Jangan ambil mudah bila berlaku sembelit pada anak. Kadang-kadang, ada mak ayah yang tidak sedar sudah berapa hari anak tidak membuang air besar.
Kesannya kita tidak nampak sekarang tetapi akan datang. Bayangkan anak diberi makan macam-macam tetapi langsung tidak membuang. Sedangkan kita yang dewasa tak membuang satu hari pun sudah rasa lain macam.
Sebab itu, mak ayah kena perhatikan apa yang berlaku terutamanya sembelit pada anak. Jangan terus beri ubat, tak kiralah anak itu kecil atau sudah besar. Ubat adalah langkah terakhir bila mak ayah sudah gunakan cara semula jadi untuk memastikan anak ‘membuang’.
Perkongsian daripada Dr. Ahmad Samhan boleh memberi panduan pada mak ayah tentang masalah yang dihadapi oleh anak. Malah boleh digunakan untuk mak ayah dan orang dewasa juga.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Prun Penuh Serat Sesuai Sangat Untuk Mak-Mak Kurangkan Sembelit
3 Punca Anak Selalu Sembelit, Najis Keras, Ini Penjelasan Pediatrik, Mak Ayah Sila Take Note!
Info Lebih menarik Di SINI
Jam sudah menunjukkan jam 2 pagi.
Baru saja selesai merawat seorang wanita yang datang mengalami sengugut. Nak berjalan pun tak mampu. Sakit yang amat.
Setelah buat pemeriksaan dan beri ubat tahan sakit barulah lega dan pulang dengan tersenyum lebar.
Saya berbaring sambil memandang siling. Cuba untuk lelapkan mata.
Tiba-tiba dapat panggilan dari klinik.
“Doktor, ada seorang pesakit budak lelaki 4 tahun, sakit perut”
“Ok baik, saya datang”
Setiba di klinik, kelihatan seorang budak lelaki diriba ibunya. Menangis meraung kesakitan. Nak luruskan badan pun tak boleh. Tangannya menekan perut.
Saya terus minta ibu dukung anaknya dan masuk ke bilik pemeriksaan.
“Dah berapa lama jadi begini?”
“Malam tadi ok je. Tiba-tiba dia terjaga dari tidur meraung sakit perut”
“Ada muntah? Ada cirit-birit?”
“Tak ada doktor. Tapi dia dah 2 hari tak berak”
“Ada masalah usus sebelum ini? Kentut ada?”
“Tak ada masalah usus. Kentut ada”
“Baik, saya kena buat pemeriksaan dulu”
Saya buat memeriksa perut dan ultrasound scan.
“Anak puan sembelit. Tak apa, saya akan masukkan ubat dari punggung. Bila dah berak, dia akan lega”
Saya minta ibunya ‘standby’ di tandas. Selang beberapa minit, anaknya dah membuang air besar.
Keluar tandas, muka tersenyum. Siap berlari lagi. Ibunya terpaksa kejar nak pakai seluar.
Sakan ye dik, tadi nak berdiri pun tak boleh. Bila tengok pesakit hilang derita, saya pun gembira.
Saya kongsikan cara elak sembelit tanpa guna ubat:
1. Bagi bayi kurang 6 bulan, baringkan bayi dengan kaki ke atas dan cuba lakukan pergerakan seolah-olah sedang mengayuh basikal di udara. Ini akan merangsangkan pergerakan najis dalam usus.
2. Boleh rangsang lubang dubur dengan menggunakan putik kapas. Buat ‘circular motion’ di sekeliling lubang dubur.
3. Bagi bayi 6 bulan ke atas dan menyusu susu formula, boleh berikan makanan separuh pepejal seperti lobak yang dikisar dan disediakan secara segar.
4. Manakala kanak-kanak yang berumur satu tahun ke atas boleh diberikan air buah-buahan seperti tembikai atau air mineral suam dalam kadar yang berpatutan.
Jika ibubapa telah mencuba langkah-langkah tersebut tetapi tidak berjaya, maka bolehlah menggunakan ubat. Ubat yang selamat digunakan untuk bayi enam bulan ke atas ialah Lactulose.
Bagi bayi berumur 11 bulan hingga ke 5 tahun, ubat Lactulose 3.1-3.7g/5ml oral solution diberikan 2.5-5 ml dua kali sehari. Bagi kanak-kanak berumur 5 tahun ke atas, ubat Lactulose 3.1-3.7g/5ml oral solution diberikan 5-10 ml dua kali sehari.
Manakala bayi yang kurang setahun, sebaiknya bawa jumpa doktor untuk buat pemeriksaan dan pemberian dos yang lebih tepat.
Kongsikan pada mak ayah lain dan keluarga tips ini supaya lebih ramai yang tahu untuk elakkan anak sembelit.
MW: Ingat, anak kecil yang alami masalah ini, jangan terus bagi ubat, cuba dulu apa yang doktor sarankan. Jangan lupa, perhatikan juga anak kecil tentang ‘pembuangan’ dia.
Sumber: Dr. Ahmad Samhan
-Doktor Kecemasan Anda-
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita