
Isi Kandungan
ToggleAlangkah deritanya hati apabila terpaksa hidup dengan pasangan yang keras kepala, panas baran. Kata-katanya kasar, jarang sekali nak memuji apatah lagi menenangkan.
Wahai isteri, apa kata amalkan doa yang sangat baik yang dikongsikan Ustaz Farid Rashidi ini. Bukan saja dapat melembutkan hati pasangan, malah dilimpahi rezeki yang banyak.
Doa Melembutkan Hati Pasangan, Rezeki Melimpah
“Macam mana nak lembutkan hati suami, dia baran dan selalu bersikap kasar sangat. Kadang-kadang tangan naik sekali. Saya sedih betul.” Luah si isteri.
Ini yang selalu berlaku. Pernah juga saya dapat soalan begini. Termenung panjang nak menjawab. Rasa bercampur baur.
“Ada tak doa untuk lembutkan hati keluarga sendiri? Doa yang bagi terbuka hati untuk berubah ke arah kebaikan. Kadang sedih sangat ahli keluarga sendiri tak solat, tak puasa…”
Soalan begini pun selalu ditanya. Saya faham situasi yang dialami, sememangnya suami atau isteri akan tertekan dan susah hati bila pasangannya begitu.
Walaupun hensem, harta berjuta sekalipun kalau perangai buruk, panas baran, kaki pukul apalagi derhaka pada Allah SWT dan gemarkan maksiat, mestilah si isteri akan gusar hati bukan?
Begitu juga kalau anak-anak degil dan keras hati, sudah tentu ibu bapa akan runsing.
Ini Doanya Yang Diambil Dari Al Quran
Sebenarnya banyak doa yang sangat baik diamalkan. Khususnya yang diambil dari ayat al-Quran. Al-Quran itukan Kalamullah, di dalamnya terkandung penawar.
Antaranya firman Allah SWT:
اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ
“Allah Maha lembut terhadap hamba-hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada yang di kehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
[Surah Asy-Syura: 19]
Juga dari firman Allah SWT:
طه.
مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ.
إِلَّا تَذْكِرَةً لِمَنْ يَخْشَىٰ.
تَنْزِيلًا مِمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى.
الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ.
“Taa’ Haa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.”
[Surah Taha: 1-5]
Bacalah dan niatkan agar Allah SWT lembutkan si dia. Semoga Allah SWT memakbulkan doa yang baik-baik itu. Insya-Allah, biiznillah.
Bantu share untuk manfaat semua ya.
#UFR
MW : Semoga kita konsisten mengamalkannya, dan menjadi asbab dimakbulkan doa setiap pasangan rumah tangga yang berdepan kesulitan pasangan panas baran.
Baca sini : Suami isteri saling tak berkira, punca rezeki rumah tangga makin lebat
Sumber/Foto : Farid Rashidi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Kalau Pergi Rumah Orang, Tapis Sikit Mulut Kita Tu!”

Isi Kandungan
ToggleJaga hati dan mulut kalau pergi ke rumah orang sebab cara orang tak akan sama dengan cara kita. Terutama bab mengemas dan menjaga anak.
Agak rasa mata tak sedap memandang, simpan dalam hati. Jangan balik rumah terus canang pada orang luar. Buruk sangat perangai tu nanti.
Bak kata Puan Farizal Radzali, kita tak akan pernah tahu apa masalah orang itu selagi kita tak duduk dalam kasutnya.
Adab KAlau Pergi Ke Rumah Orang
Kita ni, kalau pergi ke rumah orang, mata tu tapis sikit, mulut tu jaga sikit.
Bila nampak rumah orang berselerak, jangan cebikkan bibir, mana kita tau dia dah kemas banyak kali tapi anaknya masih selerakkan.
Bila nampak rumah orang tak berkilat ‘menghelip’ macam rumah kita, jangan jeling semacam, mana kita tau dia tak sempat sebab anaknya ramai dan suaminya tak membantu kerja rumahnya.
Bila nampak anak orang tak terurus kat rumah sendiri, jangan suka-suka nak perli, mana kita tahu maknya tak sihat dah berapa hari.
Bila nampak isteri bercakap nada tinggi kat suaminya, jangan terus menghukum isteri itu jahat suami itu dayus, mana kita tau itu cara mereka sejak berkahwin berbelas tahun yang lalu.
Bila nampak suami buat kerja rumah, jangan kata suami takut isteri, mana kita tahu itu memang rutin dalam rumahtangga mereka.
Bila nampak semua yang buruk di rumah orang, jangan terus bandingkan dengan rumah kita.
Kita Tak Akan Pernah Tahu
Mana kita tahu, orang yang rumahnya tak sekemas rumah kita, tapi dia rajin memasak berbanding kita.
Mana kita tahu, suami dia tak serajin suami kita membantu kita, mungkin anak dia lebih ramai dari anak kita. Anak kita 1 anak dia 5, lepas tu nak bandingkan rumah kita lebih kemas.
Jangan cepat kata orang pemalas kita rajin, mana kita tahu rumah dia buruk tapi hati dia cantik.
Rasulullah saw, bila dia memberi salam mahupun memanggil orang di rumah orang lain, baginda akan berdiri di tepi dinding, bukan di tengah pintu yang akan dibuka oleh tuan rumah. Dengan cara itu, baginda takkan terus nampak keadaan dalam rumah orang tu setelah pintu dibuka.
Lagi, andai terlihat orang lain yang dirundung masalah, jangan terus ajar dia untuk ikut cakap kita.
“Dah tau laki tu jahat, kawin buat apa?”
“Kalau aku la, aku terus minta fasakh”
“Kalau aku, aku tak buat macam kau”
… Kalau aku…. Kalau aku…. Itu kalau kita.
Gaya Hidup Tak Sama
Cara hidup kita, keluarga kita, cara membesar kita, hati kita, segalanya, konfem ke sama dengan dia? Kita tak duduk kat tempat dia. Jadi jangan kata ‘kalau aku’ sebab sekarang ni bukan pasal kita tapi pasal dia.
Setiap kehidupan ada cerita yang berlainan. Jangan sesekali bandingkan kehidupan orang dengan kita. Mungkin dia kurang di satu bahagiann tapi dia lebih dia satu bahagian lain. Begitu juga kita. Tak ada yang sempurna. Selagi mereka bahagia, biarkan. Tak perlu canang ke seluruh kampung pasal keluarga orang lain. Kita nampak sama tapi sebenarnya tak serupa.
MANA KITA TAU.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
4 Waktu Paling Sesuai, Berkesan Nasihat Anak Sampai Terus Ke Hati!

Isi Kandungan
TogglePernah tak, setiap nasihat yang diberikan buat anak ibarat mencurah air ke daun keladi.Masuk telinga kanan keluar telinga kiri.Rupanya nak nasihatkan anak dengan berkesan ada waktunya yang paling sesuai. Barulah nasihat yang diberikan berkesan dan sampai terus ke lubuk hati hati anak-anak.
Jemput baca perkongsian Puan Noor Afidah Abu Bakar dari Parent Connect Consultancy ini sebagai panduan;
“Mama tak marah! Mama cuma nasihat!”
Itulah skrip biasa yang sering kita dengar atau kita sendiri yang sebut dengan suara tinggi ketika mendepani kerenah anak.
Selalunya waktu anak pecahkan pinggan, anak sepahkan mainan, anak bangun lewat, anak melawan cakap, anak khusyuk bermain ‘game’, anak berkelahi, anak berlama-lama dalam bilik air, anak buang masa, anak malas, anak degil, anak protes dan sebagainya, itulah juga waktunya kita hendak memberi ‘tazkirah’ kepada anak.
Niat memberi nasihat itu akhirnya bertukar menjadi bebelan, menjadi ugutan, keluar ungkapan tidak enak, dan lebih parah lagi menjadi episod jawab menjawab dengan anak.Nasihat akhirnya menjadi ungkapan kosong masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Buang masa dan buang tenaga.
Nasihat harus sampai ke hati terlebih dahulu, barulah otak akan mula berfungsi untuk memikirkan kesan dan akibat sesuatu perbuatan.
Anak tidak akan dapat menerima nasihat pada bila-bila masa. Ada waktunya keadaan fizikal, mental dan emosi anak tidak bersedia untuk menerima nasihat ataupun terlalu terbeban dengan perkara lain walaupun kita bersemangat memberi nasihat.
BILAKAH WAKTU YANG SESUAI MENASIHATI ANAK?
Dr. Muhammad Abdul Hafizh Suwaid dalam buku Prophetic Parenting mencadangkan 3 waktu yang paling efektif dan paling sesuai untuk menasihati anak. Satu lagi adalah cadangan saya sendiri berdasarkan pengalaman dan pengetahuan.
4 waktunya adalah:
1. Waktu Makan
Sekurang-kurangnya sekali sehari duduklah bersama-sama menikmati hidangan sekeluarga di meja makan. Inilah masanya kita mendengar cerita anak-anak tentang hari yang dilalui mereka. Inilah waktunya mereka akan meminta dan memerlukan nasihat secara langsung atau secara tidak langsung. Ketika kita mendengar dan bercerita, selitkanlah nasihat dan panduan sebagai pedoman untuk anak-anak.
Inilah juga masanya kita menerapkan adab dalam diri anak. Adab makan, adab mengambil makanan, adab menyuap makanan, adab berdoa, adab bersyukur dengan rezeki yang berada di depan mata, adab berbicara dan adab mendengar.
Waktu makan adalah waktu santai. Kata orang, kenyang perut senang hati. Apabila hati senang, nasihat dan panduan pun mudah sampai ke dasar hati.
Oleh sebab inilah adalah merugikan sekiranya waktu makan dijadikan waktu untuk anak melayan gajet atau sambil menonton televisyen. Jika kita terlepas peluang untuk memberi nasihat pada waktu ini kerana gajet, mungkin kita juga akan terlepas peluang pada waktu lain.
Jadikanlah waktu makan waktu yang berkualiti untuk keluarga.
2. Waktu Dalam Perjalanan
Kehidupan moden adalah kehidupan yang terkejar-kejar. Keluar rumah awal pagi, pulang ke rumah setelah tiada matahari. Beruntunglah mereka yang boleh bekerja masa fleksi.
Sebenarnya waktu yang singkat dan terkejar-kejar menghantar dan mengambil anak dari sekolah merupakan waktu yang efektif untuk menasihati anak. Nasihat tidak semestinya panjang lebar. Nasihat yang ringkas dan padat lebih mudah dihadam berbanding nasihat yang penuh berfalsafah.
Dalam perjalanan ke sekolah nasihatilah anak tentang adab dan akhlak bersama guru, bersama rakan-rakan dan juga terhadap orang sekeliling. Nasihat anak supaya gigih berusaha. Sesuatu insiden atau kejadian di luar kenderaan juga boleh dijadikan modal untuk menasihati anak, supaya anak peka dan cakna dengan keadaan sekeliling.
Di samping bersantai mendengar lagu-lagu di radio, pilihlah juga saluran radio yang bermanfaat, yang boleh dijadikan modal perbincangan bagi menjana minda anak-anak.
Seperti bait lirik nasyid oleh kumpulan Raihan
“Berhibur tiada salahnya kerna hiburan itu indah
Hanya pabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah”
Ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah pula, dengarlah cerita anak tentang sekolah, tentang guru, tentang rakan-rakan anak dan juga tentang tugasan sekolah agar kita faham dan terlibat dengan persekolahan anak. Apabila kita mendengar dan faham, anak akan lebih terbuka untuk bercerita dan kita juga lebih berpeluang untuk memberi nasihat.
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmidhi pernah menyebut bahawa Rasulullah SAW memberi nasihat kepada Ibnu Abbas yang berusia belasan tahun ketika itu secara santai ketika Ibn Abbas menunggang unta (kenderaan) di belakang Rasulullah SAW. Nasihat Baginda, “Jagalah agama Allah, nescaya Allah menjagamu”
3. Waktu Main Bersama
Kita biasa mendengar, bermainlah dengan anak ketika berusia 0-7 tahun dan disiplinkanlah anak ketika berusia 7-14 tahun. Kedua-dua fasa itu berkaitan. Bermain dengan anak ketika usia awal akan mempermudahkan kita untuk mendisiplinkan anak kemudiannya.
Bermain bersama-sama anak ketika mereka kecil, ketika membesar dan juga ketika remaja bukan hanya memberi manfaat kepada perkembangan fizikal anak, malah ia juga membentuk keperibadian positif anak.
Ibubapa yang terlibat adalah ibubapa yang peduli.
‘Involved parents are caring parents’.
Setiap permainan mempunyai peraturan dan strateginya. Setiap permainan mempunyai pemikiran dan emosinya. Inilah waktu yang terbaik untuk menasihati anak tentang asam garam kehidupan, tentang kawalan emosi, tentang interaksi sosial, dan tentang keperibadian dan tingkah laku.
Bermain ‘game’ bersama-sama dengan anak lebih bermanfaat berbanding membiarkan anak mengadap ‘game’ di skrin berseorangan. Apabila ‘bonding’ diwujudkan antara ibubapa dan anak ketika bermain bersama-sama, anak lebih terbuka untuk menerima sebarang nasihat mahupun teguran. Inilah yang memudahkan kita untuk mendisiplinkan anak.
4. Waktu Anak Sakit
Menurut Dr. Abdul Hafizh Suwaid, sakit dapat melunakkan hati orang dewasa yang keras apatah lagi hati anak-anak yang masih lembut dan lebih mudah menerima. Lumrahnya apabila sakit anak-anak menjadi lebih ‘clingy’ dan lebih inginkan belaian dan perhatian daripada ibubapa. Inilah peluangnya untuk kita berlembut menasihati anak secara ringan tanpa membebankan.
Bagi menggembirakan hati anak, kita boleh merancang dengan anak untuk melakukan sesuatu aktiviti apabila anak sihat kelak dan pada masa yang sama boleh diselitkan kata-kata nasihat buat anak. Pilihlah nasihat yang mudah diterima dan sesuai dengan keadaan anak.
Usahlah diberikan nasihat yang tidak sihat di kala anak sakit seperti
“Itulah tak dengar cakap Mama, kan dah sakit. Kalau dengar cakap taklah jadi macam ni.”
Ataupun
“Inilah balasan sebab berdosa dengan ayah semalam.”
Anak yang sakit bertambah nazak jadinya dengan kata-kata yang menghukum dan tidak berasas sedemikian.
Dalam buku ‘Prophetic Parenting’ ada diceritakan kisah Rasulullah SAW yang berdakwah kepada pembantu Baginda yang berbangsa Yahudi ketika Baginda SAW menziarahinya yang sedang sakit.
Begitulah antara waktu-waktu efektif untuk menasihati seorang anak.
Setiap anak menerima nasihat pada waktu yang berbeza-beza mengikut keperluan, keupayaan dan kematangan masing-masing. Carilah waktu yang sesuai untuk memberi nasihat agar nasihat itu meresap ke jiwa anak dan tidak menjadi seumpama menyimbah air ke daun keladi.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat buat mak ayah dalam mendidik dan menasihati anak-anak pada waktu yang paling berkesan.
Sumber: Parent Connect
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Buat 14 Perkara Ini Di Bulan Ramadhan, Boleh Batal Puasa Ke? Hadam Baik-baik Apa Yang Ustaz Kata

Isi Kandungan
ToggleSampai hari ini masih ada lagi yang belum jelas berkaitan perkara yang membatalkan puasa. Penjelasan yang dikongsikan oleh Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman, ini menerangkan 14 perkara yang membatalkan atau tidak puasa kita sekiranya dilakukan pada bulan Ramadhan.
Ujar Ustaz Dr Zaharuddin inilah persoalan yang sering ditanyakan oleh orang ramai. Moga ianya membantu anda.
RAMADHAN : BATALKAH PUASA KITA JIKA….
Isu perkara yang membatalkan puasa, tumpuan utama patut diberikan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.
Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.
Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramadhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-
1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar’ dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida’ dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)
2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja’ atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.
3) Pil elak haid untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.
4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :
Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.
Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.
Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh “
والأصل بقاء الشيء على ما هو عليه
Ertinya : Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya.
Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak. Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu’alam.
5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, ‘pain killer’ dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, airseperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar’iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.
6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : “Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
7) Melakukan maksiat seperti tidak solat
Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : “Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah” (Riwayat Ibn Hibban)
8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ
Ertinya : “Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya” (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)
Dan satu lagi adalah : –
فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام
Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-
“aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)” (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi’ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah “berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya ” (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.
9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-
من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له
Ertinya : “Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya” ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )
10) Keluar air mazi
Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?
Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai’e, Hasan albasri, As-Sya’bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar air mani tanpa setubuh
Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
12) Menelan air liur dan kahak
Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak makatidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak.
Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran.
Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.
13 ) Mandi
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?.
Jawabnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari).
Cuma puasa hanya boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.
14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)
Sumber/Foto : Dr. Zaharuddin Abd Rahman , india.com
Artikel Asal : http://www.zaharuddin.net/…/595-ramadhan-a-batalkah-puasa-k…
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI