Diuji Mak Ayah Sakit Terlantar, Anak-Anak Kena Satu Hati

Share

Diuji mak ayah sakit sebenarnya adalah ujian untuk anak-anak juga. Bukan hanya untuk mak ayah itu sendiri. Pada saat ini, biasanya anak-anak sudah ada kehidupan bersama keluarga masing-masing. Sibuk dengan karier yang mungkin sedang berkembang. Apabila tiba-tiba mak atau ayah jatuh sakit, tentu secara tak langsung akan merubah kehidupan keluarga besar itu secara keseluruhan.

Jangan Anggap Beban!

Menjaga mak ayah yang sakit bukan satu perkara yang mudah tapi jangan anggap ia beban. Sebaliknya, kena ingat, itu adalah ruang yang Allah berikan pada anak-anak untuk menabung pahala untuk akhirat kelak. Rugi kalau anak-anak tak rebut peluang itu.

Tak Mudah, Perlu Kudrat

Ya, memang betul. Jaga orang sakit bukan mudah lebih-lebih yang dah terlantar. Ia tak sama dengan menjaga bayi. Kalau bayi, kita tak perlukan tenaga yang banyak untuk uruskan mandi dan sebagainya. Bila jaga orang tua, memang perlukan tenaga lebih-lebih lagi kalau kena angkat mereka untuk dimandikan dan sebagainya. Tapi anak-anak kena sentiasa ingat dalam diri, tiap khidmat kita untuk mak ayah yang sakit itu, ganjaran pahala besar menanti!

Baca sini lagi:

Waktu Mak Ayah Sakit Tak Nak Jaga, Dah Tiada BEREBUT Tuntut Harta Pusaka

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

 

Sabar..Sabar…Sabarlah Diuji!

Sekali lagi, sangat mencabar bila jaga orang tua yang sakit. Mungkin tubuhnya tak larat, tapi mulutnya masih bercakap. Bila sakit, emosi juga tak stabil. Mulalah anak yang menjaga jadi mangsa. Sabarlah. Anggap itu cara dia nak luahkan tekanan terhadap dirinya yang sakit. Dulu bebas bergerak, kini serba serbi perlukan bantuan orang lain.

Tak terfikirkah anak-anak, mungkin mak ayah itu tertekan kerana mereka sedar mereka telah menyusahkan anak-anak dengan keadaan mereka itu? Sebab itu mungkin mereka marah-marah sebenarnya mereka ‘marahkan’ keadaan diri mereka sendiri. Jadi sabarlah!

Anak-Anak Kena Satu Hati Bila Diuji

Mungkin ada orang tertentu yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga mak ayah sakit itu. TAPI INGAT! Yang lain jangan lepas tangan ye! Ada yang cakap, dia sibuk dan dia hanya boleh sumbangkan duit saja. Oh tidak! Tak sama ye. Dia sepatutnya kena ada giliran untuk jaga mak ayah itu juga, sama dengan adik beradik yang lain.

Sebaiknya, ringankan beban yang menjaga itu dengan cara tertentu. Misalnya bergilir menjaga mak ayah itu pada hari cuti. Misalnya bawa mak ayah itu ke rumah sendiri pula. Kena ingat, jaga orang sakit ini bukan saja penat fizikal, mental pun penat. Jadi adik beradik lain kena bertimbang rasa.

Atau bawa makanan dan barang keperluan lain ke rumah si penjaga itu. Tentu besar hatinya. Bukan dia minta tapi itu menunjukkan adik beradik lain menghargai jasanya menjaga mak ayah.

Sebaiknya, peruntukkan sedikit sagu hati pada si penjaga yang menjaga itu tanda penghargaan daripada adik beradik yang lain.

Sentiasa Berbincang

Jangan lepas tangan soal menjaga mak ayah sakit pada seorang saja. Kalau ada 10 empat beradik, kena empat  orang ambil peduli. Sentiasa berbincang tentang keadaan mak ayah, peruntukan bulanan untuk mak ayah dan sebagainya. Apa juga masalah yang timbul, selesaikan secara berbincang. Tak susah pun, ada whatsapp grup kan?

Setiap adik beradik itu kena menyumbang dan main peranan. Jangan asyik bagi alasan itu ini saja. Kena ingat, itu adalah mak ayah semua. Bukan seorang adik, abang atau kakak saja.

Pikul Tanggungjawab Bersama

Selain itu, tak timbul soal anak lelaki yang patut jaga dan anak perempuan lepas tangan. Tanggungjawab adalah bersama. Apatah lagi kadangkala mak ayah itu lebih selesa dengan anak perempuannya berbanding diuruskan oleh menantu perempuan. Berbincang elok-elok dengan suami.

Kalau suami tu betul-betul bertanggungjawab, dia takkan sesekali membantah isterinya menjaga mak ayah sendiri. Walau pun syurga isteri pada suami, tak bermakna terputus hubungan anak perempuan dengan mak ayahnya lepas kahwin. Tidakkah berdosa si suami kalau dia punca isterinya jadi anak tak mengenang budi? Sebaliknya, suami kena sedar, dia pun akan dapat pahala. Bahkan, percayalah. Bila jaga orang tua, rezeki yang masuk mencurah-curah tanpa kita sedar.

 

 

Published by
Nurul Azwa