Diri Sendiri Rugi Aibkan Pasangan Di Media Sosial, Peguam Terang Kesannya

Share

Suami isteri yang berdepan konflik perhubungan kena belajar tahan hati. Dari berkongsi masalah di media sosial. Ingat! ianya takkan pernah membantu pun.

Peguam Syarie ini, Khairul Fahmi Ramli berkongsi info yang jelas mengapa tindakan sebegini akhirnya akan merugikan diri sendiri.

Perangai Cerita Hal Dalam Kain Di Media Sosial

Biasa dengar kan, pepatah Melayu berkata, menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri jua. Maksudnya adalah, nak dedah aib orang lain, tapi yang kena tepias pada diri sendiri juga. Macam tu lah yang berlaku sekarang.

Ada suami yang cerita hal buruk isterinya di media sosial. Ada pulak timbal balas daripada isteri di Facebook. Berbalas-balas komen sampai ada yang mencarut-carut di Wall Facebook. Ingat orang lain tak nampak ke?

Isu ini bukan isu kecil. Memang betul dalam rumahtangga, banyak dugaan dan cabaran yang berlaku. Ada yang bermula dengan isu kewangan tidak stabil. Kemudian, berlarut pula sampai ke isu dalam kain. Suami curang, isteri ada skandal, mak mertua tambah perencah. Semuanya nak dipersembahkan ke Facebook. Akhirnya, membuatkan ramai orang yang sukakan gosip dan membawang ini teruja untuk berkongsi dan buat ramalan.

Saya nak kaitkan isu ini di dalam Mahkamah Syariah. Kerana ada perkaitan yang jelas boleh berlaku sama ada di dalam kes perceraian mahupun selepas bercerai.

Semasa perceraian

Bagi seseorang yang suka mengaibkan isteri atau suaminya di laman sosial. Khususnya Facebook, perkara ini boleh dinilai sebagai wujudnya pertengkaran atau perbalahan yang serius antara suami dan isteri. Kita sebut dalam Bahasa Arabnya adalah ‘Syiqaq’.

Perbalahan yang mencapai tahap syiqaq ini boleh dibuktikan dengan kata-kata kesat sesama suami isteri yang bertengkar di Facebook misalnya. Perkara ini pernah berlaku di dalam Mahkamah. Dan pastinya perkara ini sukar untuk dinafikan bahawa rumahtangga dah mulai retak angkara mengadu pada media sosial. Oleh itu, perceraian secara Hakam, dapat diteruskan dengan mudah sekiranya wujud perkara ini.

Fasakh

Ada beberapa juga kes fasakh yang mana suami memalukan isterinya di media sosial. Tapi, paling tak dinafikan, ada banyak juga isu isteri yang cepat betul dia up status hal buruk suaminya di Facebook. Cuma, apa yang saya nak tekankan. Isu membuka pekung di dada ini, membolehkan isteri menuntut fasakh atas alasan yang selalu diletakkan di bawah Seksyen 53(1)(l). Iaitu apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau fasakh di bawah Hukum Syarak.

Asas kepada fasakh yang paling dipegang adalah, adakah perkahwinan ini akan mendatangkan mudharat kalau diteruskan pihak-pihak atau tak. Jadi, kalau dah sampai membuka aib masing-masing di Facebook. Peluang nak berbaik semula ni memang tipis la. Tambah-tambah kalau jenis mencarut-carut di ruangan komen. Kau rasa?

Nusyuz

Pada saya, perbuatan membuka aib suami atau isteri ini akan terarah kepada perlakuan nusyuz seorang isteri mahupun suami. Ini kerana kebanyakan isu yang berkaitan membuka aib ini. Sama ada suami atau isteri akan mendorong kepada isteri enggan bersama dengan suami lalu melarikan diri dari rumah gara-gara kecil hati.

Suami pula mungkin akan berlaku nusyuz apabila memukul isterinya hanya kerana menceritakan aib suaminya pada orang lain. Ini bukan asing tau, memang banyak berlaku. Meskipun, membuka aib atau menceritakan sesuatu yang buruk tentang pasangan tidak sampai tahap nusyuz disisi Syarak. Namun, tidak dapat dinafikan ini akan mendorong kepada perbuatan nusyuz. Baik suami atau isteri sehinggalah mereka kembali bertaubat semula.

Mutaah

Saguhati selepas perceraian ini boleh dituntut oleh bekas isteri kepada bekas suaminya hanya jika perceraian yang berlaku itu bukan disebabkan oleh isteri. Perkara ini telah dinyatakan secara jelas di dalam Seksyen 58 Enakmen Keluarga Islam Kedah. Yang menyatakan seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon Mutaah.

Perlu diingat, perceraian yang patut itu hanya boleh berlaku sekiranya suami tersebut memfailkan fasakh di Mahkamah Syariah. Dan membuktikan bahawa isterinya berkelakuan buruk apabila mendedahkan aibnya di mata awam.

Jika Mahkamah menerima tuntutan itu, maka Mahkamah boleh fasakhkan pernikahan atas sebab isteri tersebut. Kalau perceraian itu secara biasa dan bukannya fasakh. Kemudian baru suami nak ‘claim’ sebab perceraian itu adalah kerana sikap isterinya. Maka, itu sudah terlambat. Kalau hakim nak terima alasan pun, dia mungkin tak buang kes Mutaah tu. Tapi dia hanya mungkin kurangkan sahaja jumlah Mutaah.

Pelihara Aib Dan Maruah, Jangan Dedah Kecuali..

Mungkin ada lagi yang relevan berkaitan dengan isu buka pekung ni. Tengok sajalah apa kesan yang mungkin berlaku kepada rumahtangga. Kadang-kadang ada yang tak cerita apa-apa. Tapi dia buat-buat berdoa atau kenyataan-kenyataan yang secara tersirat boleh menggambarkan ada isu yang berlaku di dalam rumahtangga.

Ingatlah, tanggungjawab suami isteri ini selain daripada berbuat baik. Adalah menjadi kewajipan juga bagi suami isteri untuk memelihara aib atau maruah pasangannya daripada khalayak awam. Kecuali lah, untuk diceritakan kepada Hakim dan Peguam yang akan membawa kes di Mahkamah. Kerana kalau tak cerita, macam mana kami nak tahu isu itu berlaku, kan?

Macam anda nak mengadu pada doktor la kalau ada sakit dalaman atau dibahagian sulit. Macam tulah Peguam Syarie akan bertindak professional memelihara aib anda daripada diketahui awam. Melainkan semasa perbicaraan dihadapan Hakim.

Nasihat saya, tak perlulah semua perkara nak cerita kat Facebook ke Twitter ke atau apa-apa lagi lah media sosial. Kalau betul nak mengadu, adu pada Kaunselor Pejabat Agama, ahli keluarga yang dipercayai. Seperti mak, ayah atau mertua dan kalau tertekan sangat, pada Pakar Psikatri.

Mengadu kat Wall Facebook ni, nampak macam sama jer mengadu kat Tembok Ratapan (Wailing Wall) di Israel. Haaa, sentap tak? Sapa kata setuju, say SETUJU.

Sumber/Foto : Fahmi Ramli

Published by
NETTY AH HIYER