Hiburan

“Diuji Sakit, Pendapatan Terjejas.” Betty Banafe Dedah Harun Hashim Minta Bayar Sewa Rumah

Share

Pelakon veteran era 80-an. “Diuji sakit dan pendapatan terjejas. Betty Banafe dedah Harun Hashim minta bantuan untuk bayar sewa rumah.

Ramai yang terjejas pendapatan sejak pandemik Covid-19 melanda, begitu juga dengan insan seni. Mereka juga tidak terkecuali diuji.

Diuji Sakit & Pendapatan Terjejas

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, pelakon veteran, Harun Hashim dan isterinya, Sakinah Ganjali kini berdepan ujian penyakit dan kesulitan untuk meneruskan hidup ketika pandemik COVID-19.

Menerusi postingnya di Instagram (IG), pelakon yang juga rakan seperjuangannya, Betty Banafe memaklumkan mendapat perkhabaran mengenai Harun dan isteri dimasukkan di sebuah hospital di Subang, sejak beberapa hari lalu.

Harun Diserang Darah Tinggi

“Saya mendapat tahu Harun diserang penyakit darah tinggi, tiga hari lalu. Malah, keadaannya agak teruk apabila terpaksa ditidurkan.

“Bagaimanapun, berita terkini Harun sudah sedarkan diri. Keadaan lebih membimbangkan apabila isterinya pula diserang penyakit.

“Difahamkan, isterinya menghidap penyakit kanser otak dan perlu pembedahan segera,” katanya.

Betty Banafe Dedah Harun Hashim Minta Bayar Sewa Rumah

Betty atau nama sebenarnya, Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe berkata, kali terakhir berjumpa Harun pada 25 Julai lalu.

“Saya terbabit dalam program infak artis bersama badan bukan kerajaan mengagihkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Harun antara penerima bantuan yang disalurkan. Ketika bertemu, saya lihat keadaan Harun sudah tidak sihat, malah matanya semakin kabur.

“Beliau menghadapi Glaukoma iaitu penyakit urat saraf mata yang boleh menyebabkan medan penglihatan pesakit semakin sempit.

“Jika dibiarkan berlarutan boleh menyebabkan buta. Saya lihat matanya sudah bertukar warna. Perkara ini diakui Harun, cuma tidak berkemampuan mahu ke klinik untuk pemeriksaan lanjut,”

katanya.

Terjejas Pendapatan

Sejak pandemik melanda tahun lalu, pelakon yang sinonim dengan watak hero drama televisyen itu membantu isterinya berniaga di Batu Caves Centerpoint.

“Setahu saya, Harun berniaga pecal sejak kerja penggambaran tidak boleh dilakukan. Dia juga membuka cawangan kedua di Sentul dan berniaga dalam talian.

“Harun minat berniaga dan isterinya pula pandai memasak. Jadi, mereka berniaga makanan barat dan tempatan seperti pecal. Dahulu, isterinya pernah buka kedai makan di Shah Alam.

“Namun, terpaksa berhenti berniaga berikutan menjaga Harun yang pernah diuji sakit misteri pada 1993,” katanya.

Menghantar Mesej

Tambah Betty, perniagaan diusaha Harun dan isterinya terkesan kerana terbiasa menguruskan perniagaan secara fizikal berbanding dalam talian.

“Harun ada menghantar mesej di aplikasi WhatsApp minta bantuan membayar sewa rumah pada 15 Ogos lalu.

“Namun, saya terlambat membalasnya kerana kesibukan kerja. Akhirnya, saya dapat tahu Harun dan isterinya masuk hospital,” katanya.

Mingguan Wanita : Semoga kesihatan Harun Hashim dan isterinya beransur pulih. Bukan mudah menghadapi ujian kewangan dan kesihatan serentak, semoga mereka suami, isteri terus kuat. Insyallah.

Sumber : Berita Harian

Baca Juga Di Sini:

Acong Sweetchild Jual Pai Keju Air Tangan Isteri, Demi Kelangsungan Hidup

“Ada Rezeki Lebih, Bantu Apa Yang Mampu Supaya Ramai Boleh Merasa” Elly Mazlein 

Pelakon WAN MAIMUNAH Bantu Keluarga Murid Susah, Terputus Bekalan Makanan

Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW

Mingguan Wanita juga boleh diikuti di

YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial

Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita

Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita

Published by
Nur Syazwani Mehat