Diuji Pelbagai Dugaan Hdup, Belajarlah Reda Dengan Takdir Allah SWT

Share

Hidup adalah rentetan masalah yang tak akan pernah selesai. Berpuluh tahun kita dihempas ujian, letih, sedih, risau, takut dan sakit.

Sakit jasmani, sakit hati, sakit emosi, sakit akal berhadapan dengan pelbagai karenah manusia. Namun begitu Allah SWT memberi harapan pada yang menderita, letih dan risau:

“Cubaan akan menimpa mukmin dan mukminah, pada dirinya, anaknya, hartanya sehingga dia bertemu dengan Allah tanpa dosa sedikit pun.” (Hadis sahih Sunan Al-Tirmizi).

Ikuti perkongsian daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam, juga penulis ruangan KELUARGA SAKINAH di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.

Luar Jangkaan

Siapa sangka lelaki yang begitu sempurna menyayangi tiba-tiba menjadi amat menyakitkan isterinya. Tiada siapa tahu wanita yang pendiam dan taat akan berubah menjadi pengkhianat.

Anak yang kita doakan dan beri kehidupan mungkin akan tinggalkan kita tua sendirian, sakit, mati dalam rindu dendam. Harta dan pangkat yang kita jaga dan simpan demi waktu susah, akhirnya membuat kita tak percaya pada teman, saudara, keluarga. Kerana ada jenis manusia yang berperangai udang di sebalik batu, rupa-rupanya mengharap ‘sesuatu’ bila tak dilayan dia pun tak mahu berkawan.

Apabila garis takdir kita bermula daripada kemiskinan ,sesekali kita meraung kenapa aku yang dipilih. Terpaksa perut dihiris lapar, hati juga dihiris rasa malu dihina orang.

Beza Bahagia Dan Sedih

Berbicara tentang kesedihan dan kebahagiaan, bagai saudara kembar yang kadang tak mampu kita fahami perbezaan keduanya. Ada anak kita rasa susah tak ada anak pun susah, ada pasangan susah tak ada pun susah, bila kaya susah tak kaya pun susah, bila terkenal susah tidakpun susah.

Oh lemahnya manusia yang serba tidak sempurna, Maha Suci Allah dari sifat ketidaksempurnaan. Diciptakan kita yang lemah ini supaya kita bergantung pada Allah Yang Maha sempurna!

Jadi, akurlah apapun yang terjadi pada diri kita hari ini, esok dan selama-lamanya kita terima garis takdir kita sebagai sahabat!

Jangan Lari Daripada Masalah

Nak lari kemanapun masalah pasti mengejar kita, mahu tak mahu kena hadapinya. Kalau anda pilih menyerah padanlah muka terima segala derita, tetapi jika anda sudah berusaha setidak-tidaknya anda tidak menyesal bila tak berjaya. Seandainya suami anda bercinta dengan bekas teman sekolah, bagaimana anda menerima takdir ini?

Merajuk dan mengamuk kemudian anda berlagak suci sendiri dan sibuk dengan Tuhan? Silap, anda bukan memecahkan masalah tapi membiarkan ia semakin besar!

Buruk Bertukar Baik

Ikhtiarlah guna akal fikiran, belajar mencari punca masalah, bersemuka dengan suami jangan lari, berbincang sebagai manusia yang beriman, dapatkan bantuan kaunselor, orang alim yang amanah. Jika proses ini berjalan dengan baik tak satupun tertinggal dan anda sentiasa dalam keadaan positif tidak mustahil keburukan akan berubah menjadi kebaikan.

Tetapi jika takdir Allah menentukan suami bukan jodoh anda setelah bersusah payah berjuang, setidak-tidaknya anda berpuas hati dengan pencapaian terbaik yang Allah putuskan. Allah tetap membalas usaha baik itu dengan pahala. Usaha menyelamatkan perkahwinan adalah jihad, menang atau gagal bukan urusan kita, ia kuasa Allah! Jangan lari dari medan perang, sungguh ia ladang pahala anda, ikhtiarlah sampai habis kudrat dan biarkan Allah penentunya.

Bertenang, Berdialog Dengan Suara-Suara Positif

Kenapa Allah datangkan ujian? Sebab ia syarat masuk syurga, disamping itu ia mengajar manusia mengenal kelemahan dirinya, belajar bersabar, belajar akur dan taat pada Allah walau apa jua rintangan sekalipun. Beginilah cara kita berdiaolog dengan hati kemudian kita cuba berdialog dengan buku, dengan ulama bijak pandai, dengan Al-Quran, dengan hadis, dengan doa-doa kepada Allah. Berdialoglah, berfikir positif, kawal diri jangan biarkan orang-orang yang negatif mengawal diri anda. Allah berfirman: “Pada diri kalian sendiri, apakah kamu tidak memperhatikan?”

(Surah al-Zariyat ayat: 21)

Mungkin selama ini kita tak kenal diri kita sendiri, tetapi apabila ada masalah datang baru kita belajar memahami emosi. Nikmatilah setiap tangisan yang anda tumpahkan, nikmatilah kesedihan dengan indah iaitu menghadirkan sangka baik pada Allah, hanya sangka baik saja yang dapat menekan luapan marah. Segala tentang takdir Allah adalah baik, kita hanya dipersilakan mengutip pahala di sepanjang jalan ini sampai akhirnya mendapat kepuasan hati yang reda bertemu Allah SWT.

Betapa kita telah lama terluka oleh ujian dan musibah dalam perjalanan penjang menuju kematian, masihkah lagi kita mengeluh oh anakku menyakitiku, suamiku mengkhianatiku, hartaku menyusahkanku, pekerjaanku membebankanku? Ya Allah jadikanlah kami bersahabat dengan takdir-Mu!

 

 

Published by
Nurul Azwa