“Ya Allah, ampunilah Dr Naim Zafri Che Yusoff ini, naikkanlah darjatnya diantara orang-orang yang mendapat Syuhadah, dan lindungilah keluarga dan keturunannya yang masih hidup. Ampunilah dia dan kami, wahai Tuhan sekelian alam, luaskanlah kubur baginya dan berikanlah cahaya didalamnya. Allah juga pinjamkan sekejap untuk ibu ayah, anak yang baik dan soleh sangat disayangi Allah SWT. Syurga firdausi buatmu doktor muda Naim Zafri.” begitulah antara doa yang dikirimkan oleh rakan-rakan arwah di laman sosial FB.
Anak bongsu dari enam beradik Naim Zafri, 26 telah meninggal dunia selepas kenderaan yang dipandu terbabit dalam kemalangan maut pada 9 April lalu di Kilometer 21 Jalan Seremban-Kuala Pilah di Kampung Ulu Bendul. Menurut Mohd Fahmi Che Yusoff, 33 meskipun berasa amat sedih atas kehilangan adiknya itu namun mereka sekeluarga reda.
“Jasa arwah adik menjaga ibu, Hasnah Ishak akan kami kenang selamanya dan kami reda atas pemergiannya, Allah SWT lebih sayangkan adik ,” kata Mohd Fahmi.
Mereka sekeluarga yang tinggal di Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang akui arwah merupakan seorang anak yang memiliki keperibadiaan yang cukup baik. Malah Naim Zafri yang juga seorang Doktor Pelatih di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) kerap berulang-alik dari Kuala Pilah ke Kajang.
“Berkenaan dengan mak tinggal sendirian dan berulang alik setiap hari. Sebenarnya mak tinggal bersama saya sejak arwah ayah sakit lagi dan arwah Naim balik setiap kali ada kesempatan, iaitu hampir dua atau tiga kali dalam seminggu. Arwah menyewa bersama rakan-rakannya di Kuala Pilah tetapi tidak dinafikan arwah memang suka pulang ke rumah untuk menemani mak dan ayah saya di rumah sejak dari dulu lagi.
“Arwah adalah adik kami yang bongsu. Seorang yang ceria, tidak mudah marah, murah dengan senyuman, mudah mesra dan sangat mengambil berat tentang orang lain. Naim juga tidak pernah menyusahkan sesiapa. Mempunyai ramai kawan yang baik. Seorang yang aktif bersukan, gemar bermain bola sepak dan futsal,” cerita Mohd Fahmi kepada dihubungi.
Ditanya adakah arwah Naim ada menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik, terang Mohd Fahmi;
“Arwah Naim tidak menunjukkan tanda-tanda yang pelik malah melakukan rutin seperti biasa. Pada hari ahad 8 April 2018 sebelum berlakunya kejadian tersebut, arwah bercuti. Saya, isteri, ibu dan arwah sempat keluar makan dan membeli belah bersama. Dia kelihatan ceria seperti biasa. Pada 9 April 2018 lebih kurang 4.45pagi hari kejadian ibu saya menghantarnya ke muka pintu seperti biasa sebelum bertolak ke tempat kerja.
“Semestinya perkhabaran ini memberi impak yang sangat besar terhadap emosi ibu saya apatah lagi baru sahaja kehilangan ayah saya pada tahun lalu. Kami semua masih sangat terkejut dengan pemergian adik memandangkan kami sekeluarga sangat rapat. Ibu sangat terasa kehilangannya kerana jika Naim pulang ke rumah, dia yang akan tidur bersama ibu.
“Arwah sememangnya anak yang sangat baik dan taat pada ibu dan ayah. Sememangnya arwah sanggup berulang alik menjenguk kedua orang tua kami sejak dari dulu lagi iaitu ketika belajar di UiTM Puncak Alam. Alhamdulillah emak kami masih sihat seperti dulu cuma emak masih berduka sejak ayah kami meninggal akibat sakit jantung pada Julai 2017.”
Kehilangan arwah dalam keluarga sangat memberi impak. Mohd Fahmi turut menyatakan mereka sekeluarga memberi galakan sepenuhnya kepada arwah yang bercita-cita mahu menjadi doktor Pakar Tulang .
“Adik beradik kami semuanya berkerjaya tetap. Malah seorang kakaknya adalah Pakar Psikiatri di Hospital Muar dan seorang abangnya pula adalah Pegawai Perubatan Jabatan Bius di Hospital Kuala Lipis. Arwah adik memang bercita-cita untuk menjadi doktor pakar tulang. Memandangkan dia anak bongsu, kami memang memberi sokongan penuh kepada beliau.
“Arwah adik memang memilih untuk menjadi doktor pelatih di HTAN. Bercadang untuk memohon penempatan lebih dekat setelah habis housemenship. Arwah tidak pernah merungut tentang perjalanan ke tempat kerja kerana saya yakin arwah seronok dan ikhlas dengan kerjanya.
“Arwah juga selalu bercerita tentang kerjanya sebagai doktor pelatih yang sibuk. Tapi sangat seronok jika dapat menyempurnakan kerjanya dengan baik. Naim juga selalu memuji doktor-doktor dan staf hospital yang banyak mengajar dan membantunya di hospital,” sambung Mohd Fahmi.
Menyentuh tentang Ramadan dan Syawal yang akan tiba nanti, Mohd Fahmi sekeluarga akui akab berasa kehilangan.
“Arwah seorang adik dan anak yang baik, selalu mengutamakan ibu dan ahli keluarga. Kehilangannya pasti amat dirasai tambahan pula tidak lama lagi hendak sambut Ramadan dan Aidilfitri.
“Pada bulan puasa, kami biasanya bersahur dan berbuka bersama. Naim akan menghabiskan makanan yang ada kerana dia tidak suka membazir. Manakala cuti hari raya adalah peluang untuk kami bercuti bersama keluarga. Contohnya pada tahun 2016, selepas berziarah ke rumah saudara mara, kami sekeluarga bercuti di Melaka A Famosa resort,” imbas Mohd Fahmi.
Seperti mana yang dilaporkan di Sinar Harian pada hari kejadian, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni berkata, seramai sembilan anggota dan sebuah jentera serta EMRS bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan jam 5.57 pagi.
“Setibanya di lokasi, kami dapati mangsa (Naim Zafri) tersepit di antara bahagian tempat duduk pemandu dan stereng kereta sehinggakan kami terpaksa memotong pintu pemandu dan ‘dashboard’ kereta menggunakan peralatan khas dan bomba mengambil masa 20 minit untuk keluarkan mangsa. Pegawai perubatan sahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya ,” katanya.
Eva Saifun berkata, mangsa lain turut terlibat yang menaiki kereta Exora dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke HTAN.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, kemalangan itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandu Naim Zafri dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dinaiki Muhammad Azim Kamaru-zaman, 26.
“Mangsa (Naim Zafri) dipercayai memandu dari arah Seremban menghala Kuala Pilah sebelum bertembung kereta dipandu Muham-mad Azim beralamat Taman Jemapoh Murni Kuala Pilah.
“Pertembungan itu mengakibatkan Naim Zafri maut di lokasi kejadian dipercayai parah di kepala dan patah kedua-dua tangan serta kaki manakala Muhammad Azim yang luka di dahi dan anggota badan dibawa ke HTAN untuk menerima rawatan selanjutnya,” jelasnya.