Diuji masalah kewangan, suami rasa berdosa marah isteri hanya kerana beli ayam drummet RM20. Ujian kehidupan setiap orang tidak sama. Masalah kewangan dalam rumah tangga boleh menjadi ujian yang sangat mencabar.
Berhadapan tekanan bebanan hutang melampau dan kesempitan sumber kewangan dilihat faktor utama masalah dalam rumah tangga. Jika terlibat dalam krisis kewangan, ramai yang akan mengalami pelbagai jenis tindak balas emosi yang kurang menyenangkan.
Artikel lain: Diuji Masalah Kewangan Kritikal, Amalan Bersedekah Selamatkan Rumah Dari Dijual
Berada dalam keadaan penafian dan tidak menerima situasi kewangan yang dihadapi, perasaan takut dan panik serta marah semuanya bermain dalam diri merupakan beberapa contoh tindak balas yang berkemungkinan akan berlaku. Tindak balas yang paling kerap berlaku merupakan tindak balas yang paling tidak diambil berat dan sering terlepas pandang iaitu stres.
Berikut perkongsian Mohd Firdaus Jailan
Sampai sekarang saya rasa berdosa dengan puan isteri kerana RM20 ini. 13 Tahun yang lepas kami sekeluarga diuji dengan ujian kewangan yang luar biasa. Kereta ditarik, rumah sewa tak mampu bayar dan tak ada pekerjaan tetap.
Salah saya sebab saya berhenti kerja nak berniaga. Bila berniaga tak jadi waktu itu, anak dan isterilah jadi mangsa.
Sampai satu tahap, saya terpaksa lepaskan isteri untuk pulang ke kampung bersama ibu dan bapanya di Sarawak buat sementara waktu. Ketika itu isteri sedang sarat mengandungkan anak ke-2.
Di kampung tak ada kenderaan selain bas. Air pula waktu itu bergantung sepenuhnya kepada air sungai belakang rumah.
Puan isteri dengan perut besarnya terpaksa turun ke sungai melalui tangga yang tinggi dan licin untuk menguruskan kehidupan harian.
Lagi artikel: Terdesak Masalah Kewangan, GADAI Barang Kemas Jiran, Sorok Mayat Bawah Katil!
Nak dijadikan cerita, puan isteri minta duit belanja makan untuk dirinya dan anak. Saya waktu itu cuma ada RM80 sahaja di dalam akaun.
Saya hantarkan kepada beliau RM60 dan bakinya saya gunakan untuk makan saya di semenanjung.
Isteri saya call dan sangat gembira sebab ada RM60 untuk belanja, beliau minta izin naik bas ke bandar untuk beli lauk. Dengar gembira betul kerana sudah hampir 6 hari putus bekalan lauk di rumah.
Selepas pulang, isteri hubungi saya semula dan ceritakan kepada saya pengalaman di pasar. Isteri cerita dia beli sedikit itu dan sedikit ini jadi RM60 itu habis. Saya waktu itu curiga kerana barang yang dibeli sangat sedikit, kenapa RM60 habis.
Bila saya tanya, barulah isteri cerita isteri beli ayamas drummet yang sepeket hampir RM20.
Terus saya marah isteri kerana saya rasa membazir. RM20 boleh beli 2 ekor ayam dan boleh dimakan lebih 1 minggu berbanding drummet itu. Isteri minta maaf. Isteri kata dia teringin sangat nak makan.
Baca lagi: i-Sinar KWSP Kini Diperluaskan Kepada Semua Ahli Yang Hadapi Masalah Kewangan
Terus saya balas, teringin itu untuk orang kaya, kita orang miskin, teringin kita tak laku.
Isteri mula menangis dan minta maaf banyak kali. Saya masih juga marah. Marah kerana saya sudah tidak ada duit lagi mahu beri kepadanya. Marah sebab waktu itu saya suami yang tidak berguna.
Saya letak telifon dalam keadaan marah dan beliau sedang menangis. Malam itu saya tidak boleh tidor. Rasa betul-betul berdosa. Saya hubungi isteri dan saya minta maaf kepada isteri. Kami berdua menangis bersama di dalam telifon.
Ya Allah, sampai sekarang saya rasa berdosa. Kerana RM20 ini saya marah isteri saya yang banyak berkorban harta dan nyawa untuk bersama saya.
Semoga Allah masukkan isteri saya ke dalam syurga kerana selalu bersabar dengan kerenah suaminya.
Kepada tuan dan puan yang mungkin sedang dalam situasi yang sama seperti saya suatu ketika dahulu, saya doakan tuan dan puan dapat keluar secepat mungkin dari keadaan itu. Kita berdoa dan berusaha. Allah jua yang membantu kita.
Sumber: Mohd Firdaus Jailan
Kredit foto (top image) Freepik