Ramadan semakin menghampiri ke penghujungnya. Dalam pada kita bersiap sedia dengan segala kelengkapan raya, jadilah lebih prihatin, perhatikanlah juga keadaan sekeliling pada insan yang memerlukan.Mungkin ia hanya pemberian yang sedikit, namun paling bermakna dan amat diharapkan bagi yang memerlukan.Disamping itu, sesungguhnya anak-anak kecil lahirnya dengan fitrah, suci daripada segala dosa.Mintalah agar anak kecil berdoa, kerana keajaiban doa mereka ini tiada hijab dan mudah dimakbulkan oleh Allah.
Dua perkara penting tersebut ini merupakan ringkasan pengajaran dan pengalaman berharga yang dikongsikan oleh Mohd Fahmi Huzairi sewaktu bersahur baru-baru ini yang boleh dijadikan panduan buat kita.
“Pengalaman bersahur pagi ni paling akan aku ingat sampai bila bila. Masa aku tengah sedap nyekik (makan) dekat mamak,dari jauh aku tengok brader ni bungkus air kosong 3 dekat kaunter air.Aku tengok dekat luar atas motor dia ada isteri dan sorang anak lelaki dalam lingkungan umur 4 tahun. Masa dia lalu kat meja, secara tak sengaja aku tegur dia, sahur dengan air kosong je ke bang?
Dia senyum pahit je dan terus ke motor mungkin dia ingat aku perli dia, nasib baik dia tak tumbok muka aku.Aku pun tak tau kenapa aku tegur dia,tapi naluri hati bab-bab gini memang tak pernah salah, dari raut wajah dia pun, dah dapat agak mesti dia ada masalah kewangan. Jadi aku ambil keputusan untuk cuba bantu juga,sebab kalau betul dia tengah susah memang makan tahun aku nak hilangkan rasa bersalah nanti.
Aku bangun dan pergi dekat motor dia, dia macam terkejut dan mula buat muka garang,mungkin dia fikir kenapa aku ni macam tak puas hati dengan dia.(nak buat macam mana,muka aku memang kerek/sombong semulajadi bukan dibuat buat).
“Bang,minta maaf kalau salah sangka dengan teguran saya tadi,tapi sudi tak abang dan family makan sahur dengan saya.Saya ikhlas ni bang.”
Brother tu macam terkejut dan nak menolak tapi tetiba anak dia merengek cakap lapar.So dia, isteri dan anak dia pun join aku makan.Aku tau dia dan isteri agak segan,tapi mungkin sebab anak kot,dia join jugaklah aku sahur. Aku pun tak cakap apa-apa, takut tersalah cakap kang boleh buat dia lagi salah sangka. Cuma aku tanya lepas sahur ni nak ke mana,dia cakap nak balik Kota Tinggi Johor.
Dah siap makan semua,sebelum berpisah aku selitlah keping (duit) sikit dekat dia buat belanja dalam perjalanan,tiba tiba dia peluk aku dan nangis.Dia cakap sebelum dia turun dari motor nak beli air kosong tadi anak dia dah merengek lapar.
“Isteri dia suruh anak dia berdoa semoga Allah hantarkan seseorang bantu mereka sekeluarga agar dapat bersahur dan bagi sedikit belanja supaya mereka lepas balik Johor. Dan tak sangka sepantas itu Allah jawab doa si anak.”
Aku pun macam biasa sebagai lelaki pan asia berjiwa sentimental,meleleh gaklah air mata.Dalam masa yang sama aku tambahkanlah sikit lagi keping (duit) bagi dekat anak dia cakap duit raya,sebab aku tau dia akan tolak punya kalau aku bagi lagi dekat dia.Aku fahamlah tengok raut muka bro tu,maruah dia tinggi,tapi cuma ego dia terpaksa direndahkan sebab dek anak.
So…dah siap drama dia pun geraklah ke destinasi dia, aku rasa cukuplah kot keping(duit) aku bagi tu untuk dia selesa sampai ke Johor.Lepas tu baru aku teringat,nama dia tak tanya,no hp tak amik apatah lagi nak selpie selpot. Tapi biarlah,rezeki dia dapat makan dan keping (duit) dari aku,rezeki aku dapat bantu dia dan dapat satu pelajaran paling berharga dari kejadian ini.
Doa anak kecil tiada hijab dengan allah. Inilah tujuan aku menulis panjang lebar nak bagi faham point penting, bukan nak cerita pasal aku bantu orang.Lepas ni boleh lah ajar anak anak tolong berdoa untuk korang dan sesiapa sahaja bila nak meminta pertolongan dari Allah.Sesungguhnya doa-doa anak anak kecil ni cepat makbulnya.
Terima kasih Allah bagi kesedaran yang berharga ni kepada aku. Semoga bermanfaat untuk anda semua juga.
Menarik perkongsian oleh lelaki ini. Semoga lebih ramai orang mempunyai nilai murni untuk membantu dan bersikap prihatin pada kesusahan orang lain.Selepas ini mak ayah bolehlah ajarkan anak-anak untuk mendoakan kita. Ini kerana sesungguhnya anak-anak kecil adalah bersih daripada segala dosa, dan doa mereka lebih mudah termakbul dan diperkenankan Allah.
Sumber:Mohd Fahmi Huzairi