Dia pasrah dan reda ditakdirkan berkongsi kasih dengan wanita lain. Malah, sebagai isteri muda, dia ‘sedar diri’ dan menjaga hubungan dengan madu, demi menjaga keharmonian rumah tangga.
Namun kini, timbul dilema baru apabila anak kandungnya menjalinkan hubungan cinta dengan anak angkat madunya. Patutkah dia merestui atau melarang saja?
Luahan hati ini wanita ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan memiliki tiga orang cahaya mata. Masing-masing berusia 25, 23,19 tahun. Untuk pengetahuan puan, saya merupakan isteri kedua.
Perkahwinan saya dan suami atas kebenaran isteri pertama suami. Saya sedar bukan mudah untuk seorang wanita berkongsi kasih dan sebab itu juga saya sentiasa mengingatkan diri agar menjaga kelakuan supaya tidak timbul pertelingkahan bersama isteri pertama.
Suami mengahwini saya setelah perkahwinannya bersama isteri pertama tidak dikurniakan cahaya mata setelah lima tahun berkahwin. Kata suami, isteri pertama menghadapi sedikit masalah dan tak mampu mengandung. Saya pula tak pernah bertanya lebih lanjut demi menghormati perasaan suami.
Mungkin sebab itu juga madu dengan rela mengizinkan suami berkahwin lagi demi untuk mendapatkan zuriat. Selain itu mereka turut memelihara sepasang anak angkat, yang merupakan anak saudara madu saya sendiri.
Walau pun hubungan kami tidak rapat dan sangat jarang berjumpa, tapi menghormati ‘privacy’ masing-masing sejak awal perkahwinan dulu lagi. Saya sedaya upaya tidak akan mengganggu suami ketika berada di rumah isteri pertama dan begitu juga dirinya. Ini penting untuk menjaga keharmonian rumah tangga kami.
Walau pun saya dan madu sangat jarang berjumpa namun anak-anak saya rapat dengannya. Sejak kecil suami sering kali membawa anak-anak ke rumah madu terutama ketika cuti sekolah atau ketika saya perlu out station.
Walau pun ada pembantu rumah, tapi suami lebih suka bawa anak-anak ke rumah isteri pertama dan saya pula tak kisah bila melihatkan anak-anak gembira di sana. Kata mereka, ibu (madu saya) melayan mereka dengan baik. Itu membuatkan saya percaya madu saya itu ikhlas melayan anak-anak.
Sehingga sekarang, kadang kala anak-anak ‘hilang’ dari rumah, dan bila ditanya, rupanya ke rumah ibu mereka dan saya okay saja. Anak-anak juga rapat dengan anak angkat suami yang sering kali juga bertandang ke rumah saya.
Bahkan anak sulung saya, Irman, satu universiti dengan anak angkat suami yang sulung, Aira. Mereka sebaya. Jadi, sering kali juga Irman ambil dan balik bersama Aira.
Ramadan ke-17 lalu, saya dikejutkan dengan satu pengakuan daripada Irman. Katanya dia nak bawa teman wanitanya ke rumah untuk berbuka bersama. Sudah pasti saya tak melarang kerana dia sudah dewasa untuk bercinta.
Hari itu, saya memasak hidangan istimewa untuk menyambut kedatangan tetamu yang dinanti-nantikan. Tiba-tiba muncul Aira dan adiknya bersama Irman. Tapi saya taklah terkejut kerana Ramadan ini mereka belum datang berbuka di rumah. Saban tahun mereka pasti datang. Cuma agak hairan kenapa datang ketika ayah mereka di rumah ibu Aira? Terasa tak sedap hati pula…
Ternyata naluri saya tepat bila merasakan ada yang tak kena. Rupa-rupanya teman wanita yang Irman maksudkan adalah Aira! Saya terkedu waktu itu dan tak tahu nak cakap apa. Macam-macam saya fikir. Ternyata hubungan rapat di antara mereka telah membibitkan rasa cinta. Lebih terkejut kerana adik-adik mereka semua tahu dan tolong rahsiakan daripada saya, suami dan madu selama ini. Irman meminta saya untuk berterus terang dengan ayahnya dan ibu Aira. Dia benar-benar jujur sukakan Aira. Hati saya berbelah bagi.
Memang mereka boleh berkahwin kerana tak ada sebarang pertalian darah. Tapi saya risau kalau ibu Aira tak dapat terima anak tirinya sebagai menantu. Saya juga tak dapat bayangkan madu saya bakal menjadi besan saya. Tentu janggal sedangkan selama ini kami sangat jarang bertemu muka demi menjaga hati masing-masing.
Lebih penting lagi, apakah suami juga merestui? Puan, tak tidur malam saya dibuatnya. Tiap kali pandang wajah suami, mulut saya terkunci untuk meluahkan. Tapi saya juga kasihan pada Irman dan Aira yang ikhlas saling menyayangi. Sehingga kini mereka berdua mengharapkan saya untuk berterus terang dengan suami. Puan, saya buntu dibuatnya.
Mama Kay, Setiawangsa.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Puan Yang dirahmati Allah. Pertama sekali tahniah diucapkan kepada puan kerana memberi satu contoh yang terbaik kepada pasangan yang berpoligami tentang cara layanan dan memahami peranan dan perasaan madu dan suami.
Tidak ramai orang yang mampu melakukan seperti yang puan lakukan. Kredit kepada puan dan ini patut dicontohi oleh ramai wanita yang bergelar isteri, khusus kepada yang berpoligami. Sesungguhnya kehidupan ini boleh diurus dengan baik jika masing-masing hormat menghormati antara satu sama lain, berbaik sangka dan mengamalkan akhlak terpuji. Inilah yang dituntut dalam agama kita.
Namun, apabila dinamakan kehidupan, pastinya ada ujian yang mendatang. Ujian itu datang dalam bentuk yang tidak disangka-sangka. Malah menyebabkan kita menghadapi masalah dan amat sukar untuk dirungkaikan. Teramat jarang kita mendengar bakal besan kita adalah madu kita sendiri.
Sememangnya pernikahan dibolehkan kerana ia bukan anak kandung suami. Dan apabila dikatakan percintaan pula antara lelaki dan wanita, teramatlah sukar untuk mereka melupakan antara satu sama lain jika ibu bapa meminta mereka memutuskannya. Pasti ada halangan besar untuk membatalkan hasrat mereka.
Puan yang dirahmati Allah. Pertama sekali cuba di peringkat puan dengan menasihati kedua-dua mereka. Sama ada secara berseorangan atau bersekali. Terangkan bahawa adalah sukar di kalangan masyarakat kita untuk menerima hakikat perkahwinan anak sendiri dengan anak angkat walaupun ianya dibenarkan dalam Islam.
Terangkan juga ini tidak akan menyenangkan hati ibu dan ayah, termasuk puan sendiri. Beri masa pada diri masing-masing untuk fokus kepada kerjaya terlebih dahulu, dan mengenali orang lain dalam kehidupan. Beritahu mereka juga bahawa dalam hidup ini apa yang kita suka sangat tidak semestinya baik untuk kita dan begitu juga sebaliknya.
Belajar terima ujian dalam hidup iaitu untuk melupakan perasaan cinta terhadap seseorang, kerana hidup ini bukan cinta semata-mata. Ada perkara yang lebih utama. Puan hanya boleh menasihati dan mencuba…minta mereka juga mencuba. Minta mereka lakukan solat istikharah untuk mereka membuat pilihan yang terbaik untuk mereka, dan juga untuk keluarga dan agama.
Jika untuk tempoh yang ditetapkan tiada perubahan, dan mereka juga tidak mampu melupakan pasangan, maka puanlah yang perlu menyatakan ini kepada suami dan suami yang akan memberitahu madu puan. Biar suami yang buat keputusan, puan hanya mengikut. Mungkin puan boleh menjangka apa yang akan berlaku, mungkin buruk, mungkin juga dalam kawalan. Namun yang paling ditakuti adalah jika mereka bertindak di luar jangkaan yang mengundang murka Allah…nauzubillah.
Hidup ini memang ada dugaan dan ujian yang Allah berikan kepada kita. Dalam kejayaan kita mendidik anak pun masih ada ujian yang kita tidak mahu ianya berlaku. Namun takdir Allah tu adalah untuk menjadikan kita lebih beriman.
Pohonlah petunjuk daripada-Nya agar dilindungi daripada apa yang tidak diingini. Cuba sebaik mungkin untuk memahamkan mereka memberi peluang kepada hati untuk mengenali orang lain dalam kehidupan mereka. Namun jika ditakdirkan mereka bersama walau apa cara sekali pun dilakukan untuk memisahkan mereka, maka berlapang dada, terima dengan rela hati atas ketentuan-Nya.