Doa isteri mustajab, Ustazah Asma’ kongsi seorang suami bergelar jutawan berkat baik dengan pasangan & mentua. Jangan pernah menidakkan doa seorang isteri. Kerana ianya mustajab selain ibu.
Satu perkongsian dari pendakwah Ustazah Asma’ Harun mengenai kisah sepasang suami yang bergelar jutawan masih kekal romantis di khalayak ramai boleh menjadi pedoman buat semua.
Doa Isteri Mustajab
Sering berkongsi rasa sedapnya makanan dengan pasangan
Pagi tadi kami jumpa pasangan ni, usia pernikahan hampir 40 tahun. Kami sarapan sama, saya duk perhati si suami, apa yang dia makan dan rasa sedap, dia mesti nak isterinya rasa juga walaupun sikit, siap suap, termasuk sup.
Air pun sama, “awak, air ni sedap sangat” isteri menolak dengan baik, tapi si suami tak puashati, nak juga isterinya rasa, pastu bila isterinya cakap “iyalah, memang sedap”, laju je suami jawab.. “kalau awak nak, ambiklah terus”. Saya terus tanya, “memang selalu macam ni ke?” si suami jawab, “kalau boleh, saya nak isteri saya pun rasa apa yang sedap bagi saya, bahkan saya akan bungkus bawa balik jika isteri tak bersama, saya nak kongsi ‘rasa’ tu, apa yang buat saya gembira, saya nak dia rasa sama.”
Ustazah Asma’ Kongsi Seorang Suami Bergelar Jutawan Berkat Baik Dengan Pasangan & Mentua
Bisnes untung banyak dan tak berhutang sesen pun
Ads
Pasangan ni, Allah limpahkan rezeki yang amat luar biasa. Perniagaan dan aset bernilai ratus juta, mungkin lebih. Tanpa hutang walau satu sen. Bermula daripada kosong, hingga hati rasa kosong pada dunia.
Isterinya cakap, “ustazah, suami saya ni santuni arwah emak saya lebih daripada saya..” saya ni suri rumah sahaja. Laju si suami jawab “walau dia suri rumah, tapi banyak keputusan dan tindakan mesti saya rujuk dia, saya suka bercerita kepadanya, sebab utama saya perlukan doanya”.
Rahsianya isteri selalu doakan suami
“Ustazah, saya ni tak ada apa, semua dia (suami) yang usahakan, tapi benar, saya banyak berdoa untuk suami, doa untuk orang sekeliling, doa dan doa. Saya suka berdoa.. namun paling utama dalam berdoa, mesti dengan keyakinan, pasti Allah tunaikan.”
Ads
Tanyakan pada diri kita, sekerap dan sejauh mana kesungguhan kita mendoakan pasangan?
Kita selalu fokus berdoa utnuk diri dan anak-anak, atau ibu ayah, namun untuk Isteri dan Suami yang kita berkongsi kehidupan, kenapa tidak diberikan perhatian dalam doa?, sedangkan apabila pasangan beroleh sesuatu kebaikan atau nikmat, pasti kitalah orang pertama yang turut merasainya.
Percayalah.. Kasih sayang membuka banyak kebaikan dan menjemput rezeki dan Rahmat Tuhan.
Bukan mudah untuk menerima sesuatu ujian yang diberikan olehNya. Lebih-lebih lagi ujian melibatkan orang tersayang, baik anak-anak mahupun suami. Tak tertanggung rasanya, segalanya beban dan jiwa resah di hati.
Hakikatnya, apabila diuji belajarlah untuk redha dan sabar menerima dengan hati terbuka diatas segala yang ditakdirkan, kerana ia adalah salah satu pintu yang boleh memberikan ketenangan hati.
Fahamkan perkongsian penuh bermakna daripada Ustazah Asma’ Harun ini sebagai panduan bila ditimpa ujian;
SENI UJIAN
Kita akan DIUJI dengan apa yang kita SAYANG sehingga terduduk tak berdaya. Lalu kita SEDAR bahawa tiada kebahagiaan melainkan melalui jalan SABAR dan REDHA menerima ketetapan dan keputusan Allah swt.
Selagi TIDAK REDHA nescaya kita akan LELAH berpindah dari satu usaha ke satu usaha. Dari zikir ke zikir. Dari doa ke doa. Dari air penawar ke air penawar. Dari umrah ke umrah. Dari solat ke solat. Dari sedekah ke sedekah.
REDHA adalah langkah pertama menuju jalan penyelesaian. Anak kunci kepada pintu KETENANGAN.
Buatlah pengakuan yang tulus dihadapan Allah. Ikhlas daripada hati yang dalam,
“Ya Allah… AKU REDHA bahawa isteri/suami/anak/pekerjaan/bos/perniagaan dan lain-lain sebagai satu UJIAN dan RAHMAT daripadaMu untuk aku mendapat REDHAMU dan SYURGAMU, Aku Redha ya ALLAH. Aku Redha ya Allah. Aku hambaMu yang sangat lemah, tidak ada daya dan upaya melainkan dengan pertolonganMu. Bantulah aku untuk melalui dan menghadapi Ujian ini. Tunjukilah aku jalan-jalan kebenaranMu, bantulah aku untuk menjadi hambaMu yang sentiasa yakin dan bersangka baik denganMU”.
Bila Allah memberi kita ujian, Allah juga sedang memerhatikan tindakbalas kita. Berhentilah memaksa Allah untuk mengikuti kehendak dan impian kita, kita akan terus kecewa.
Hayati Hadis Nabi dibawah :
“Apabila Allah cinta kepada suatu kaum, mereka akan DIUJI. Barang sesiapa REDHA menerima UJIAN itu, Allah REDHA pula kepadanya. Dan barang siapa yang MARAH, maka Allah murka (MARAH) kepadanya.” (Hadith riwayat at Tarmizi)
Apakah tanda kita dah REDHA dengan ujian tersebut?
Apabila kita mula berhenti mengeluh, menangis, membentak, menyendiri dan kemurungan dengan ujian tersebut.
Lalu kita bangkit kerana Allah, dan menjadi hamba yang lebih dekat dengan Allah, mentaati perintah dan meninggalkan laranganNya. Kita berusaha menunaikan solat dengan sempurna, menyarungkan pakaian yang menutup aurat dan menukarkan majlis maksiat kepada majlis ibadat.
Selepas itu, yakinlah satu persatu UJIAN akan diberi JALAN KELUAR, dan mendapati bahawa RAHMAT ALLAH lebih luas daripada besarnya UJIAN tersebut.
UJIAN yang mendekatkan kita dengan Allah adalah satu RAHMAT.
UJIAN yang menjauhkan kita dengan Allah adalah MUSIBAH.
Selalu saya ditanya,
“Apa lagi yang patut saya buat ustazah? Semua usaha dah buat, pelbagai doa dan zikir diamalkan. Berapa kali pergi umrah berdoa depan Kaabah. Saya rasa dah penat”
Puan dah redha dengan Allah?
“Iya.. Saya redha. Memang saya redha”
Mudahnya mengucap redha. Iya bukan hanya dengan lidah, iya menuntut pembuktian.
Peringatan dan nasihat untuk diri sendiri. Sentiasa berjuang untuk redha dan diredhai.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Bila ditimpa ujian, belajarlah untuk menerima dengan sabar dan redha kerana ia kunci kepada segala ketenangan hati.Yakinlah satu persatu UJIAN akan diberi JALAN KELUAR, dan mendapati bahawa RAHMAT ALLAH lebih luas daripada besarnya UJIAN tersebut.
10 malam terakhir Ramadan, saat yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Rezeki untuk bertemu lailatul qadar dan mengharapkan doa dimakbulkan.
Sedihnya untuk berpisah dengan Ramadan, tapi gunalah sebaik-baiknya dengan 10 malam terakhir Ramadan ini dengan penuh kusyuk dan Allah angkat doa dan makbulkan apa yang kita inginkan.
Walau bagaimanapun, dalam berdoa, kita perlu ada susunan dan turutan. Kena tertib seperti yang dikongsikan oleh Saira Yusuff untuk kita jadikan amalan untuk hari-hari terakhir Ramadan.
Berdoa Untuk 10 Malam Terakhir Semoga Dimakbulkan Allah SWT.
BAHAGIAN 1 – Pengampunan Dosa
1. Meminta ampun ke atas dosa-dosa diri sendiri
2. Minta ampun ke atas dosa ibu bapa
3. Diikuti minta ampun ke atas dosa pasangan
4. Minta ampun ke atas dosa anak-anak.
5. Meminta ampun ke atas dosa keluarga (sanak saudara adik beradik)
6. Minta ampun ke atas dosa guru-guru/ustaz/ustazah
7. Mintalah ampun ke atas dosa muslimin dan muslimat (sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia)
BAHAGIAN 2 – Keperluan Masa Kehidupan
1. Dimurahkan rezeki
2. Diberi sakinah (ketenangan) dalam keluarga
3. Anak-anak dipelihara oleh Allah
4. Minta rezeki diberkati
5. Dijauhkan dari musibah, bala bencana, penyakit
6. Minta dijauhkan dari ujian yang tak mampu untuk kita tanggung
7. Meminta hati anak-anak kita tidak berpecah belah
8. Minta orang lain kasih kepada keluarga dan diri kita
9. Dijauhkan dari orang yang dengki khianat, iri hati, cemburu kepada kita
BAHAGIAN 3 – Urusan Ketika Kematian
1. Mohon mati dalam husnul khatimah
2. Memohon mati dijauhkan dari fitnah
3. Mohon dapat mengucap syahadah “La ilaha illallah, muhammadur rasulullah”
4. Minta mati sedang dalam beribadah
BAHAGIAN 4 – Alam Barzakh
1. Jadikan kuburku nanti dari taman-taman syurga
2. Jangan jadikan kuburku dari lubang, lubang api neraka
3. Ya Allah, aku takut gelap (terangkanlah kuburku)
4. Ya Allah, aku takut sempit (luaskanlah kuburku)
5. Ya Allah Engkau lapangkanlah kuburku sejauh mata memandang
6. Engkau berikanlah rezeki pada ku di dalam kubur nanti
7. Engkau bukakanlah satu pintu nampak tempat dudukku di dalam syurga
BAHAGIAN 5 – Ketika di Padang Mahsyar
1. Ya Allah, selamatkanlah aku di padang mahsyar
2. Jadikan aku orang yang duduk di bawah perlindungan arashmu
3. Ya Allah, jangan Engkau seksa aku di padang mahsyar
4. Berikanlah suratan amal dari tangan kanan
5. Padamkan dosa-dosaku di dalam kitab-kitab amal
6. Jangan Engkau tunjuk/tayang dosa-dosaku yang dulu aku lakukan di tayangan amal
7. Tutup dan lindungilah aib-aibku,dosa-dosaku dan kesilapanku dulu
8. Beratkan timbangan amal di sebelah kananku
9. Masukkan aku di dalam golongan yang masuk syurga tanpa hisab.
BAHAGIAN 6 – Lintasan Titian Sirat
1. Permudahkanlah aku milintasi titan sirat
2. Jangan jatuhkanku ke dalam lubang neraka ketika melintas titian sirat
3. Ya Allah, tolonglah aku ketika melintas titian sirat
4. Ya Allah, percepatkanlah aku melintas titian sirat sepantas kilat.
BAHAGIAN 7 – Masuk Syurga
1. Ya Allah, kurniakan aku syurga firdaus
2. Bangkitkan aku bersama nabi Muhammad saw di syurga firdaus
3. berilah aku dapat berganding, berdamping dengan Nabi Muhammad SAW
4. Ya Allah, jauhkanlah aku dari azab api neraka.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Tujuh Pilihan Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Nak maju jangan tunggu. Peluang pun datang bukan selalu apatah lagi sekarang ini kita sedang lalui kehidupan sukar berbanding dahulu. Daripada asyik termenung dan meratap pilu, elok mengorak langkah mulakan bisnes baru. Sampai bila nak tengok orang lain maju dan kita masih lagi kaku?
Tiada idea, tak ada kemahiran dan arah nak tuju? Mingguan Wanita (MW) sebagai teman setia wanita sedia membantu dan tahu apa yang anda perlu.
Terkini, selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral.
Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik, kursus-kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini.
Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Antara kursus-kursus asas yang dijangka mampu melahirkan peserta yang berkemahiran dan boleh terus dipraktik dalam perniagaan ialah:
JOM PANDAI BAKERI. BUAT DUIT JUAL KEK DAN ROTI. Dibuka dalam dua pilihan tarikh iaitu pada 12 Jun dan 26 Jun 2021. Peserta akan mengadun dan membakar sendiri adunan agar dapat kenal pasti formula menghasilkan satu adunan sempurna bagi kek dan roti.
Cookies Viral Legend. Jual cookies Paling Masyuk! Orang Malaysia meang suka makan. Cookies atau biskut tidak lagi laris hanya menjelang hari raya. Permintaan cookies memang tinggi dan belajar membuat cookies popular atau sedang trending ketika ini merupakan langkah bijak. Kursus diadakan pada dua pilihan tarikh iaitu 10 Julai dan 24 Julai 2021.
Waktu raya memang memerlukan banyak duit. Bila dah habis cuti raya, ramai mak ayah yang kesempitan duit. Salah satu, ‘peluang’ yang nampak depan mata adalah guna duit raya anak bagi menampung perbelanjaan keluarga pada bulan tersebut.
Pesanan buat mak ayah, jangan sewenang-wenangnya guna duit raya atau duit simpanan anak-anak. Ketahui hukum dan baca penjelasannya yang pernah dikongsikan oleh Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini.
HUKUM IBU BAPA MENGGUNAKAN HARTA ANAK-ANAK
Dalam kehidupan harian yang kian mencabar, sering kali terjadi perbelanjaan keperluan harian melebihi daripada pendapatan isi rumah. Ini mendorong kepada masyarakat untuk mencari alternatif dan menjadi lebih kreatif demi kehidupan yang lebih baik.
Di antara soalan yang sering diajukan kepada kami adalah berkenaan dengan penggunaan harta anak-anak seperti wang simpanan mereka oleh ibu bapa untuk memenuhi keperluan harian. Di sini kami kongsikan pandangan dan perbahasan ringkas para ulama’ bagi menjawab persoalan ini.
Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)
Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “ Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini” Riwayat at-Tirmizi (2159)
Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)
Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:
Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya.
Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.
Lihat al-Mughni (6/62)
Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu” Riwayat Ibn Majah (2291)
Mengenai hadith ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti ad-Daruqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: “Maka gabungan daripada jalan-jalan periwatan hadith ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya” Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (5/211)
Al-Hafiz as-Suyuti Rahimahullah telah berkata: “Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid[1] daripada hadith riwayat ‘Aisyah RA” Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah (3/37)
Ulama’ juga berbeza pandangan adakah ibu dibolehkan untuk menggunakan harta anaknya jika keadaan memerlukan dan adakah ibu termasuk dalam makna hadith: “أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ” ataupun tidak.
Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ibu tidak termasuk dalam makna hadith tersebut. Telah berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: “Tidak boleh selain daripada ayah untuk mengambil harta anaknya tanpa meminta keizinannya. Ini kerana hadith yang diturunkan telah ditujukan kepada ayah (أنت ومالك لأبيك), maka tidak sah untuk mengqiyaskan selain kepada ayah kerana ayah mempunyai kekuasaan ke atas anak serta hartanya jika anak tersebut masih kecil” Lihat al-Mughni (5/397).
Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa ibu termasuk dalam makna hadith tersebut. Mereka bersandarkan kepada kata-kata sahabat, Abdullah bin Jabir RA:
Maksudnya: “Ayah dan ibu boleh mengambil harta anaknya tanpa perlu meminta keizinan daripadanya, dan tidak boleh anak lelaki dan anak perempuan mengambil harta kedua ibu bapanya tanpa mendapat keizinan daripada mereka berdua” Lihat al-Muhalla (6/385)
Mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Atho’ bin Abi Rabah dan az-Zuhri yang membenarkan ibu mengambil harta anaknya sepertimana dibenarkan ke atas ayah. Lihat al-Mudawwanah (2/264)
Kesimpulan
Kami berpendapat bahawa pendapat jumhur (majoriti) ulama’, iaitu ayah tidak boleh mengambil harta anaknya dengan sewenang-wenangnya dan hanya dibenarkan jika dalam keadaan yang memerlukannya sahaja adalah lebih tepat dari segi penghujahan dan objektif syara’. Hukum ini juga terpakai untuk ibu kepada anak tersebut. Mengenai hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ), para ulama’ menjawabnya dengan dua jawapan:
Huruf lam pada perkataaan (لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan penuh, tetapi ia membawa makna keharusan mengggunakannya. Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: “Huruf lam pada hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan mutlak, sesiapa yang mengatakan bahawa ia membawa maksud keharusan menggunakannya, maka ia lebih menepati makna hadith. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadith tersebut” Lihat I’lam al-Muwaqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin (1/116)
Seorang anak apabila meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga lain. Bukan hanya ayahnya sahaja yang mewarisi harta tersebut. Jika harta seorang anak dimiliki sepenuhnya oleh seorang ayah, maka waris lain tidak memiliki hak untuk mewarisi hartanya.
Imam asy-Syafie Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya ketika mana Allah mewajibkan bagi seorang ayah mewarisi harta anaknya, Dia menjadikan ayah tersebut seperti waris-waris yang lain, iaitu berkemungkinan seorang ayah memperoleh bahagian yang lebih sedikit berbanding waris-waris yang lain. Ini menjadi bukti bahawa seorang anak memiliki sepenuhnya hak ke atas hartanya, bukan orang lain” Lihat ar-Risalah (hlm. 468)
Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan harta anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka WAJIB ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah, berhemahlah dalam merancang perbelanjaan di musim perayaan.Jangan menggunakan duit anak-anak dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja.Malah jangan lupa menggantikannya kembali.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.