Suami isteri yang berdepan konflik perhubungan kena belajar tahan hati. Dari berkongsi masalah di media sosial. Ingat! ianya takkan pernah membantu pun.
Peguam Syarie ini, Khairul Fahmi Ramli berkongsi info yang jelas mengapa tindakan sebegini akhirnya akan merugikan diri sendiri.
Perangai Cerita Hal Dalam Kain Di Media Sosial
Biasa dengar kan, pepatah Melayu berkata, menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri jua. Maksudnya adalah, nak dedah aib orang lain, tapi yang kena tepias pada diri sendiri juga. Macam tu lah yang berlaku sekarang.
Isu ini bukan isu kecil. Memang betul dalam rumahtangga, banyak dugaan dan cabaran yang berlaku. Ada yang bermula dengan isu kewangan tidak stabil. Kemudian, berlarut pula sampai ke isu dalam kain. Suami curang, isteri ada skandal, mak mertua tambah perencah. Semuanya nak dipersembahkan ke Facebook. Akhirnya, membuatkan ramai orang yang sukakan gosip dan membawang ini teruja untuk berkongsi dan buat ramalan.
Saya nak kaitkan isu ini di dalam Mahkamah Syariah. Kerana ada perkaitan yang jelas boleh berlaku sama ada di dalam kes perceraian mahupun selepas bercerai.
Ads
Semasa perceraian
Bagi seseorang yang suka mengaibkan isteri atau suaminya di laman sosial. Khususnya Facebook, perkara ini boleh dinilai sebagai wujudnya pertengkaran atau perbalahan yang serius antara suami dan isteri. Kita sebut dalam Bahasa Arabnya adalah ‘Syiqaq’.
Perbalahan yang mencapai tahap syiqaq ini boleh dibuktikan dengan kata-kata kesat sesama suami isteri yang bertengkar di Facebook misalnya. Perkara ini pernah berlaku di dalam Mahkamah. Dan pastinya perkara ini sukar untuk dinafikan bahawa rumahtangga dah mulai retak angkara mengadu pada media sosial. Oleh itu, perceraian secara Hakam, dapat diteruskan dengan mudah sekiranya wujud perkara ini.
Fasakh
Ada beberapa juga kes fasakh yang mana suami memalukan isterinya di media sosial. Tapi, paling tak dinafikan, ada banyak juga isu isteri yang cepat betul dia up status hal buruk suaminya di Facebook. Cuma, apa yang saya nak tekankan. Isu membuka pekung di dada ini, membolehkan isteri menuntut fasakh atas alasan yang selalu diletakkan di bawah Seksyen 53(1)(l). Iaitu apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau fasakh di bawah Hukum Syarak.
Asas kepada fasakh yang paling dipegang adalah, adakah perkahwinan ini akan mendatangkan mudharat kalau diteruskan pihak-pihak atau tak. Jadi, kalau dah sampai membuka aib masing-masing di Facebook. Peluang nak berbaik semula ni memang tipis la. Tambah-tambah kalau jenis mencarut-carut di ruangan komen. Kau rasa?
Nusyuz
Pada saya, perbuatan membuka aib suami atau isteri ini akan terarah kepada perlakuan nusyuz seorang isteri mahupun suami. Ini kerana kebanyakan isu yang berkaitan membuka aib ini. Sama ada suami atau isteri akan mendorong kepada isteri enggan bersama dengan suami lalu melarikan diri dari rumah gara-gara kecil hati.
Ads
Suami pula mungkin akan berlaku nusyuz apabila memukul isterinya hanya kerana menceritakan aib suaminya pada orang lain. Ini bukan asing tau, memang banyak berlaku. Meskipun, membuka aib atau menceritakan sesuatu yang buruk tentang pasangan tidak sampai tahap nusyuz disisi Syarak. Namun, tidak dapat dinafikan ini akan mendorong kepada perbuatan nusyuz. Baik suami atau isteri sehinggalah mereka kembali bertaubat semula.
Mutaah
Saguhati selepas perceraian ini boleh dituntut oleh bekas isteri kepada bekas suaminya hanya jika perceraian yang berlaku itu bukan disebabkan oleh isteri. Perkara ini telah dinyatakan secara jelas di dalam Seksyen 58 Enakmen Keluarga Islam Kedah. Yang menyatakan seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon Mutaah.
Perlu diingat, perceraian yang patut itu hanya boleh berlaku sekiranya suami tersebut memfailkan fasakh di Mahkamah Syariah. Dan membuktikan bahawa isterinya berkelakuan buruk apabila mendedahkan aibnya di mata awam.
Jika Mahkamah menerima tuntutan itu, maka Mahkamah boleh fasakhkan pernikahan atas sebab isteri tersebut. Kalau perceraian itu secara biasa dan bukannya fasakh. Kemudian baru suami nak ‘claim’ sebab perceraian itu adalah kerana sikap isterinya. Maka, itu sudah terlambat. Kalau hakim nak terima alasan pun, dia mungkin tak buang kes Mutaah tu. Tapi dia hanya mungkin kurangkan sahaja jumlah Mutaah.
Ads
Pelihara Aib Dan Maruah, Jangan Dedah Kecuali..
Mungkin ada lagi yang relevan berkaitan dengan isu buka pekung ni. Tengok sajalah apa kesan yang mungkin berlaku kepada rumahtangga. Kadang-kadang ada yang tak cerita apa-apa. Tapi dia buat-buat berdoa atau kenyataan-kenyataan yang secara tersirat boleh menggambarkan ada isu yang berlaku di dalam rumahtangga.
Ingatlah, tanggungjawab suami isteri ini selain daripada berbuat baik. Adalah menjadi kewajipan juga bagi suami isteri untuk memelihara aib atau maruah pasangannya daripada khalayak awam. Kecuali lah, untuk diceritakan kepada Hakim dan Peguam yang akan membawa kes di Mahkamah. Kerana kalau tak cerita, macam mana kami nak tahu isu itu berlaku, kan?
Macam anda nak mengadu pada doktor la kalau ada sakit dalaman atau dibahagian sulit. Macam tulah Peguam Syarie akan bertindak professional memelihara aib anda daripada diketahui awam. Melainkan semasa perbicaraan dihadapan Hakim.
Nasihat saya, tak perlulah semua perkara nak cerita kat Facebook ke Twitter ke atau apa-apa lagi lah media sosial. Kalau betul nak mengadu, adu pada Kaunselor Pejabat Agama, ahli keluarga yang dipercayai. Seperti mak, ayah atau mertua dan kalau tertekan sangat, pada Pakar Psikatri.
Mengadu kat Wall Facebook ni, nampak macam sama jer mengadu kat Tembok Ratapan (Wailing Wall) di Israel. Haaa, sentap tak? Sapa kata setuju, say SETUJU.
Ada pasangan yang suaminya sama tinggi dengan isteri. Kebanyakannya suami lebih tinggi daripada isteri. Tapi macam mana pula jika suami lebih rendah daripada isteri. Pasangan begini ada dalam dunia ini dan itulah uniknya hubungan cinta yang tuhan tentukan jodohnya.
Kata orang bila suami lebih rendah rezekinya lebih murah. Baik dalam hubungan rumah tangga mahupun soal kerjaya. Dikatakan suami akan jadi lebih menyayangi dan memahami pasangannya. Sifat ‘caring’nya juga lain macam. Baik suami tinggi atau rendah, masing-masing ada kelebihan yang tersendiri.
Kelebihan Berpasangan Suami Lebih Rendah
1. Seorang Yang Terus Terang
Suami yang sebegini biasanya sikapnya lebih tegas. Sudah pasti dia tidak mahu kelihatan lebih kurang berkeyakinan daripada pasangannya. Jadi, dia perlu menonjolkan kelebihan yang dia ada. Sebab itulah dalam hal berkomunikasi, dia lebih mendominasi.
Tetapi tidak bermakna dia mengongkong, cuma dia akan lebih bersikap tegas dengan pendiriannya. Dirinya juga tidak ambil peduli dengan pandangan sekeliling. Apabila hatinya sudah mencintai pasangannya, cintanya itu akan kekal sampai bila-bila.
2. Rajin Serba Serbi
Dalam urusan rumah tangga, pastilah lelaki yang akan mengambil pusing perihal kewangan. Peranan isteri adalah menguruskan anak-anak. Lelaki rendah biasanya rajin bekerja dan ligat baik di mana saja. Dia tidak akan menyusahkan pasangannya. Dia akan memastikan dirinya kelihatan lebih berjaya daripada pasangannya.
Sebab itu, biar apa pun dirinya akan kelihatan gigih bekerja demi kebahagiaan anda. Dia juga tidak mahu pasangannya kelihatan sedih. Pasti dia akan melindungi isteri daripada pandangan mahupun kata-kata kurang enak tentang dirinya. Sebab itulah kejayaan dirinya adalah lambang kebahagiaan sekali gus menepis kata-kata kurang enak orang sekeliling tentang perbezaan dia dan isterinya.
3. Keyakinan Diri Yang Tinggi
Biarpun orang memandang rendah dengan kemampuannya, dia tidak peduli. Sikap percaya diri begitu teguh sekali. Sebab itulah dia akan membuatkan pasangannya kelihatan lebih menarik. Dia tidak kisah andai pasangannya lebih menonjol dari dirinya.
Beruntunglah anda, kerana suami anda itu akan mendorong minat anda dengan sepenuh jiwa. Jika anda sukar melaluinya dia tidak berputus asa dan memberikan galakan.
4. Ada Kredibiliti Tersendiri
Lelaki yang lebih rendah daripada pasangannya ini karakternya seorang yang mudah mengawal perasaan marahnya. Mereka tak mudah melenting, sebaliknya lebih bertanggungjawab dan prihatin dengan kesukaran pasangan.
Dia tidak akan menyusahkan anda dengan hal-hal yang memberatkan pasangannya. Walaupun ada ketikanya dia akan menjadi seorang yang sensitif, namun cara terbaik adalah meningkatkan kasih sayang di antara pasangannya.
3 Cara Ini Buat Suami Sayang Anda Ketat-ketat
1. Sebelum keluar rumah atau pergi ke tempat kerja, berikan pelukan mesra dengan suami atau isteri. Tak perlu lama, cukup untuk menyatakan rasa kasih atau melepaskan kelelahan akibat sepagi menguruskan anak-anak.
2. Salam tangan suami sebelum melangkah ke pejabat. Ambil berkat daripada keizinanNya yang membenarkan anda bekerja. Biar setinggi mana pun pangkat anda, restu suami adalah yang paling utama.
3. Saling mendoakan pasangan. Baik ketika dalam solat mahupun ketika melakukan kerja-kerja rumah. Isteri yang taat tidak akan sanggup membiarkan suami berasa susah dengan sikapnya yang degil dan tidak mendengar kata.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Cuti sekolah ini sebenarnya waktu terbaik nak asah kemahiran anak-anak. Salah satu kemahiran penting, survival dalam kehidupan adalah menguasai sifir.
Dalam kehidupan seharian kita pun dah dipenuhi dengan Matematik kan. Guru ini, Mohd Fadli Salleh berkongsi panduan untuk mak ayah ajar anak kuasai matematik dengan bantuan laman web.
Laman web ini sediakan beribu soalan Matematik, tanpa diganggu oleh iklan yang bersepah.
Kenapa Kena Ajar Dan Paksa Hafal Sifir Cuti Sekolah Ini
TOLONG ajar dan ‘paksa’ anak-anak untuk hafal sifir semasa cuti sekolah ni. Sifir sangat penting! Tak kuasai sifir, anak anda hampir pasti gagal dalam peperiksaan.
Nak tak tahu satu laman web yang berkongsi ribuan soalan MATEMATIK secara PERCUMA?
Lebih penting tak ada ads, iklan atau popup link yang menyakitkan hati. Paling best, semua soalan-soalan ini boleh di download secara PERCUMA, boleh print out dan jawab terus.
Jawapan juga disediakan. Pelbagai tema soalan yang menarik disediakan tau.
Nak Bagi Cepat Pandai, Bila Sifir Dah Hafal, Latihan Jangan Ditinggal
Lihat contoh-contoh yang aku sertakan ini. Ingat ya! Sebaik anak-anak hafal sifir, terus suruh mereka buat latihan. Baru ingatan itu akan kekal berpanjangan. Kalau tak, sekejap je ingat, lepas tu lupa.
Juga….
Anak-anak suka main game kat tab dan telefon bimbit kan? Web ini ada game yang best untuk anak-anak main. Aku dah cuba, memang best!
Masa ralit bermain, tiba-tiba game itu akan terhenti dengan sendiri. Kita hanya boleh terus bermain jika menjawab soalan dengan betul. Wahhh, menarik kan?
Belajar Matematik Dalam Permainan Game, Anak Tentu Suka Ni
Rujuk gambar terakhir yang aku sertakan ini. Itu salah satu dari permainan yang disediakan.
Untuk dapatkan bahan-bahan ini, kau orang boleh ke web ini :
Tidak dapat dinafikan perkembangan minda dan keperibadian anak-anak bermula dari pendidikan awal mereka. Mak ayah bertanggungjawab mencorakkan dua perkara penting ini semenjak dari rumah lagi. Nak anak pintar dan berperibadi tinggi ada tipsnya yang tersendiri.
Menurut perkongsian oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad, ada 10 tip yang mak ayah boleh amalkan untuk mencapai hasrat ini.
Berikut antara yang dikongsikan oleh beliau;
Pendidikan awal kanak-kanak sangat dekat di hati saya sebab saya belajar kaunseling dan percaya perkembangan minda dan peribadi kanak-kanak itu bermula dari pendidikan awalnya.
Saya ingin kongsikan 10 tip untuk menjadikan anak lebih pintar dan berperibadi yang tinggi.
1. Jaga Pemakanan
Berikan makanan yang halal dan bernutrisi (toyyiban). Makanan yang natural dan dimasak sendiri. Galakkan mereka minum air mineral dan makan sayur/buah. Elakkan makanan yang mempunyai kalori yang tinggi (manis) seperti kek, coklat dan minuman dalam kotak.
2. Banyakkan Komunikasi
Banyaklah berkomunikasi dengan mereka. Bicara dengan penuh emosi. Jangan malu untuk berkomunikasi dengan cara mereka. Bercakap dengan nada, mimik muka, ketawa dan suara-suara yang mencuit hati mereka.
3. Bermain Dengan Anak
Mereka ibarat anak-anak singa yang memerlukan pergerakan fizikal untuk menguatkan otot-otot tubuh mereka. Kita perlu pantau, dan bukan hanya berada di sisi. Memerhatikan keselamatan dan melihat perkembangan mereka. Mereka juga perlukan permainan minda. Soal jawab dengan mereka dan kita akan kagum dengan jawaban mereka. Kita bukan mahu jawaban yang betul, tetapi jawaban yang logik pada tahap pemikiran mereka.
Cuba bertanya “Kenapa kenapa kentut kita busuk?” Tentu kita dapat jawaban yang mencuit hati kita.
4. Nyanyi Bersama-Sama
Bernyanyi bersama mereka. Dalam perjalanan yang jauh bersama keluarga kita boleh nyanyi bersama-sama, sama ada lagu kanak-kanak, lagu nasyid atau lagu patriotik. Mereka pasti mengenangkan pengalaman ini apabila mereka dewasa.
“Lagu ini lagu kesukaan bapa saya. Kami pernah nyanyi bersama-sama dalam kereta. Itu saat manis yang saya ingat. Selepas itu ayah saya sentiasa sibuk dan tiada lagi masa untuk saya”
5. Ajar Anak Ilmu Baru
Bawa anak berjalan dan ajarkan ilmu baru. Ajak ke tepi rumah dan tunjukkan tumbuhan/haiwan kecil yang tidak pernah dia lihat. Berjalan di waktu malam, dan bertanyakan “mengapa bulan itu bulat?” Temani anak menonton TV. Bila anak menonton TV, luang masa bersama mereka walaupun hanya cerita kartun. Luangkan sedikit masa 10-15 min untuk melayan emosi mereka kita menonton.
6. Ucap Perkataan Yang Baik-Baik
Ucapkan perkataan yang baik-baik saja di hadapan mereka. Tegur mereka jika mereka menggunakan perkataan yang buruk. Selalu sebutkan perkataan “terima kasih, saya sayang awak” apabila dia melakukan perkara yang baik walaupun kecil. Ajar mereka dengan minta mengulangi perkataan baik depan kita.
7. Selalu Memeluk & Mencium Anak
Peluk dan cium mereka paling kurang sehari sekali. Apabila kita baru balik rumah dan mereka telah tidur, peluk dan cium mereka juga. Jadikan rutin hidup. Mulakan dari kecil. Anak yang sentiasa dipeluk dan dicium selalunya akan mengikut kata kita.
8. Dengar Rintihan & Beri Perhatian
Apabila mereka takut, kita dengar dan bantu. Tidak semua kanak-kanak akan memberikan respon yang serupa. Ada kanak-kanak yang menjadi kuat bila dibiarkan, ada kanak-kanak yang semakin lemah.
9. Kenal Pasti Kebolehan & Bakat
Perhatikan kebolehan anak dan apa bakat dan kekuatan dia. Ada anak yang cemerlang dalam akademik, ada yang cemerlang dalam kemahiran pertukangan, ada yang cemerlang dalam komunikasi, ada yang cemerlang dalam sukan. Jangan memaksa anak untuk memenuhi cita-cita kita. Tetapi bantu anak memenuhi cita-cita mereka.
10. Perkenalkan Lebih Dari Satu Bahasa
Bercakap dengan mereka dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab, french, Spain etc. Mereka mudah mengingat perkataan-perkataan itu. Otak mereka seperti sponge.
Yang terakhir selalu doakan anak untuk menjadi manusia yang terbaik. Baca doa depan mereka supaya mereka dapat dengar.
Kecerdasan anak-anak tidak hanya bergantung kepada faktor genetik, tetapi cara kita mendidik mereka. Semoga bermanfaat dan kongsikan juga kepada ibu bapa yang lain.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.