Satu hal yang paling menggerunkan mana-mana ibu hamil secara normal, tentulah melalui saat melahirkan dalam bilik bersalin. Paling dibimbangi tentulah menghadapi koyakan besar atau sebaliknya pada bahagian perineum atau digunting (episiotomi) semasa bersalin.
Masa nak dekat-dekat bersalin itu dah macam-macam terbayang dalam fikiran mak-mak. Besar mana koyakan, banyak mana jahitan dan tentunya semua itu merungsingkan perasaan.
Bagi yang pertama kali melalui proses kelahiran, koyakan pada vagina mungkin sesuatu yang agak asing untuk anda. Namun jika anda ada mengikuti kelas persediaan sebelum kelahiran pastinya terma tersebut telah anda ketahui.
Menurut Dr. Maiza Tusimin, Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, FPSK, UPM dan juga Pakar Perunding (Jemputan) Perubatan Reproduktif & Infertiliti, Hospital Pakar An-Nur,
“Perineum di dalam bahasa Yunani disebut Perineos; adalah bahagian di antara kedua belah paha, yang dibatasi oleh vulva dan anus, dengan tulang simpisis pubis di bahagian atas, dan tulang koksigeus di bahagian belakang.
“Perineum terdiri dari otot dan fasia urogenitalis serta diafragma pelvis. Perineum merupakan bahagian yang sangat penting bukan sahaja dalam hubungan intim.
“Malah terlibat secara langsung dengan proses kelahiran bayi, juga bertindak sebagai bahagian yang penting untuk mengawal proses pembuangan air kencing dan najis.
Sebenarnya, mak-mak yang bakal melahirkan boleh mengurangkan koyakan besar pada bahagian perineum jika tahu caranya. Lakukan sebelum tibanya tarikh melahirkan. Ketahui 7 tip pencegahan yang dikongsikan Dr Maiza ini.
7 Tip Pencegahan Koyakan Besar Pada Perineum
1. Jangan Panik! Bersedia dengan ilmu kelahiran menjadikan bakal ibu lebih tenang dan tidak panik ketika proses kelahiran.
2. Senaman Kegel : Kemutkan otot pelvis / vagina seperti anda sedang menahan kencing, tahan selama 10 saat, lepaskan perlahan-lahan dan ulang 25 kali setiap satu sesi, lakukan tiga kali sehari sepanjang tempoh kehamilan.
3. Urutan perineum beberapa minggu sebelum kelahiran berpotensi untuk menjadikan otot pada bahagian vagina lebih anjal dan mengurangkan risiko koyakan vagina yang teruk.
4. Meneran dengan betul! Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen dan ke bawah.
5. Jangan teran terlalu awal! Meneran terlalu awal ketika kepala bayi masih tinggi menyebabkan vagina membengkak dan mudah koyak.
6. Posisi yang betul! Rapatkan dagu ke dada, anda berkeadaan sama seperti udang membengkok, pegang pergelangan kaki, dan jangan sesekali mengangkat punggung!
7. Dengar arahan doktor dan amalkan berzikir dan doa sepanjang proses kelahiran.
Ads
Rawat Kecederaan Perineum (Koyakan)
Koyakan tahap pertama dan kedua adalah koyakan yang boleh dijahit secara langsung tanpa memerlukan pesakit untuk dimasukkan ke dewan bedah. Rawatan susulan juga agak ringkas dan tidak memerlukan rawatan susulan yang kerap.
Koyakan tahap ketiga dan keempat diklasifikasikan sebagai kecederaan perineum yang kompleks di mana pesakit perlu melalui pembedahan di bilik bedah untuk menjahit bahagian yang koyak.
Bergantung kepada tahap kesukaran untuk merawat koyakan tersebut, pesakit mungkin memerlukan perawatan dan pemantauan kombinasi daripada pakar bedah kolorektal dan uroginekologi.
10 Cara Pulihkan Kesan Jahitan Dengan Panduan Doktor
1. Lazimnya ibu akan dibekalkan dengan ubat untuk melembutkan najis bagi membantu melawaskan proses pembuangan najis.
2. Jahitan pada vagina tidak perlu dibuka, benang yang digunakan merupakan benang mudah-serap.
3. Proses penyembuhan bergantung kepada tahap koyakan vagina. Bagi yang mengalami tahap koyakan pertama dan kedua, lazimnya luka akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh 2-3 minggu bergantung kepada tahap kesihatan dan imuniti badan.
4. Ibu hendaklah sentiasa memastikan bahagian sulit sentiasa bersih dan kering terutama selepas mencuci bahagian kemaluan mahupun selepas mandi.
5. Dinasihatkan tidak menyapu sebarang bahan pada bahagian luka tanpa nasihat doktor.
6. Pemakanan yang seimbang dengan nutrisi yang lengkap dan minum air secukupnya menggalakkan penyembuhan yang pantas.
7. Bagi kelahiran yang dimaklumkan kepada klinik kesihatan, Jururawat desa akan memeriksa luka dalam tempoh seminggu selepas kelahiran.
Ads
8. Tanda luka telah sembuh adalah apabila ibu tidak lagi merasa pedih pada bahagian luka ketika mencuci bahagian sulit.
9. Bagi ibu yang mengalami jangkitan pada luka, atau luka yang lambat sembuh atau sentiasa berair adalah dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor untuk rawatan selanjutnya.
10. Manakala, bagi ibu yang mengalami koyakan tahap 3 dan 4, lazimnya rawatan susulan di hospital pakar adalah dalam tempoh 2 hingga sebulan selepas kelahiran. Tanda luka perineum tidak mengalami komplikasi adalah apabila ibu masih mampu menahan kentut & pembuangan air besar.
Kecederaan Perineum (Koyakan) Ketika Proses Kelahiran
Statistik menunjukkan bahawa sekitar 90% wanita mengalami kecederaan perineum semasa bersalin; manakala segelintir wanita boleh mengalami kecederaan perineum yang lebih teruk yang boleh merosakkan otot dubur dan fungsi seksual.
Statistik yang dilaporkan oleh British Journal of Obstetrics & Ginekology yang menganalisis trend kecederaan perineum di semua hospital NHS di England menonjolkan kenaikan tiga kali ganda koyakan perineum tahap ketiga atau keempat, dengan kadar peningkatan dari 1.8% pada tahun 2000 kepada 5.9% pada tahun 2011 di kalangan ibu yang pertama kali melahirkan.
American Journal of Obstetrics and Gynecology, melaporkan wanita Asia lebih cenderung mengalami kecederaan perineum, dengan 2.5% daripadanya mengalami koyakan perineum tahap ketiga atau keempat
Malangnya, adalah sukar untuk meramal dan menghalang kemungkinan berlakunya kecederaan perineum kepada bakal ibu yang sedang melalui proses kelahiran.
Ads
Walau bagaimanapun, doktor perbidanan akan menimbangkan faktor risiko tertentu untuk menjangkakan kemungkinan berlakunya kecederaan perineum dan langkah-langkah merawat yang sewajarnya dapat di laksanakan.
Faktor/risiko tersebut termasuk sejarah mengalami koyakan vagina yang teruk, distosia bahu, ibu mengalami proses kelahiran pada fasa yang panjang, kelahiran pertama, jangkaan bayi dalam kandungan yang besar, kelahiran yang perlu dipaksa dengan ubat atas faktor kesihatan dan kelahiran secara vakum atau forsep.
Betul Ke Semua Ibu Mengandung Perlukan Episiotomi?
Episiotomi adalah kaedah memotong sedikit bahagian di antara faraj dan lubang dubur ketika kepala bayi mula keluar dari faraj.
Ia bagi mengurangkan risiko koyakan yang tidak terkawal pada faraj ketika bersalin. Kaedah menggunting atau memotong sedikit pada faraj ini dapat memudahkan laluan bayi.
Hospital kerajaan dan kebanyakan hospital swasta mengamalkan polisi ‘selective episiotomy’ atau ‘episiotomi selektif’ di mana hanya ibu yang mempunyai risiko seperti kelahiran songsang, kelahiran vakum atau forceps.
Namun, teknik ini bukanlah menjadi kemestian atau rutin setiap kali menyambut kelahiran bayi melainkan sebagai pilihan terakhir semata-mata.
Kenali Tahap Kecederaan Perineum Mak Bersalin
Koyakan tahap pertama : Koyakan melibatkan lapisan kulit sekitar vagina sahaja, atau lapisan luar perineum.
Koyakan tahap kedua : Koyakan melibatkan kulit sehingga lapisan mukosa vagina dan otot perineum.
Koyakan tahap ketiga : Melibat otot di bahagian dubur, ia perlu dijahit lapisan demi lapisan dan sekiranya tidak dijahit dengan sempurna, akan mendatangkan komplikasi yang serius
Terbahagi kepada koyakan tahap ketiga iaitu:
3a: Koyakan sebahagian daripada sfinkter luar dubur yang melibatkan ketebalan kurang daripada 50%.
3b: Koyakan sebahagian daripada sfinkter luar dubur yang melibatkan ketebalan lebih daripada 50%.
3c: Koyakan yang melibatkan sfinkter dalam dubur.
Koyakan tahap keempat : Melibatkan koyakan terus dari kulit perineum, mukosa vagina, otot, sfinkter dubur, sehingga ke mukosa rektum.
Rujukan : American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) & RCOG
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Baik dewasa mahupun kanak-kanak mereka tetap perlu mengunyah semasa makan. Tetapi ada di kalangan anak-anak malah orang dewasa yang tidak mengunyah dengan betul. Apakah risiko yang akan dialami oleh kanak-kanak yang tidak mengunyah dengan betul? Adakah ia akan mempengaruhi pertuturan mahupun sistem penghadamannya?
Hakikatnya, umur dan peningkatan dalam saiz badan adalah antara faktor-faktor berkaitan dengan keupayaan mengunyah yang utama untuk kanak-kanak. Ia juga bergantung kepada kematangan gigi. Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan, menunjukkan orang biasa mengunyah setiap gigitan makanan mereka antara 14 hingga 20 kali sebelum menelan.
Yang mana, mengunyah merangsang pengeluaran air liur yang mengandungi enzim alfa-amilase dan membantu penghadaman seluruh makanan yang diambil. Tindakan enzim amylase berakhir apabila makanan dicerna memasuki usus kecil.
Semasa seseorang mengambil makanan, usus kecil mempunyai keupayaan mengeluarkan hormon (neurotransmitter) yang akan dibawa melalui darah kepada pusat mengesan “rasa kenyang dan penuh” di otak. Ini mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk berlaku. Sebab itulah, mengunyah makanan secara perlahan membantu mengelak makan berlebihan.
Kebanyakan kanak-kanak yang telah melepasi peringkat umur di mana makanan yang disediakan selembut dan sehancur yang boleh. Mereka juga mempunyai gigi yang baik, berkeupayaan untuk mengunyah dengan baik. Yang penting ialah mereka diberi makanan yang seimbang.
Dr. Aishah Tul Radziah L Hussin
RISIKO TIDAK MENGUNYAH DENGAN BETUL
Mengunyah makanan waktu makan dengan betul dan tidak tergesa-gesa adalah amalan yang sihat. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan:
1. Penghazaman makanan tidak berlaku dengan sempurna.
2. Mereka (remaja dan dewasa) yang makan secara gelojoh dan tidak mengunyah makanan dengan sempurna mempunyai risiko mendapat penyakit kencing manis jenis II. Kanak-kanak yang terbiasa dengan tabiat ini akan mendapati sukar untuk berubah dan berpotensi mendapat penyakit kencing manis jenis II (semasa dewasa).
3. Makan dengan cepat atau tidak mengunyah menggalakkan pertambahan berat badan (berat berlebihan atau obes) yang boleh mencetuskan penyakit ini.
4. Orang yang makan cepat juga makan lebih banyak, dan akibatnya lebih cenderung untuk menjadi gemuk. Ini adalah kerana sistem penghadaman mereka tidak mempunyai peluang untuk menghantar isyarat ke otak bahawa ia sudah penuh atau kenyang.
6 Sebab Anak Lebih Suka Menelan, Dari Mengunyah
Kanak-kanak dilihat lebih gemar menelan daripada mengunyah dengan betul makanan mereka kerana..
1. Tabiat
Ibu bapa mesti selalu aktif menunjukkan cara makan, termasuk mengunyah makanan dengan betul untuk diikuti oleh anak anak.
2. Kehadiran alat pendakap gigi
Apa yang di makan secara langsung mempunyai kesan kepada kesihatan, termasuk kesihatan gigi dan gusi. Di sebaliknya, alat pendakap gigi (dental braces) atau gigi yang bermasalah boleh memberi kesan kepada makanan yang diambil.
Jikalau alat pendakap gigi menjadi punca anak tidak mengunyah makanan dengan baik, Ibu bapa perlu mengubahsuai bentuk makanan supaya ianya lebih mudah untuk dikunyah dan ditelan
3. Tidak berupaya untuk mengunyah
Tidak berupaya untuk mengunyah boleh disebabkan oleh kehilangan gigi, penyakit gusi dan kerosakan gigi. Kanak-kanak yang mempunyai masalah ini perlu dibawa berjumpa doktor gigi untuk dirawat.
4. Mulut atau tekak kering
Mulut kering boleh menjadi tanda penyakit-penyakit tertentu atau boleh disebabkan oleh ubat-ubatan tertentu atau kesan sampingan rawatan perubatan.
Keadaan ini boleh dikurangkan dengan banyak minum air, mengulum gula-gula untuk merangsang lebih banyak liur dihasilkan oleh kelenjar air liur dan mengelakkan makanan pedas atau masin jika ia menyebabkan sakit di dalam mulut.
5. Ulser aphthous, luka-luka di mulut, biasanya pada pangkal gusi, di bibir dan dinding dalam mulut
Ibu bapa perlu mendapatkan rawatan doktor dengan segera untuk mengatasi masalah pada penyakit yang dialami anak-anak.
6. Gigi geraham rosak atau sakit.
Rawat kerosakan gigi anak dengan membawanya ke klinik pergigian bagi mengatasi masalah gigi geraham rosak atau sakit.
OLEH: PENGARAH DR AISHAH SOLUTION SDN BHD, DR AISHAH TUL RADZIAH L HUSSIN, MBBS UNIVERSTI MALAYA
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Rupanya bila nak anak pandai menulis dengan baik bukan sekadar kena biasakan dengan pensil.Mak ayah sebenarnya kena beri perhatian dahulu pada 3 kemahiran penting ini menerusi aktiviti-aktiviti yang sesuai.Latih dan ajar anak menulis ini boleh dilakukan seawal usia tiga tahun.
Ilmu ini dikongsikan oleh Puan Aishah Kassim yang merupakan seorang Speech-Language Pathologist.
Berikut antara perkongsian beliau sebagai panduan.
Macam Mana Melatih Kemahiran Awal Menulis
Bila nak ajar kanak-kanak menulis kita bukanlah perlu terus bagi pensil pada anak dan expect anak boleh menulis dengan baik.Ada kemahiran-kemahiran yang perlu kita lihat untuk membolehkan anak-anak menulis dengan baik. 3 perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah:
1. Pegangan Tripod
Skill ni bermula seawal 3 tahun.
Tripod – maksudnya menggunakan 3 jari iaitu ibu jari, telunjuk dan jari tengah
Untuk melatih skill ni, anda boleh buat aktiviti-aktiviti seperti berikut:
Beri makanan pada anak seperti bijiran / kekacang sebiji-sebiji.
Gunakan garfu untuk cucuk buah / lain-lain.
Mengutip manik dari atas lantai.
Memasukkan syiling dalam tabung
2. Kekuatan Otot & Koordinasi Tangan
Skill ni bermula seawal 3 tahun.
Skill ni penting untuk kawalan pergerakan pensil, jadi tulisan anak akan jadi lebih stabil dan cantik. Anak pun tak cepat penat bila menulis lama.
Contoh-contoh aktiviti yang anda boleh lakukan adalah:
Memulas paip air untuk tutup / buka.
Memusing kunci pada tombol pintu.
Menyepit baju di ampaian.
Memasang butang / zip.
Menguli playdough / menekan playdough.
3. Koordinasi Bilateral
Skill ni bermula seawal 4 tahun.
Skill ni penting untuk membolehkan kanak-kanak menulis dengan efisyen dari kanan kekiri atau kiri kekanan.
Contoh aktiviti yang boleh anda lakukan di rumah seperti aktiviti lacing menggunakan 2 tangan seperti:
Masukkan tali dalam straw, masukkan benang dalam manik dan lain-lain.
Melipat pakaian.
Mengemas cadar pada katil
Jadi pada peringkat awal, banyakkan aktiviti-aktiviti yang boleh melatih ketiga-tiga skill ni.Nanti bila anak dah ready untuk menulis dah senang dah.Biasanya mereka terus dapat je skill menulis dengan baik.
Selamat mencuba.
Semoga bermanfaat, kongsikan juga ilmu ini buat mak ayah yang lain.
Mula menjalinkan cinta dengan suami orang atas dasar kebendaan namun tanpa disedari wujud perasaan sayang. Itulah yang dilalui oleh gadis ini.
Ya, hubungan tak berpanjangan apabila dia menemui cinta baru sekali gus menyebabkan kekasihnya yang juga suami orang tidak puas hati lalu mendedahkan semua kisah buruk mereka. Ikuti kisah yang boleh dijadikan pengajaran untuk para gadis di luar sana.
Kenal Lelaki Status Suami Orang
Berusia 21 tahun, rasanya masih terlalu muda untuk bergelar isteri khususnya kepada lelaki yang sudah mencecah usia 40-an. Saya mengenali lelaki ini pada saat dia memerlukan saya di sisinya. Sedangkan dia sudah pun punya isteri yang sangat taat kepadanya.
Sebelum serius menjalinkan hubungan, saya terlebih dahulu mengenalinya sebagai suami kepada seorang teman. Namun demi keseronokan dan kemewahan yang dicari, saya ketepikan perasaan itu dengan menerimanya sebagai kekasih.
Saya hanyalah seorang pekerja biasa di salah sebuah premis dengan gaji yang cukup makan dan amat mustahil untuk saya membeli apa yang saya kehendaki atau inginkan.
Si Dia Bagi Macam-macam
Tetapi selepas mengenalinya, saya mampu memiliki telefon bimbit berjenama, komputer riba, kereta malah barang-barang kemas yang semuanya adalah pemberian darinya. Jujurnya saya memang mencintainya malah saya menerimanya dahulu pun kerana merasakan saya kekurangan kasih sayang akibat keluarga bercerai berai.
Hampir setahun mengenalinya, empat bulan pertama dahulu, saya pernah ‘kantoi’ dengan isterinya yang berjaya menghidu hubungan kami. Saya sanggup berdepan dengan isterinya untuk menceritakan segalanya namun dihalang lelaki itu.
Dia takut hubungan kami diketahui isteri, malah meminta saya tidak menceritakan apa-apa kepada isterinya. Saya juga dipaksa mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya, apalagi mengaku saya ini kekasihnya.
Pernah Dinodai
Saya kecewa dengan sikapnya tetapi demi sayang, saya masih memilih untuk bersama. Sehingga saya sanggup menyerahkan mahkota kesucian kepadanya. Semuanya saya lakukan kerana dia berjanji akan mengahwini saya sebagai isteri kedua. Kami merancang bernikah di sempadan kerana dia tidak mahu isteri dan keluarganya tahu hal ini.
Sebagai makluman, teman lelaki saya ini hanyalah seorang pemandu di sebuah syarikat bijih besi. Gajinya mencecah hampir RM8000 sebulan dan ternyata dia memang mampu beristeri dua dengan gajinya itu. Namun hubungan kami sedikit kendur apabila dia mendapat tahu isterinya mengandung.
Saya ingin mengundurkan diri daripada hubungan ini. Dia mungkin akan lebih bahagia bersama isterinya. Malangnya, lelaki itu mengugut akan membongkar hubungan kami kepada ayah saya. Mengingatkan tentang ugutannya, saya terpaksa bersabar dan mengikut apa saja kehendaknya kerana tidak mahu hal ini diperbesarkan.
Kini saya telah berkenalan dengan lelaki lain yang bekerja sebagai kontraktor di sekitar tempat kerja saya. Sepanjang berkawan dengan lelaki baru ini, saya sentiasa mengelak daripada bertembung dengan kekasih lama kerana tidak mahu hubungan saya diketahui teman baru.
Sampai bila hubungan kami ini harus dirahsiakan sehinggalah saya terfikir lebih baik memberitahu hubungan kami kepada isterinya. Niat saya, agar kami boleh berkahwin secara baik di Malaysia selain mendapat restu keluarga.
Tetapi apa yang saya rancang semuanya musnah kerana kekasih saya tahu mengenai hubungan saya dengan teman baru. Dia meminta saya memulangkan semua barangan yang dia pernah hadiahkan dahulu. Lebih keji dia memburukkan nama baik saya dengan mengatakan saya telah dinodai hingga melahirkan seorang anak.
Keluarga Tahu Dan Akhirnya…
Saya dipandang hina oleh orang kampung namun nasib saya baik kerana tidak dibuang keluarga. Keluarga cuma meletakkan semua kesalahan ke atas diri saya seorang. Adakah semua ini salah saya? Saya ingatkan apabila perkara sebenar diberitahu kepada keluarga, kami dapat berkahwin secara baik-baik, tak sangka saya pula dipersalahkan sepenuhnya.
Saya merasakan kehidupan seperti tiada hala tuju. Saya mungkin tidak akan berkahwin sampai bila-bila kerana saya percaya tiada siapa dapat menerima keadaan diri saya yang bersalah dan bergelumang dosa.
Saya mahu mencari ketenangan jiwa dengan mendekatkan diri pada agama. Tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu memulakannya.
Apa yang patut saya buat?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selebriti wanita popular, Yana Samsudin rupanya bukanlah berasal dari keluarga senang. Mengimbau kembali perjalanan hidup dari zaman kecil yang penuh kepayahan, ibu kepada tiga...