Mereka ini sememangnya wanita-wanita yang cukup hebat. Bukan calang-calang pengorbanan mereka berikan. Malah, ada misi kemanusiaan yang mereka sertai amat berisiko, umpama nyawa di hujung tanduk.
Namun, itu tak sedikit pun mematahkan semangat mereka untuk terus berjuang membantu saudara seagama yang sedang dilanda di musibah di negara-negara luar terutama Palestin, Syiria dan sebagainya.
Hati mereka cukup cekal dan teguh walau terpaksa berkorban, meninggalkan suami, anak-anak, keluarga, kerjaya bahkan negara, demi menghulurkan bantuan kepada insan-insan yang memerlukan.
Mingguan Wanita Talkshow kali ini telah memilih topik Srikandi Negara, iaitu wanita-wanita yang aktif di dalam menyertai pelbagai misi kemanusiaan ke negara-negara yang bergolak sperti Palestin dan Gaza. Dua orang srikandi istimewa telah dijemput ke studio untuk berkongsi pengalaman mereka dalam menyertai pelbagai misi tersebut.
Peserta misi Women’s Boat To Gaza (WBTG) Dr. Fauziah Mohd Hasan menjadi perhatian rakyat Malaysia khasnya dan dunia umumnya apabila beliau bersama-sama sekumpulan 12 wanita daripada pelbagai negara melakukan misi kemanusiaan WBTG dengan sebuah kapal yang dikendalikan kapten wanita, namun ditahan pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean sebelum sampai di Gaza.
Kejadian pada 5 Oktober 2016 lepas menyebabkan mereka dipenjarakan satu malam oleh Israel kerana dituduh menceroboh masuk secara tidak sah sebelum dibebaskan dan dihantar pulang ke negara masing-masing.
Dr. Fauziah sangat aktif dalam aktiviti kemanusiaan, sejak tahun 1999 sehingga kini. Mengimbau detik itu, beliau menceritakan bahawa para peserta yang menyertai misi itu telah pun bersedia dengan segala kemungkin.
Menurut beliau, mereka hanya wanita-wanita yang sudah berusia (paling tua 72 tahun), tanpa sejata dan menaiki kapal kecil. Namun akhirnya dikepung oleh tiga buah kapal tentera yang sangat canggih. Mereka didakwa cuba memasuki Israel secara haram sedangkan pada ketika itu kapal yang mereka naiki berada dalam perairan antarabangsa.
Mereka ditahan dan dikurung selama 24 jam sebelum akhirnya dibebaskan.
Pengalaman itu tak sedikit pun menggugat semangatnya untuk terus melakukan pelbagai misi kemanusiaan. Prinsip beliau, setiap orang takkan tahu amalan mana yang akan membantu memasukkan dirinya ke syurga. Jadi, jangan berhenti untuk membuat kebajikan.
Irma Hasmie adalah antara artis yang banyak terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan termasuk mengikuti misi-misi kemanusiaan ke negara-negara bergolak. Irma yang merupakan Ikon Kemanusiaan Islamic Relief banyak menyertai pelbagai misi kemanusiaan termasuk ke Syria dan Palestin.
Berkongsi antara pengalamannya, dia banyak menyantuni wanita-wanita dan anak-anak yatim di negara-negara tersebut. Bila berdepan dengan mereka ini, dirinya yang terinspirasi dengan ketabahan dan kecekalan mereka walau pun kehidupan mereka musnah akibat peperangan.
Namun, dia sentiasa mendidik diri untuk tabah dan tak menunjukkan emosi bila berdepan dengan insan-insan ini hinggakan pernah dia terpaksa lari dan bersembunyi di dalam kereta dan menangis kerana terlalu sedih melihatkan kesengsaraan mereka itu.
Namun sedaya mungkin tidak mengalirkan air mata di depan mereka kerana ingin membawa kebahagiaan dan kegembiraan pada anak-anak yatim itu.
Irma bakal menyertai satu misi, Sisterhood Winter Mission ke Istanbul Dan Gazientep, Turki, tak lama lagi dan menyasarkan sumbangan RM1juta. Bagi yang ingin menyumbang, bolehlah layari laman web Islamic Relief.
Jangan lupa saksikan episod ulangan Mingguan Wanita Talkshow ini di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 pada pukul 8 malam ini bersama pengacara, Nurul Syuhada dan Norman Hakim.
Sumber foto: IG Dr. Fauziah Hassan dan Irma Hasmie
#MingguanWanitaTV
#MingguanWanitaTalkShow
#MingguanWanita
#TemanSetiapWanita
#AstroPrima105
#PrimaHD121