Uniknya sebaik namanya ditaip di ruangan carian ‘google’, banyak topik yang disebut-sebut berkenaan dirinya seperti model, bintang iklan, umur, isteri, dan yang paling sensitif isu ‘mandul’.
Sesi fotografi sebagai penghias muka depan MW berlangsung di kediamannya dan meski kali pertama bersua muka, penulis respek dengan sikap keterbukaannya dalam menjawab soalan demi soalan yang diajukan dengan tenang dan profesional.
Mengaku agak terkejut, sambil ketawa kecil sebaik mengetahui tiap satu subjek yang dicari di ‘google’ berkaitan dirinya, suami kepada Dr. Azura Abas dan bapa kepada Aezriel atau Ace mengakui, dia tidak tersinggung malahan lebih senang menggunakan pendekatan jujur.
Bukan mudah untuk seorang lelaki itu, tambahan lagi dikenali ramai membuat pengakuan. Bahkan pengakuan itu bukan ‘biasa-biasa’. Perkataan mandul itu boleh mencetuskan perbalahan ‘perang dunia ketiga’ dan mana-mana lelaki pun akan terbakar sisi egonya jika dilabel sebegitu. Sebaliknya dengan penuh ramah, lelaki ini tidak mengelak ataupun mengalihkan soalan mengenai isu sensitif sebegini.
“Saya tahu tak semua lelaki ada keberanian sebegini dan terbuka. Apatah lagi isu sensitif itu datangnya daripada diri kita sendiri. Mandul itu boleh menggegarkan sesebuah perkahwinan dan boleh membarah kalau ianya ditangani dengan ego serta emosi. Selaku lelaki yang benar-benar menjalani rutin hidup sihat, bersenam, menjaga makan, dan tidak merokok, saya yakin saya sihat. Semuanya normal.
“Seperti pasangan baru berkahwin lain, dua tahun pertama perkahwinan komitmen kerja membuatkan kami merancang untuk tidak punya anak buat sementara waktu. Pada waktu itu, penerimaan keluarga dan orang di sekeliling baik-baik saja. Sebagai lelaki dan suami, isu anak ini jarang diajukan kepada saya. Sebaliknya soalan ini acap kali diterima isteri.
“Kami berdua saling memberi jawapan yang sama; ‘belum rezeki buat masa ni.’ Apabila tahun ketiga, nampaknya isteri sudah mula menyuarakan kesungguhannya bergelar ibu. Sesekali saya dapat melihat riak kecewa di wajahnya apabila saban bulan, dia seperti ternanti-nanti tanda positif menjurus ke arah kehamilan.
“Perempuan ini jiwanya halus dan mudah tersentuh. Ketika itu kami berdua mula terasa bahangnya soalan mengenai anak terutamanya apabila beraya dan juga menghadiri majlis perkahwinan. Bila nak bertiga? Merancang ke? Antara soalan yang mula kami dapat. Saya yakin, isteri tidak betah menjawab soalan seumpama itu berterusan. Jadi kami pun mula serius dalam usaha mendapatkan zuriat,” kongsinya.
Masuk tahun ketiga, kedua pasangan suami isteri ini mula serius berusaha untuk mempunyai zuriat. Ketika itu, Dr. Say sudah berlapang dada dan mengambil pendekatan. Ada rezeki, adalah. Tak ada tak apa.
“Dah tiga tahun kahwin, kami tak ada anak lagi. Sebagai lelaki saya okay. Perlahan-lahan saya reda dan kalau ada rezeki adalah. Kalau sebaliknya, saya terima. Dalam pada masa yang sama, saya bimbang saya kecewakan isteri yang sememangnya berharap ada zuriat menjadi pengikat kasih kami berdua. Isteri terlebih dahulu membuat pemeriksaan kesuburan, Alhamdulillah dia tidak ada masalah.
“Mei 2018, saya mengambil keputusan untuk melalui ujian kesuburan. Doktor memaklumkan masalah utama saya adalah Teratozoospermia berkenaan kualiti sperma abnormal yang menjejaskan kesuburan saya. Sebaik mengetahui keputusannya, sejujurnya saya tak kuat dan terkilan kerana tak lakukan ujian ini awal-awal lagi.
“Sebenarnya saya tak sangka hal ini berpunca daripada saya. Sejujurnya sebagai lelaki yang begitu menjaga kesihatan, saya yakin hal ini takkan berlaku pada diri saya. Tetapi sebaik meneliti habit saya yang menyukai kafein dan kekerapan mengambil minuman berkafein lebih tiga cawan sehari rupanya memberi impak kepada kualiti sperma saya. Sebaik menyedari masalah itu, saya mengubah rutin hidup 360 darjah. Saya lebih peka dengan apa yang saya ambil saban hari. Tidak ada pakaian terutamanya seluar yang ketat lagi, kurangkan pengambilan kafein harian dan makan ubat yang dibekalkan. Secara konsisten selama tiga bulan menukar rutin kehidupan baru, saya sekali lagi melakukan ujian kesuburan dan Alhamdulillah, semuanya kembali normal,” kongsinya.
Lelaki ini sedia maklum, satu Malaysia tahu isu sensitif yang dikaitkan dengan dirinya. Perkongsian demi perkongsian dalam blog serta liputan media berkenaan dirinya, pasti menyentuh hal ini. Bagaimana dia mengetepikan rasa malu dan merendahkan egonya berkongsi cerita hal kesuburan sebegini?
“Ketidaksuburan itu dalam julat 50 – 50, ada yang berpunca daripada isteri dan ada daripada pihak suami. Tetapi sebagai suami yang waras, jika timbul isu sebegini jangan pula kesalahan itu dilemparkan ke pihak isteri semata. Dengan gaya hidup hari ini yang terdedah kepada pencemaran, merokok, pemakanan yang kadang-kadang dimakan hanya kerana ia viral, pengambilan suplemen yang akhirnya menjejaskan kualiti kesuburan kita.
“Hadapi situasi ini dengan sebaiknya. Buang ego. Jalani ujian kesuburan. Jika anda puncanya, cari jalan penyelesaiannya. Sebagai seorang suami, menjadi kewajipan saya yang pernah melalui masalah sebegini berkongsi secara terbuka. Malu itu saya buang jauh-jauh. Saya sedia maklum isu ketidaksuburan ini, antara punca pasangan di Malaysia berpisah. Si isteri balik-balik menjadi mangsa diskriminasi dan dikecam. Sebagai suami jangan terlalu yakin dengan kemampuan diri.
“Sebaik saya membuat kenyataan terbuka ini di media sosial peribadi, saya menerima banyak mesej daripada lelaki berstatus suami berkongsi masalah kesuburan yang dihadapi. Apa yang patut mereka buat, adakah mereka masih punya harapan dan contoh rawatan bagaimana yang perlu dilakukan antara soalan yang kerap diterima. Akhirnya ada juga suami yang faham mesej yang saya sampaikan. Demi menyelamatkan rumah tangga, sebagai suami, aksanakan tanggungjawab anda merangkumi hal sensitif ini dengan profesional bukan emosional,” tegasnya.
*******************************************************************
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh Doktor selebriti ini. Ingin ketahui lebih lanjut, baca sambungannya di dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu November, volume 2 yang kini telah berada di pasaran.
Penyelaras & Teks : Mastura Burhanuddin
Foto : Tuan Azman Tuan Muda
Reka Letak Grafik : Musnida Abu Abidah
Solekan : Emma Mustafa