Pada bulan April 2018 lalu masyarakat telah dikejutkan dengan kemalangan yang menimpa penceramah agama ustaz Muhammad Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali dengan nama MK Azman bersama isterinya ustazah Shadiya Abbas dan dua orang anak mereka, Ahmad Al’Izz dan Ana Soffya.

Mengimbas kembali kemalangan tersebut, ustaz MK Azman berkata musibah itu berlaku pada pagi Rabu, 11 April 2018.

“ Malam sebelumnya selepas kuliah di Gombak, saya mengambil kereta di bengkel yang terletak di Rawang. Lebih kurang pukul 2.00 pagi kami bergerak balik ke Kedah. Keadaan dari segi fizikal masa itu saya memang tidak cukup rehat. Tetapi kami mengejar masa untuk balik ke kampung mengambil emak yang mahu mengerjakan umrah.

“Kami singgah sebentar di Tg Malim untuk berhenti minum dan makan. Isteri mencadangkan agar saya tidur terlebih dahulu jika tidak larat. Tetapi saya tidak mahu. Dalam perjalanan itu, apabila kami sampai di Hentian Rawat dan Rehat Tapah, kami berhenti minum. Saya tidur seketika dan bangun semula untuk solat subuh.

“ Selesai solat kami meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan, kami terserempak dengan lori-lori. Dua kali terserempak dengan lori dan hampir-hampir jugalah kemalangan. Entah bagaimana pada kali ketiga, ketika saya hendak memotong sebuah lori itu, lori itu masuk ke arah kanan. Tidak sempat saya hendak brek, terus terlanggar belakang lori. Kejadian itu berlaku lebih kurang pukul 6 pagi,” ujar ustaz MK Azman.

Hentaman itu menyebabkan Ustaz MK Azman dan keluarga yang terdiri daripada Ustazah Shadiya Abbas dan kedua anak mereka iaitu Ahmad Al’Izz dan Ana Soffya tidak sedarkan diri.

“ Selepas perlanggaran saya tidak sedar tetapi saya mendengar panggilan daripada  anggota Bomba yang datang menolong. Masa itu keadaan saya itu pejam mata tetapi mampu mendengar suara-suara di sekeliling. Ada yang beri salam dan suruh kami bersabar.

“ Saya jawab salam. Anggota Bomba itu tanya hendak telefon siapa ini. Saya minta dia telefon mak mentua saya  kerana telefon isteri saya tidak dikunci. Anak saya yang berumur 7 tahun berada di bahagian belakang kereta manakala anak yang berumur setahun lebih berada di pangkuan isteri. Anak sedang menyusu ketika kemalangan berlaku.

Alhamdulillah setakat ini anak-anak kami itu tidak mengalami sebarang kesan daripada kemalangan yang telah berlaku. Anak saya sedar selepas kemalangan dan beritahu saya pemandu lori yang menolong dia keluar daripada kereta,” sambungnya lagi.

Akibat kemalangan itu juga telah menyebabkan ustaz MK Azman patah Sembilan tulang rusuknya. Dia juga mengalami pendarahan di kepala. Nasib baik tidak serius pendarahan tersebut. Manakala isterinya ustazah Shadiya cedera teruk di wajah dan lengan tangan kanannya patah. Keluarga mereka ini telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Bainon, Ipoh, Perak.

“ Saya masuk hospital pukul 3.00 pagi dan kemudian ditidurkan di ICU. Isteri juga di ICU. Kami berada dalam keadaan separa kritikal. Anak-anak pula selepas kemalangan itu telah dimandikan oleh jururawat. Mereka berdua kemudian telah ditidurkan,” tambah Ustaz MK Azman lagi.

IKLAN
Inilah kesan kecederaan akibat kemalangan

Nampak cahaya putih

Daripada penceritaan anggota Bomba, ustazah Shadiya dan anak yang dipangku berada dalam kedudukan terperosok di bawah ketika mahu menyelamatkan mereka. Anggota Bomba terpaksa memotong kereta untuk mengeluarkan mereka. ustazah Shadiya tersepit manakala anaknya tidak.

Menurut ustazah Shadiya keadaan itu berlaku berkemungkinan kerana ketika kemalangan itu dia sedang menyusukan anaknya. Dia bersyukur dengan keadaan tersebut.

“ Saya bersyukur kerana ketika kemalangan itu saya memakai tali pinggang keledar. Akibat hentakan saya menggelongsor ke bawah. Anak saya ikut sekali menggelongsor. Dalam keadaan tersebut  saya tidak dengar bunyi tangisan bayi. Saya Cuma dengar orang bagi salam. Selepas itu dia suruh sabar. Masa itu saya hanya mampu panggil suami. Saya dengar respons dia. Dia hanya mampu jawab ‘huuh’. Dua kali saya tanya dua kali dia jawab begitu.

“ Semasa kemalangan itu saya tidak begitu yakin yang kami sedang telah mengalami kemalangan. Tidak rasa sakit Cuma rasa tangan tidak boleh bergerak. Ketika itu saya dalam keadaan tertanya-tanya apa yang berlaku. Masa minda dalam keadaan bercelaru itu terlintas satu doa dalam fikiran. Saya hanya ingat doa Asmaul Husna.

“ Saya teringat kalau sesiapa baca doa ini Allah akan makbulkan doa mereka walaupun hanya terlintas dalam hati. Saya baca doa dan minta pada Allah agar semua dalam kereta ini hidup selamat. Selesai baca doa, terus pandangan saya gelap. Saya tidak sedar apa-apa,” imbaunya lagi.

Akibat kemalangan lengan kanannya patah. Mukanya koyak. Hidungnya terbelah. Urat darah hidung putus. Daging bibir sudah tanggal. Doktor telah melakukan pembedahan plastik memperbaiki wajahnya. Kini sesiapa sahaja yang bertemu dengan dirinya sudah pasti akan dapat melihat parut pada wajahnya.

Cerita ustazah Shadiya lagi, selepas beberapa hari kejadian, dia dan suaminya pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Anggota polis berkata sewaktu mereka menerima panggilan pertolongan ketika kemalangan itu ingat keluarga ini telah meninggal dunia.

“ Polis berkata lokasi kejadian kemalangan itu adalah lokasi kejadian berdarah. Di situ jugalah di mana mendiang Karpal Singh meninggal dunia. Jadi bila mengetahui kami hidup mereka terkejut sebab dua hari sebelum kejadian kemalangan kami itu, telah ada kemalangan lain yang melibatkan kematian.

“ Saya masih ingat lagi sebaik sedar daripada kemalangan saya perasaan tubuh kami telah diselaputi kaca. Persamaan kami ketika itu adalah kami terpaksa menelan serbuk kaca. Sewaktu di hospital apabila jururawat tanya bagaimana keadaan, saya tidak boleh kata apa-apa. Cuma pada masa itu saya rasa fikiran ini agak lapang sahaja. Saya sudah reda.

“ Masa itu saya sudah sedar yang saya telah mengalami kemalangan. Saya bertanya pada doktor adakah suami dan anak-anak selamat. Anak-anak saya hidup tak? Doktor risau kerana saya asyik bertanya soalan-soalan sama. Selepas itu jururawat memberitahu bahawa suami saya sedang dirawat di bilik sebelah. Manakala anak-anak telah dimandikan dan sedang tidur.

“ Terus saya senyap mendengar penjelasan jururawat. Doktor pula asyik bertanya nama saya siapa dan sebagainya. Dia bertanya begitu untuk melihat sama ada saya berada dalam keadaan waras. Daripada situasi itu saya banyak dapat pengajaran.

“ Semasa dibawa masuk ke hospital saya berada dalam keadaan Nampak dan tak Nampak sahaja. Semasa berada di ICU saya Nampak cahaya putih sahaja. Saya Nampak orang dalam bentuk  bayang-bayang. Mujurlah walaupun kaca penuh di muka, kaca itu tidak  masuk ke mata. Itu yang membuatkan doktor hairan,” jelasnya.

 

100 Jahitan Di Muka

Sehingga sekarang, ustaz MK Azman dan ustazah Shadiya masih menjalani proses penyembuhan. Pembedahan plastik memperbaiki wajah membuatkan ustazah Shadiya menerima 100 jahitan pada muka.

Parut di mukanya jelas kelihatan dan mengambil masa untuk sembuh. ustazah Shadiya berharap bengkak pada mukanya akan surut dan kembali seperti biasa.

“ Kami berdua kena reda sepanjang tempoh penyembuhan. Sekarang ini saya perlu melakukan rawatan fisio untuk tangan kanan yang patah. Saya yakin semua yang berlaku ini ada kebaikannya. Ujian ini datang daripada Allah.

“ Saya tidak rasa dukacita atau murung. Kita yakin benda itu berlaku sebab Allah hendak beri satu benda yang lebih baik. Saya yakin selain daripada itu faktor doa daripada orang lain sangat penting. Doa mak ayah, kawan-kawan, adik-beradik dan doa orang yang mendapat manfaat daripada kita.

“ Doa orang yang mengenali kita tetapi kita tidak mengenali mereka. Doa sebab mereka berasa kasihan pada kita. Doa-doa ini sangat penting dalam hidup kita. Nasihat saya pada semua buatlah baik pada semua orang sebab kita tidak akan tahu siapa yang akan menyantuni kita,” pesannya.

Akhir kata, ustaz MK Azman dan ustazah Shadiya menasihatkan  semua umat Islam agar mengamalkan doa membaca naik kenderaan setiap kali keluar rumah.

“ Kalau kelalaian itu daripada kita atau daripada faktor ketiga yang tidak disangka, doa itu penting. Sebagai orang Islam doa itu senjata kita kerana ia mampu menghalang benda yang kita tidak boleh kawal,” akhirinya.

Foto: Azfarina Sulaiman dan koleksi peribadi Ustazah Shadiya Abbas