Menurut laporan awal di dada akhbar, seorang guru wanita mati dipercayai dibunuh dalam rompakan di rumahnya di Kampung Banggol, Jeneri di sini, tengah hari semalam. Mangsa dikatakan disamun dan dibunuh apabila terdapat kesan darah pada mulut mangsa selain keadaan bilik mangsa yang berselerak.
Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Fauziah Yop, 46, ditemui di dalam bilik dalam keadaan menelungkup dengan badan di atas katil dan kakinya di bawah, oleh anak perempuan bongsunya berusia 14 tahun yang baru pulang dari sekolah bersama bapanya.
Peniaga, Muhd Shukri Zakaria, 24, yang berada di kedai runcit kira-kira 10 meter di belakang rumah mangsa, bersama tiga penduduk lain bergegas ke rumah guru berkenaan selepas dipanggil anak bongsu guru terbabit.
“Sebaik tiba, saya lihat keadaan rumah berselerak dan ada laci yang terbuka. Ketika kami masuk ke dalam bilik, suami mangsa yang kami kenali sebagai Cikgu Hamzah sedang memangku mangsa sambil menangis.
“Keadaan dalam bilik itu juga berselerak seperti digeledah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Muhd Shukri berkata, mereka membantu mengangkat mangsa ke atas katil sebelum meminta bantuan jiran menghubungi polis.Beliau tidak mendengar bunyi jeritan sebelum itu walaupun gerai ayam miliknya terletak berhampiran rumah mangsa.
“Saya dan rakan ada nampak suami mangsa keluar menjemput anak di sekolah kira-kira jam jam 12.30 tengah hari.
“Arwah adalah pelanggan saya dan peramah orangnya, dia selalu datang ke gerai membeli ayam,” katanya.
Suami mangsa bagaimanapun enggan ditemuramah kerana tidak mahu membaca berita kematian isterinya di media.
“Saya tak mahu cerita apa-apa, saya tak sanggup baca berita mengenai kematian isteri saya,”
katanya dalam nada sebak.Hamzah dilihat keluar dari rumahnya untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik kira-kira jam 6.30 petang.
Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman, siasatan awal mendapati, ketika ditemui mayat mangsa dalam keadaan tertiarap di atas katil sebuah bilik dan masih memakai kain telekung. Mangsa, Fauziah Yup, merupakan guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Padang Chicak, Jeneri.
Menurut Abdul Razak, sebelum kejadian iaitu sekitar jam 12 tengah hari, suami dan anak mangsa keluar meninggalkan mangsa seorang diri di rumah. Jelasnya, kira-kira jam 1.30 petang, suami dan anak mangsa yang pulang ke rumah terkejut apabila mendapati mangsa dalam keadaan tersebut.
Pada awalnya, suami mangsa menyangkakan isterinya sedang tidur. Bagaimanapun sebaik mengejutkan mangsa, suaminya mendapati tiada tindak balas dari isterinya lantas dia terkejut apabila dapati mangsa sudah tidak bernyawa.
Hasil siasatan awal terdapat kesan barangan berselerak dipercayai akibat digeledah.Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Namun terkini, dilaporkan kematian guru tersebut di rumahnya di Kampung Banggol, Jeneri, Sik petang semalam tidak membabitkan unsur jenayah.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘Coronary Atherosclerosis’ atau kegagalan arteri pada jantung. Katanya, tiada juga kecederaan lain pada tubuh mangsa.
MW: Ajal maut di tangan tuhan. Salam Takziah buat keluarga mangsa, semoga tabah menghadapi ujian ini.
Sumber:Bharian, Astro Awani, Hmetro