Dua Anak Hidap Buah Pinggang Bocor, Satu Rumah Kena Pantang!

Share

Tuhan akan memberi ujian kepada hamba-Nya sesuai dengan kemampuan mereka. Maka, perlu reda dan pasrah dengan setiap ujian itu. Ibu ini diuji apabila dua anaknya menghidapi penyakit  buah pinggang bocor.

Bagi pasangan suami isteri, Jue Jariah bt Mokhtar,41, dan suami, Zainol b. Chin, 50, diuji dengan dua anak yang mengidap Diagnosed neprotic syndrome April 2002 atau kebocoran buah pinggang, bukan semudah yang disangka.

Namun mereka tetap reda dan terima dengan hati yang terbuka.

” Tak nafikan, sukar juga nak terima pada mulanya, bila dua daripada lima anak didapati menghidap buah pinggang bocor. Tertanya pada diri, apa salah saya hingga dua anak saya diuji dengan kesakitan ini.

” Saya dan suami saya sihat, kedua belah keluarga juga tak ada sejarah ahli keluarga yang ada penyakit yang sama. Namun saya muhasabah diri dan akhirnya terima ini sebagai ujian daripada Allah SWT,” ujar Jue Jariah membuka bicara.

Didignosis Pada Usia Dua Tahun

Menurut Jariah atau mesra dipanggil Jue, anak keduanya, Intan Nurfazleena bt Zainol, 19, kini telah menjalani CAPD atau dialisis air sejak 2015. Manakala anak keempat, Muhammad Amer Zahran,12, Alhamdulillah, masih mampu bertahan dan memberikan tindak balas yang baik dengan ubat-ubatan yang diberikan doktor.

“Anak kedua saya mula dikesan menghidap masalah buah pinggang pada umur dua tahun lebih. Dia telah menjalani tiga kali biopsi untuk kenal pasti penyakitnya itu. Sehinggalah dia tidak memberikan tindak balas yang baik pada ubat-ubatan (Streroid resistant neprotic syndrome). Akhirnya doktor memberikan pilihan untuk membuat CAPD atau HD (dialisis darah).

” Tak mudah untuk saya buat keputusan itu dan doktor pakar telah memberikan banyak makluman untuk saya sebelum membuat pilihan. Setelah berbincang dari hati ke hati bersama suami, kami sebulat suara untuk memulakan rawatan CAPD untuk anak perempuan saya itu.

” Kami tak nak dia keluar masuk hospital dan menanggung kesakitan. Saya juga bersyukur kerana di bawah Hospital Seremban, kami hanya perlu keluarkan kos pengangkutan lori untuk menghantar lori ke rumah sebanyak RM206 untuk bekalan air selama dua bulan.

Hias Bilik Rawatan Di Rumah

” Sebagai ibu, saya cuba fahamkan anak tentang kehidupan yang bakal dia lalui selepas ini, perlu CAPD empat kali sehari, anggaran 25-45 minit setiap sesi.

” Untuk mengambil hati anak, saya dan suami telah sediakan bilik khas untuk rawatannya itu agar dia rasa lebih gembira, menghias bilik dengan kertas dinding agar lebih ceria,” kongsi Jue lagi.

Urus Sendiri Anak

Tambah Jue, selepas setahun cuti tanpa gaji, akhirnya dia tekad untuk berhenti kerja demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak terutama Intan yang memerlukan penjagaan rapi.

” Saya uruskan segala-galanya berkaitan dengan anak bahkan saya simpan dan catat segala butiran tentang perawatan mereka di dalam buku khas saya sejak mereka sakit. Jadi, mudah untuk saya ingat dan pantau keadaan mereka.

” Mungkin juga sikap saya yang terbiasa berdikari sejak remaja membuatkan saya nak uruskan semua hal berkaitan anak-anak tanpa bantuan suami. Lebih-lebih lagi sebagai ibu, saya nak dekat dan rapat dengan anak-anak.

” Kadangkala timbul juga rasa bersalah kepada tiga kali anak lain, Intan Nurliana (21), Intan Nursabrina (16), Intan Nurhazreena (9), kerana tumpuan saya lebih kepada dua orang anak yang sakit ini.

” Namun saya sentiasa cuba buat mereka faham mengapa saya perlu utamakan dua adik-beradik mereka itu,”  ujar Jue lagi.

Ubah Gaya Pemakanan Keluarga

Selepas anak sakit, secara automatik, gaya pemakanan keluarga mereka juga berubah.
” Saya berubah jadi rajin masak kerana saya nak sediakan makanan yang sihat kami sekeluarga. Anak-anak yang sakit memang kena pantang, jadi, semua orang pun kena pantang sama. Biar adil.

” Tapi saya faham, anak-anak masih kecil dan tentu ada keinginan. Sesekali saya tetap akan benarkan mereka makan makanan yang mereka suka, tapi terkawal. Saya bersyukur, anak-anak akan tanya dahulu bila nak makan sesuatu makanan.

” Tiap pesakit lain keadaannya. Alhamdulillah anak-anak saya boleh makan kicap dan sos yang mungkin tak sesuai untuk pesakit lain. Di rumah, saya juga menggunakan garam khas yang dibeli di farmasi.

” Saya pandang dari sudut positif. Kini kami sekeluarga mengamalkan pemakanan yang lebih sihat,” jelas Jue.

Cari Maklumat

Tambah Jue, selepas anak sakit, dia sangat rajin mencari maklumat berkaitan dengan anak-anaknya.

” Saya juga sentiasa berhubung dengan doktor pakar dan jururawat-jururawat di Hospital Seremban dan mereka sangat membantu saya dalam menyalurkan maklumat tepat tentang penyakit anak-anak saya itu.

” Untuk ibu-ibu di luar sana terutamanya yang mempunyai anak sakit, kena reda, bersedia daripada segi fizikal dan mental dan banyak bersabar. Kawal emosi agar tidak terganggu kerana bukan mudah untuk urus anak-anak sakit lebih-lebih lagi sakit berpanjangan.

” Selain itu, sokongan keluarga juga sangat penting, bukan saja pada pesakit bahkan penjaga pesakit itu sendiri,” akhiri Jue.

Sesungguhnya wanita ini seorang ibu yang hebat!

Published by
Nurul Azwa