Ayu juga tidak lari daripada dipandang rendah apabila sanggup bergelumang dengan lumpur, tapi ianya langsung tidak patahkan semangatnya.
Sebaliknya membuatkan Ayu semakin beersemangat untuk teruskan dan buktikan bahawa dalam bidang pertanian dia mampu berjaya seperti hari ini.
Dirinya juga sejenis tak ambil pusing tentang tanggapan orang lain padanya, sebaliknya lebih selesa membuktikan kemampuan diri. Biarlah orang nak gelar Ayu Cili Padi sekalipun, baginya ia satu tarikan dan buatnya lebih dikenali.
Benarlah penyanyi ini merupakan seorang yang cukup rajin bukan sekadar beraksi di atas pentas namun dia juga seorang yang kreatif dalam meraih pendapatan.
Ayu Damit yang digelar ‘Ayu Cili Padi’ kini merupakan seorang usahawan cili yang sukses. Usahanya bersama suami sememangnya telah membuahkan hasil yang lumayan.
Ayu sebenarnya bukan sekadar mengusahakan cili padi namun wanita ini juga cukup rajin dan telah membuka sebuah kafe dan pelbagai produk berkaitan cili padi.
Ternyata kehidupannya sejak kecil banyak mengajar Ayu, dia dibesarkan dalam keluarga yang sangat sederhana. Namun begitu, keluarganya pernah diuji apabila ayahnya antara insan yang terjejas apabila terlibat dalam pembuangan pekerja secara besar-besaran.
“Dari situ kehidupan kami berubah bila ayah hilang kerja, mak mula berniaga jual kuih dan banyak lagi mak,ayah lakukan pada ketika itu untuk membesarkan saya adik-beradik.
“Kiranya sejak kecil saya memang diajar untuk berdikari, dalam usia lapan tahun saya sudah boleh memasak dan juga belajar membuat pelbagai jenis kuih dalam membantu keluarga,” ungkapnya memulakan bicara ketika sesi MWLive baru-baru ini.
Segalanya bermula sekitar tahun 2013, seperti orang lain dirinya juga tidak terlepas daripada kegagalan. Asalnya dia dan suami mengusakankan tanaman kelapa dan kemudian diikuti dengan nenas, namun keduanya tidak mendapat hasil seperti yang diharapkan.
Selepas itu, dengan lakukan sedikit research dengan melihat pasaran terus dapat idea untuk menanam cili padi. Sebenarnya memang zero knowledge tentang tanaman cili padi, tapi beranikan diri untuk terus jalan.
“Untuk tanaman cili fertigasi kami buka tanah tiga ekar dan ditanam secara bergilir dengan tanaman lain seperti timun dan kacang panjang. Tanah ini kami sewa dengan orang asli di situ. Walaupun PKP, aktiviti masih diteruskan.
“Bagi saya bisnes ini adalah back up plan untuk kami sekeluarga seperti sekarang tiada event atau jemputan nyanyian. Jadi inilah jalan rezeki yang Allah berikan. Sekurangnya pada waktu sekarang saya rasa lega kerana mempunyai bisnes ini dan tidak adalah pening tak tahu nak buat apa bila segalanya tersekat,” ungkapnya syukur.
Ayu Damit “Tak Kisah Apa Mereka Nak Cakap, Asalkan Tidak Melampaui Batas”
Gigih Cari Rezeki, Suami Nasihat Ayu Damit Cukup Rehat
Ayu merupakan seorang selebriti, malah dalam masa yang sama turut menjalankan pelbagai cabang bisnes seperti penjualan kek dan cili jeruk disamping terbabit dalam bidang pertanian, sudah tentu sukar membahagikan masa.
“Pembahagian masa sebenarnya mudah sahaja, saya selesaikan kerja dahulu sebelum anak-anak bangun. Bila anak bangun, mereka akan mula PdPR, saya akan teruskan kerja-kerja saya lain termasuklah memasak.
“Masa sebenarnya tak jadi masalah buat saya, lagi pun anak-anak pun sudah tahu apa tugas mereka. Dari mereka kecil, saya dan suami sudah praktikkan agar melatih anak-anak lakukan kerja rumah. Sekarang, mereka sudah pandai masak nasi dan goreng telur, jika terdesak mereka memang dapat lakukan sendiri.
“Saya sengaja mengajar mereka dengan cara begini kerana nak biasakan diri mereka hidup susah, tak mahu beri terlalu banyak kesenangan.
“Lagi pun kita pernah susah, pernah berdikari untuk survive jadi perkara yang sama, saya dan suami ajar pada anak-anak,” terang Ayu panjang lebar.
Kecil-kecil cili padi. Walaupun begitu banyak tugas Ayu tetapi ianya tidak menjadi beban buat Ayu kerana dirinya sejenis yang tidak betah duduk diam.
Terbiasa sejak kecil uruskan keluarga, adik-adik, bantu itu dan ini. Jadi Ayu memang orangnya tak tahu untuk duduk diam.
“Dari dulu lagi saya memang kuat bekerja. kalau saya duduk diam terus terasa lemah. Biasanya bila tengok anak-anak akan kembali bersemangat, bila fikirkan nasib mereka jika tiada income. Jadi perlahan-lahan kembali balik semangat itu,” jelasnya.
“Kami juga pernah jatuh dan rugi tetapi itu tak bermakna kita perlu berhenti. Tapi buat lagi, tambah usaha dan jangan putus asa. Kena tekad betul-betul untuk berjaya,” luah Ayu sebelum mengakhiri perbualan.
Saksikan video di bawah ini yang mampu memberi pengetahuan dan tip buat wanita yang ingin menempuh kehidupan yang lebih baik.
Mingguan Wanita : Semoga segala usaha dan cita-cita Ayu Damit tercapai. Insyallah…