Kalau panik memang tak mampu lakukan apa yang anggota polis ini lakukan. Tak semua orang mampu mengawal situasi begini apatah lagi melibatkan nyawa ibu dan bayi baru lahir.
Dua kali anggota polis jadi bidan ekspres, sebelum ini dia pernah menyambut bayi perempuan buat pertama kali pada 13 tahun yang lalu. Alhamdulillah bayi dan ibunya selamat, kini sedang dirawat di hospital.
Dua Kali Anggota Polis Jadi “Bidan Ekspres”
Kebetulan atau suratan takdir apabila seorang anggota polis lelaki yang pernah menjadi ‘bidan ekspres’ 13 tahun lalu, sekali lagi menyelamatkan seorang wanita yang melahirkan bayi di dalam tandas.
Anggota polis terbabit, Koperal Mohd Zahri Ramzan, 35, berkata, insiden berlaku ketika dia baru keluar dari rumahnya di Kampung Padang Balang Hilir, Kuala Lumpur, untuk bekerja sekitar jam 7.40 pagi kelmarin.
Menurutnya, seorang wanita dalam keadaan cemas muncul dan meminta bantuan susulan salah seorang jiran mereka melahirkan bayi mendadak.
Jadi Bidan Ekspres Sambut Bayi Lelaki
“Saya kemudian bergegas ke rumah berkenaan sebelum mendapati seorang wanita berusia awal 30-an dalam keadaan terbaring kesakitan di dalam tandas.
Ads
“Saya dapati wanita itu amat lemah dan baru melahirkan seorang bayi lelaki. Kami dimaklumkan wanita itu mulanya mengadu mahu membuang air besar sebelum melahirkan bayi tidak cukup bulan secara tiba-tiba,” katanya.
Berikutan keadaan sempit di dalam tandas itu, dia dibantu seorang lagi jiran berusaha mengusung keluar mangsa secara perlahan-lahan dari dalam tandas berkenaan.
“Wanita itu kemudian dibaringkan di ruang tamu rumah. Ketika itu saya dapati uri bayi berkenaan masih berada di dalam rahim wanita terbabit.
“Bimbang ia boleh membahayakan nyawa wanita itu, saya memintanya meneran supaya uri itu dapat dikeluarkan.
“Alhamdulillah, uri itu akhirnya dapat dikeluarkan sebelum dibalut dengan kain sementara menunggu ambulans tiba. Saya kemudian memangku bayi itu sebelum membersihkannya menggunakan kain,” katanya.
Ads
Pertama Kali 13 Tahun Lalu Sambut Bayi Perempuan
Dia yang bertugas di Bahagian Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman berkata, wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menaiki ambulans sekitar jam 8.15 pagi.
“Saya tidak sangka perlu berhadapan situasi sama selepas pernah menyambut kelahiran seorang bayi perempuan di pintu rumah penduduk di Wangsa Maju di sini, pada Mac 2007.
“Dalam kejadian itu seorang wanita tidak sempat dibawa ke hospital sebelum melahirkan bayi. Mujur ilmu diperoleh ketika menjadi anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) banyak membantu saya berdepan detik cemas begini,” katanya.
MW: Tahniah Koperal Mohd Zahri Ramzan, kecekapan anda telah menyelamatkan ibu dan bayinya. Biarpun bukan mudah namun kisah ini sudah tentu menjadi inspirasi buat lelaki di luar sana apabila berdepan dengan situasi panik.
Semangat luar biasa itu amat-amat perlu ketika menjaga suami sakit. Sabar dan tabah pun kena tinggi melangit. Sebabnya emosi orang sakit tak sama macam orang normal. Bila-bila dia rasa mahu meronta, dia terus meluahkan tanpa memikir hati dan perasaan orang di sekelilingnya.
Tapi, itulah emosi mereka yang penjaga tak boleh nak pertikaikan. Sebabnya mereka dah tak boleh nak kawal minda dan setiap inci gerakan tubuh pada diri sendiri. Sehari dua meladeni pesakit, sabarnya masih boleh ditapis. Jika setiap hari, apa lagi kekuatan yang boleh dipesan pada penjaga melainkan SABAR DAN REDHA!.
Itulah yang dialami Puan Azura Abdullah, ibu anak 4. Apabila suami diserang strok kali ke-5, dia perlu mengambil alih tugas-tugas ketua keluarga. Syukur kerana anak-anak, Muhammad Irfan, Nur Irdina, Muhammad Irsyad dan Muhammad Isyraf telah dididik berdikari. Baik anak lelaki, masing-masing boleh ke dapur dan memasak sendiri. Tanpa menyusahkan ibunya. Menjaga ayah juga mereka tak kekok.
Menurutnya sebelum ini Melas Syndrome yang suami dialami tidak aktif. Jadinya sebelum ini dikira strok biasa. Masuk kali ke- 5 doktor rasa curious sebab suami masih muda, umur 44 tahun. Ujian jantung, tekanan darah, gula dalam darah dan mata hasilnya ok saja. latest bila MRI dijalankan barulah doktor temui Melas Syndrom dalam tubuh suami.
Setiap momen bersama suami dikongsi di laman facebooknya. Catatan itu mengundang simpati, ada juga kata-kata semangat daripada rakan-rakan. Kerana catatan itu fahamlah kita apabila tuhan mahu menguji, ada pahala besar mengiringi mereka yang redha dan ikhlas melalui ujianNya.
Go Caf Go!
Catatan Hari Ke-24
Menjaga pesakit strok yang terlantar penatnya hanya Allah swt yang tahu. Tambahan pula jika ada elemen dimensia. Memori yang tidak menentu, pertuturan yang sukar difahami dan motorik skil yang lemah menambah lagi efek cabaran kepada caregiver pesakit kategori ini. Emosi mereka yang tidak stabil, sensitif, mahu ditemani setiap masa, bercakap tanpa henti dengan konten yang tidak relevan sangat menduga. Tiada pilihan lain, kuncinya sabar.
Makan tidak mahu, ubat tidak mahu, susu tidak mahu. Sabar. Perlu dipujuk. Itulah sahaja kuncinya, tiada yang lain.
Kadang-kadang terasa juga nak lari sekejap untuk ‘me’ time. Terjun sungai dan rendam kepala yang dah hampir beku ini, tetapi sungai di Kampung Surau ni setakat betis saja ?.
Walaubagaimanapun semua itu terubat apabila setiap hari saya dapat melihat progres kecil suami yang amat positif.
Day 24 – alhamdulillah, syukur ya Rabb. Suami saya sudah boleh duduk dengan kemas (dengan bantuan), sebelum ini tiada balancing – duduk sekejap terbalik. Sudah boleh memegang cawan dan minum sendiri menggunakan tangan kiri. Sudah boleh memegang makanan saiz kecil seperti kuih dan menyuapnya sendiri. Sudah mula ada sedikit fokus dan minat pada siaran tv. Memori sedikit demi sedikit datang kembali. Siang tadi Tuan Sharuzi dari KL datang menziarah dan suami masih ingat beliau serta rancak bercerita tentang pengajian beliau di bawah arwah Tuan Lukman.
Terima kasih tidak terhingga di atas kiriman doa dan sokongan kalian para sahabat budiman. Inilah kunci besar progres suami saya. Doa ikhlas kalian yang tiada pertalian darah dengan saya dan suami ?.
Buat rakan caregiver kepada suami masing-masing..penatkan? Ya, hanya yang melaluinya sahaja yang tahu. Makin mencabar apabila semua kepenatan itu melibatkan kos yang tinggi. Saya percaya Allah swt pilih kita kerana kita mampu mengharunginya. Kita diberi peluang dan tiket mudah untuk ke sana dikala orang lain bersusah payah cuba menjana pahala. Allah swt sediakan di depan mata, di dalam rumah kita sendiri. Ketika di wad HUSM seorang jururawat yang baru kehilangan anaknya datang memberi semangat kepada saya. Seorang kakak yang punya suami pengidap kanser tahap 4 juga sempat titipkan kata semangat dan terbaru seorang isteri yang kematian suami secara mengejut meninggalkan nota betapa bertuahnya saya dapat menjaga suami manakala beliau ditinggalkan secara tiba-tiba.
Ini kali kelima saya mengharungi saat sukar suami sakit. Kali ini lebih mencabar kerana efek dimensia. Waktu ini jugalah emosi kita sebagai caregiver berada pada tahap paling rapuh kerana seluruh fokus keluarga terdekat hanya pada tubuh yang sakit. Tidak dapat tidak kita perlu tanganinya dengan baik. Isu-isu yang tidak membawa faedah seperti terasa hati dengan rakan-rakan, ipar duai yang tidak cakna delete terus. Usah dibiar ianya singgah diminda. Kita ada banyak lagi prioriti untuk digenggam seperti anak-anak dan mencari rezeki. Simpan ruang dihati dan minda kita untuk perkara berfaedah dan mereka yang ada masa untuk kita. Semua ini jika dilayan hanya membazirkan ‘bateri’ kita sendiri dan ruang menjana dosa serta perbalahan. Jalan terus, usah jemu berdoa dan berserahlah bersungguh-sungguh kepada Yang Maha Memberi.
Terima kasih sekali lagi buat semua rakan pembaca yang tidak jemu memberi semangat kepada saya. Kalian antara sumber kekuatan saya.
Abe Mohd Hadzrami, you are a real fighter. Waiting for you to walk again Abe.
Amin ya rabbal alamin.
Kunjungan Abe Mat
Catatan Hari Ke-22
Semalam lebih kurang jam 9.30 malam ada sepasang suami isteri datang ke rumah menaiki motosikal.
Jarang saya menerima tetamu bermotosikal di waktu malam kerana rumah saya jauh di hujung jalan tidak berturap dan tiada lampu jalan.
Rupanya Kak Ha dan Abe Mat yang datang. Suami isteri yang pernah NGO Wargakilang bantu dengan mesin uli, oven, deep fryer dan sealer dalam menambah baik bisnes kecil (mini popia goreng, mini karipap, buat feozen juga) mereka. Siap bawa buah tangan. Terima kasih Kak Ha & Abe Mat ?.
Tidak lupa menyelitkan kata-kata semangat buat saya. Kerdilnya saya rasakan menerima kata-kata peransang dari Kak Ha yang mempunyai masalah buah pinggang dan Abe Mat yang pernah patah kedua kakinya ketika bekerja di kilang kayu serta mempunyai penyakit batu karang. Abe Mat yang ceria orangnya tidak henti berpesan, “Redho kuncinya Zura. Baru kita happy dan tak rasa penat.”
InsyaAllah Kak Ha & Abe Mat.
Hari ini saya dapat manjakan suami saya lagi.
Catatan Hari Ke-15
“Abe, hari ni Zura nak shave Abe. Lama dah tak buat,” sapa saya kepada suami di suatu pagi lebih kurang sebulan yang lalu.
“Takpalah. Abe buat sendiri. Abe buat sat saja. Kan kita nak keluaq satgi,” jawab suami dengan pelat Kedah campur Kelantannya.
Saya hanya membalas dengan mimik mulut muncung tanda kurang puas hati.
Dalam masa yang sama terdetik di hati saya apakah ini petandanya saya tidak berpeluang lagi selepas ini. Suami saya jarang sekali menolak untuk dimanjakan. Beliau juga suka sekali sambil beliau menonton tv saya ‘facialkan’ wajahnya.
‘Ah! Gangguan syaiton saja ni.’ Saya cuba menenangkan hati.
Dan hari ini merupakan hari ke 15 suami tidak lagi peka dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Gerak hati seorang isteri benar lagi buat sekelian kalinya. Saya amat takut setiap kali terdetik sesuatu di hati kerana jarang sekali ianya salah ?.
Penglihatan suami kabur teruk, hanya bersandarkan suara yang biasa didengar. Tubuh lemah dari pinggang ke bawah, perlu memakai lampin pakai buang. Memori dan percakapan keliru, sekejap ok dan sekejap tidak ok.
Ya, hari ini saya dapat manjakan suami saya lagi. Saya dapat shave janggut dan misai beliau tanpa sebarang bantahan dan reaksi serta usik-mengusik.
Appreciate life as it happens. Moments will soon pass and we will wish we had treasured them more.
Taman kebun Puan Lisa Yusuff di kalangan netizen memang dah terkenal dengan keindahan dan kesuburan pokok-pokok sayur dan bunga-bungaannya. Istimewa taman tepi rumah Puan Lisa ini sampai hari ini masih dalam pemantauan Jabatan Pertanian.
Terkini, Puan Lisa cuba membela kelulut untuk mendapatkan madunya. Kelulut tak menyengat. Ia berbeza dengan lebah.
Step By Step Buka Sarang Kelulut Di Taman
1. Saya beli siap bermakna standy tapak saja. Penjual yang masuk hutan buat perangkat kat batang kayu untuk kelulut buat sarang. Bila ibu dan kelulut lain dah betul-betul bersarang barulah penjual hantar.
2. Apa itu tapak? Ia susunan batu-bata untuk letak sarang kelulut satu koloni.
3. Masa penjual hantar, sarang masing bertutup dengan plastik. Bila sampai ke tapak, masih dengar bunyi dengung kelulut dalam sarang.
4. Pesan pegawai pertanian, plastik perlu dibuka dalam masa satu jam. Masa nak buka, saya pakailah jaring tutup muka dengan sarung tangan takut juga kena sengat. Tapi rupanya tak ada apa pun.
5. Sebaik dibuka kelulut terus terbang merata-rata dalam kebun. Sebelah petangnya, saya perati seekor demi seekor mula terbang masuk balik ke sarang. Macam tulah hari kedua dan ketiga. Akan nampak kelulut dekat pokok-pokok bunga tu.
Syarat Penting
Perlu ada bunga-bungaan warna terang. Sediakan banyak-banyak pokok bunga.
Kalau tak kelulut akan cari sarang lain. Risau juga dekat sini ada dua tiga pembela kelulut. Sebab itu kena jaga bunga pastikan berbunga dan subur.
Dalam taman ini ada zinnia, cosmos, jasmine, bunga tahi ayam
Saya pernah dengar kelulut suka bunga air mata pengantin. Anak pokoknya dah ada cuma belum berbunga lagi.
Ada juga bunga dari pokok-pokok sayur.
Bila Boleh Dapat Madunya?
Kalau kelulut tu rajin dalam sebulan dah boleh ambil madunya.
Gunakan picagari untuk ambil madunya. Sedut dari dalam kantung madu yang ada dalam topping dia.
Trend Bela Kelulut
Kos madu kelulut mahal ketika ini, sebotol dalam RM50.
Sebagai penghargaan buat anak saudaranya Aisha yang mempunyai Sindrom Down, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sengaja memakai stokin yang tidak sepadan ketika ke kabinet semalam. Ia bersempena Hari Sindrom Down Sedunia yang disambut pada 21 Mac setiap tahun.
Jika selalu mengikuti laman instagram beliau,stokin berbelang serta warna terang sememangnya sinonim dengan identiti Ahli Parlimen Rembau ini yang sering menampilkan kelainan terutamanya dalam gaya berpakaian.
Bagaimanapun, keberanian pemimpin berusia 42 tahun itu memakai stokin ‘mencolok mata’ semalam agak pelik, janggal dan menimbulkan tanya apabila mengenakan sarung kaki berwarna kuning pada kaki kanan dan berbelang biru, hitam serta hitam coklat untuk sebelah lagi.
“Saya suka stokin terang, tetapi hari ini ia tak sepadan. Adakah sebab tergesa-gesa nak hadiri mesyuarat Kabinet sehingga tak dapat cari sepasang yang sepadan?
“Adakah ini OOTD (Outfit Of The Day) terbaru?” katanya menerusi catatan di laman Instragram miliknya, semalam.
Menyangkal tanggapan 854,000 pengikutnya, Khairy menjelaskan, pemakaian stokin bercelaru warna dan corak itu adalah sempena meraikan Hari Sindrom Down Sedunia yang disambut 21 Mac pada setiap tahun.
Katanya, ia untuk mengingatkan masyarakat bahawa walaupun manusia mungkin tampak berbeza, namun ia tetap memiliki kecantikan dan kelebihannya yang tersendiri.
“Hari Sindrom Down Sedunia menitipkan mesej untuk menyayangi manusia seperti seadanya. Hari ini, saya turut menzahirkan penghormatan kepada anak saudara, Aisha.
“Aisha mempunyai Sindrom Down, tetapi ia tidak pernah dijadikannya sebagai halangan untuk dia mengejar impian.Dia bijak, cantik, kelakar, aktif dan berkeyakinan diri ketika berucap menyampaikan ucaptama mengenai perjuangan ke arah sistem pendidikan menyeluruh dengan tidak mengetepikan perbezaan antara kanak-kanak biasa serta istimewa,” katanya.
Aisha merupakan sumber inspirasi berterusan bagi beliau dalam menjadikan masyarakat lebih sedar serta mampu menghapuskan jurang perbezaan antara individu yang dilahirkan dengan kebolehan berlainan untuk mencapai potensi sepenuhnya, selain memastikan kanak-kanak tiada tercicir daripada arus perdana.
Penanda aras sebuah kemasyarakatan, katanya, bersandarkan kaedah pengurusan dan pemberian khidmat kepada insan yang memerlukan penjagaan serta kasih sayang.
“Hari ini juga adalah satu penghormatan kepada ibu Aisha, Kak Hana yang membesarkan insan istimewa ini secara berseorangan, malah saya teringat mengenai satu soalan kepadanya.
“Jika Kak Hana dikurniakan pilihan untuk membuat perubahan, adakah dia akan menukar takdir Aisha supaya tidak dilahirkan dengan Sindrom Down
“Kakak saya sebaliknya berkata, dia tidak mungkin mahu mengubah apa-apa kerana jika lakukan sedemikian, ia akan membuatkan Aisha bukan lagi istimewa sebagaimana dia sekarang,” katanya.
Selain memuat naik tiga gambar, iaitu ‘stokin celaru’, Aisha dan Kak Hana, Khairy berkongsi pautan video bertajuk “50 mums, 50 kids, 1 extra chromosome” (50 ibu, 50 kanak-kanak, satu kromosom).
Katanya, video selama 4:38 minit itu turut memaparkan maklum balas daripada selebriti kelahiran United Kingdom, James Kimberley Corden yang menyifatkan ia karaoke dalam kereta paling menghiburkan.
“Betul katanya walaupun selepas tempoh seribu tahun sekali pun. Selamat Hari Sindrom Down Sedunia,” katanya sambil menyertakan bait lirik lagu Nirvana, Come As You Are yang dipopularkan pada 1991.
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...