Sebelum mengakhiri Mingguan Wanita Talkshow hari ini, pengacara dan pelako, Siti Elizad Mohamad Sharifuddin berkongsi hasrat hati, mohon para penonton rancangan bual bicara kewanitaan ini mendoakan dirinya agar memperolehi zuriat.
“Tolong doakan saya sekurang-kurangnya mendapat satu zuriat,” luah Siti Elizad, 36 sebak dengan air mata yang tertahan. Maklumnya lagi, esok dia akan menjalani prosedur rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF), iaitu yang memberi peluang pada suami dan isteri memperoleh cahayamata.
Sebelum ini, Siti Elizad pernah menjalani pembedahan membuang ovari sebelah kiri.
“Saya pernah buat pembedahan sista dua kali. Pernah juga menjalani pembedahan membuang ovari sebelah kiri dan sekarang ada sebelah saja.”
“Sebab itu tahun ini kalau boleh nak sangat mengandung dan berdoa Allah makbulkan doa saya. Keturunan keluarga saya semua kanser. Jadi, setiap kali sakit di bahagian pangkal rahim saya risau.”
Akuinya, sambil memaklumkan akan melakukan rawatan IVF dalam tahun ini juga.
Maklum Siti Elizad lagi, sista yang ada dalam badannya jenis yang aktif. “Sebelum doktor buang lagi sebelah, saya berharap Allah bagi saya seorang cahaya mata.”
“Dapat seorang pun ia satu rahmat buat saya.” luahnya pula dalam program Curhat yang ditayangkan di saluran Astro Prima tak lama dulu.
Siti Elizad tidak pernah berputus asa untuk mencuba memperoleh cahayamata selepas lima tahun berkahwin dengan suami, Shamsul Baharin Rahman.
Dirinya, seakan sudah lall dengan persoalan anak. “Kadang bukan keluarga atau pasangan, tapi apabila orang sekeliling dan netizen cakap saya tak berdia dan beria dalam soal ini, saya sedih.”
“Saya tak pernah tunjuk sebab saya jenis ‘happy go lucky.’. Apabila orang membandingkan suami saya yang sudah ada dua anak daripada perkahwinan sebelum ini dan saya tak ada zuriat, tentu saya sedih.”
Apabila orang sering bertanya akan persoalan anak, dia sendiri tiada jawapan. Kerana dia bukannya tuhan untuk menentukan segalanya. Cuma harapannya, tuhan memberikan dia anak, sekurang-kurangnya seorang cahaya mata.
“Saya bukan wanita sempurna. Walaupun dari segi luaran dia nampak saya seorang yang ceria, tapi andai kata saya tak mampu berikan dia zuriat, saya minta maaf
.”Siti Elizad juga memaklumkan yang hari ini merupakan hari terakhir untuknya mengacarakan rancangan bual bicaran Mingguan Wanita Talkshow untuk musim ini. Dan tempatnya akan digantikan dengan hos yang lain.
MW : Semoga Siti Elizad dikurniakan cahayamata yang begitu dirindukan selama ini.
Sumber/Foto : MWTalkshow, Harian Metro