Doa Mak Tiada Hijab, Nak Anak Berjaya Jangan Putus Berdoa

Share

Doa adalah pengikat kasih sayang antara mak ayah dan anak-anak. Lafaz yang tulus daripada lubuk hati seorang ibu, tiada hijab di sisi Yang Maha Esa.

Malah doa juga merupakan senjata ampuh bagi kaum muslimin. Doa petanda pengharapan yang tulus kepada Allah SWT. Sesungguhnya tiada yang berhak dan berupaya mengatur kehidupan kita dan melunaskan hajat kita selain daripada-Nya.

Usah Persiakan Peluang

Oleh yang demikian, ibu yang solehah pasti sentiasa bergantung penuh kepada-Nya dan berharap setulusnya kepada Yang Maha Pengkabulkan hajat. Maka usah abaikan kesempatan dan peluang yang diberikan oleh Allah ini, ia berada tepat di tangan kita untuk digunakan semahunya!

Rakan penjaga yang dihormati, walau apa sahaja keadaan yang sedang kita hadapi sekarang, duduk letaknya diri kita dalam seluruh sistem kehidupan ini harus kita fahami dan ketahui. Kedudukan sebagai hamba Allah harus diredai dan dihargai. Tiket sebagai hamba kepada empunya alam semesta adalah sebuah tiket yang amat berharga. Syaratnya adalah dengan penyerahan total kepada-Nya.

Lagi artikel menarik di sini:

Ujian Bertimpa, Makin Berusaha Makin Susah, Amalkan Doa GRED A Rasulullah SAW Baca

 Jadilah Orang Baik, Bila Tiada…Akan Dikenang Dalam DOA Orang Lain

Jangan lupa FOLLOW Mingguan Wanita di instagram

Pergantungan Kepada Allah

Semakin kita bergantung kepada-Nya maka makin diaturkan seluruh makhluk untuk membantu dan berkhidmat kepada kita. Perhatikan sahaja tabiat seorang anak kecil yang tidak bermaya, dia hanya mampu menangis untuk menghantar mesej kepada orang sekelilingnya.

Walaupun orang sekelilingnya tidak memahami mesej tersebut dengan jelas namun dengan kuasa Allah ada sahaja bantuan yang dibawa oleh orang tersebut bagi melunaskan hajat anak kecil tersebut. Begitulah yang bakal terjadi jika kita benar-benar berserah diri kepada Allah.

Rahmat Dan Belas Kasihan Allah

Dalam mendidik anak-anak, pengharapan ini harus diletakkan tinggi. Kita harus memahami bukan usaha kita yang menjadikan anak tersebut baik, soleh ataupun sebaliknya, malah rahmat dan belas kasihan daripada Allah yang menggerakkan semua perkara tersebut.

Justeru, usaha yang dijalankan harus diiringi sentiasa dengan doa yang tulus buat anak-anak. Lafazkan dengan setulusnya daripada lubuk hati yang penuh harap sepertimana doa ibu Musa as ketika menghanyutkan anaknya, sebagaimana pengharapan Nabi Yaakob ketika mengetahui kisah mudarat yang menimpa Nabi Yusuf as, semuanya diiringi dengan rasa pengharapan yang tinggi, reda dan sabar.

Kebahagiaan Di Akhirat Kunci Kejayaan Di Dunia

Selain itu, doa ibu dan ayah harus tahu tujuan asal kehadiran anak-anak di muka bumi dan impian utama yang perlu dicapai bagi setiap insan.

Insya-Allah, dengan mengetahui perkara ini, doa kita lebih terpandu malah hala tuju kehidupan anak-anak kita menjadi lebih terarah. Dengan kesedaran ini, ibu bapa meletakkan harapan kepada perkara yang harus diletakkan harapan bukan yang sebaliknya.

Kebahagiaan anak di akhirat adalah kunci untuk kejayaannya di dunia. Ini harus diutamakan. Kemudian, berusaha juga untuk menyediakan suasana persekitaran yang tepat bagi menyokong doa yang dipanjatkan. Doa yang kita panjatkan adalah kiriman daripada Allah, maksudnya Allah memang nak bagi kita cuma sebagai hamba, sunnatullah-Nya kita haruslah tunjukkan kesungguhan untuk mendapatkannya.

Doa Bukan Sekadar Lafaz

Doa bukan terhad kepada lafaz semata ia juga ditunjukkan melalui perbuatan dan usaha yang dipanggil lisanul hal. Sebagaimana usaha keras Siti Hajar berlari-lari mendaki dan menuruni Bukit Safa dan Marwah dengan penuh harapan bagi menghilangkan dahaga anakanda kesayangannya walaupun secara logiknya sukar untuk mendapatkan air di padang pasir.

Namun pengharapan yang tinggi ditambah dengan pameran usaha yang tidak putus maka Allah anugerahkan air yang barakah untuk mereka dan manfaatnya sehingga ke hari ini dapat kita rasakan bersama.

Yakin Dengan Doa

Oleh yang demikian, yakinlah dengan doa yang kita panjatkan, sabar menanti serta bersangka baik sentiasa kepada Allah SWT. Iringi doa tersebut dengan usaha yang selayaknya kemudian gantunglah pengharapan yang sebenar-benarnya hanya kepada Allah SWT buat anak-anak.

Jangan mudah putus asa. Anak-anak kita adalah permata berharga yang mampu memberikan kita kelapangan di saat kita amat memerlukannya di barzakh kelak. Jadi, teruskan berdoa yang baik-baik untuk mereka. Wallahualam.

Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah (USIM)

Published by
webadmin