Adatlah hubungan menantu mentua, ada pasang surutnya. Cuma janganlah terlalu tenggelam dalam kebencian sehingga tak nampak baiknya mentua. Begitulah sebaliknya mentua memandang menantu.
Apa pun, suami mahupun anak lelaki itu sendiri kenalah memainkan peranan yang bijak menyelesaikan konflik antara isteri dan juga ibu sendiri. Bak menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.
Perkongsian Puan Ezatul Marini tentang ibu mentuanya ini ‘sweet’ sungguh. Ada pelajaran yang boleh diambil teladan oleh pasangan anak-anak muda yang baru mendirikan rumahtangga.
Selepas Asar, 22 tahun lepas, kami tinggalkan emak di tempat istirehat abadi. Dengan esak tangis dan rasa sayu sebak kami tinggalkan emak di kawasan lapang itu. Terhentilah hingga di situ segala bakti dan kebaikan yang dapat kami sumbangkan untuk emak dan tamatlah sudah episod menagih doa yang baik-baik dari emak buat kakak-kakak ipar dan suami saya.
ALMARHUMAH HADIJAH BT MOHD NAAM.
Semasa dijemput pulang, emak berusia 67 tahun. Bertubuh besar (125Kg) dan bersosok tinggi, saya tidak pernah mampu memegang emak dengan kuat setiap kali emak selesai mandi.
Rutinnya, selesai mandi, emak akan laungkan nama encik K kerana hanya beliau yang cukup gagah untuk memimpin emak berjalan dari bilik mandi ke ruang tengah rumah.
Saya pernah mencuba tunjuk kuat dan akhirnya kami sama-sama terjelepok di pertengahan jalan. Emak hanya ketawa bila saya minta maaf.
Emak rajin memasak dan memang airtangan emak sedap selalu. Dek kerana keadaan kesihatannya, emak tidak mampu berdiri untuk memasak. Jadi dapur memasak diletakkan di lantai, emak akan duduk di depannya dan kita bertugas membantu emak ambilkan apa sahaja yang emak minta.
“Mimi, ambikkan pinggan.”
“Mimi, letak pelengat ni kat situ.”
“Mimi… hihihi marah awak ye Mak panggil banyak kali,” itu pengakhiran skrip setiap kali emak panggil saya lebih dari 3 kali dan emak dah nampak saya mula rimas duduk bangun berkali-kali.
Tapi sampai kah hati kita hendak simpan rasa marah bila emak cukup bijak memujuk. Ada saja kata- kata lucu yang akhirnya buat kita tergelak sendiri.
Emak sangat sayangkan cucu-cucunya. Semasa emak tutup usia, cucunya ada 6 orang – Amirul, Hasrul, Ainil, Salwa, Hadi dan si kecil Aida. Yang berlima itu tinggal di Keramat, di kuarters TNB Keramat dan si kecil Aida yang pada waktu itu berumur lingkungan 8 bulan, sekali- sekala emak yang mengasuhnya.
Punya emak sayang pada cucu-cucunya, bila dia menggoreng jemput-jemput pun kalau terkenang, kami akan disuruh hantarkan ke rumah kakak ipar. Memandu dari Petaling Jaya ke Keramat demi menghantar sebekas kuih? Kami OK aje, dapat juga jumpa mereka yang keletah dan manja.
Emak sangat “resourceful”. Dek kerana emak tak mampu berjalan dan berdiri, “walker” si kecil diikatkan tali yang dipegangnya. Kalau dah jauh cepat- cepat ditarik dekat dengannya. Waktu senggang emak gunakan untuk mengajar mengaji dan berzanji.
Saya yang waktu itu baru sangat menjadi menantunya sesekali diminta gantikan beliau mengajar mengaji. Untuk kanak- kanak saya OK aje tapi kalau untuk makcik-makcik biasanya saya angkat tangan.
Emak juga selalu minta saya belajar berzanji yang akhirnya hanya sempat saya tuntut ilmunya sekejap sangat sebelum emak semakin uzur.
Rutin waktu makan pula, setiap hari emak akan minum segelas susu Anlene, jadi tugas saya membancuh susu tersebut dan letakkan di meja sementara tunggu emak habis mengajar mengaji.
Lepas makan biasanya emak akan duduk di ruang depan, menonton TV. Banyak kali kita akan tergelak sendiri bila tertangkap emak yang sudah tertidur sambil duduk. Biasanya cepat- cepat saya hulurkan kusyen.
“Hihihi…emak tak tidor pun. Mata emak memang macam ni,” tu memang jawapan standard. Waktu petang, terutamanya kalau cuti emak suka minum-minum di depan anjung. Setiap yang lalu-lalang semua ditegurnya, kadang-kadang diajak singgah minum. Bila kita tegur atau tanya siapa, jawapannya mudah, “Entah, mak pun tak konal…sajalah tegur.”
Encik K anak manja emak. Kadangkala sebelum tidur emak akan panggil anak lelakinya itu mintak tolong urutkan atau garu belakangnya dengan sikat bulat dan saya tidak terkejut langsung bila terpandang encik K mencium tapak kaki emaknya. “Syurgakan?” itulah selalunya jawapan encik K
Hubungan saya dengan emak tidaklah sentiasa harmoni. Ada juga sesekali berlaku kecil hati dan pergeseran. Pernah juga kedua-dua kami konfrontasi, tetapi untungnya, encik K bertindak sebagai orang tengah yang bijaksana. Cepat- cepat saya mohon maaf dengan emak dan kami berbaik semula.
Aduhai, dalam rumah itu ada 4 orang sahaja. Ayah, sentiasa dalam biliknya dan ayah memang pendiam. Encik K, kalau angin berlian dalam mulutnya sampai memang tak akan bercakap langsung. Jadi saya hanya ada emak yang selalu memujuk dan menjadi kawan saya bercerita.
Saya bernasib baik dikurniakan kakak-kakak ipar dan biras yang menolak “sengketa”. Ada apa pun perasaan kecil hati atau terkilan, kakak-kakak selalu gunakan pendekatan memaafkan dan “move on”.
Dah lama sangat kami berkumpul dalam keluarga yang sama jadi sebolehnya kami raikan apa sahaja yang berbeza.
Saya rindukan nikmat beremak mertua. Sebagaimana, Farida Jalal dalam Kuch Kuch Hota Hai sebutkan pada Shah Rukh Khan (Rahul Khanna), dia rindu nak mengumpat menantu dek kerana menantunya meninggal awal, saya juga rindukan perasaan beremak mertua.
Bukanlah pula bermaksud untuk mengata dan mengumpat atau bermusuh dengannya tapi rindukan suasana berkumpul dan belajar banyak perkara dari emak mertua yang baik dan sporting sepertinya.
Saya tidak mahu kongsi tips bagaimana sepatutnya melayan dan menyantuni emak mertua kerana saya pun tak sempat mengecap perasaan itu lama. Cukuplah sekadar saya katakan dalam menangani dan menyantuni keluarga mertua, selalu letakkan Allah dan suami diawalnya.
Kalau kita mampu bina hubungan yang harmoni dengan keluarga suami, adakah suami kita akan bahagia atau sebaliknya? Kalau suami kita gembira agaknya ada tak doa baik- baik yang akan beliau khususkan untuk kita?
Benar, memang wujud keadaan bilamana mentua dan ipar duai memberi cabaran, itu saya tidak akan nafikan. Doalah sebanyak-banyaknya agar semuanya jadi baik-baik belaka.
Carilah titik tengah yang mampu leraikan sedikit kekusutan atau perasaan kurang enak yang kita atau mungkin mereka simpan.
Al fatihah buat emak. 22 tahun tanpa emak, kami sunyi dari gurau senda dan lagu-lagu yang emak nyanyikan untuk dodoikan cucu-cucu. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah selalu memayungi emak.
MW : Al fatihah untuk mentua Puan Ezatul, ALMARHUMAH HADIJAH BT MOHD NAAM.
Sumber/Foto : Ezatul Marini