Setiap orang rezekinya lain-lain, ada yang sebaik sahaja berkahwin dikurniakan anak yang ramai ada lelaki dan perempuan. Sementelah ada di kalangan kita dikurniakan anak ramai tetapi berderet lelaki atau perempuan.
Nama pun rezeki aturan Allah. Sebagai hamba-Nya kita sepatutnya bersyukur dengan apa Allah anugerahkan. Kerana ada juga yang bernikah bertahun-tahun lamanya masih belum dikurniakan anak.
Kepada yang suka tanya atau bagi cadangan tentang jantina anak orang yang dikurniakan anak jantina yang sama berderet, jangan tanya lebih, adalah lebih baik doakan mereka dan beri kata-kata positif.
Ikuti perkongsian Ustazah Asma Harun dan cuba jaga perasaan orang lain iya:
Kepada yang bertanya dan bersedih…
Sering saya ditanya, “Ustazah ada tak amalan, doa atau tips untuk dapat anak perempuan?
Anak saya empat orang semua lelaki, teringin sangat hendak anak perempuan, saya stres dengan provokasi dan pertanyaan orang”.
Ustazah, “Salah ke jika semua anak saya perempuan, enam orang, saya letih dan stres dengan ayat suruh beranak lagi, mana tahu dapat lelaki, supaya ada wakil jadi imam atau yang angkat jenazah kita esok… Macam-macam ustazah orang cakap. “
Kepada yang suka tanya atau bagi cadangan tentang jantina anak orang, paling manis cukuplah mendoakan dalam waktu yang sama memberikan kata-kata yang positif.
Saya sendiri, bila tengok seseorang yang memiliki ramai anak tapi satu jantina, di antara yang selalu saya katakan…
“Subhanallah, semua anak lelaki ya, tak apa.. Nanti dapat semua anak perempuan ekspres, menantu esok-esok, untung juga semua anak lelaki, cukup untuk angkat jenazah kita 4 penjuru… Subhanallah…”
“Alhamdulillah, semua anak perempuan comel-comel, ramailah pembantu dekat rumah ya, insyallah anak-anak ini esok melahirkan ramai pejuang agama Allah, darah daging puan juga..”
Dan lain-lain cara membahagiakan mereka.
Baca Juga Di sini:
Kalau Nak Jantina Anak Berbeza, Laki Bini Kena Usahakan 6 Cara Ini Setiap Kali ‘Bersama’!
Punyai 3 Anak Perempuan, Syurga Menanti Mak Ayahnya, SYARAT Didik & Jaga Sebaiknya
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Tuan Puan,
Ada yang dah nikah lama belum ada anak.
Ada yang sampai tua tak ada anak.
Ada yang nak sangat nikah belum bertemu jodohnya, apatah lagi ada anak.
Ada yang ada anak semuanya sakit kronik.
Ada yang ada satu sahaja anak dan anak itu meninggal dunia.
Ada yang meninggal kerana melahirkan anak.
Dan pelbagai lagi kisah dengan “anak”.
Pertama, jika kita ditanya tentang anak semua sama jantina, jawablah ia adalah kurniaan Allah swt, baca dan fahamilah firman Allah dibawah :
Surah Asy-Syura ayat 49 dan 50 :
لِّلَّهِ مُلۡكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ يَخۡلُقُ مَا يَشَآءُ يَهَبُ لِمَن يَشَآءُ إِنَٰثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَآءُ ٱلذُّكُورَ
“Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki”,
أَوۡ يُزَوِّجُهُمۡ ذُكۡرَانًا وَإِنَٰثًا وَيَجۡعَلُ مَن يَشَآءُ عَقِيمًا إِنَّهُۥ عَلِيمٌ قَدِيرٌ
“Atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada siapa) yang dikehendaki-Nya, dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa”.
Allahu Akbar, Allah Maha Mengetahui atas setiap pemberian dan ketetapan-Nya. Hikmah di sebalik ketetapan itu akan dirasai oleh orang mukmin, sungguh segala ketetapan Allah itu adalah yang terbaik dan sempurna.
Kepada yang teringin hendak anak, sama ada sudah nikah atau belum, atau sudah sampai tua tetap tidak ada anak.
Percayalah, semua yang kita inginkan namun tidak dapat di dunia ini, lalu kita sabar, redha dan bersangka baik, yakinlah akan diberikan di Syurga kelak
Selalu saya jawab, maaf tak ada tip, mungkin saintis ada jawaban, Wallahua’lam. Tapi tentang doa, silakan doa dengan ayat sendiri, ayat umum atau khusus.
Allah Maha Mengetahui keinginan yang terkandung di dalam hati.
Soal boleh ke tidak minta doa jantina anak, iya boleh, silakan.. Sebagai hamba kita berhak meminta dengan cara kita, sebagai Tuhan, Allah berhak menunaikan permintaan kita dengan Cara-Nya.
Cuma yang jauh lebih utama daripada isu jantina anak, banyakkanlah berdoa agar dapat anak yang soleh, Surah As-saffat 100 :
رَبِّ هَبۡ لِىۡ مِنَ الصّٰلِحِيۡنَ
“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku zuriat yang termasuk orang yang shalih.”
Silakan share dan tuliskan sesuatu
Asma’ binti Harun
#UAHSahabatDuniaAkhirat
MW: Setiap apa yang berlaku dalam hidup kita pasti ada hikmahnya. Bersyukurlah dengan setiap apa yang dikurniakan dan sebagai orang luar doakan yang baik-baik untuk orang lain. Insyallah suatu hari akan datang yang baik-baik jua untuk kita.
Sumber: Ustazah Asma Harun