Bergelar seorang srikandi bukanlah sesuatu yang mudah. Hanya mereka yang gagah dan berani berjuang layak diiktiraf. Mejar Dr Hamidah Mohd Salleh (Bersara) yang berasal dari Besut, Terengganu ini mempunyai kenangan yang cukup manis sepanjang sewaktu bertugas sebagai doktor tentera sebelum ini.
Dr Hamidah menyatakan paling tidak dapat dilupakan sewaktu dipilih untuk berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di dalam kontingen Perubatan Angkatan Tentera Malaysia untuk PBB (Persatuan Bangsa Bersatu) di Sahara Barat (Benua Afrika Gurun Sahara).
“Waktu itu, saya bertugas ke sana selama enam bulan pada tahun 2009. Di sana saya pernah berada di dalam helikopter selama sembilan jam dan mengharungi ribut pasir di gurun untuk memindahkan pesakit jantung dari Gurun Sahara ke Hospital Casablanca,” ungkap Dr Hamidah mulai bicara.
Korbankan Kerjaya Demi Keluarga
Namun demi keluarga, dia sanggup mengorbankan kerjaya yang diminatinya. Namun pengorbanan tersebut tidak sia-sia kerana jalan yang dipilih itu memberi ruang untuknya berkecimpung dalam dunia baru sekaligus memenuhi impiannya sebelum ini.
Dr Hamidah sebelum ini merupakan doktor tentera yang bertugas di Perak dan Negeri Sembilan sebelum berpindah ke Pengkalan Udara Kuala Lumpur.
Pengkalan Udara Kuala Lumpur merupakan destinasi terakhir sebelum dia meletak jawatan bagi menumpukan perhatian pada anak-anak dan keluarga.
“Kalau diikutkan kerjaya sebelum ini dengan sekarang sebagai doktor sama sahaja. Tetapi yang membezakan adalah persekitaran. Selain itu, apabila kita bekerja sendiri, kena bijak mengatur dan menetapkan arah hala tuju kerjaya kita. Lebih-lebih lagi saya memiliki klinik sendiri iaitu Klinik Lovina.
“Seiring dengan zaman teknologi dan masyarakat sekarang yang mementingkan kesihatan atau kesejahteraan.Klinik juga sekarang bukan lagi dikunjungi pesakit semata-mata untuk bertemu doktor bagi mendapatkan rawatan. Kerana itu, saya memberi fokus kepada bab kesihatan wanita dan kanak kanak dan juga kulit wajah.
“Namun, bergelar ahli perniagaan dan dalam masa yang sama menjadi pakar perubatan bukan sesuatu yang mudah. Cabaran pertama adalah untuk mempersiapkan diri mental dan fizikal ke dunia perniagaan. Kerana itu, saya mengatasi cabaran tersebut dengan menghadiri kelas asas untuk perniagaan dan bekerja atau mentoring di klinik swasta untuk mengetahui selok belok dalam dunia perniagaan perkhidmatan kesihatan.
“Ditambah pula dengan persaingan di dalam perniagaan menjadikan saya mencari solusi untuk memberikan nilai terbaik kepada pesakit. Sebagai contoh, saya mementingkan perubatan yang clinical evidence based
serta teknologi terkini dan paling penting patuh syariah terutamanya yang melibatkan perawatan kulit wajah,” jelas Dr Hamidah yang memiliki 17 adik-beradik dan dia merupakan anak ke 12.Berpegang pada prinsip berani untuk gagal. Dr Hamidah ingin menjadikan Klinik Lovina sebagai one stop centre yang menggunakan teknologi terkini tapi patuh syariah untuk wanita dan anak anak dalam menjaga kesihatan mereka. Selain itu, dia juga berharap suatu hari nanti berpeluang membuka pusat terapi untuk kanak kanak istimewa seperti autism.
Suami tulang belakang kejayaan
Ibu kepada tiga orang anak perempuan ini juga bertuah kerana memiliki suami Lt Kol Dr Nor Amir Zakuan Panizan yang cukup memahami. Menurut Dr Hamidah lagi, suaminya merupakan doktor tentera di Kuala Lumpur
“Saya bertuah kerana memiliki suami yang menjadi tulang belakang dan menyokong semua impiannya selama ini. Bahkan, suami juga menjadi tempat rujukan saya jika ada sebarang masalah.
“Bohonglah andai kata saya tak sayang tinggalkan dunia ketenteraan, namun demi memastikan anak-anak membesar dengan baik dan sempurna antara saya dan suami kena berkorban. Dan saya memilih untuk meletak jawatan,” sambung Dr Hamidah.
Realisasikan Impian Miliki Klinik Sendiri
Dr Hamidah juga berasa sangat bersyukur walaupun sudah tidak berkhidmat sebagai doktor tentera namun dia masih berbakti sebagai doktor di klinik miliknya.
“Alhamdulillah, peluang saya untuk meneruskan khidmat dalam bidang perubatan tidak terhenti setakat itu. Malah, saya bersyukur kerana dapat merealisasikan hasrat untuk memiliki klinik sendiri dalam bidang kecantikan.
“Itu sudah menjadi impian saya sejak dahulu lagi Cuma peluang tiada. Walaupun memiliki bisnes sendiri, namun anak-anak tetap diutamakan. Saya boleh membahagikan masa dengan baik antara keluarga dan kerjaya. Itulah untungnya bekerja sendiri. Kalau dahulu saya banyak ke sana ke mari atas urusan kerja, tetapi kini fokus saya lebih kepada anak-anak dan juga klinik.
“Saya menekankan konsep masa berkualiti bersama keluarga, sebagai contohnya menggunakan masa yang ada dengan anak untuk bertanya khabar hari anak-anak semasa makan malam bersama. Selain itu, saya juga menerapkan nilai murni ketika story telling semasa solat berjemaah bersama dan membaca buku untuk imaginasi ketika menidurkan anak anak,” jelas Dr Hamidah yang suka beristirehat di rumah atau melakukan akiviti bersama biasanya berbasikal di taman riadah dengan keluarga ketika masa senggang.