Dipukul Sampai Terkencing, Itu Antara Nasib Arwah Adik Nur Aina Nabihah

Share

Allahurabbi…dia dipukul sampai terkencing! Tak tahulah macam mana tahap derita Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, rupanya bangku dan tali pinggang juga antara barang yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul arwah sehingga meninggal dunia, semalam.

Kalau anda ikuti kes ini, memang timbul rasa nak marah dengan apa yang berlaku. Apa lagi bila tahu si kecil itu cuba bertahan walau sudah lama dipukul.

Barang yang digunakan untuk dera anak itu ditemui polis selepas suspek berusia 35 tahun dan isterinya, 34, yang juga ibu tiri mangsa dibawa ke kediaman mereka di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson untuk membantu siasatan kes pembunuhan mangsa.

Pasangan terbabit dibawa ke lokasi berkenaan sejurus polis mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Port Dickson, kira-kira 12 tengah hari.

Mereka yang memakai baju lokap jingga dengan tangan bergari dibawa anggota polis masuk ke dalam rumah itu secara berasingan bagi menunjukkan lokasi dan barangan yang digunakan untuk mendera mangsa.

Pukul Sampai Terkencing

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, berdasarkan pengakuan awal, suspek mendakwa memukul mangsa menggunakan tali pinggang, pada malam kejadian.

“Suspek juga mengaku menendang dan memijak mangsa sehingga terkencing sebelum mangsa tidak sedarkan diri di dalam biliknya pada 11.30 malam. Suspek kemudian membawa mangsa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban dan disahkan meninggal dunia, sejam kemudian.

“Suspek turut membuat pengakuan pernah memukul mangsa menggunakan bangku plastik sebelum ini. Berikutan itu, polis merampas bangku itu yang sudah patah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Majistret Siti Khairiah Abdul Razak membenarkan suami isteri itu direman tujuh hari sehingga 8 Februari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

Published by
Nadia