Diuji Anak Autisme, Penat Kalau Cari Punca, MakAyah Kuatlah Untuk Bangkit

Share

Segelintir mak ayah diuji anak autisme. Tak mudah untuk mak ayah lalui proses membesarkan anak istimewa ini. Sepanjang masa kesabaran diuji. Malah, jadi penat bila asyik mencari punca.

Guru Besar SK Pekan Nanas, Firdauz Abdullah juga diuji anak autisme. Apabila anaknya, Matiin disahkan autisme. Dan ini yang ayah ini lakukan.

Perasaan Aku Bila Tahu Matiin Seorang Autisme

Pernah ada yang bertanya, apa perasaan aku bila tahu Matiin seorang autisme.
Sedih? Kecewa? Redha?

Jujur aku boleh kongsi disini, semua itu terbit dalam masa yang sama. Ibu atau bapa manalah yang tak akan gusar kan?

Tiba-tiba dunia rasa gelap gelita dan seolah-olah dunia tak adil untuk kita. Pelbagai persoalan mula terbit diminda.

Lagi memburukkan keadaan bila pasangan mula menyalahkan antara satu sama lain, yang ini lagilah menyedihkan.

Korang yang sedang melalui fasa ini janganlah terus menyerah kalah apatah lagi terus menyalahkan apa yang dah pun berlaku.

Patutlah Guru Besar sedia tengokkan, benarkan cikgu bawa anak ke sekolah.

Kalau Cari Punca, Mak Ayah Akan PENAT

Kalau hendak mencari punca, kau akan penat. Yelah, autisme belum ada faktor khusus yang menjadi penyebabnya hingga kini. Kalau ada pun cuma faktor risiko sahaja, itu pun terlalu banyak kemungkinan.

Sedih tu biarkanlah ia berlalu pergi, sampai bila nak ditanggung? Luahkanlah kepada pasangan atau sahabat biar kurang bebanan yang ada.

Kalau disimpan, kuatir ia menjadi punca kepada stress dan seterusnya makin teruk hingga membawa kepada kemurungan. Kesannya, anak syurga kita juga yang akan terabai.

Pesan aku, kita cari kekuatan untuk bangkit. Lihatlah wajah anak itu, dan fikirkanlah masa depan mereka. Cari jalan bagaimana mereka boleh dibantu, apa bentuk sokongan yang boleh diberi.

Mulakanlah dari keluarga, ibu bapa perlu bersama dan mempunyai kesefahaman dalam merancang apa yang perlu dicapai oleh anak ini. Adik beradik perlu tahu bahawa ada antara mereka ini adalah begitu istimewa sekali. Rapatkan jurang dengan kasih sayang.

Masa tidak akan menunggu kita, maka rancangan jangka masa pendek dan juga panjang perlu ada. Pendek kata, rancanglah sesuatu untuk anak ini capai bersama kita. Janganlah dibiarkan sahaja atau menafikan hak anak ini.

Sudahkan anak kita ini pandai mengurus diri? Bagaimana dengan kemahiran mereka ke tandas? Anak kita pandai meminta atau berkomunikasi jika mahukan sesuatu? Adakah anak ini tahu menyatakan perasaan mereka?

Apa Lagi Mak Ayah Boleh Bantu

Persoalan-persoalan di atas perlu ditanya kepada diri kita dan pasangan. Jadikan ia sebagai motivasi untuk membantu anak syurga kita agar dapat mereka menjalani kehidupan bersama-sama orang disekelilingnya.

Usah membanding anak ini dengan yang lain, fokuskan pencapai mereka dengan apa yang telah kita rancangkan. Biarpun perkembangannya tidaklah sebesar mana jika dibanding dengan anak yang lain, ketahuilah.. ia sebenar begitu bermakna buat mereka. Teruskan!

Seterusnya, carilah ilmu dan bina ‘support system’ antara guru – ibu bapa juga ibu bapa – ibu bapa. Dari sinilah kita dapat berkongsi pula pengalaman dan ilmu yang ada.
Banyak kumpulan sokongan yang ada diluar sana, contohnya Autisme Malaysia, NASOM, IDEAS,

Yayasan Faqeh, PPIJB dan macam-macam lagi termasuk yang tersedia di hospital dan sekolah. Lebih mudah juga untuk kita bangkit pabila rasa hampir berputus asa dengan adanya sokongan dari mereka yang faham dan berada dalam situasi yang sama.

Pengalaman kami dahulu, waktu inilah segala jenis bengkel kami sertai untuk memperoleh ilmu dalam intervensi awal serta terapi pertuturan.

Macam-macam jenis kelas juga kami hantar Matiin untuk membantunya serta bagi kami teruskan pula intervensi tersebut dirumah melalui apa yang diperhati dan diajar kepada kami.

Yelah, benda ini bukan hanya usaha sebelah pihak, walau semahal mana sekalipun yuran terapi yang dibayar.. ia bukan jaminan untuk perkembangan anak. Sebaliknya, masa bersama ibu bapa lah merupakan masa terapi terbaik untuk anak-anak ini.

Diuji Anak Autisme.. Jangan Bersedih Terlalu Lama

Paling penting, jangan berputus asa, jangan bersedih terlalu lama, jangan juga menyalahkan sesiapa termasuk anak itu! Jangan! Jangan! Jangan!

Bina kekuatan dari kesedihan, dan ketahuilah anak kita adalah anugerah terindah dalam seluruh kehidupan ini. Pimpinlah mereka hingga mereka mampu berdiri sendiri walaupun ia akan mengambil seluruh masa kita, kerana percayalah.. perancangan Tuhan itu adalah sebaik-baik perancangan.

Kepada ibu bapa yang sedang berada di dalam situasi seperti aku, meh kita sama-sama menyokong antara satu sama lain. Mulakan dengan melayari laman web kami Genius Kurnia 

di pautan ini,
https://iautism.my/
https://iautism.my/

Pelbagai jenis maklumat yang boleh kau perolehi mengenai autisme dan bagaimana anak-anak ini boleh dibantu. Selain itu, ibu bapa dan guru juga boleh mendapatkan pelbagai jenis latihan dalam talian di sana.

Segala jenis latihan yang disediakan adalah untuk membantu ibu bapa, guru dan orang ramai bagi memahami apa itu austime dan bagaimana intervensi awal boleh membantu mereka. Semua ini disediakan oleh mereka yang semestinya pakar dalam bidang ini.

Akhir kata, teruskan pejuangan ini. Tanpa anak-anak ini, tidak mungkin kita akan melihat dunia dari pelbagai sudut. Tidak mungkin juga kita akan menghargai sekecil-kecil perkara di sekeliling kita. Tidak mungkin juga kita akan menjadi orang yang sabar dan begitu empati kepada orang disekeliling kita.

MW : Besar pahala mak ayah yang kekal bersabar diuji anak autisme , membesarkan anak-anak istimewa kiriman tuhan ini dengan penuh kekuatan jiwa.

Sumber/Foto : Firdauz Abdullah

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
Netty Ah Hiyer