“DiTemui Berjubah Putih, Meninggal Dalam Sujud Solat Dhuha.” Arwah Aktif Jalankan Kerja Kebajikan

Share

Ditemui berjubah putih, meninggal dalam sujud solat dhuha.” Arwah aktif jalankan kerja kebajikan selama ini. Allahuakbar, orang yang baik, perginya juga dalam keadaan yang baik.

DiTemui Berjubah Putih

Pengurus Kanan Jabatan Kewangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meninggal dunia ketika sujud solat Dhuha di rumahnya di Segambut, pagi semalam.

Shukri Sulaiman, 51, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakannya pada 10 pagi.

Difahamkan, arwah yang aktif dengan kerja kebajikan mendapat cuti sakit selepas mengalami demam sejak beberapa hari lalu.

Gambar Ihsan Pembaca

Meninggal Dalam Sujud Solat Dhuha

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, polis menerima laporan daripada rakan mangsa yang ke rumahnya untuk menghantar makanan.

“Rakannya mengatakan selepas beberapa kali panggilannya tidak dijawab, dia meminta bantuan jiran untuk masuk ke dalam rumah Shukri.

“Apabila masuk ke dalam rumah didapati mangsa sudah tidak sedarkan diri dalam biliknya dalam keadaan bersujud dan memakai jubah putih,” katanya.

Tambah Beh, jenazah Shukri kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan proses bedah siasat akan dijalankan esok.

Artikel Berkaitan:

Kematian ‘Dicemburui’, Ditemui Meninggal Dunia Ketika Sujud Solat Dhuha!

Raih Pingat Perak, Azizulhasni Awang Sujud Syukur, Rezeki Berganda Isteri Hamil Anak Ketiga!

Arwah Aktif Jalankan Kerja Kebajikan

Dalam masa yang sama, Puan Siti Suryani Yaakob turut berkongsi rasa akan kematian yang dicemburui ini. Luahnya:

Semalam terbaca kisah Allahyarham Shukri Sulaiman. Siapa beliau?

Arwah ialah Pengurus Kanan Jabatan Kewangan KWSP. Ditemui meninggal dunia oleh sahabatnya. Dalam pakaian jubah putih. Ketika sedang sujud. Saat solat sunat Dhuha.

Cari Ibadat Yang Kita Suka

Baca kisah ni teringat pada post saya beberapa tahun lepas. Saya kongsikan semula di sini.

Pengasas Dnars, Faziani Rohban Ahmad. Meninggal dunia dalam kepenatan saat beliau berulang alik memberi sedekah di Thailand.

Pemandu kepada pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Abd Ghani Ngah. Meninggal dunia ketika sedang menunaikan solat tarawih.

Aishah Bahar. Gadis Indonesia yang meninggal sebaik selesai membaca Al-Quran seusai solat Subuh. Satu amalan yang tak pernah beliau tinggalkan seada usia.

Ahmad Ammar. Meninggal dunia ketika sedang dalam perjalanan ke kuliah. Anak muda yang bercita-cita besar untuk agama. Allah pilih jasadnya untuk bersemadi di makam para sahabat dan pembesar utama Turki.

Diberikan Kemudahan Lakukan Dhuha

Kisah Arwah Shukri Sulaiman sama seperti kisah di tempat saya bekerja.

Ada seorang Medical Assisstance (MA).

Arwah ini orang yang disenangi. Sebab tak sombong dan mudah berurusan dengan beliau.

Satu hari, kami dikejutkan dengan berita kematian arwah. Di surau tempat kerja. Sebaik habis menunaikan solat sunat Dhuha.

Sahabat-sahabat kata, arwah memang tak pernah tinggal solat tu. Ajaibnya dalam sibuk-sibuk bekerja, arwah terlihat sentiasa diberi kelapangan rezeki untuk menunaikan Dhuha.

Sentiasa Allah beri kemudahan itu.

Buat, Jangan Tinggal

Saya teringat Ustaz Don pernah nasihat dalam satu ceramahnya….

Kita ni manusia biasa. Biasa sangat-sangat. Bukan Rasul. Kita bukan Nabi. Bukan sahabat. Kita bukan solehin. Bukan tabiin. Malah bukan alim ulama. Bukan ustaz ustazah. Dan bukan siapa-siapa pun.

Jadi, fahamlah kalau kita punya tahap ibadah tak setaraf dengan golongan di atas.

Tapi, kita mesti cari satu ibadah yang kita suka dan senang nak buat. Ikut kederat kita. Mampu kita. Masa kita. Mesti.

Bila dah jumpa, kita amalkan dengan istiqomah. Buat sampai jadi sebati dalam diri. Istiqomah ni maksudnya bila kita tak buat, kita jadi susah hati. Macam ada benda yang tak selesai untuk hari itu.

Buat Hingga Jadi Tabiat

Kalau senang mengaji, mengaji.
Jika senang sedekah, sedekah.
Kalau senang solat sunat, solat.
Jika senang puasa, puasa.
Kalau senang tolong orang, tolong.
Jika senang zikir, zikir.
Kalau senang berjemaah, pergi.

Buat dan buat dan buat. Jangan tinggal. Biar dia jadi kawan paling rapat kita di mana-mana. Yang bila kita tak tinggal dia, dia tak sampai hati nak tinggal kita. Allah sentiasa lorongkan kemudahan dan ruang untuk buat walau sesempit apa pun.

Berdoalah. Semoga kita mati dalam amalan yang kita selalu buat ni. Dengan sahabat baik yang kita tak pernah tinggal ni.

Begitu saya rasa nasihat Ustaz Don ini kena tepat dengan kisah kematian yang seperti di atas.

Meninggal masa sedang buat amalan yang mereka selalu buat. Yang mereka suka buat. Yang mereka jadikan sahabat.

Tanam niat. Faham matlamat. Buat sehabis keringat. Biar sampai jadi tabiat.

Siti Suryani Yaakop

Mingguan Wanita : Kisah-kisah begini seharusnya menjadi inspirasi dan peringatan buat mak, ayah semua. Semoga kita juga mendapat pengakhiran yang baik. Insyallah.

Sumber : myMetro, Siti Suryani Yaakop

Follow kami di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita

Published by
Nur Syazwani Mehat