Diri TAK BERSALAH, Namun Isteri Ameng Pernah Ditahan Lokap, Di Penjara

Share

Terlibat dengan najis dadah menjadikan rumah tangga porak peranda, anak-anak dan keluarga hidup merana.Ibarat mati hidup semula, apabila berpeluang berubah dan bebas daripada menjadi hamba dadah.

Mingguan Wanita Talkshow jam 12 tengahari tadi ada mengundang penyanyi Ameng dan isterinya Sabariah berkongsi pengalaman dan detik hitam tersebut.

Hukuman penjara lima tahun dan disebat 10 rotan yang dijalankan serentak ketika di Penjara Kluang memberi pengajaran yang mendalam buat Ameng, vokalis kumpulan Spring yang pernah terjebak dengan najis dadah.

Peluang Perbaiki Diri

Bagi Ameng, nama popular Wan Aminuddin Wan Ismail,51 ia menjadi detik hitam namun memberi peluang untuknya memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

“Kadang-kadang saya terfikir, saya buat jenayah itu sebagai ‘alasan’ untuk dihantar ke penjara. Kita fikir positif lah iya. Kita belajar macam-macam perkara terutamanya ilmu agama.Sebelum masuk dalam penjara saya tak pandai baca Alquran langsung. Tapi selepas masuk penjara, atas dorongan ustaz dan rakan-rakan sendiri, saya boleh baca Al Quran dalam masa 4 bulan belajar, saya dah habis baca.Dan dalam masa setahun saya dah khatam beberapa kali. Saya memang bertemankan AlQuran.

“Sebab kita hidup terkurung dalam penjara.Tak tau nak buat apa.Dan kita pun hidup dalam tekanan emosi,sunyi dan rindu keluarga. Jadi penemannya lah Alquran. Alquran lah satu-satunya yang ada dalam penjara, bukan ada TV, radio, bukan ada apa. Jadi ada Quran tadi kita bacalah dan terus baca Alquran, sampai kita tak sedar, saya boleh khatam Quran dua kali sebulan.Dan saya duduk penjara selama 60 bulan..kali sendiri”

“Jadi saya rasa itu adalah peluang, disamping kita ada masalah dan masalah itu menjadi peluang. Jadi bukan sahaja melihat, saya boleh khatam quran banyak kali, tapi saya juga boleh berhenti dadah dan dalam penjara jugak tiada rokok. Saya jadikan ia satu peluang untuk saya berhenti,” jelas penyanyi lagu “Sampai Hati” ini.

Pengalaman Isteri Di Lokap, Di Penjara

Ameng, ketika itu didakwa bersama-sama isterinya Sabariah Zakaria, 50, bagi pertuduhan pindaan pertama dan kedua. Sabariah yang mengaku tidak bersalah kemudiannya dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadapnya.

Menceritakan kembali pengalaman pahit tersebut yang turut ‘mengheret’ isterinya terpalit sama. Menurut Ameng ketika itu dia berada dalam keadaan khayal, tidak sedar dan tak ingat apa yang berlaku.

“Undang-undang di Malaysia, sebelum kita jatuh hukum seisi rumah di bawa ke balai untuk menentukan siapa yang bersalah sebenarnya. Dalam masa proses untuk jatuhkan hukuman kepada siapa, sebab itulah dia (isteri) terpaksa ikut sekali masuk dalam lokap untuk direman. Dan proses pasal dadah ni, ia akan mengambil masa yang lama selalunya. Sebab ia nak cari bukti kimia, DNA dan mengambil masa berbulan-bulan,”

ujar Ameng.

Pengalaman Masuk Lokap & Penjara

Sebagai isteri, Sabariah pula berkata dirinya tidak tahu menahu bahawa ada ‘barang’ tersebut ketika di rumah, malah dirinya dicaj kena masuk lokap kerana berada bersama-sama Ameng ketika serbuan. Lebih memeritkan,dirinya juga terpaksa ditahan lokap dan duduk dalam penjara dua bulan walaupun dirinya tidak bersalah, sementara menunggu keputusan diumumkan.

“Sewaktu kena ambush dia (Ameng) tengah tidur. Saya tengah tidurkan anak ketika itu. Saya ‘kena'(ditangkap) sekali kerana didakwa bersubahat ketika itu”

“Bila bawa ke balai, saya kena urine dan saya rasa tak bersalah. Tapi bila waktu petang pihak polis suruh hubungi keluarga untuk menjaga anak.Ketika itu saya dicaj sekali kerana berada bersama dengan dia dalam bilik yang sama.Ketika itu arwah emak masih ada, dan dia yang mengambil anak dan bawa balik.”

“Detik itu saya ingat sampai sekarang, sangat sebak. Sebab kita tak bersalah selepas tu kena duduk 2 minggu (lokap) kemudian 2 bulan dihantar ke Penjara Sungai Udang, Melaka sebelum keputusan keluar. Sebab kita tak boleh duduk lokap lama. Kita dah duduk lokap terseksa, lepas tu dihantar ke Penjara Sungai Udang.

“Kita masuk kita tak rasa kita bersalah. Tak tau nak cakap apa. Iyalah kita tak bersalah cuma kita dicaj berada sama dengan suami.Memang diluar jangkaan kita keadaan penjara tu. Pukul 5 pagi kena bangun, dengan tak berselipar, duduk sama-sama dengan dengan orang bersalah.Dhaif sangat masa tu.Tapi masa tu kena dekat Penjara Melaka,Sungai Udang, itu antara penjara yang terbaru. Kita tidur atas katil, walaupun tiada bantal beralaskan tangan,” ujar wanita cekal ini.

Terima Suami Seadanya

Kebiasaannya bukan mudah untuk memaafkan dan menerima kembali suami apabila berlakunya detik hitam seperti ini. Namun tidak bagi Sabariah, dia tetap boleh menerima Ameng dengan hati terbuka, memberi sokongan dan menerima suaminya seadanya tanpa berbelah bahagi walau apa pun berlaku.

“Sebab saya rasa macam, dia terlibat benda itu, dah memang masalah dia.Cuma dia pergi sana untuk pemulihan.Bila dia datang,kita kena bagi sokongan. Saya rasa, saya dengan famili pun rasa masa tu boleh terima dia seadanya.Biar apa pun, walau apa pun berlaku,” jelas Sabariah menutup bicara.

Semoga kisah Ameng ini dijadikan pengajaran dalam kehidupan. Mati hidup semula, peluang kedua masih ada. Paling penting sokongan dari keluarga dan kekuatan diri sendiri untuk terus berubah.

Published by
Suhaidah Abd Wahab