Sembilan bulan mengandungkan bayi hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta pastinya suatu berita yang cukup menggembirakan bagi setiap pasangan suami isteri. Walau ia bukanlah kehamilan kali pertama, namun keterujaan untuk menyambut ahli baru dalam keluarga pastinya suatu yang ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan.
Hidup pasti tak lengkap tanpa ujian dan dugaan, tapi itu semua tanda Allah SWT sayangkan hambanya. Ketika usia kandungan 7 bulan, doktor mengesahkan ada masalah dengan bayi yang dikandung oleh Nor Suriati Dakta@Mokhtar, 39. Hati ibu mana yang tegar mendengar berita sedemikian, namun dia dan pasangannya, Tuan Nasir Tuan Dalam, 35 reda dengan ujian yang menimpa keluarga kecil mereka.
“Ketika awal kehamilan memang saya disahkan mengidap kencing manis ketika hamil. Jadi saya hanya amalkan diet yang disarankan oleh doktor setiap kali menerima rawatan. Tiada apa-apa komplikasi sepanjang kehamilan selain kencing manis yang saya hadapi. Namun ketika 7 bulan usia kandungan, saya buat scan dan diminta untuk merujuk doktor pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi mengesahkan kandungan saya yang ada masalah.
“Hati ibu mana yang tak sedih ketika dimaklumkan bahawa bayi dalam kandungan bermasalah. tambahan pula doktor ada beritahu mungkin jangka hayat bayi yang bakal saya lahirkan juga tidak akan Panjang kerana penyakit yang dihidapinya itu. Tapi saya dan suami perlu reda dengan dugaan yang melanda keluarga kami.” Ujarnya tentang kehamilannya lima tahun yang lalu.
Hari yang dinanti kini tiba, Suriati selamat melahirkan seorang bayi perempuan melalui kaedah ceaserean. Tuan Nur Batrisyia nama yang diberi kepada bayi mereka yang baru dilahirkan dan Seperti yang dijangka, Batrisya lahir dengan masalah Hydrosephalus atau kepala besar.
Dua hari selepas dilahirkan, anak kecil ini sudah perlu menjalani pembedahan besar, bayangkan anak sekecil itu sudah perlu menghadapi kesakitan maha hebat. Oleh kerana itu Suriati dan suami, Tuan Nasir sudah tidak sanggup lagi melihat penderitaan dan kesakitan yang dialami anak mereka yang sehingga kini sudah lapan kali melakukan pembedahan.
“Dua hari selepas dilahirkan, Batrisyia perlu menjalani pembedahan untuk sakit yang dialaminya itu. Dia berada di wad hampir dua bulan selepas dilahirkan sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Setahun usianya banyak kali dia perlu lakukan pembedahan untuk membuang lebihan cecair dalam kepalanya. Kali terakhir adalah pada tahun lalu. Alhamdullilah Batrisya anak yang kuat, walaupun doktor pernah jangka hayatnya tak lama, tapi dia dapat bertahan sehingga kini,”ujarnya penuh kesyukuran.
Menurut Nur Suriati lagi, walapun ada beberapa pihak termasuk individu bersedia untuk membiayai kos rawatan termasuk menjalani pembedahan di luar negara, tetapi dia dan suami, Tuan Nasir Tuan Dalam yang bekerja sebagai pekerja am di Kuala Terengganu bersepakat menolak tawaran itu kerana tidak sanggup melihat kesakitan yang dialami oleh Batrisya ketika menjalani pembedahan.
Setiap bulan Batrisyia perlu jalani rawatan Fisioterapi di hospital, manakala 4 bulan sekali pula dia perlu dirujuk kepada pakar untuk memantau penyakit yang dideritainya itu. Selain mendapatkan rawatan di hospital, Suriati dan suami turut mendapatkan rawatan alternatif untuk anaknya itu.
“Sehingga kini memang sebulan sekali saya akan bawa Batrisyia ke hospital untuk dapatkan rawatan fisioterapi. Empat bulan sekali pula kami perlu berjumpa Dengan pakar untuk memantau penyakitnya itu.
“Doktor kata ia tidak akan membesar lagi dan kami perlu mengikut jadual rawatan susulan untuk memastikan kesihatannya sentiasa berada di tahap terbaik,” katanya yang sebelum ini bekerja di sebuah pasar raya sekitar Kuala Terengganu sebelum berhenti bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada Nur Batrisyia.
“Bukan hanya rawatan dari hospital, atas saranan lain, saya dan suami turut mencuba rawatan alternatif iaitu rawatan homeopati. Alhamdullilah dengan rawatan susulan dari hospital dan juga rawatan alternatif yang dijalani, sedikit sebanyak membantu perkembangan kesihatan anak saya,” ujarnya yang turut menyatakan bahawa Batrisya juga mempunyai masalah asma yang agak teruk dan sering kali dimasukkan ke hospital kerana masalah tersebut.
Meskipun bapa Batrisyia hanya berpendapatan sebanyak RM1000 sahaja sebulan dan separuh daripadanya adalah untuk dibelanjakan bagi keperluan Batrisya seperti susu khas dan juga pakaiannya. Mengakui jumlah itu ada kalanya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga kerana Suriati sendiri tidak lagi bekerja setelah melahirkan Batrisyia.
Namun rezeki anak kecil ini sentiasa ada, selain menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), ada sahaja bantuan dan juga derma yang diberikan kepada mereka sekeluarga yang dapat digunakan untuk keperluan harian Batrisyia.
“Selain bantuan JKM sebanyak RM350 sebulan, Majlis Agama Islam dan Adat MAIDAM turut menyalurkan bantuan perubatan sebanyak RM3,000 setahun. Alhamdullilah ada sahaja rezeki untuk anak kami, bila pergi buat rawatan fisioterapi, ada juga yang bagi derma kepada Batrisyia, jadi kami gunakan wang itu untuk membeli barangan keperluannya seperti lampin pakai buang dan susu,” ujar Suriati lagi.
Bagi Suriati dan suami, dengan bantuan yang diterima walau ada ketikanya tidak mencukupi, itu semua sudah memadai. Namun apa yang diharapkan dia dan suami adalah bantuan kediaman untuk dia dan keluarganya berteduh berikutan rumah yang didiami empat beranak itu sekarang adalah rumah pusaka dan tanah milik penduduk kampung. Besarlah harapan mereka agar agar ada yang sudi untuk membantu mereka berkaitan hal tersebut.
Foto: FB Pulau Duyong