DIY Repair Pintu Plywood Kos RM70, Puas Hati Sangat Takda Kesan Pecah! Bila pintu plywood rumah di rumah berlubang-lubang dan pecah sebenarnya kita boleh baiki sendiri je. Lebih jimat bajet dan tak perlu nak tukar pintu rumah baru. Bahan-bahan yang diperlukan tak banyak malah cara nak baiki pun mudah.
Boleh cuba baiki sendiri pintu Plywood yang pecah ikut cara yang dikongsikan oleh Abu Aqil sebagai panduan;
Hari Ini Tukang repair plywood door pecah.
Kos barang dalam ±RM70.Harga pintu plywood ni RM200. Mahal banding pintu plywood biasa sebab kat bahagian bawah pintu ni ada louver untuk ventilation.
Potong 45° keluar, di keliling lubang. Ini supaya wood filler yang akan digunakan nanti akan lebih mencengkam ke plywood pintu ni dan kurangkan risiko rekahan di keliling lubang.
Gosok dengan kertas pasir di keliling lubang.
Langkah 2:
Sumbat potongan kotak di dalam pintu di keliling lubang. ini bagi membantu penggunaan PU foam selepas ini.
Ads
Langkah 3:
Spray PU foam sehingga ia memenuhi ruang dalam lubang.
Langkah 4:
Selepas beberapa jam PU foam mengeras (tak keras mana pun, jadi macam span yang agak tumpat je) Potong lebihan foam supaya rata dengan pintu.
Gunakan scrapper yang lebih lebar daripada lubang sebagai rujukan. pastikan foam tu ada gap 2-3mm daripada scrapper supaya wood filler yang akan digunakan selepas ini dapat betul-betul rata dengan permukaan pintu.
Langkah 5:
Ads
Guna scrapper untuk ratakan wood filler. Pastikan guna scrapper yang lebih lebar daripada lubang dan masa tarik scrapper tu, terus tarik dari kanan ke kiri, jangan berenti tengah jalan. ulang banyak kali sampai rata.
Tunggu sehingga wood filler ni kering. Sebab lepas kering, mungkin ada rekahan seperti dalam gambar ni. Ulang semula proses ratakan wood filler.
Langkah 6:
Ni wood filler dah kering dan takda rekahan lagi.
Gosok kertas pasir sehingga halus mulus.
Ads
Langkah 7:
Terus boleh cat! gambar ni cat basah lagi. Lepas kering dah takda beza.
Puas hati sangat ni first time buat..langsung takda kesan pecah tu. Alhamdulillah!
Mingguan Wanita: Begini rupanya, nak baiki sendiri pintu plywood yang pecah. Memang jimat kos. Takda kesan pecah pun dan paling penting tak perlu tukar pintu baru.
Salah satu masalah mak-mak di rumah adalah menyimpan penyangkut baju yang banyak. Bukan apa, jika tidak disimpan dengan cara yang betul, penyangkut baju ini mudah hilang dan bersepah. Memang sakit mata memandang. Malah bila nak menggunakannya pula, ia jadi leceh dan lambat kerana sering terkait-kait diantara satu sama lain.
Sebenarnya dengan DIY Rak Simpan Penyangkut Baju dapat menyelesaikan masalah ini. Ia cukup mudah dan murah dengan kos sekitar RM 20 sahaja.
Boleh rujuk perkongsian daripada Mohd Azrin Roselan ini sebagai panduan;
“Saya dan isteri selalu sahaja mengalami penyangkut baju bersepah dan hilang. Ting! tiba-tiba dapat idea untuk hasilkan rak penyimpan penyangkut baju dari paip PVC.”
“Project DIY hujung minggu menghasilkan rak tempat letak penyangkut baju murah dan mudah.Bila dah ada rak penyangkut baju tiada lagi masalah penyangkut baju bersepah dan hilang. Kalau hilang juga tentu ia hilang sekali dengan raknya sekali.”
“Modal nak hasilkan rak penyangkut baju sekitar RM20.”
Bahan-Bahan Yang Diperlukan:
Paip PVC 15mm sepanjang 9 kaki
Ukuran:
(Paip 33″ x 2pcs)
(Paip 5″ x 6pcs)
(Paip 8″ x 2pcs)
3 joints x 4 pcs
Elbow x 6pcs
Gam paip PVC
Cara Membuat:
1. Pasang paip 5″ pada elbow dan T joint untuk bahagian A.
2. Pasang paip 5″ pada T joint untuk bahagian B.
3. Pasang bahagian A dan B.4. Sambung paip 8″.
5. Pasang elbow pada paip 8″ untuk bahagian C.
6. Pasang paip 33″ pada kaki rak dan bahagian.
Siap!
Kos upah: Air Sirap
Penyangkut baju yang hendak digunakan boleh gantung pada pemegang.
Simpanan penyangkut baju.
AzrinRos
Suami yang baik, suami yang senangkan isteri.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi mak-mak bolehlah suruh encik suami tolong buatkan rak penyangkut baju ni, agar ‘hanger-hanger’ yang ada dekat rumah tu kemas tersusun, tak lah lagi sakit mata memandang.
Rupanya salah satu langkah untuk menjadikan rumah kita lebih inklusif (tidak meminggirkan sesiapa) adalah menggunakan tuil pintu dan pili jenis pemegang berbanding tombol. Ini kerana walaupun ia hanya perkara kecil, namun pemilihaan rekaan Tuil Jenis Pemegang ini menjadikan ia lebih selesa, memudahkan dan besar maknanya bagi golongan warga emas, kanak-kanak serta Orang Kurang Upaya.
Baca perkongsiaan daripada Doktor Perubatan Rehabilitasi Fizikal ini iaitu Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan sebagai rujukan.
Jika kalian ada niat nak tukar pintu bilik/rumah, saya sebagai doktor perubatan rehabilitasi fizikal, sarankan tukar kepada tuil pintu yang gunakan pemegang (handle) berbanding tombol (knob).
Kenapa saya sarankan tuil pintu jenis pemegang?
Mesra Warga Emas
Tuil pemegang boleh dipulas menggunakan kekuatan lengan, maka ia lebih mudah berbanding tombol yang menggunakan kekuatan pergelangan tangan. Makanya ia lebih mesra kepada warga emas yang mempunyai masalah sendi (arthritis).
Mesra Kanak-Kanak
Ia mudah digunakan oleh kanak-kanak kerana membolehkan mereka gunakan kedua-dua belah tangan dan berat badan untuk memulas tuil itu. Kanak-kanak sukar untuk memegang tombol dan tidak mempunyai kekuatan memulasnya.
Tak Licin & Mudah Dipulas
Di bilik air atau tandas, tuil pemegang lebih sesuai kerana tangan yang basah menyebabkan tombo menjadi licin untuk dipulas. Merujuk kepada perkara sebelum ini, ia pasti menyebabkan lebih kesukaran kepada kanak-kanak dan warga emas.
Mesra OKU
Jika kita membawa barang dengan kedua-dua belah tangan, tuil jenis pemegang boleh dipulas dan ditarik menggunakan siku. Guna kaki pun boleh. Bermakna ia juga boleh digunakan oleh OKU yang ketiadaan jari atau sebahagian tangan.
Ini agak jarang dan ekstrim, tapi dalam keadaan genting di mana kita perlu mengekang orang memulas tuil pintu dan masuk ke dalam bilik, tuil jenis pemegang lebih mudah untuk disendal dengan perabot lain seperti kerusi.
Selain tuil pintu, rekaan pili air juga mempunyai konsep yang hampir sama. Pili air jenis tuil pemegang lebih kelebihan berbanding jenis tombol atau jenis kepala silang “+”. Tuil pemegang lebih mesra kanak-kanak, warga emas, dan OKU.
Salah satu langkah untuk menjadikan rumah kita lebih inklusif (tidak meminggirkan sesiapa) adalah menggunakan tuil pintu dan pili jenis pemegang.
InsyaAllah, anak-anak kita akan selesa, ibubapa kita pun akan selesa.
Semoga bermanfaat!
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Doktor Perubatan Rehabilitasi
Ilustrasi oleh: Azari Mat Yasir
*Jemput follow untuk dapatkan ilmu kesihatan dan perubatan daripada sumber sahih dan bertauliah.
Mingguan Wanita : Semoga perkongsiaan ini bermaanfat. Jadi jika nak tukar pintu bilik atau rumah, pastikaan pilih tuil jenis Pemegang (Handle) berbanding tombol (Knob) iya. Barulah ia mesra golongan warga emas, kanak-kanak serta Orang Kurang Upaya.
Malaysia terkenal dengan keindahan pulau yang yang menarik dan pantainya yang mempunyai pasir putih yang bersih. Pulau-pulau seperti Perhentian, Redang, Kapas dan banyak lagi sering menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara. Sebagai salah seorang warganegara Malaysia, sudah pastinya peluang yang ada tidak dilepaskan untuk meneroka keindahan yang ada dalam negara sendiri. Kebetulan pula saya mendapat undangan dari Ombak Dive Resort yang terletak di Coral Bay, Perhentian Kecil untuk membuat liputan. Perasaan seronok dan tak sabar untuk melihat sendiri keindahan yang menjadi buah mulut orang selama ini akhirnya tercapai jua.
Seawal pagi kami sampai di Jeti Kuala Besut, saya dan beberapa wakil media lain dibawa menaiki bot laju ke destinasi kami iaitu Ombak Dive Resort yang terletak di Coral Bay, Perhentian Kecil. Kami disambut mesra oleh pemilik resort tersebut iaitu Dato’ Zulkifli Mohd Sharif dan Datin Nur Salinda Sabar. Turut tersedia menyambut kedatangan kami Adalah hidangan makan tengah hari yang cukup meriah di Ombak Cafe yang merupakan tempat makan utama penginapan tersebut.
Selesai makan tengah hari, kami dibawa ke bilik masing-masing sebelum memulakan acara seterusnya pada sebelah petang. Lebih kurang jam 4.30 petang kami berkumpul semula di Ombak Lodge yang terletak berhampiran dengan Ombak Cafe sebelum kami di bawa untuk melihat sekitar resort . Dari situ kami dibawa melawat ke bilik-bilik yang terdapat di resort tersebut.
Pilihan Bilik Mengikut Keselesaan
Ombak Dive Resort menyediakan pilihan bilik mengikut keselesaan, kemahuan dan keselamatan para pengunjung mereka. Mengekalkan konsep kesederhanaan dan kemudahan yang mencukupi untuk setiap pelanggan mereka, antara pilihan bilik yang boleh didapati di sini termasuklah bilik single, twin, triple dan juga quadruple sharing room.
Ombak Dive Resort memang terbaik!
Bukan sahaja untuk penginapan keluarga atau bersama teman-teman, Ombak Dive Resort turut menyediakan Exclusive Suites bagi yang ingin berbulan madu di sini. Istimewanya bilik-bilik yang terdapat di sini dilengkapi dengan katil yang empuk dan baharu untuk keselesaan setiap pelanggan yang berkunjung. Selain itu kemudahan lain seperti bilik air di dalamnya dan yang paling menarik kemudahan 24 jam bekalan elektrik untuk sesiapa yang menginap di sini. Dekorasi yang disediakan dalam bilik-bilik cukup indah dan sejuk mata memandang sesuai untuk suasana tenang lagi mendamaikan bagi yang betul-betul ingin datang bercuti.
Selesai menjamu mata dengan pilihan pelbagai bilik yang ditawarkan di sini, sekali lagi kami di bawa ke Ombak Cafe yang menawarkan pelbagai sajian yang cukup enak untuk dinikmati sambil ditemani bayu laut yang cukup nyaman. Namakan sahaja hidangan antarabangsa atau tempatan, semuanya boleh anda dapatkan di sini. Malah makanan di sini disediakan oleh chef berpengalaman yang pastinya akan membangkitkan selera sesiapa sahaja yang berkunjung. Sempat juga kami dihidangkan dengan minuman petang dengan hidangan jus dengan nama-nama unik seperti Deep Blue, Sunrise, Appletini dan banyak lagi.
Bukan sahaja merupakan tempat penginapan yang bertaraf antarabangsa, malah Ombak Dive Resort turut menawarkan pakej istimewa bagi yang berminat untuk melakukan aktiviti snorkeling dan skuba. Ombak Divers yang boleh didapati di resort tersebut diiktiraf oleh PADI sebagai pusat latihan yang disahkan dan diajar oleh tenaga pengajar yang ramah, berkelayakan dan berpengalaman.
Pertunjukan Api
Ingin merasai pengalaman menjamu selera sambil menonton filem kegemaran dan ditemani cahaya bulan dan kerdipan bintang pada waktu malam, Ombak Cafe turut menyediakan acara tersebut selain pertunjukan api yang biasanya di buat sekitar jam 7 hingga 8 malam. Kami sempat menonton pertunjukan tersebut yang biasanya diadakan setiap Isnin, Rabu dan Jumaat. Pertunjukan tersebut membuatkan kami rasa kagum dan terpesona dengan apa yang dipersembahkan. Memang menakjubkan dan itu semua boleh ditonton secara percuma oleh pengunjung yang lepak makan di Ombak Cafe. Apa yang menariknya, pengunjung yang tidak menginap di resort tersebut juga boleh menikmati hidangan dan pertunjukan yang disediakan di resort tersebut.
Fire Show yang terdapat di Ombak Dive Resort
Rasai Pengalaman Snorkeling
Hari kedua kami bermula seawal pagi selepas bersarapan.Untuk memberikan pengalaman sendiri kepada kumpulan media yang dijemput, kami dibawa snorkeling ke tiga tempat yang cukup menarik. Destinasi pertama kami adalah Turtle Island. Di sini kami diajar bagaimana untuk snorkeling dengan cara yang betul. Sempat kami snorkeling dan melihat ikan-ikan yang ada di dalam di sekitar kawasan tersebut. Destinasi kedua dan ketiga untuk kami snorkeling memang mengujakan kami semua. Kami di bawa ke Turtle Point dimana kami boleh melihat penyu secara langsung. Agak susah juga nak cari di mana penyu berada tapi mujur abang Mat iaitu ‘guide’ yang bertanggungjawab membawa kami untuk snorkeling sudah berpengalaman, dapatlah kami melihat dua tiga ekor penyu yang berada di sekitar Turtle Point. Memang satu pengalaman menarik snorkeling di permukaan laut sambil melihat penyu berenang-renang di dasar laut dan sesekali naik ke atas.
Boleh lihat penyu sambil snorkeling
Destinasi terakhir untuk snorkeling adalah Shark Point. Ini juga satu pengalaman baru buat saya dan wakil media yang lain. Berenang-renang sambil ditemani jerung-jerung sederhana besar cukup buat saya rasa gementar. Tapi lama-kelamaan rupanya ikan jerung yang ada di situ sedikitpun tidak mengganggu. Ternyata ia satu pengalaman yang menarik. Selain jerung, terdapat juga pelbagai spesis ikan lain yang comel.
Sempat juga melihat ikan jerung di Shark Point
Selesai snorkeling diketiga-tiga destinasi itu, kami di bawa pula ke Kampung Nelayan untuk makan tengah hari. Perut pun sudah diisi, badan pun sudah penat dengan aktiviti snorkeling, tibalah masa untuk kami semua pulang ke resort. Aktiviti kami tidak terhenti setakat itu sahaja, sebelah malam pula untuk merasai sendiri kemeriahan waktu malam di Long Beach, Perhentian Kecil, kami berjalan sekitar 10 minit untuk sampai ke sana. Memang meriah dengan orang ramai dan juga pertunjukan lain yang disediakan sepanjang Pantai Long Beach itu.
Hari Ketiga di Perhentian, usai sarapan perancangan asalnya ingin mendaki ke kincir angin yang cukup terkenal di Pulau Perhentian, tapi oleh kerana cuaca yang tidak mengizinkan, rancangan tersebut terpaksa dibatalkan. Lebih kurang jam 12 tengah hari kami kembali ke jeti untuk menaiki bot dan pulang ke Jeti Kuala Besut. Percutian kali ini memang sangat mengujakan buat saya dan rakan media yang lain. Ombak Dive Resort memang destinasi yang sesuai untuk dikunjungi bersama keluarga dan rakan-rakan. Layanan yang mesra dengan servis yang diberikan memang terbaik selain penginapan yang selesa ditawarkan kepada setiap pengunjungnya. Kalau nak cuba aktiviti snorkeling atau lebih ektrem seperti selam skuba, boleh juga cuba di sini dengan harga yang cukup berpatutan. Memang terbaik!
P/S: Kalau nak menang baucer percutian ke Ombak Dive Resort, jangan lupa dapatkan majalah MW yang terbaru ya!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mas Idayu bersyukur bekas suami lepaskan secara baik. Tiada pasangan berkahwin yang inginkan perpisahan namun jika ditakdirkan jodoh tidak panjang pastinya kena reda dengan...