Memang nampak comel bila anak-anak masih kecil dipakaikan dengan barangan kemas baik gelang, rantai, cincin mahupun anting-anting. Namun, jika mak ayah ada berhasrat untuk tindikkan anak yang masih kecil terutamanya bayi yang bawah usia 6 bulan, elok tangguhkan dulu keinginan ini.Ini kerana mungkin ramai mak ayah yang tak tahu bahawa luka tindikan tersebut berbahaya pada bayi usia begini.
Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Hj Ahmad
berkata jika tidak dirawat atau dibiarkan, luka tindikan tersebut menyebabkan jangkitan kuman tetanus, sekali gus boleh menyebabkan bayi mengalami kekejangan dan sawan.Prosedur menindik telinga anak seharusnya dilakukan dengan cara yang bersih supaya tidak berlaku jangkitan kuman pada cuping telinga. Menindik sebaiknya dilakukan di klinik kerana doktor menggunakan jarum pakai buang yang telah disterilkan. Doktor juga akan membius cuping telinga sebelum menindiknya.
Pastikan anak telah disuntik dengan vaksin diphtheria-tetanus-pertussis (DTap) yang melindunginya daripada kuman tetanus.Banyak kes jangkitan kuman yang lebih bahaya menyebabkan kejang dan sawan akibat jangkitan kuman tetanus berpunca dari luka tindikan.
Bayi secara umumnya mempunyai daya tahan yang lemah berbanding orang dewasa.Justeru ibu bapa yang mahu menindik telinga bayi, disarankan agar menunggu sehingga anak mereka berusia enam bulan ke atas.
Selain itu pastikan anting-anting untuk bayi dibuat daripada bahan berkualiti dan tidak menyebabkan alahan seperti emas, platinum dan titanium. Anting-anting yang dibuat daripada kromium (bahan logam disadur dan mudah berkarat) selalunya menyebabkan radang dan alahan pada cuping telinga.
Mak ayah juga disarankan supaya memberi perhatian terhadap luka tindikan dalam masa enam minggu pertama dengan membasuh bahagian ditindik itu menggunakan air bersih bagi mengelak jangkitan kuman dan alahan.
Sebenarnya, tak salah mak ayah nak menindik telinga anak-anak yang masih kecil. Namun pastikan penuhi panduan dan syarat tertentu sebelum menindik telinga bayi seperti yang dijelaskan oleh Doktor Zubaidi ini iya.
Sumber: Dr Zubaidi HJ Ahmad