Dua kali wanita ini, Aziah Ismail bergelar ibu tunggal. Perkahwinan pertamanya tidak bertahan lama, atas sebab-sebab tertentu dia dan bekas suaminya memilih untuk berpisah. Hasil perkahwinan pertama itu, beliau dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Nur Salman Farizzi yang kini sudah pun berusia 17 tahun.
Setelah 12 tahun menggalas tanggungjawab selaku ibu tunggal, tidak pernah terlintas di benak Aziah untuk kembali berumah tangga. Wanita ini tidak menyangka dia kembali berstatus sebagai seorang isteri apabila kembali bertemu jodoh dengan suami keduanya, Mohd Taufiq Mustafa. Mereka kemudian diijabkabulkan pada 6 September 2013.
Dikurniakan seorang suami yang menenangkan hati, prihatin, penyayang, menerima anak sulungnya seperti darah daging sendiri menjadikan hidupnya diulit bahagia. Panas yang disangka bakal berpanjangan, hadir di tengah harinya badai musibah yang menguji. Siapa sangka suami yang tampak sihat dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius, tiba-tiba diserang sakit dada tanpa sebab munasabah.
Menurut Aziah, ketika usia perkahwinannya menginjak ke angka enam tahun, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan dan hamil anak ke dua berusia tujuh bulan. Belum pun sempat melahirkan anak ke dua, suaminya pula berhijrah selamanya ke alam abadi.
“Siapa yang tak terkejut, dia seorang yang sihat dan tidak merokok. Suami juga tidak pernah mengalami sakit serius yang mengakibatkan dia perlu dimasukkan ke wad untuk tempoh yang lama. Pada mulanya doktor memaklumkan, suami menunjukkan tanda-tanda batuk kering. Saya juga dimaklumkan sekali lagi oleh doktor, suami dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan bagi memerangi kuman tibi.
“Ketika itu saya sedang sarat hamil anak ke dua, ujian ini benar-benar menguji kekuatan dan mental saya. Setelah beberapa rawatan susulan di hospital swasta, atas rujukan dan nasihat beberapa orang terdekat…saya membawa suami mendapatkan pemeriksaan lanjut ke hospital kerajaan. Apa yang mengejutkan, selama ini saya diyakinkan oleh pakar perubatan suami saya mengalami tibi, punya peluang untuk sembuh tetapi mengambil sedikit masa.
“Menggunung harapan disandarkan kepada suami. Saya sentiasa bisikan di telinga suami, kuatlah demi saya dan anak-anak termasuk anak dalam kandungan ini. Saya mengharapkan suami kembali pulih dan dapat menemani saya melahirkan zuriat keduanya kelak. Tetapi impian saya musnah sebaik doktor mengesahkan suami saya bukan mengalami penyakit batuk kering, sebaliknya disahkan sedang mengalami kanser paru-paru dan di tahap empat,”kongsinya dengan getar suara hiba.
Khabar ini amat sukar dihadam Aziah. Apa yang menyedihkan dan merisaukan sejauh mana masa yang bersisa untuk suaminya terus bertahan. Doktor memberi sela masa sekitar tiga ke enam bulan. Sebaliknya tanpa sempat menyusahkan si isteri menjaganya, kondisi Taufiq kian merosot. Akhirnya lelaki itu kembali ke pangkuan Illahi setelah enam hari disahkan kanser paru-paru.
“Dia bekerja dalam bidang oil and gas. Walaupun rutin kerjanya sibuk, dia suami yang amat menyantuni isteri. Sebaik dia tiba di perkarangan rumah, perkara pertama yang akan dilakukan adalah menyapu dan membersihkan laman rumah. Kemudian dia akan angkat kain di ampaian, dan tanpa disuruh dia akan mula membantu saya mengemas rumah walaupun hakikatnya kita tahu dia baru balik kerja, tentunya dia pun penat.
“Sepeninggalannya ke tempat kerja, saya akan mengambil upah katering bergantung kepada tempahan pelanggan. Lazimnya saya siapkan tempahan itu sendirian. Memori paling sukar nak dilupakan adalah cara dia menenangkan dan menghargai saya. Dengan penuh kasih sayang dia akan mengelap peluh di dahi saya, sambal mengucapkan kata-kata terima kasih kerana sanggup bersusah payah bersamanya.
“Selalu dia ucapkan pada saya yang saya takkan bersusah-susah selamanya…dia akan bahagiakan saya seadanya. Dia suami yang baik, lemah lembut tutur kata, bagaimana dia menjaga tutur katanya dengan ibunya…begitulah dia menyantuni saya. Anak sulung saya dilayan sebaiknya macam darah dagingnya. Pada orang yang bertanya, dia menerangkan anak sulung saya anak sulung kami berdua. Tidak ada istilah anak tiri buatnya.
“Dia juga merupakan anak tunggal, kematian bapa ketika usianya masih lagi bayi. Pemergiannya secara tiba-tiba, tanpa menyusahkan saya…benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat saya dan ibunya. Seperti mana janjinya pada saya, anak-anak dan ibunya…Alhamdulillah segala kebajikan kami dan keperluan kami dijaga baik walaupun dia sudah tiada,”kongsi Aziah tentang sisi istimewa suaminya yang di rindui.
Usai pemergian suami, tibalah masa dirinya melahirkan zuriat kedua. Jika sebelum ini kelahiran puteri pertama, Sarah Aleesya diiringi suami tercinta, kali ini hanya baju peninggalan arwah suami menjadi penemannya berjuang di kamar bersalin.
“Sedih, rindu dan sayu menjadi emosi yang bermain di fikiran ketika saya perlu berjuang sendirian di bilik bersalin. Tidak ada lagi suami yang menemani. Hanya memori dan baju peninggalan arwah menjadi peneman saya. Atas izin doktor saya membawa baju arwah dan doktor sedia maklum kondisi saya yang baru kehilangan suami. Alhamdulillah, saya berjaya melahirkan zuriat ke dua kami, anak lelaki. Saya namakan anak ini dengan nama pilihan arwah iaitu Muhammad Gibran Umar yang lahir dengan sempurna pada 13 Mac 2019.
“Sebenarnya anak ke dua ini, rezeki tak diduga. Sepanjang kehamilan ke dua saya tidak mengalami sebarang alahan berbanding kehamilan sebelum ini. Suami pernah berkata, anak ini menjadi pengikat kasih kami berdua. Benarlah, anak ini menjadi pengganti dirinya. Ketika sedang berjuang melahirkan Gibran, hanya zikir dan doa menjadi kekuatan diri. Saya pujuk diri dan sentiasa bisikan La Tahzan…Innallaha Ma’ana, yang bermaksud “Janganlah Engkau Bersedih, Sesungguhnya Allah Bersama Kita”
sebagai penguat hati.“Sebaik melahirkan anak kami, saya kemudian di tempatkan di wad sebelum di benarkan keluar. Sepanjang menetap di wad tersebut, saya akan menarik tabir di antara katil saya dengan katil di hadapan terutamanya apabila suaminya datang melawat. Saya tidak ada suami yang akan datang melawat, perasaan itu sukar digambarkan. Saya hilang tempat mengadu, meluah apa sahaja perasaan dan berkongsi rasa. Sejujurnya, sebagai seorang isteri yang kehilangan suami, pesan saya…hargailah momen istimewa semasa anda masih punya suami. Layanlah dia sebaiknya, hargai segala perih jerihnya dan bahagiakanlah dia semampunya.
“Bila rindu datang…sesekali saya akan menziarahi kuburannya. Bersama anak-anak. Sarah seperti biasa akan mengucup nisan ayahnya, setiap kali datang dan sebelum kami berangkat pulang. Ada waktunya saya menghantar mesej ke nombor telefonnya, mengemas kini khabar terkini kami.
“Ya saya tahu, mustahil untuk dia membalasnya. Sebaliknya ia satu medium untuk saya meredakan rasa rindu tak bertepi terhadapnya. Buat arwah suami, terima kasih melayan saya umpama puteri sepanjang enam tahun yang manis. Semoga Allah terus menitipkan kekuatan demi anak-anak dan ibu mertua,” kongsi dengan Mingguan Wanita yang masih lagi menyesuaikan diri dengan kehidupan baru tanpa suaminya di sisi.