keadaan yang berlaku.

“Saya harus bertambah kuat untuk terus hidup dengan gembira. Saya cuba penuhkan aktiviti dengan hiking, fun run, menjahit, memasak supaya saya tidak berasa sunyi dan sedih.

“Nasihat saya kepada ibu tunggal di luar sana, cubalah redha dengan ketentuan Allah. Cari jalan untuk ceria dan gembirakan diri sendiri. Jangan merintih dan mengenang nasib diri kerara itu semua akan merosakkan jiwa dan mudaratkan kesihatan sendiri. Buatlah sesuatu yang kamu suka dan insyallah pasti kita akan rasa lebih tenang serta bahagia.

Published by
Nur Syazwani Mehat