Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Itulah yang berlaku kepada Din (bukan nama sebenar) yang telah melafazkan cerai kepada isteri tersayang hanya kerana cemburu buta. Tanpa usul periksa dan tidak mendengar penjelasan daripada isterinya Siti (bukan nama sebenar), dia merana dan kini boleh dikatakan gila talak, sanggup lakukan apa sahaja demi mendapatkan kembali isteri yang dicerainya.
Din dan Siti bercinta sejak zaman sekolah lagi. Jodoh mereka panjang, walaupun Siti dapat melanjutkan pelajaran dan Din pula mendapat pekerjaan tetap di sebuah ibu kota, hubungan mereka tetap erat. Mereka saling berhubung walaupun seorang di bahagian utara dan seorang lagi di selatan.
Empat tahun bercinta, akhirnya mereka disatukan dalam suasana yang meriah. Pada masa itu, Siti sudah mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang yang dipelajari selama ini. Kebetulan pula, pejabatnya berdekatan dengan tempat tinggal mereka.
Masa bercinta semuanya indah. Bila sudah tinggal sebumbung segala perangai dan tingkah laku mula ditunjukkan. Rupanya, Siti tidak mengenali Din dengan lebih dekat kerana Din seorang yang panas badan dan kuat cemburu.
Ketika inilah Din mula menunjukkan belakangnya, setiap kali Siti pergi bekerja, Din tidak betah menelefon Siti, bertanyakan makan di mana, rehat dengan siapa dan berapa ramai pekerja lelaki. Semuanya Din ingin tahu. Tidak cukup dengan itu, Din akan menyelongkar telefon Siti, ingin tahu Siti berbual dengan siapa dalam telefon dan sebagainya.
Semua ini membuatkan Siti naik rimas dan seolah-olah dirinya tidak bebas dan dikongkong oleh suami sendiri. Silap menjawab, tangan Din akan naik ke muka Siti.
Suatu hari, Din terserempak dengan Siti yang keluar rehat bersama seorang kawan lelaki satu pejabat dengannya. Puas Siti menerangkan mereka hanya kawan sepejabat tetapi langsung tidak diendahkan oleh Din.
Akibat terlalu marah dan geram, Din tanpa sengaja telah menjatuhkan talak. Bukannya satu tetapi talak tiga. Terkejut dengan apa yang diucapkan oleh Din, Siti terus keluar daripada rumah itu,
Penyesalan sudah tidak berguna lagi. Din tersedar selama ini dia terlalu cemburu buta tanpa sebab sehinggakan Siti tidak mampu berbuat apa-apa. Dia langsung tidak percaya pada Siti sedangkan selama ini Siti sangat bersabar dengan perangainya.
Sejak kejadian itu, kehidupan Din tidak bahagia seperti dulu. Dia sentiasa teringatkan Siti dan puas dia menjejak Siti tetapi tidak berjumpa. Dia ingin meminta maaf dan ingin merujuk kembali dengan Siti.
Namun, semuanya sudah terlambat, Siti tidak lagi bekerja dan ditukarkan ke tempat lain. Sehingga kini, Din masih lagi mengharapkan agar Siti dapat kembali kepadanya.