Penghujung September lalu, penyanyi Nourul Wahab berkongsi berita, hamil anak keempat. Ibu kepada Ayu Nazirah, 20, Zachary, 5 dan Raphael, 3 ini berkongsi perasaan teruja untuk kehamilannya pada usia 41 ini.
Katanya, “Terkesima tak tahu nak kata apa. Betapa besarnya kuasa Allah. Anak ke-4 pun dok rasa excited sama macam anak first.”
Nourul atau nama sebenarnya, Noorulhuda Abdul Wahab mendirikan rumah tangga dengan lelaki Perancis, Eric Daniel Depp pada tahun 2012.
Akhirnya Nourul memutuskan untuk berkongsi gambar scan bayi dalam kandungannya untuk tatapan peminat.
“Saya decided untuk kongsikan Rahmat Allah ini dengan semua.”
“Nanti bilik bersalin je lah tak boleh masuk ya. Tak boleh tengok. Kalau kita orang putih pun, tak boleh tengok yang kena censored. Tak elok sangat aih kan na.”
Doakan Yang Keempat Ini Bayi Perempuan Dan Semanis Ayu
Dalam pada berkongsi itu, Nourul sempat menitipkan ingatan agar mendoakannya mendapat anak perempuan.
“Doakan yang ini semanis @ayu_ace doakan juga ianya seorang perempuan. Andai itu yang terbaik buat kami, mohon Allah izinkan. Tapi jika sebaliknya pun, tak apa.”
Ads
“Niat di hati kalau perempuan nak namakan Isabella sebab minat dengan Amy Search.”
“Kalau lelaki, haaaa kena bukak buku nama lah nampaknya hahahaa. Tak prepare!.”
“Hanya Allah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat semua hambaNya.”
Ini Saya Buat Bila Mengandung Usia 41 – Nourul Wahab
“Ramai pula yang bertanya bagaimana saya mengandung pada usia 41 tahun.” Ada juga yang memohon kepada Nourul agar mendoakan mereka mendapat zuriat.
Ads
“Semenjak saya mengandung, jika ada kelapangan dan hari yang kurang sibuk, memang itu yang saya buat. Saya mohon pada Allah andai itu yang terbaik buat semua wanita yang mahu kan zuriat; berikanlah mereka rahmat serta makbulkanlah doa doa mereka.”
“Kita usaha dan berdoa. Hanya Allah maha mengetahui. Saya moden, saya open tapi saya tetap berpegang pada yang satu. Ingat, Allah maha mengetahui apa yang terbaik buat kita.”
Makin Berseri Sejak Hamil Kali Ke-4
Dalam usia 40-an dan hamil, Nourul kelihatan berseri-seri malah cergas sentiasa. Nourul juga rajim membuat senaman kecergasan yang sesuai dengan kehamilannya.
Ads
“Apa yang saya lakukan untuk menjaga kesihatan saya, semua dah tahu. Dah 8 tahun saya war war kan. Semuanya dengan Herbalife nutrition tetapi herbalife bukanlah ubat. Dan bukan untuk mengubati.”
“Tetapi nutrisi itu membantu sel sel badan dan juga menguatkan sistem badan. Bukankah sel badan dicipta dengan menggunakan protein? Haaa kena tahu tu. Nak maintain badan bukan dengan chemical atau ubat. Tetapi NUTRISI.”
“Ini yang saya pegang dari dulu. Dari sekolah semenjak belajar apa itu nutrien untuk badan.”
Nutrisi bantu kita untuk lebih sihat. Melambatkan penuaan dan mencergas kan tubuh badan.
Kalau dah rezeki tidak ke mana.Rezeki tidak pernah tersalah alamat.Bertuah penyanyi dari seberang ini, meraikan kegembiraan berganda pada bulan kelahirannya baru-baru ini.
Penyanyi Indonesia, Rosa Roslaina Handiyani, 40, atau Rossa yang menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) menyifatkan penganugerahan itu sebagai hadiah terindah sempena ulang tahun kelahirannya pada 9 Oktober lalu.
Penyanyi itu antara 19 penerima darjah SSAP yang membawa gelaran Dato Sri dalam Istiadat Majlis Pengurniaan Pingat dan dan Darjah Kebesaran sempena Istiadat Memuliakan Ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, semalam.
Beliau berkata, penganugerahan pingat itu akan menjadi pemangkin dalam karier seninya di industri muzik serantau.
“Mungkin 2018 adalah tahun bertuah saya, bulan lalu saya menerima Anugerah Khas dalam Anugerah Planet Muzik (APM2018) dan pingat ini adalah hadiah hari lahir terbaik serta satu penghargaan yang tidak terhingga sepanjang 21 tahun berkecimpung dalam industri seni.
“Penganugerahan ini juga memberi saya tanggungjawab yang lebih besar dalam memartabatkan lagi arena muzik serantau kerana industri muzik Malaysia dan Indonesia saling mendukung antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata, buat masa ini beliau masih mempromosikan albumnya ‘A New Chapter’ dan lagu duet terbaru bersama D’Masiv, Bukan Maksudku.
Rossa berasal dari Sumedang, Indonesia mula aktif dalam bidang nyanyian pada 1995 dan menempa nama di negara ini dengan lagu-lagu seperti ‘Atas Nama Cinta’, ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Hati Yang Kau Sakiti’ dan ‘Aku Bukanlah Untukmu’.
Pada istiadat itu, seramai 76 individu menerima pingat dan darjah kebesaran dalam majlis yang berlangsung di Istana Abu Bakar.Daripada jumlah itu, seramai 19 individu dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) membawa gelaran Dato Seri.Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Sementara itu, didalam Instagram penyanyi ini, Rossa berkongsi rasa bangga sebagai orang Indonesia yang dianugerahkan dengan darjah kebesaran Dato Seri tersebut, serta mengharapkan agar persaudaraan antara dua negara (Malaysia dan Indonesia) selalu kukuh dan erat.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat Dato Sri Rossa atas penganugerahan yang diterima.Semoga kerjasama industri muzik Malaysia dan Indonesia yang terjalin semakin erat dan berjaya.
Kemesraan Datin Hajah Nor Fouziah Mohd Gous dan suaminya Dato’ Haji Md Zhafran Md Yusof memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Sejak mendirikan rumah tangga lebih kurang lima tahun lalu, pasangan dikenali ramai telah dikurniakan dua orang cahaya mata comel yang diberi nama Muhammad Zeeshan dan Zaheen Yusuf bin Md Zhafran.
Melihatkan kebahagiaan pasangan ini, sudah pasti ada yang mencemburui mereka. Kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga itu semuanya bergantung pada setiap pasangan suami isteri. Bagi Fouziah, dia mempunyai cara tersendiri untuk menyemai kebahagiaan dalam rumah tangga. Mungkin apa yang dilakukan ini boleh diikuti oleh pasangan lain.
“Bagi saya yang paling penting adalah komunikasi. Kita kena selalu berkomunikasi dan percaya satu sama lain. Kalau kita percaya, Insya-Allah semuanya akan tenang dan bahagia. Sentiasalah berkomunikasi.
“Saya bagi contoh di sini. Apa yang saya buat, sebelum tidur biasanya saya akan bertanya pada suami apakah yang akan dibuatnya pada keesokan hari. Suami akan memberitahu apa yang akan dibuatnya esok. Jadi saya akan ikut waktu yang diberitahu oleh suami. Kalau urusan yang dibuatnya itu memerlukan masa yang lama, sambil menunggu dia habis kerja, barulah saya akan buat apa yang patut di pejabat. Jadi apabila dia balik ke rumah, saya telah ada di rumah menunggunya,” ujar Fouziah membuka bicara.
Ternyata berkomunikasi itu amat penting dalam perhubungan suami-isteri. Fouziah juga menjelaskan seorang isteri itu perlu juga memberitahu apa yang akan dibuatnya pada keesokan hari pada suami masing-masing.
“Selain itu kita juga sentiasa perlu ada ‘give and take’. Bersyukurlah dengan apa sahaja yang kita ada. Insya-Allah setiap benda walaupun kecil, rasa bahagia dan tenang itu akan datang secara semula jadi,” kongsi Fouziah tentang kebahagiaan rumah tangganya.
Pada musim haji tahun ini, Fouziah dan suaminya telah mendapat panggilan Allah untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Sebaik selesai mengerjakan haji, perubahan paling besar dalam hidup mereka adalah gelaran haji dan hajah yang disandang.
Gelaran haji dan hajah adalah panggilan yang amat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Adakah status hajah itu telah mengubah penampilan dan perwatakan diri Fouziah?
Jelas Fouziah, status hajah yang diperoleh itu bukan sesuatu yang mudah. Dia perlu melalui satu saat yang mencabar dalam hidupnya sebelum berjaya memperolehnya.
“Seperti mana yang umum tahu, saya tinggalkan anak saya yang dimasukkan ke dalam ICU dan sebagainya demi mengejar status hajah sebagai hamba Allah.
“Hanya Allah sahaja yang mampu memberikan status itu dan kita pula perlu menunaikan apa kehendak Allah. Jadi bila saya bawa status itu saya rasa bangga. sebab Allah memberi peluang kepada saya.
“Walaupun saya ini serba kekurangan tetapi sekurang-kurangnya saya dapat tip. Maksudnya Allah terima perjalanan saya. Seburuk-buruk kita, hanya Allah yang mampu menghakimi kita. Allah sahaja yang mampu hukum saya dan sebagainya.
“Jadi bila Allah melepaskan saya walaupun dengan dugaan untuk bergelar hajah itu, saya rasa sangat bersyukur, amat berterima kasih. Antara ramai manusia di dunia ini, akhirnya saya antara manusia yang dapat menunaikan haji. Saya juga rasa lebih bersemangat bila sudah bergelar hajah,” ulasnya lagi.
Bergelar hajah juga membuatkan semangatnya untuk bekerja lebih tinggi.
“Bergelar hajah ini semangatnya rasa lain macam sikit. Semangat hendak bekerja pun lain. Semangat untuk setiap benda yang saya lakukan itu adalah kerana Allah dan saya rasa apabila sudah hajah ini saya kena ubah banyak perkara,” katanya.
Perubahan selepas balik mengerjakan haji sudah pasti akan berlaku pada sesiapa sahaja. Fouziah mengakui dirinya tidak terkecuali. Perubahan utama yang dilakukannya adalah dengan mengenakan hijab.
Perubahan penampilan yang jelas kelihatan itu semua orang nampak. Namun bagi Fouziah perubahan dilakukan pada dirinya bukan sahaja dari segi luaran tetapi juga dalaman.
“Ketenangan yang Allah berikan itu sangat berbeza. Pengalaman menunaikan haji banyak mengajar saya. Saya dapat merasakan diri kita ini sekecil-kecilnya manusia sehinggakan saya rasa diri kita ini sudah sampai ke tanah. Saya rasa serendah-rendahnya diri ini dan dapat belajar semasa menunaikan haji.
“Saya dapat rasakan betapa hinanya kita ini manusia yang tidak layak sebab semuanya kuasa Allah. Kita ada duit atau apa sekalipun,semuanya itu sudah tidak bermakna. Bila saya tersangkut di Filipina, hati saya tidak tenang sebab tidak sampai lagi ke rumah Allah,” ujarnya.
Tambahnya lagi, untuk mendekatkan diri dengan Allah itu tidak semudah yang disangka. Hanya di tanah suci sahaja dia mampu merasakannya.
“Maknanya kuasa Allah itu atau apa yang kita hendak capai dan mendekatkan diri dengan Allah itu, tidak mudah. Kita dapat meletakkan diri kita serendah-rendah untuk Allah terima kita, benda itu sebenarnya mengajar kita apabila kita balik, kita rasa bersyukur, rasa rendah diri.
“Maksud saya, bila kita balik, semua yang kita lalui, contohnya stres atau kerja itu tidak ada apa-apa pun. Dugaan dan apa sahaja yang Allah telah latih kita semasa menunaikan haji itu telah menjadikan kita seorang yang lebih tenang dan lebih bersyukur, sentiasa ingat pada Allah.
“Mulut dan hati kita sentiasa rasa berzikir bila ada waktu yang terluang walaupun kita duduk di khalayak ramai. Macam itulah yang saya rasa. Begitu juga selepas balik menunaikan haji, hati hati kita macam mencari peluang sahaja. Itulah perubahan yang dapat saya rasa,” cerita Fouziah lagi.
Setiap suami mengharapkan yang terbaik buat isteri mereka. Begitu juga dengan Zhafran apabila isterinya mengambil keputusan untuk bertudung.
“Semua suami mesti suka bila isteri bertudung. Bertudung ini bukan tuntutan suami tetapi tuntutan agama. Tetapi dia pernah berkongsi dengan saya yang dia berhasrat untuk memakai tudung. Saya tidak paksa biarlah itu datang daripada dirinya sendiri.
“Saya sebagai suami pula permulaannya harus memberitahu dan selepas itu disusuli dengan doa. Kita tidak boleh hendak paksa dia. Saya berdoa agar keputusan ini berterusan. Harap isteri istiqamah dengan keputusannya,” ujar Zhafran berkenaan hijrah isteri tersayang.
Pada akhir tahun ini sudah pasti destinasi percutian dalam dan luar negara menjadi tumpuan ramai. Bercerita berkenaan cuti, Fouziah dan suaminya satu kepala.
“Bercuti bersama suami selepas berkahwin ada. Saya dan suami satu kepala. Selalunya kami tengok satu tempat dan akan merancang hendak pergi ke mana. Kalau ke tempat shopping memang seronok sebab dia juga suka shopping. Jadi sama-sama berbincang dan membeli. Itu yang paling best. Biasalah pada usia muda ini, hendak berbelanja pun sama-sama berkira. Bila usia sama-sama muda, orang kata ada banyak perasaan untuk lebih memahami satu sama lain. Susah senang kita bersama-sama.
“Tidak ada istilah goyang kaki. Bila berjalan kena sama-sama dan kena tahu berapa bajet. Walaupun suami saya jenis yang tidak kedekut dengan saya, tetapi saya tidak pernah mengambil kesempatan. Kami sama-sama merancang percutian itu.
“Selalunya semasa bercuti, aktiviti yang biasa kami lakukan adalah lepak dan minum kopi. Shopping pula hanya di tempat tertentu sahaja. Kebanyakan masa kami suka duduk, relaks, berbincang dengan tenang tanpa siapa-siapa mengganggu. Ini dapat mengeratkan lagi kemesaraan sebagai suami dan isteri. Bila berada di luar negara, kita akan lupa soal kerja sekejap. Pada masa itulah kita boleh berkongsi isi hati dengan pasangan. Selalunya begitulah apa yang kami buat ketika bercuti bersama,” jelas Fouziah.
Selain bercuti, aktiviti-aktiviti lain yang biasa dilakukan oleh pasangan sama cantik sama padan ini adalah melakukan senaman.
“Saya dan suami akan pergi ke gim untuk melakukan muay thai. Kami pergi berdua sahaja tanpa membawa anak bersama. Kalau pada hari minggu kami akan hantar anak dengan pembantu rumah ke taman permainan kanak-kanak sementara kami keluar minum kopi, lepak dan bercerita apa sahaja dalam fikiran kami terutamanya pasal kerja. Itu adalah aktiviti normal bagi kami berdua,” kongsi Fouziah lagi cara mereka menghabiskan masa berkualiti bersama sebagai pasangan.
Menurut Zhafran pula, bersama-sama menunaikan haji itu boleh dikatakan umpama percutian khas buat mereka berdua.
“Itu adalah salah satunya kami berdua ke luar negara tanpa anak-anak. Selama ini bila ke luar negara, mesti bawa anak-anak ataupun bersama keluarga. Melainkan saya ke luar negara atas urusan kerja.
“Masa kualiti bersama pasangan amat perlu kerana bila berdua, cara bercuti itu lebih fokus terhadap suami isteri dan perbincangan sesama kita. Kalau dengan anak-anak, fokus lebih pada mereka. Bila berdua saja, keintiman sesama kita akan berbeza,” luahnya.
Kebahagiaan dalam rumah tangga itu bukannya datang dengan mudah. Setiap pasangan suami isteri ada cara dan kaedah masing-masing. Bagi Fouziah, ibu kepada dua orang cahaya mata ini ada caranya tersendiri.
“Dalam memikat hati pasangan, sentiasalah buat surprise.Kejutan ini tidak bermakna kita kena buat majlis atau memerlukan belanja yang sangat besar. Tidak sama sekali. Contohnya, kadang-kadang pada waktu pagi, selepas kita sediakan sarapan, kita boleh tulis nota seperti I Love You Sayang atau Good Day. Kadang-kadang saya buat begitu.
“Ataupun kita boleh buat benda-benda kecil seperti hias makanan yang cantik atau bila dia balik ada nota atau apa sahaja yang suami kita suka. Kalau suami suka wangi-wangi, kita wangi-wangikan diri kita. Saya mungkin tidak buat setiap hari. Tetapi sekali-sekala kena ada kejutan sebegitu.
“Saya memang tidak sabar menunggu hari lahir atau hari ulang tahun perkahwinan sebab masa itu saya akan all out. Seboleh-bolehnya kalau hari lahir, saya akan merancang sesuatu untuk suami. Atau memberikan hadiah luar biasa ikut kemampuan masing-masing. Yang pasti, hadiah itu akan memberi impak yang besar kepadanya.
“Kalau boleh, cuba jadikan hari istimewa pasangan itu kenangan manis untuk dirinya. Jangan buat tak tahu saja. Tapi nak ambil hati pasangan bukan kena tunggu hari istimewa saja. Hari-hari biasa pun boleh, layan dia dengan baik dan tanya apa dia hendak. Sebenarnya benda-benda kecil itu mampu mengeratkan hubungan antara suam isteri.
“Kita kena ada juga masa bersama anak-anak. Hari minggu saya akan pastikan kami berempat akan luangkan masa bersama-sama. Itu juga cara saya memikat hati suami sebab suami saya ini tidak suka meminta-minta. Tetapi pada masa yang sama kita kena tahu mungkin mereka tidak minta tetapi kita kena buat sesuatu untuk gembirakan mereka,” luah Fouziah lagi.
“Kalau hendak buat surprise pada isteri bukan masa tertentu sahaja. Kita boleh buat benda itu pada bila-bila masa sahaja. Tidak perlu tunggu hari istimewa. Dalam menguruskan rumah tangga kita tidak perlu minta isteri sahaja yang buat. Suami juga perlu tolong. Kita perlu buat bersama-sama,” tambah Zhafran.
Dalam memastikan sikap romantis sentiasa ada dalam perhubungan yang dipupuk, apa yang dilakukan oleh Fouziah adalah sentiasa mengucapkan kata-kata manis dan menghormati suami.
“Jika boleh, berikan sesuatu hadiah yang menarik. Hadiah tidak semestinya mewah. Contohnya hidangkan makan malam untuk suami, siap dengan lilin. Tidak salah buat romantik sebegitu.
“Kalau malas masak di rumah, bawa suami ke luar. Jangan asyik suami sahaja bawa kita keluar kan? Kadang-kadang saya yang rancang dan ajak suami keluar makan malam bersama-sama. Ketika itu saya juga akan bersiap dan pakai baju cantik.
“Itu cara saya. Bagi saya kita sentiasa kena romantik dengan suami kita. Walau pun bukan setiap hari, tapi sekali sekala apa salahnya. Saya tahu saya pun selalu sibuk bekerja. Suami pun sama. Tetapi macam mana pun sibuk, kita perlukan masa bersama suami tanpa anak-anak kerana itulah waktu kualiti bersama suami,” kata Fouziah.
Ujar Zaffran pula, cara membahagiakan isteri itu segala-galanya perlu rujuk semula bagaimana Rasulullah s.a.w membahagiakan isteri baginda.
“Kita amalkan apa yang Rasullullah s.a.w buat, Insya-Allah kita akan bahagia. Rasullullah s.a.w banyak mengajar kita dari segi menjaga hal rumah tangga. Rasullullah s.a.w juga telah menunjukkan yang terbaik dari segi kasih sayang, tanggungjawab dan dari segi mentadbir dan menjaga anak-anak dan segala-galanya,” katanya.
******
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh Datin Hajah Nor Fouziah Mohd Gous dan suaminya Dato’ Haji Md Zhafran Md Yusof . Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu November, Volume 1 ini.
Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!
Penulis: Julie Roshana Akma bt Shafee
Foto: Jazlan Nangar
Penata konsep: Norazlina Alias
Pereka : Musnida
Solekan: Chomel
Stylist Tudung: Nik Farideh
Busana Datin Fouziah : Syomir Izwa Gupta, 282 Lorong Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur.
Busana Dato’ Haji Md Zhafran : Kemeja Maroon daripada Pull and Bear, Pavilion, KL / Kemeja biru daripada koleksi peribadi
Tudung: Al-Humaira Contemporary, 8A, Jalan Plumbum P7/P, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Allahu.Sebak sungguh rasa hati bila membaca berita sebegini.Perumpamaan bagaikan haruan makan anak! Seorang ayah, sepatutnya bertanggungjawab melindungi, tetapi tergamaknya menghancurkan masa depan anak sendiri yang masih kecil.Anak-anak yang baru mengenal dunia, berusia setahun, tiga dan 5 tahun!
Bernafsu iblis atau bagaimana?
Memetik laporan berita tempatan, seorang ayah tergamak mencabul tiga anak perempuannya yang berusia setahun, tiga dan lima tahun sejak tahun lalu.Hasil pemeriksaan doktor pakar mendapati terdapat kesan koyakan lama pada bahagian sulit ketiga-tiga mangsa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 32 tahun yang juga ibu kepada tiga beradik berkenaan.
“Pengadu yang bekerja sebagai pegawai pemasaran mendakwa tiga anak perempuannya yang berusia setahun, tiga dan lima tahun dicabul dan dirogol suaminya sendiri, lelaki berusia 32 tahun di rumah mereka di Semenyih, Kajang.
“Hasil siasatan awal oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kajang mendapati, pada 26 Oktober lalu, wanita berkenaan dimaklumkan ibunya bahawa anak perempuannya yang berusia tiga tahun mengadu dicabul suspek.
Beliau berkata, dalam masa sama, anak perempuan yang berusia lima tahun (mangsa kedua) juga memberitahu pernah diperlakukan perkara sama oleh suspek selain turut memberitahu pernah nampak suspek melakukan perkara sama kepada adik bongsu mereka yang berumur setahun (mangsa ketiga).
“Siasatan juga mendapati, mangsa pertama pernah memberitahu neneknya bahawa kemaluannya sakit akibat ‘dicucuk’ suspek pada 2017, namun ketika itu tiada siapa yang mempercayai aduan mangsa.
“Ketika itu ibu mangsa membawa anak perempuannya untuk membuat pemeriksaan doktor di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), namun doktor menyatakan tiada sebarang kesan mencurigakan,” katanya.
Menurut beliau, ketiga-tiga mangsa dirujuk ke Hospital Kajang pada 24 Oktober lalu untuk menjalani pemeriksaan lanjut sebelum dimasukkan ke wad dan hasil pemeriksaan doktor pakar obstetrik dan ginekologi mendapati terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan ketiga-tiga mangsa selain pemeriksaan oleh doktor pakar pembedahan mendapati tiada kecederaan pada bahagian dubur.
“Susulan itu, tangkapan ke atas suspek dibuat pada 11.45 pagi 25 Oktober lalu di tempat kerjanya di Sungai Long, di sini. Suspek ditahan dan dibawa ke Mahkamah Kajang pada 26 Oktober untuk mendapatkan permohonan reman daripada Majistret.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 376(b) Kanun Keseksaan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dengan cadangan suspek dituduh dibawah seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 2017,” katanya.
Mingguan Wanita mengharapkan semoga si ayah durjana ini mendapat pembalasan yang setimpal dengan perlakuannya. Tak dapat dibayangkan bagaimana perasaan adik beradik ini yang pastinya mengalami pengalaman pahit dan trauma seumur hidup.
Buat wanita yang bergelar ibu, nenek, makcik, jangan pandang remah dan mohon ambil peduli dengan segala aduan anak-anak. Ajarkan mereka bahagian-bahagian sensitif yang tidak boleh disentuh walaupun oleh ahli keluarga sendiri.
Dua beradik pelajar vokasional maut langgar MPV rosak di Lebuhraya PLUS Sungai Petani menghala ke Bertam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi, Teroi, kira-kira jam 3 petang hari ini.