Berat ujian buat kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin ini. Anak kecil ini dilaporkan dalam keadaan ‘teruk’ selepas diserang sawan berulang kali dalam tempoh tak sampai 12 jam.
Perkembangan terbaru itu dikongsikan bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak menerusi muat naik di laman Faceebok yang turut meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan anaknya itu.
Beliau menjelaskan, Ainul Mardhiah ketika ini kelihatan kaku selepas ditidurkan, selain hanya bola matanya sahaja yang dilihat mampu digerakkan.
Katanya, keadaan anaknya hari ini, kelihatan ‘teruk’ apabila mengalami empat hingga lima kali serangan sawan dalam tempoh kurang 12 jam, semalam, selain menjelaskan itu adalah kali pertama Ainul Mardhiah diserang sawan.
“Ainul (Mardhiah) nampak sangat berbeza sekarang. Ainul pernah banyak kali jatuh sakit sebelum ini, tetapi saya nampak dia masih bertenaga untuk melawan walaupun diberi ubat tidur.
“Hari ini, walaupun tanpa ada sebarang ubat tidur, keadaan Ainul sekarang seperti ditidurkan. Hanya bola mata saja Ainul mampu gerakkan. Badannya kaku.
“Saya menangis semahunya sejak serangan berlaku tengah malam tadi. Saya tak dapat nak gambarkan apa yang saya rasa sekarang. Saya sangat sayang dengan Ainul. Saya reda,” luahnya.
Ainul Mardhiah, empat, Rabu lalu, dilaporkan tidak lagi kritikal dan masih direhatkan serta memerlukan sokongan ventilator di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).
Perkembangan itu diterima selepas rawatan diberikan ke atas Ainul Mardhiah yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan agak tenat apabila menunjukkan simptom muntah dan cirit-birit, pada 1 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Ahmad Safiuddin mengakui, pihaknya ketika ini reda dengan sebarang ketentuan Allah SWT, walaupun masih berharap ada keajaiban akan berlaku ke atas nasib Ainul Mardhiah.
“Doktor masih berusaha merawatnya. Kita semua sudah mendoakan yang terbaik untuknya. Sekarang tiba masanya saya serahkan urusan ini kepada Allah SWT.
“Jauh di sudut hati, saya masih berharap keajaiban dan semoga Allah SWT izinkan Ainul kuat dan dipanjangkan usianya supaya saya dan keluarga masih dapat menjaga dan membesarkannya di depan mata.
“Tetapi apa lah daya saya. Doakan untuk Ainul Mardhiah kami,” katanya.
Sebelum ini, derita dialami Ainul Mardhiah mendapat perhatian banyak pihak termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantunya menjalani pembedahan di London, United Kingdom pada 2019.
Mesti Baca:‘Keadaan Semakin Baik, Belum Sedar, Ubat Tidur Masih Run..’ Terus Doakan Ainul Mardhiah
Baca Lagi Di Sini:‘Muntah, Cirit Birit, Ainul Dalam Keadaan Kritikal & Tenat, Doakan Dia’ Ibu Ainul Mardhiah
Mingguan Wanita: Di doakan semoga adik Ainul Mardhiah terus cekal dan kuat dalam menghadapi ujian sakit ini. Semoga diberikan kesembuhan dalam melawan penyakitnya dan dapat membesar seperti kanak-kanak lain.
Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.
Sumber: Bharian, Ahmad Safiuddin