Kebanyakan kaum wanita zaman sekarang bukan lagi hanya bergelar ibu kepada anak-anak dan isteri, namun mereka turut memikul tanggungjawab yang lebih besar sebagai wanita bekerja.
Malah ada kalanya kaum wanita berstatus isteri terpaksa mengambil tempat suami dalam menguruskan soal kewangan keluarga biarpun hakikatnya itu bukan kewajipan.
Jadi tak pelik kalau ramai wanita yang menjadi superwomen apabila mereka terpaksa keluar bekerja dan pada masa yang sama masih menguruskan hal rumahtangga.
Mungkin sesetengahnya bukan sebab nak bantu suami sangat tapi mereka sebenarnya lebih kepada nak ada wang sendiri.
Tetapi apa yang jadi tak sedap dirasa bila ada kaum isteri yang bekerja sebab tak nak bebankan suami. Haaa… apa pula jadi terbeban sedangkan isteri adalah tanggung jawab suami!
Untuk kupas isu ini, semak perkongsian Ustazah Sharifah Zahidah ini…
Rupanya, ramai juga wanita merasa terpaksa bekerja kerana dirinya dianggap ‘membebankan’ oleh si suami, sedangkan hasrat di hati ialah dia mahu bersama anak di rumah, mendidik mereka dengan acuan sendiri dan melengkapkan keperluan rumahtangga dengan sempurna. Kalau pun mahu bekerja, dia bekerja kerana minat dan cinta, bukan kerana rasa diri diperhina suami kerana tidak bekerja.
Tetapi kerana diri dianggap ‘membebankan’ oleh si suami, maka wanita tadi (yang sebelum-sebelum ini juga) memaksa diri untuk bekerja dan menguruskan segala urusan rumahtangga dalam masa yang sama – seorang diri.
Mengurus anak ke taska dan sekolah, membayar bil bulanan, kereta dan rumah, menyiapkan makanan dan keperluan dapur, menguruskan perbelanjaan harian dan sebagainya.
Hanya dari isu ‘berkecil hati’ kerana dianggap membebankan, wanita berkorban supaya tidak lagi dianggap membebankan. Bila diajak berkomunikasi, suami berang dan naik suara tinggi. Kadang-kadang naik tangan dan kaki. Wanita pun pujuk diri, “Tak apalah, berkorban lagi untuk suami,”
Selepas dia berkorban, dan tidak lagi menjadi beban sebaliknya dialah yang menanggung segala beban, tiba-tiba si suaminya pun berkata,
“Isteri saya pandai berdikari, cuma tak pandai ‘jaga diri’ dan berhias untuk saya. Sebab tu saya nak cari pengganti. Dia dah pandai berdikari. Pandai-pandailah dia hidup sendiri”
Saya berdoa generasi jantan sebegini kian dipupuskan dari dunia ini. Biarlah yang hidup atas bumi ini, yang berkahwin dan berkeluarga ialah LELAKI, dan bukan jantan.
Beza lelaki dengan jantan, lelaki adalah makhluk yang ALLAH muliakan dengan qawwam yang diberi kepadanya. Dia melindungi wanita, menjaga wanita, bekerjasama dengan wanita dalam membawa agama ALLAH. Berbahagi tenaga, berkongsi rasa, menguatkan langkah dan menguatkan antara satu sama lain.
Jantan? Dia cuma tahu dan mahu betina. Lain-lain dia lupa.
Anak, nafkah, agama keluarga, tanggungjawab, itu semua dia lupa.
Cari duit malas, tolong jaga anak malas, bayar bil malas, lunaskan tanggungjawab sebagai ketua keluarga malas, semua malas. Yang dia tahu, nak bebas.
Saya cuma dapat geleng kepala.
Sambil pesan kepada wanita,
Akal ALLAH beri tu, mesti GUNA. Jangan guna emosi saja.
Sebab sayang suami, sanggup jadi alas kaki.
Akal juga mesti diguna. InshaALLAH, pandailah kita buat keputusan yang akan mengurangkan ruang-ruang zalim dan dosa atas dunia ini.