Dilahirkan normal, kemudian disahkan hidap kanser hingga buta.” Wanita ini hilang punca bila dikutuk dan dihina atas kekurangan dirinya.
Syukur kini rezeki Anisa seorang wanita cacat penglihatan bertambah selepas berjinak dengan aplikasi TikTok dalam menjalankan bisnes untuk dirinya dan keluarga meneruskan hidup.
Kekurangan diri sama sekali tidak pernah menghalang wanita hebat yang bernama Khairul Anissa Mat Samsuddin ini untuk melakar kejayaan seperti insan sempurna lain.
Menurut Anisa, dirinya dilahirkan dengan masalah penglihatan sejak kecil, tetapi wanita yang kini berusia 32 tahun ini seboleh bolehnya mahu membuktikan di sebalik kekurangan diri, dia tetap berusaha mahu mencari rezeki halal seperti orang lain.
Mesra disapa Anisa, ibu kepada dua cahaya mata ini terarah ke dunia niaga dan aktif menjadi pengedar pelbagai jenama produk daripada rangkaian makanan kesihatan hinggalah regim kecantikan.
Terbaru, wanita berasal dari Klang, Selangor namun menyewa di sebuah kawasan perumahan di Kuala Lumpur ini tular dan mencuri perhatian di aplikasi TikTok selepas berjinak jinak sebagai pengedar produk jenama Nurraysa.
“Saya tak mahu berpeluk tubuh mengharapkan simpati dan belas kasihan. Saya nak buktikan biarpun tak nampak, insya-Allah dengan usaha berterusan pasti ada kejayaan menyusul.
“Namun lumrah di sebalik kekurangan diri itu saya juga
terus diadili dengan pandangan skeptikal. Ada yang meragui kebolehan saya untuk menjual itu ini. Pernah satu tahap rasa nak menangis dan tinggalkan terus dunia berniaga.
“Tapi saya tak akan dapat apa pun jika terus menyerah dan mengeluh. Pilihan yang ada ialah untuk jadi kuat dan menepis ego dan rasa tak ‘best’. Saya fikir, jika tak cari rezeki, bagaimana nak meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Ternyata ujian ini bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi. Sebagai manusia yang asalnya dilahirkan normal, namun 10 bulan selepas itu diserang kanser mata hingga hilang penglihatan, Anisa ada ketikanya bagai hilang punca dihukum dan dikutuk.
“Saya sudahlah lahir serba kekurangan, kemudian ditekan pula dengan kata kata sinis. Tentunya, lagi pedih rasa hati ini. Tapi sungguh, sama saya tak minta lahir sebegini.
“Pernah ketika saya menjual produk makanan berasaskan coklat, ada yang komen kasar cakap saya ini sudahlah tak nampak, OKU (orang kurang upaya)… bersihkah dan terjaga ke kualiti makanan itu.
“Yang pernah meragui tahap halal makanan itu pun ada. Sedangkan terang terang makanan itu berstatus halal,” katanya.
Artikel Berkaitan:
Rider Ibu Bawa Anak OKU Dibantu Rumah, Barang Keperluan Dari Ebit Lew
‘Bukan Alasan’, Amir Remaja OKU Dari Kedah Ke Selangor Sertai Misi Bantuan Banjir
Sesungguhnya, cabaran dan dugaan besar Anisa tidak pernah terhenti. Hingga saat dia berkahwin dengan pilihan hatinya, Muhamad Mazwan Shakir, wanita itu terus diuji.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata masing masing berusia 9 dan 14 tahun.
“Keputusan berkahwin saya anggap jodoh yang sudah tertulis. Seperti perkahwinan orang lain, fasa turun naik itu ada. Cabaran utama saya dan suami ketika itu ialah aspek kewangan. Nak besarkan anak lagi.
“Dari Selangor, kami selepas berkahwin berpindah ke Port Dickson. Suami ketika itu bekerja sebagai tukang urut dengan gaji RM350. Kami seterusnya berpindah ke KL.
“Masa itu saya dan suami mencari rezeki dengan cara persembahan jalanan atau ‘busking’. Ditakdirkan pandemik COVID-19 menyerang dunia. Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa, kerja ‘busking’ tak boleh diteruskan,” katanya.
Ketika hidupnya hampir gelap, timbul cahaya di hujung terowong, penyertaannya sebagai pengedar Nurraysa tanpa diduga membuka pintu rezeki.
“Saya sebenarnya selalu melihat iklan produk Nurraysa mengajak ramai menjadi pengedar. Tetapi ia berlalu begitu saja. Saya pun tak pernah didedahkan dengan jenama itu. Dipendekkan cerita, teman saya mengajak menjadi pengedar jenama itu.
“Saya mencuba nasib berjinak jinak dengan aplikasi TikTok untuk menjual barangan jenama itu. Tak sangka pula, saya jadi perhatian di aplikasi itu hingga ramai yang nak membeli selepas menonton video pendek di Tiktok. Tak menang tangan jadinya mencatit tempahan dan membuat pesanan barang,” katanya.
Tanpa berselindung, Anisa mengakui rasa malu apabila namanya tular di TikTok.
“Rasa macam artislah ibaratnya. Tapi saya tetap Anisa yang dulu. Yang sentiasa nak buktikan diri ini juga boleh jadi sempurna macam orang normal lain.
Mingguan Wanita : Semoga Anisa terus berjaya dan dimurahkan rezeki. Insyallah.
Sumber : Anisa Samsudin
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita