Disiplin, Fokus & Doa. Tiga Cara Faye Kusairi Kuasai Watak Antagonis

Share

Kurang muncul di kaca televisyen sebaliknya sibuk berniaga. Itulah yang boleh diperkatakan mengenai Faye Kusairi, pelakon wanita yang berasal dari Miri, Sarawak ini. Malah sejak mendirikan rumahtangga dan dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Alif Azmi, kehidupan wanita berusia 32 tahun ini mula berkisar mengenai anak kesayangannya itu.

Faye Kusairi atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Binti Awang Kusairi memulakan kerjaya lakonan beliau melalui filem Cinderella arahan Ahmad Idham. Namanya mula dikenali ramai apabila membintangi drama bersiri Istikharah Cinta.

MW : Bagaimana dengan bidang seni, tidakkah Faye rindu untuk aktif semula dalam bidang seni?

FAYE: Rindu. Mestilah rindu. Saya ada sahaja melakukan penggambaran. Tetapi sikit-sikit sahaja berlakon. Tetapi pada bulan Disember 2019 ini saya akan mula melakukan penggambaran drama 7 Hari Mencintaiku 2. Drama ini bakal ditayangkan pada bulan Ramadan 2020. Saya kembali dengan watak Syakila. Ini watak antagonis. Saya gembira walaupun diberi peluang melakonkan watak antagonis. Untuk membawakan watak antagonis sebegini tidak mudah. Saya perlu berdisiplin, fokus dan doa banyak-banyak agar watak yang dibawakan itu berkesan.

MW: Setelah memiliki seorang cahayamata, bagaimana kehidupan sebagai seorang ibu dan juga isteri. Apa cabaran yang dihadapi?

FAYE: Alhamdulillah. Walaupun agak mencabar dengan keadaan saya juga memulakan bisnes baru ini. Tetapi anak saya bukan cerewet malah sangat-sangat mudah untuk diuruskan. Lagipun suami saya turut memberi kerjasama yang tinggi untuk membantu menjaga anak kami bila saya outstation.

Cabaran yang saya hadapi apabila saya mula berlakon, berniaga, berlumba dan pada masa yang sama suami turut bekerja. Saya terpaksa membuat keputusan berulang-alik ke Miri untuk menghantar anak dan menjenguk anak. Saya minta tolong mama yang tinggal di Miri untuk menjaga anak saya.

Sejak kehadiran anak ini saya seronok jadi ibu sebab ada sahaja karenah dia yang perlu saya layan. Banyak yang saya belajar daripada anak saya ini. Banyak juga yang perlu saya ajar dia. Pendek kata hidup bertambah dengan aktiviti menarik dengan anak saya ini.

Faye Kusairi

MW: Apa yang Faye buat untuk mencari ketenangan. Apa aktiviti yang sering Faye lakukan dan kenapa pilih aktiviti tersebut?

FAYE: Macam selalu tenang sahaja saya rasa. Tetapi saya tidak nafikan yang saya memang banyak melakukan aktiviti. Saya sentiasa aktif dengan aktiviti sukan badminton dan permotoran.

MW: Kelihatannya Faye sibuk dengan bisnes menjual produk jamu. Mengapa pilih produk jamu?

FAYE: Memang saya sibuk dengan produk yang diusahakan bersama rakan kongsi. Produk kami diberi nama Aura Kasih Jamu Warisan. Rakan-rakan kongsi saya semuanya selebriti yang terdiri daripada Wan Sharmila, Nina Iskandar, dan Ezlyn Ariffin.

Kenapa pilih jamu? Secara tradisional dulu jamu adalah seperti supplement dan ia merupakan satu keperluan untuk setiap wanita. Tetapi memandangkan kami semua generasi baru, maka kami mengeluarkan produk jamu moden bukan sebab untuk wanita sahaja. Lelaki pun boleh mengamalkan pengambilan jamu ini.

Kami kategorikan produk ini sebagai jamu bukannya supplement sebab di dalamnya tidak ada bahan kimia atau ubat dalam ramuan bahan-bahan yang terdapat dalam produk kami ini.

Saya bersyukur sambutan yang diberikan kepada produk ini semenjak kami lancarkan pada bulan April 2019 hingga kini amat memberangsangkan, lagi-lagi di negara jiran.
Alhamdulillah kini produk ini baru hendak berkembang di negara kita.

MW: Apa amalan kecantikan dan kesihatan yang diamalkan oleh Faye?

FAYE: Tidak ada rahsia. Saya hanya melakukan rawatan wajah di Salun Abadi Indah dan Aura Kasih sahaja. Demi Allah.

MW: Faye pernah melalui kontroversi. Bagaimana Faye menghadapinya?

FAYE: Cliché. Tetapi saya laluinya dengan kepercayaan penuh kepada Allah SWT. Saya percaya Allah menduga saya dengan fitnah yang telah dilemparkan untuk saya ‘naik taraf’iman saya. And to make sure I grow maturely and wisely.

Published by
julie roshana Shafee