Diuji Masalah Kewangan Kritikal, Amalan Bersedekah Selamatkan Rumah Dari Dijual

Share

Amalan bersedekah itu tidak menjadikan seseorang miskin. Malah, amalan sebegitu diberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Jika tidak mewah harta sekalipun, masih boleh menghulurkan sedekah kepada orang yang memerlukan.

Ketika hidup dibelenggu masalah hutang yang kritikal Bonda Nor memilih untuk memperbanyakkan sedekah. Sedekah ini bukan saja dikira dalam bentuk duit. Sedekah itu sebenarnya luas maknanya.

Hadamkan apa yang dikongsikan Bonda Nor ini. Semoga, rezeki kalian semakin berganda dan dilapangkan.

Suami Isteri Diuji Masalah Kewangan Kritikal

Dalam buku Throwback ada saya kongsikan kisah saya dan suami diuji dengan masalah kewangan yang kritikal. Hutang sana sini. Gali lubang, tutup lubang. Pedih rasa hati harus tadah kecaman dan sindiran orang.

Masa tu memang down teruk. Terasa sangat kebenaran amaran Rasulullah, sesungguhnya hutang mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari.

Terduduk! Dah sampai tahap terpaksa iklankan rumah untuk dijual! Syukur, ia tidak perlu sampai dijual.
Namun bagaimana kami bangkit?

Kembali kepada fitrah memberi. Banyakkan sedekah.

Tak ada duit, macam mana nak memberi, nak bersedekah?

Baik, kembali semula pada fitrah, fahami betul-betul konsep sedekah.

  • Senyummu untuk saudaramu adalah sedekah.
  • Usahamu untuk mengajak kepada kebaikan dan melarang keburukan adalah sedekah.
  • Usahamu untuk menuntun seseorang yang tersesat menuju jalan yang lebih baik adalah sedekah.
  • Memberikan yang kita miliki adalah sedekah.
  • Menyingkirkan gangguan dari jalan adalah sedekah.
  • Pandanganmu yang peduli kepada mereka yang buruk rupa adalah sedekah.
  • Sedekah yang paling tinggi nilainya adalah nafkah yang diberikan suami kepada isterinya.

Ini semua contoh-contoh sedekah yang ada dalam satu hadis Riwayat Tirmidzi.

Orang Miskin Pun Boleh Banyak Bersedekah

Ya, sedekah bukan semestinya duit. Orang miskin pun boleh banyak bersedekah!

Masa tu, saya tak banyak duit tapi saya tahu saya ada ilmu dan stok buku membaca Ekspres-i. Saya banyak buat seminar percuma dan ajar orang tanpa berkira. Saya juga selalu sedekahkan buku-buku saya.

Dalam masa yang sama, saya dan suami istiqamah membayar hutang dan mengembalikan hak orang.

Kami buat penjadualan semula pinjaman kami dengan organisasi. Kami kecilkan amaun bulanannya supaya kami mampu bayar secara konsisten.

Baca : Selesaikan Hutang RM20K Dalam Tempoh Dua Bulan, 3 Tip Ini Betul-betul Membantu

Amalan Sedekah Suami Untuk Isterinya Ketika Kewangan Kritikal

Begitu juga hutang dengan orang. Walaupun hutang hampir sepuluh ribu ringgit, tapi kami tebalkan muka bayar RM50, RM50, RM50.

Suami juga sering ‘bersedekah’ pada saya, dengan lafaz yang jelas – Ini sedekah abang untuk ayang hari ni.

Tak besar pun jumlahnya, kadang RM10, kadang RM50, tapi itu pun dah cukup untuk buat saya happy dan rasa dihargai. Cukup untuk buat dia juga happy kerana rasa peranannya sebagai suami telah ditunaikan mengikut pesanan Rasulullah.

Alhamdulillah, pelan-pelan, kami berjaya keluar daripada kemelut hutang yang menyesakkan dada. Tiada lagi hutang tertunggak. Bahkan mampu bayar installment bulanan dua atau tiga bulan terkehadapan!

Lebih Tenang & Meneruskan Amalan Bersedekah

Alhamdulillah, kami kini lebih tenang daripada masalah kewangan, namun amalan-amalan tadi kami masih tetap teruskan lagi kerana itulah yang membuat kami bahagia.

Terasa diri berguna dapat membantu orang lain.

Dan terasa diri adalah ‘somebody’ apabila orang meminta nasihat dan dapat kami berikan nasihat.

Terasa seronok apabila ada sahabat-sahabat dan ahli keluarga yang nak pinjam duit, perlu dibantu alhamdulillah kami dapat bantu mana yang mampu.

Begitulah. Rezeki bukan hanya duit. Ada banyak cabang sedekah yang boleh kita terokai. Sumbangkan masa, sumbangkan tenaga, ilmu, senyuman dan kata-kata yang baik, semua itu adalah sedekah!

Pendek kata, apa-apa saja yang menyenangkan dan membahagiakan orang lain adalah sedekah!

Jadi, jangan rasa diri tak berguna. Jangan merintih dengan hidup yang kita rasa malang kerana berdepan masalah wang dan dikelilingi hutang.

Tapi bersyukurlah dengan rasa diri masih kaya kerana ada banyak lagi kebaikan lain yang boleh kita kongsi dengan orang.

Hiduplah memberi! Be ‘somebody’ in someone’s story!

Mingguan Wanita : Sedekah yang baik adalah memberi apa yang kita sayang, suka kepada orang lain.

Sumber/Foto : Bonda Nor

Published by
Netty Ah Hiyer