Doktor Zubaidi Dedah Bahaya Tindik Telinga Bayi Umur 6 Bulan Ke Bawah, Boleh Sebabkan Kejang & Sawan

Share

Memang nampak comel bila anak-anak masih kecil dipakaikan dengan barangan kemas baik gelang, rantai, cincin mahupun anting-anting. Namun, jika mak ayah ada berhasrat untuk tindikkan anak yang masih kecil terutamanya bayi yang bawah usia 6 bulan, elok tangguhkan dulu keinginan ini.Ini kerana mungkin ramai mak ayah yang tak tahu bahawa luka tindikan tersebut berbahaya pada bayi usia begini.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Hj Ahmad

berkata jika tidak dirawat atau dibiarkan, luka tindikan tersebut menyebabkan jangkitan kuman tetanus, sekali gus boleh menyebabkan bayi mengalami kekejangan dan sawan.

Berikut Perkongsian Panduan Tindik Telinga Bayi oleh beliau :

1.Prosedur Yang Bersih & Selamat

Prosedur menindik telinga anak seharusnya dilakukan dengan cara yang bersih supaya tidak berlaku jangkitan kuman pada cuping telinga. Menindik sebaiknya dilakukan di klinik kerana doktor menggunakan jarum pakai buang yang telah disterilkan. Doktor juga akan membius cuping telinga sebelum menindiknya.

2. Telah Mendapat Suntikan (DTap)

Pastikan anak telah disuntik dengan vaksin diphtheria-tetanus-pertussis (DTap) yang melindunginya daripada kuman tetanus.Banyak kes jangkitan kuman yang lebih bahaya menyebabkan kejang dan sawan akibat jangkitan kuman tetanus berpunca dari luka tindikan.

3.Bayi Berusia 6 Bulan Ke Atas

Bayi secara umumnya mempunyai daya tahan yang lemah berbanding orang dewasa.Justeru ibu bapa yang mahu menindik telinga bayi, disarankan agar menunggu sehingga anak mereka berusia enam bulan ke atas.

4.Pilihan Material Anting-Anting

Selain itu pastikan anting-anting untuk bayi dibuat daripada bahan berkualiti dan tidak menyebabkan alahan seperti emas, platinum dan titanium. Anting-anting yang dibuat daripada kromium (bahan logam disadur dan mudah berkarat) selalunya menyebabkan radang dan alahan pada cuping telinga.

5.Kepentingan 6 Minggu Pertama

Mak ayah juga disarankan supaya memberi perhatian terhadap luka tindikan dalam masa enam minggu pertama dengan membasuh bahagian ditindik itu menggunakan air bersih bagi mengelak jangkitan kuman dan alahan.

Sebenarnya, tak salah mak ayah nak menindik telinga anak-anak yang masih kecil. Namun pastikan penuhi panduan dan syarat tertentu sebelum menindik telinga bayi seperti yang dijelaskan oleh Doktor Zubaidi ini iya.

Sumber: Dr Zubaidi HJ Ahmad

Published by
Suhaidah Abd Wahab