Diuji dua kematian anak & seorang oku, Azimah akui hidup perlu diteruskan walau susah. Hidup tidak selalunya indah namun Allah tidak akan membebankan umatnya dengan sesuatu yang di luar kemampuan kehidupan.
Namun di sebalik ujian, jangan sesekali pernah berputus asa. Inilah pegangan hidup ibu tunggal, Azimah Abd Rahim, ibu tunggal yang viral kerana membawa anak tunggalnya, Nur Ainul Zahirah Rashidi berusia enam tahun yang diuji masalah penglihatan kekal sejak lahir.
Dalam satu pertemuan bersama Mingguan Wanita di Persatuan Orang Buta Jalan Tun Sambathan tempat anaknya bersekolah sebentar tadi, dia kekal bersemangat mencari rezeki buat anak tunggalnya itu.
Mengakui sudah 11 pengasuh anaknya yang “angkat kaki” kerana tidak mampu menjaga anaknya yang hyperaktif, Azimah akui terpaksa membawa Zahirah bersamanya ketika menghantar pesanan makanan pelanggan kerana dirinya tiada pilihan lain.
“Kelas anak bermula jam 8 pagi. Lepas hantarnya ke MAB, saya memulakan kerja. Kemudian bila Zahirah habis kelas sebelah tengahari saya bawanya bersama. Kami terpaksa berhujan berpanas ketika menghantar makanan sebab tiada siapa mahu jaganya.
“Sekarang musim hujan, kalau lebat sangat saya akan pakai baju hujan. Biasa anak akan basah di bahagian kaki saja. Alhamdulillah, di saat mungkin ramai yang risau tentang keselamatannya, anak syurga saya ini jarang sekali demam walau berhujan berpanas. Sebaliknya saya yang akan demam,” katanya ramah bercerita.
Jelas Azimah, dalam sebulan pendapatannya sekitar RM1000 lebih ke atas hasil menghantar makanan kepada pelanggan dan alhamdulillah, rezeki itu mencukupi.
“Cerita saya diuji dengan kesusahan ini bermula dari PKP. Sebelum ini saya kerja di kedai dobi. Tapi bila tutup dah tak ada sumber pendapatan. Sampailah saya pinjam duit orang nak jadi penghantar Food Panda.
“Sebenarnya memang susah kalau miskin kerana kita hilang arah tujuan. Tapi alhamdulillah, Allah lorongkan satu persatu dan membuka jalan buat saya. Nasihat saya buat ibu tunggal lain, sentiasalah berfikir untuk mengubah kehidupan kita walau susah bagaimana pun. Hidup memang tak selalu indah tapi kita perlu terus berusaha. Insya Allah ada rezeki,” katanya.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI : – Elak Fitnah & Salah Sangka Mas Anizan Kini Ibu Tunggal “Suratan Takdir. Allah Tentukan Segalanya”
Diuji dua kematian anak
Nasibnya dalam perkahwinan mungkin tidak seindah orang lain. Dua perkahwinannya musnah bahkan dua anaknya sudah menjadi ahli syurga.
“Yang sulung meninggal dalam perut masa enam bulan lebih. Kedua hanya sempat tengok dunia 17 hari saja. Dan tinggallah Zahirah yang menjadi pengarang jantung hati saya. Saya dapat tahu dirinya kekurangan ketika di akhir kehamilan kerana doktor dapat mengesan kelainan pada kandungan.
“Bila buat scan 4D, nampak masalah matanya. Bila lahir doktor minta saya beristigfar dahulu tapi sebaik saya melihat Zahirah, saya terus mengucapkan syukur pada Allah. Dia sumber kekuatan saya. Usianya tiga hari ayahnya tinggalkan dia. Sampai sekarang tak pernah jumpa-jumpa pun anaknya.
“Saya kuat hari ini kerana mendengar nasihat arwah Mama. Kata Mama, hidup susah bagaimana pun perlu diteruskan. Jangan pernah mengalah atau jatuh. Allah beri kita kudrat jadi dengan kudrat itulah saya gunakan cari rezeki buat anak-anak.
Baiknya seakan memahami kesusahan ibu membesarkannya sepanjang temuramah kami, Zahirah akan leka mencium bau duit seringgit yang seakan mainan plastik baginya dan dia akan membuat hal sendiri.
Bersyukur dibantu orang ramai
Kala kisahnya viral, Azimah bersyukur dibantu banyak pihak termasuk semalam dari Ustaz Ebit Lew yang menghadiahinya sebuah kereta Viva.
“Insya Allah saya nak buat Lalamove dengan kereta tu. Jadi boleh bawa barang kepada pelanggan. Masa yang sama, tak adalah anak saya berhujan berpanas lagi selepas ini. Banyak juga orang perseorangan bantu. Bahkan pihak JKM juga dah naikkan bayaran bulanan saya sebanyak RM500 selepas kisah ini viral. Sebelum ini hanya RM200 sahaja. Mereka naikkan RM150 lagi untuk saya dan RM150 lagi untuk pendidikan Zahirah,” katanya yang bakal bertemu Permaisuri Selangor dalam masa terdekat selepas dijemput ke istana selepas kisahnya tular.
Kesusahan orang lain adalah ujian buat kita yang diberi kesenangan. Bagi yang mempunyai rezeki lebih dan ingin menyumbang kepada Azimah dan anak syurganya ini, boleh salurkan ke akaun Bank Islam 14180020200310 iaitu namanya Azimah Abd Rahim.