Diejek badan besar kereta kecil, lelaki kongsi anak muda jangan malu guna kereta kecil asal jimat banyak. Perkara pertama selalu kita fikirkan dalam hidup ialah TAKUT DENGAN PANDANGAN ORANG. Buat itu salah, buat ini salah sampai dalam membuat keputusan pun kita masih memerlukan pandangan orang.
Paling banyak buat keputusan salah ialah saat membeli kereta pertama yang mana biasanya kita berfikir, ala beli sekali saja. Apa salahnya beli yang lebih mahal, berjenama, bangga dipuji orang hinggakan akhirnya kita menanggung beban seumur hidup.
Diejek Badan Besar Kereta Kecil
Baca satu perkongsian dari Ahmad Nizar Azham mengeni betapa perlunya kita membuat keputusan tepat dalam hidup khususnya saat membeli kereta pertama. Tak salah pakai kereta kecil seperti Axia, asal tak berhutang keterlaluan. Lagipun bayaran bulanannya boleh tahan murah khsusnya bagi Axia E.
Khas buat anak muda.
Inilah kereta yang saya gunakan ke tempat kerja setiap hari. Dari Nilai ke Putrajaya. Hampir 60km ulang alik setiap hari. Sebuah kereta kecil yang sangat jimat serba serbi. Minyak,komitmen bulanan, kos penyelanggaraan, roadtax dan lain-lain.
Perodua Axia E 1.0 (M). Komitmen bulanan hanya RM250 sebulan. Macam bayar motor sahaja. Alhamdulillah tak struggle bulan-bulan nak bayar sampai 700-800 tu. Jumlah tu boleh guna kot tempat lain yang lebih bermanfaat kan. Kita boleh buat saving ASB ke TH ke kan. Ataupun kita ada plan takaful untuk medical.
Orang nak kutuk tu biasalah. Dulu saya ingat lagi masa mula2 saya bawa kereta ini di UUM kawan saya kata, ‘eh kereta kecik, tapi bila tuan badan keluar kereta badan besar, tak sesuai’ Tapi rajin pula dia dok tumpang kereta saya lepas tu.
Ads
Lelaki Kongsi Anak Muda Jangan Malu Guna Kereta Kecil Asal Jimat Banyak
Ada juga kawan-kawan dok kata kosongnya kereta hang. Apa pun tak ada. Yelah masa saya saya beli Axia E ni mula-mula dulu radio dia tak bagi, central lock dia tak bagi, alarm dia tak bagi, assist grip tak bagi. Kemudian saya buat semua tu kat luar kos tak sampai pun 1k. Benda boleh jimat, kenapa nak membazir?
Orang nak kutuk biarlah. Kita bukan guna duit dia beli kereta kita ni. Eheh. Bagi saya kereta ini tak lebih sebagai sebuah kenderaan untuk bergerak dari point A ke point B. Tak lebih dari itu.
Buat kawan-kawan saya fresh graduate yang baru nak mulakan hidup, nasihat saya jangan habiskan gaji kita pada kereta hanya untuk kepuasan diri dan impresskan orang sekeliling.
Ada kereta mahal bukan petanda hidup anda berjaya. Jangan terikut-ikut dengan sekeliling. Selalu amalkan formula setahun gaji untuk tahu harga kereta yang sesuai untuk kita. Usah malu untuk guna kereta second hand pun atau cuma ada motor sahaja. Biar kereta tak lawa, janji kita tahu apa tujuan hidup kita.
Fokus kumpulkan aset, bukan liability. Sekarang zamannya untuk kita banyakkan simpanan. Kita tak tahu apa pula yang akan terjadi nanti. Pandemik ini dah cukup sangat nak sedarkan kita dari tidur yang panjang. Jelaskan matlamat hidup kita teman.
Teruk sangat dah nie. Hari ini saja ada 3 laporan dari ibu bapa berbeza mengenai guru yang menampar dan suka mencubit murid. Ikuti temubual eksklusif MW jam 8.30 malam ini bersama Puan Zanariah Mohd Zabidi, berkaitan isu anak ditampar di muka oleh guru.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bergelar seorang pendidik bukanlah satu kerjaya yang mudah. Memberi ilmu kepada anak bangsa merupakan satu pengorbanan yang sangat besar. Apatah lagi bukan semua orang boleh bersabar dalam mendidik kanak-kanak. Ini kerana pelbagai kerenah yang bakal mereka hadapi sepanjang mengajar. Personaliti yang memenuhi ruangan Keranamu Guru kali ini, menjadikan kerjaya ini sebagai yang paling dihormati. Bukan kerana dipaksa malah Anis Salwa Alauddin, 31 menyatakan darah pendidik sudah seabati dalam dirinya.
“Saya tidak pernah rasa terpaksa menjadi seorang guru kerana darah pendidik mengalir dalam diri saya dan itu adalah cita-cita saya, iaitu mendidik anak bangsa menjadi modal insan yang produktif kepada masyarakat dan negara.
“Ibu bapa saya adalah pendidik. Mereka adalah pendorong terbesar saya untuk masuk ke bidang perguruan ini selain minat saya yang mendalam terhadap profesion ini. Ibu bapa saya telah meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mengikuti pengajian selama lima tahun setengah di IPG KPT, Cheras iaitu kohort pertama guru Ijazah keluaran maktab (kini dikenali sebagai Insitut Pendidikan Guru). Latihan yang secukupnya telah diberikan kepada kami graduan IPG untuk menjadikan kami seorang guru yang berdedikasi. Ibu saya seorang mantan pengetua SMK Sg Soi, Kuantan Pahang merangkap Guru Cemerlang Bahasa Melayu dan pada usia emas, beliau mendapat Anugerah Tokoh Guru Daerah Kuantan. Keupayaan seorang ibu yang berkerjaya dan membesarkan 12 orang anak adalah sesuatu yang membanggakan saya. Arwah bapa saya merupakan seorang Pengurus Hal Ehwal Pelajar IKIP, Kuantan sebelum beliau bersara,” ungkap guru yang sudah lapan tahun berpengalaman mengajar ini.
Pandai Menyanyi
Dalam mengajar, Anis Salwa juga menyelitkan unsur seni dengan menyanyi, katanya, “Syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi minat dan kebolehan menyanyi. Justeru, saya banyak menyelitkan unsur didik hibur dengan nyanyian kerana saya percaya ia serba sedikit dapat membantu murid untuk lebih tertarik dengan pembelajaran dan mudah mengingat. Sebenarnya saya memang bergiat aktif dalam bidang nyanyian juga. Tidak dinafikan, murid-murid teruja apabila saya merupakan ‘penyanyi’ dan mereka kerap menonton nyanyian saya di saluran YouTube.
“Murid menjadikan diri saya sebagai contoh ikutan mereka. Itu adalah satu pemangkin semangat saya untuk menjadi yang terbaik di mata mereka. Saya cuba bersikap proaktif dalam menjalankan tugas dan amanah. Cuba memberi dan membuka peluang kepada diri untuk mengembangkan potensi diri yang ada dalam pelbagai bidang. Saya sering mendidik mereka untuk tampil berani di hadapan orang ramai dan menepis segala ketakutan yang ada untuk berjaya,” terang Anis Salwa yang pernah menjadi Johan beberapa penglibatan seperti Johan Bintang Klasik Nasional Peringkat Kebangsaan 2007, Johan Bintang Klasik Nusantara Peringkat Nusantara 2007, Johan Kebudayaan Peringkat Negeri 2015, Johan Kebudayaan Peringkat Kebangsaan 2016 dan Undangan persembahan bersama Radio Klasik, RTM & Majlis-majlis Diraja.
Beza Mengajar Sekolah Bandar & Luar Bandar
Pernah mencurahkan bakti di SK St Francis, Sitiawan Perak (2011-2014) dan kini mengajar di SK Gulau, Sik Kedah. Ibu kepada dua orang anak ini, merupakan guru Bahasa Inggeris dan Matematik.
“Pengalaman mengajar sekolah bandar dan luar bandar. Ternyata pengalaman sungguh berbeza. SK St Francis merupakan sekolah bandar, cabaran mengajar anak murid (lelaki sahaja) pelbagai bangsa dan majoriti berbangsa India. Dapat mempelajari budaya belajar dan bekerja yang menjadikan saya seorang guru yang tegas dalam mendidik.
“Di SK Gulau di mana saya sedang berkhidmat di sini. Sekolah luar bandar. Jauh dari pekan Sik, Kedah. Majoriti Melayu dan beberapa murid Siam. Budaya belajar dan mengajar yang sangat berbeza. Murid di luar bandar bersifat introvert (malu dan pendiam). Enggan bertutur dalam Bahasa Inggeris. Selain itu, penerimaan murid terhadap guru baharu yang tidak bertutur dialek tempatan mereka adalah sangat sukar. Murid di sini juga menjadikan Bahasa Inggeris sebagai satu bahasa asing iaitu bahasa ketiga mereka. Mereka seolah-olah menolak bahasa ini. Tetapi, lama-kelamaan bahasa ini dijadikan satu budaya buat mereka supaya mereka tidak ketinggalan dengan arus perdana yang rata-rata memerlukan penguasaan Bahasa Inggeris di peringkat global. Usaha membentuk budaya ini mengambil masa lebih dua tahun. Alhamdulillah, pertuturan harian (basic conversation) mereka perlahan-lahan dapat dikuasai,” ungkap Anis Salwa.
‘From Zero to Hero’
Anis Salwa juga menyatakan ibu bapa menghantar anak mereka dengan suatu harapan. Murid hadir ke sekolah dengan satu impian. Adalah menjadi satu kepuasan buat dirinya apabila dapat merealisasikan impian mereka. Dari tidak mengenal apa-apa sehingga bijak tulis dan baca.
“Saya suka membentuk sahsiah murid supaya mereka menjadi lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing. Dalam pengajaran, saya melibatkan murid dalam aktiviti berkumpulan supaya dapat meningkatkan kemahiran interpersonal dan komunikasi sesama mereka,” sambung Anis Salwa.
Hadiah Istimewa
Anis Salwa juga turut menerima pelbagai kad ucapan dan hadiah istimewa daripada anak muridnya.
“Murid sekolah rendah mempunyai daya apresiasi yang tinggi terhadap guru mereka. Oleh itu, saya kerap menerima kad-kad ucapan, hadiah-hadiah daripada murid-murid. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah menerima naskhah yang berunsur surat cinta tetapi lebih kepada apresiasi seorang murid kepada gurunya. Adalah menjadi kebiasaan apabila murid-murid menyatakan rasa sayang terhadap guru mereka.
Pada setiap Hari Guru, saya turut menjadi tumpuan murid. Banyak hadiah yang diterima. Hadiah paling bermakna ialah hadiah sekotak kurma daripada seorang murid Siam.
“Pada 2018, saya terpanggil untuk menyanyikan sebuah lagu khas buat guru-guru di Malaysia sempena Hari Guru 2018. Saya tidak menyangka video tersebut mendapat perhatian ramai dan tular di Facebook.
Cabaran Utama
Tidak dinafikan, beban tugas seorang guru adalah sangat banyak. Walau bagaimanapun, Anis Salwa menyatakan dia perlu bijak mengawal emosi dan cuba sedaya upaya menerima segala pembaharuan yang berlaku. Antara cabaran yang dihadapi pada sebagai guru masa kini antaranya, “Kehendak masyarakat terutama ibu bapa yang berkobar-kobar ingin melihat anak mereka berjaya adalah bukan semata-mata di bawah didikan seorang guru. Guru-guru perlu mengembleng tenaga bersama-sama ibu bapa untuk memastikan kejayaan anak-anak.
“Kecanggihan teknologi mempengaruhi pemikiran anak bangsa yang kadangkala lebih celik daripada gurunya. Kini dunia tanpa sempadan, semua maklumat di hujung jari. Oleh itu, guru perlu menjadi lebih progresif dan kreatif dalam menangani masalah ini. Pengajaran konvensional (cara lama – chalk and talk) bukanlah tidak relevan pada masa kini. Tetapi kanak-kanak gen Y dan Z ini lebih bersikap aktif dan suka meneroka sesuatu yang baru. Mereka perlu diajar untuk berkomunikasi dengan baik dan berupaya menyelesaikan masalah harian dengan sistematik. Oleh itu, pengajaran guru perlu pelbagai dan menerapkan unsur-unsur pembelajaran abad ke-21; iaitu pembelajaran berpusatkan murid. Arus pemodenan dan pengaruh luar serba sedikit memberi impak kepada pembentukan sahsiah murid. Guru menjadi agen bagi menepis pengaruh-pengaruh negatif daripada menular masuk ke dalam pemikiran anak-anak terutama di sekolah rendah.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak kedua Cikk Bybah ini dilahirkan sama tahun dengan anak sulung. Bayi kembar tahun bernama Nur Hani Qalisya Binti Mohd Taufiq ini dilahirkan awal dari tarikh jangkaan ibunya bersalin.
Dia dilahirkan normal seperti bayi yang lain. Mudah dijaga dan tak banyak ragamnya. Cuma selepas sebulan lebih, dia tiba-tiba diserang jangkitan kuman pada paru-paru.
Biarpun pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkannya, bayi ini tak dapat bertahan dengan kuman ganas yang menyerang tubuhnya. Sayu.. kerana ibunya catatkan satu persatu setiap hari momennya bersama bayi kembar tahunnya ini.
Bila Adik Lahir, Bermakna Sebaya Usianya Dengan Kakak
21 Jun 2018
Umi dan Abi mendapat khabar gembira, Umi disahkan pregnant 10 weeks. Masa tu kakak Hana baru 5 bulan. Tapi Umi dan Abi terima dengan hati terbuka. Ini semua rezeki dari Allah SWT.
Masa berlalu dan terus berlalu. Makin hari kandungan Umi semakin membesar. Setiap kali check up adik sihat. Alhamdulilah awak, anak yang sangat menyenangkan Umi masa di dalam kandungan. Tiada alahan! tiada terlalu banyak mengidam.
19 Disember 2018
Umi ada check up bersama pakar. Untuk memastikan Hb Umi okay. Bila semua dah okay. Doktor meminta untuk buat CTG sebelum balik.
Umi pun rasa adik tendang, active sangat.
Setengah jam berlalu. Doktor bagitau Umi dah ada contraction. Tapi Umi tak rasa sakit. Doktor check laluan dah 3 cm. Ehh , berdebarnya rasa.
Sepatutnya due Adik 16/1/2019 . Rasa menggelabah sikit . Tertanya-tanya “Takkan anak aku nak keluar sekarang, sebaya laa ngan kakak dia. Adoi.”
Doktor minta aku untuk terus ke Dewan Bersalin.
Tapi aku minta izin untuk pulang mengambil baju-baju baby.
Setelah jam menunjukkan 5 petang, aku terus ke Dewan Bersalin. Sesampainya di situ, mereka check laluan still 3 cm
20/12/2018 – Laluan masih 3 cm. Bermacam-macam Umi buat, tetapi laluan masih sama.
21/12/2018 – Laluan masih juga 3 cm.
22/12/2018 – Pukul 7 pm keluar darah dan air ketuban dah pecah.
Bagitau nurse, nurse suruh tunggu doktor. Keluar sekejap jumpa Abi. Tak lama nurse panggil check laluan dah 5 cm. Terus bagi Abi semua barang berharga dan Umi ditolak masuk ke labour room.
Selamat Lahirkan Anak Kembar Tahun
23/12/2018 : 12.38 am – Selamat lah melahirkan seorang lagi puteriku
Hilang segala kesakitan yang dirasa setelah melihat puteriku yang sangat comel
Pukul 2 am – Umi dan baby ditolak naik ke wad. Masa berlalu lagi.
“Sepanjang adik dan Umi di wad. Terlalu senang Umi menjaga adik. Kerana adik sangat senang dijaga, tak banyak ragam langsung. Umi dapat rehat dengan cukup.”
25 Disember 2018
Umi dan baby dibenarkan balik.
Horeyy! Happynya
Sepanjang di rumah, kakak Hana tak henti-henti cium adik, tak berhenti peluk adik. Tiap kali Umi mandikan adik, kakak Hana pun bangun sama untuk jadi pengacau.
Umi pun dah terjerit-jerit. Anak baru dua dah macam jaga 10 orang riuhnya.
Hari berlalu lagi dan lagi.
Tiba-tiba Tangan Adik Lemah..
27/1/2019 – Malam tu kakak Hana menangis-nangis nak minta tidur dengan adik. Umi berkeras tak nak bagi, sebab takut kakak terhempap adik.
28/1/2019 – Jam menunjukkan 1 pagi. Umi susukan adik, tidurkan adik. Dan Umi pun tertidur sama. Umi terjaga pukul 3 pagi “Ehh! anak aku tak nangis ke? Selalu time macam nie nak susu dah.” Umi pergi tengok adik. Rupanya adik tak tidur. Umi bagi susu adik tak hisap, adik diam je.
Lepas Umi dukung-dukung, adik terus terlena. Umi pun tidur semula. Terjaga lagi jam 5 pagi.
Adik terjaga juga, tak tidur dan tak menangis. Umi bagi susu adik pun tak nak hisap. Umi kejut Abi. Abi kata tunggu siang sikit kita gi klinik.
Jam pukul 7 am. Umi mandi, siapkan adik. Selepas mandi adik terus lena. Nampak adik mengantuk sangat. Jadi, Umi tak nak ganggu. Umi biarkan dulu. Dah tengahari pun adik tido. Jam dah pukul 4 pm. Adik menangis. Umi terpikir, mungkin adik dah lapar. Umi bagi susu, laju adik hisap habis.
Tetiba Umi angkat tangan adik, tapi adik dah lemah. Umi dan Abi dah panik sangat terus start kereta pergi kecemasan. Sampai sana doktor berlari-lari untuk tolong adik.
Dah pukul 8 malam, adik dah okay dan menyusu dan nampak stabil. Umi tanya staff, dia kata, “Mungkin anak puan dah boleh balik, tapi apa-apa pun kena tunggu Pakar Kanak Kanak.”
Tak lama kemudian Pakar Kanak Kanak dua orang sampai. Dia Tterangkan ada kuman bahagian paru-paru baby. Jadi dia minta admit. Malam tu dia terangkan kepala adik keras. Sepatutnya lembut je kepala baby.
Jadi dia suspek ada kuman pada selaput otak. Dia minta kebenaran untuk ambil ‘air tulang belakang’, tapi dia kata tak nak rushing sangat. Dia nak bincang esok pagi.
Setelah Umi minta pendapat ahli keluarga, semua melarang!
Umi Dan Abi Setuju Doktor Ambil Air Tulang Belakang Adik
29/1/2019 – Pukul 7 pagi, Doktor Pakar datang dan terangkan satu persatu. Meraungnya hati Umi kat situ.
Dia bagi dua pilihan, sama ada operate bahagian kepala atau ambil air tulang belakang. Doktor dah terangkan segala kemungkinan. Umi dan Abi tiada pilihan. Jadi kami bersetuju untuk ambil air tulang belakang pada pukul 12 tengahari.
Selepas itu adik banyak menyusu. Adik nangis nak Umi peluk je.
Pukul 4 petang, keadaan adik semakin kritikal. Adik dimasukkan Ke ICU , dan Umi tak dibenarkan menjaga adik sama sekali.
30/1/2019 – Adik masih tiada perubahan. Adik semakin kritikal.
31/1/2019 – Adik ada perubahan sikit. Alhamdulilah.. Umi tersenyum.
1/2/2019 – Pada pukul 12 tengahari, pihak hospital call, bagitau keadaan adik kritikal semula. Dan adik dihantar ke NICU untuk menambah alat pernafasan. Tapi sayangnya adik dah tak boleh terima semua mesin tu . Umi bisik kat telinga adik “Adik bangun, Umi nak bagi adik susu. Umi nak dengar adik menangis.” Tapi dalam keadaan adik koma, adik balas percakapan Umi dengan mengalirkan airmata.
Malam tu Umi terlintas nak berjumpa dengan Ustaz. Dan Ustaz tu bagitau harap belum terlambat untuk bantu dia. Kerana adik ada sedikit gangguan. Jam menunjukkan 11 malam, confirm Umi tak boleh masuk! Cakap kat Abi, “Esok pukul 7 pagi, kita pergi ye.”
Bersedia Dengan Segala Kemungkinan
2/2/2019 – Jam menunjukkan 6 pagi. Dapat panggilan dari hospital, Umi dan Abi terus ke hospital. Doktor bagitau buah pinggang adik dah tak berfungsi. Minta Umi sign satu borang untuk tebuk. Belum sempat Umi sign. Adik dah makin kritikal.
Doktor bagitau untuk bersedia dalam segala kemungkinan. Masa tu 5/6 orang doktor bantu buat CPR pada adik, Umi tengok adik dah sangat terseksa.
“Umi Berdoa , Ya Allah.. jika Kau izinkan anak aku untuk terus bersamaku di muka bumi ini, Kau angkat lah segala penyakitnya. Kau bebaskan dari segala bebanan yang ditanggung. Jika ini hanya pinjaman seketika waktu, kau ambil lah dia semula, aku ikhlas kan Ya Allah.”
10 minit berlalu, dengan langkah yang perlahan doktor datang padaku untuk memberitahu anak syurga ku kini telah pergi dengan tenang.
Allahu.. menggigil seluruh badan. Mencari sisa-sisa kekuatan yang masih Ada. Berlari aku terus mendakap puteriku. “Kalau dulu Umi berhasrat untuk membawamu pulang setelah keadaan mu membaik, tapi kini Umi membawa sekujur jasad yang tidak bernyawa.” Hilang separuh jiwa ku pergi bersamamu anak syurgaku.
MW : Al Fatihah.. semoga baby Nur Hani Qalisya ditempatkan di kalangan orang yang beriman.
Dahulu, dialah paling rapat, peneman dan teman berbual setiap kali ibunya sibuk menyiapkan tempahan kuih muih. Dialah juga orang pertama yang akan merasa masakan ibunya.
Memori-memori inilah yang akan dikenang dan tidak dapat dilupakan bagi seorang ibu, Raja Rasiah Raja Ibrahim, 48 tahun, terhadap anak keduanya, anak yang paling rapat, Mohd Amier Firdaus Mohd Hijazi, 19 tahun.
Kini, anak manja dalam keluarga ini hanya terlantar di katil, tidak mampu berbuat apa-apa dan perlu diuruskan oleh keluarganya. Semua ini akibat kemalangan yang berlaku empat tahun lalu.
Nampak Perubahan
Menurut Raja Rasiah, kemalangan itu berlaku pada 16 November 2015, semasa Mohd Amier Firdaus atau dipanggil Abe Ngoh berusia 15 tahun.
“Saya boleh katakan Abe Ngoh seorang anak yang baik. Habis sahaja sekolah, dia akan terus pulang ke rumah dan kebanyakan masanya dihabiskan di rumah.
“Namun, dua hari sebelum kejadian tersebut, Abe Ngoh ada menunjukkan kelainan dengan berpakaian serba baru, sehinggakan saya sendiri tertanya-tanya dengan gayanya itu.
“Pada hari kejadian itulah, Abe Ngoh meminta izin pada saya untuk keluar bersama kawan-kawan ke tempat perkelahan di Telaga Bijih, Batu Gajah. Tanah Merah. Mereka menaiki dua buah motosikal. Sampai di tempat itu, Abe Ngoh hanya membasuh muka dan terus mengajak kawannya pulang. Katanya, dia ingin pulang untuk makan nasi di rumah,” cerita Raja Rasiah tentang kejadian itu.
Dua Jam Tunggu Bantuan
Cerita Raja Rasiah lagi, semasa dalam perjalanan pulang itu, motosikal yang dinaiki oleh Abe Ngoh berselisih dengan sebuah lagi motosikal yang datang dari arah bertentangan. Bagi mengelakkan kemalangan, motosikal Abe Ngoh melencong ke bawah jurang.
“Bila terjatuh, kawan Abe Ngoh merangkak naik ke atas untuk meminta bantuan kerana sebuah lagi motosikal sudah meluncur ke hadapan. Cukup menyedihkan dalam tempoh dua jam, kawan Abe Ngoh cuba meminta bantuan orang yang lalu lalang tetapi tidak ada seorang pun yang sanggup berhenti untuk menghulurkan bantuan. Ini kerana tempat kejadian itu adalah kawasan yang agak sunyi dan ramai orang tidak berani untuk berhenti di situ.
“Sehinggalah, ada seorang pakcik yang sanggup berhenti selepas melihat kawan Abe Ngoh menangis. Dalam tempoh menunggu bantuan itu, Abe Ngoh sudah tidak sedarkan diri.
“Mereka di hantar ke klinik berdekatan. Namun, selepas membuat pemeriksaan, doktor meminta mereka di rujuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan. Melihat keadaan Abe ngoh yang tidak sedarkan diri, dia dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut. Pada masa itulah, kawan-kawan Abe Ngoh menelefon saya untuk memberitahu kemalangan yang menimpanya,” kata Raja Rasiah mengingatkan detik-detik itu.
Sudah Jatuh Ditimpa Tangga
Di HUSM, Abe Ngoh dirawat selama empat bulan dan dalam tempoh itulah, dia langsung tidak sedarkan diri.
“Saya, suami dan anak-anak berkampung di hospital itu, kebetulan cuti sekolah dan sukar untuk saya dan keluarga berulang alik. Kereta menjadi tempat tidur kami anak beranak. Mungkin tiada rezeki kami, kereta kami telah dicuri ketika menjaga Abe Ngoh. Semua barang di dalam kereta lesap.
Bagai jatuh di timpa tangga. Selepas mendapat kebenaran untuk membawa pulang Abe Ngoh ke rumah, sekali lagi Raja Rasiah dirundung sedih kerana dihalau oleh tuan rumah sewanya. Maklum sahaja selama empat bulan, dia tidak balik ke rumah dan tidak mampu membayar sewa rumah.
“Semua barang kami diletakkan di luar rumah dan ada barang kami di curi. Hanya yang tinggal barang-barang lusuh sahaja. Saya menumpang seketika di rumah kakak ipar di Tanah Merah. Lagipun, duit simpanan kami habis digunakan sepanjang berada di HUSM,” katanya dengan nada sedih.
Bina Hidup Baru Kembali
Bukan sahaja tiada tempat untuk berteduh, anak yang cukup disayangi terlantar sakit dan duit simpanan pula habis digunakan. Raja Rasiah seolah-olah bermimpi dan hilang segalanya dalam sekelip mata. Pernah satu masa, dia dan keluarganya tidak mampu membeli telur walaupun berharga RM2.
Dia tersentap dan perlu bangkit untuk membina hidup baru. Mujurlah dengan kudratnya itu, dia mencari rezeki dengan menerima tempahan kuih muih dan mendapat rumah hasil permohonannya dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Tanah Merah.
Di rumah itulah, dia dapat menjaga Abe Ngoh dengan lebih baik dan dengan sedikit wang yang dikumpul, dia bersama suami membuka gerai makan di depan rumah dengan menjual mi celup dan masakan panas bagi menampung perbelanjaan keluarga sejak setahun lalu.
“Dengan rezeki berniaga inilah, anak-anak saya dapat ke sekolah dan membeli keperluan untuk Abe Ngoh,” katanya lagi.
Tidak Mampu
Berbalik kisah anak keduanya ini, Abe Ngoh yang sudah terlantar empat tahun, Raja Rasiah dapat melihat perubahan dan perkembangan Abe Ngoh.
“Dari sehari ke sehari, saya lihat keadaan dia semakin uzur. Mungkin kerana saya menyekat pengambilan susu khas yang perlu diambilnya setiap hari. Kalau dahulu, Abe Ngoh akan minum susu khas sebanyak lapan skop setiap empat jam sekali.
“Kini, saya terpaksa kurangkan kepada lima skop sahaja. Saya terpaksa buat begini kerana tidak mampu untuk membeli susu. Sekurangnya satu tin mampu bertahan selama tiga hari,” katanya yang bergilir-gilir dengan anak perempuan untuk memberikan susu pada Abe Ngoh.
Tambah Raja Rasiah lagi, walaupun dia menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan namun perbelanjaan untuk tampung kos beli susu khas dan lampin pakai buang untuk Abe Ngoh tidak mencukupi.
Jika sebelum ini, Abe Ngoh tidak menunjukkan tindak balas. Kini, ada sedikit perubahan, di mana dia akan terkejut apabila dengar bunyi yang kuat. Tetapi bila terkejut atau batuk pun dia boleh kena sawan.
“Bila dia terkejut itulah, saya akan cepat-cepat memeluknya supaya sawan tidak menyerang,” katanya lagi.
Anak Yang Baik
Ketika ditemubual melalui telefon, sempat penulis bertanya tentang perkara yang sangat dirindui semasa Abe Ngoh sihat sahulu.
Dengan nada sedih, Raja Rasiah mengatakan dia rindu saat-saat Abe Ngoh menjadi teman berbual semasa dia menyiapkan tempahan kuih muih. Dia rindu untuk melihat Abe ngoh merasa masakannya. Dia rindu untuk melihat Abe Ngoh datang dan baring di lengannya. Dia rindu untuk mendegar permintaan Abe Ngoh supaya dipotongkan kuku dan dibersihkan telinganya.
“Dia anak yanga baik, manja dan tidak pernah menyusahkan ibu bapanya. Dia sanggup berusaha mencari duit poket untuk membeli barang yang diinginkan,” katanya dengan nada sebak.
Harapkan Keajaiban
Ditanya keadaan Abe Ngoh yang hanya mampu terlantar itu, apa yang diberitahu oleh doktor adalah kerana dia terlalu lama dibiarkan tanpa rawatan semasa kemalangan tersebut sehinggakan oksigen habis dan tidak dapat disalurkan ke otak.
“Doktor memberi tempoh selama enam bulan untuk Abe Ngoh kembali sihat. Jika lebih daripada tempoh ini, semuanya atas keajaibanNya.
“Saya tahu, dalam tempoh empat tahun ini tiada perubahan yang berlaku pada Abe Ngoh. Tetapi saya tetap berharap dan tidak henti berdoa agar Abe Ngoh sedar kembali. Walaupun tidak sempurna, sekurangnnya dia dapat bercakap dan kenal ahli keluarganya,” katanya penuh pengharapan.
INFO
*Selain Abe Ngoh, Raja Rasiah mempunyai dua anak perempuan iaitu Putri Amiera Nurfarisya, 16, dan Putri Amiera Nurfatiha, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 2. Namun, dua anak ini seperti memahami keadaan keluarganya dan kerap tidak ke sekolah kerana tidak mempunyai wang untuk membayar duit tambang van RM4 sehari.
*Raja Rasiah turut mengalami masalah jantung dan kebas tangan kanan. Manakala suaminya, Mohd Hijazi Ismail, 56 tahun, juga tidak mampu melakukan kerja berat ekoran mengalami penyakit kencing manis kronik.
*Bilik yang menempatkan Abe Ngoh sangat kecil dan muat untuk dirinya sahaja. Cuba berusaha untuk besarkan bilik tetapi masih terbengkalai.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 011-17924802 atau menerusi akaun Bank Rakyat 221191118221 (Raja Rasiah Raja Ibrahim).
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...