Tiada wanita yang inginkan penceraian berlaku dalam rumahtangga yang dibina. Namun tatkala, rasa cinta semakin hambar, maruah diri dan kehormatan bagai dipijak-pijak serta hilang segala kepercayaan buat insan yang bergelar suami, inilah nokhtah keputusan yang dirasakan paling bahagia.
Semoga perkongsian kisah benar pengalaman hidup oleh seorang wanita bernama Anisah, yang baru sahaja bergelar janda selepas diceraikan suami dengan talak 3 akibat campur tangan keluarga mertua dan kecurangan suami didalam rumahtangga, dapat dijadikan pengajaran buat wanita lain.
Ikuti coretan yang dikongsikan oleh wanita cekal ini.
Assalamualaikum Admin. Terima kasih siarkan cerita ni.
Akhirnya hari ini, Jumaat, 13 April 2018, selepas 7 tahun berkahwin, saya diceraikan dengan talak tiga dan ini lah hari paling bahagia buat saya. 7 tahun bukan tempoh masa yg sekejap, tapi sebenarnya tak cukup untuk perempuan selemah saya.
Sebelum kahwin, suami dan keluarga mertua sangat baik. Ketika bertunang, saya mula nampak sikit-sikit sikap keluarga suami yang tak menyenangkan tapi saya ambil positif, saya anggap tak ada pun manusia sempurna, jadi bersabarlah. Semakin dekat tarikh kahwin, semakin ketara sikap mengawal anak yang ditunjukkan oleh mertua saya tapi saya masih positif, ibu bapa mana tak sayang anak, jadi bersabarlah.
Ujian demi ujian, saya senyum dan beritahu diri sndiri, bersabarlah. Seminggu selepas mendirikan rumah tangga, keluarga mertua sudah rancang nak buat hari keluarga. Saya okay saja, namun tak sangka pada hari nak berlangsung, ayah saya dimasukkan ke wad. Saya minta suami hantar, tapi mertua saya cakap kakak2 awak kan ada. Awak duduk sini sambut hari keluarga, biar mereka yg lain pergi hospital. Suami setuju dgn ibu bapanya. Saya mengalah, malam itu ayah saya meninggal dunia. Yup, saya bodoh.
Kali Pertama Tangan Naik Ke Muka
Tahun kedua perkahwinan, alhamdulillah kami dikurniakan bayi lelaki. Puasa hari ke 28, kami bersiap nak balik ke kampung suami ( setiap tahun raya pertama wajib di rumah ibu bapanya ), ibu saya diserang strok. Saya tak mahu ulang kebodohan lalu, dan saya bertegas untuk hantar ibu ke klinik dan menjaganya, suami masih dengan alasan adik beradik awak yang lain boleh jaga. Saya berkeras, dan itulah kali pertama tangannya naik ke muka saya. Akhirnya saya mengalah kerana takut. Sebulan lebih selepas itu ibu saya pula meninggal dunia dan adik beradik memulaukan saya atas tindakan saya yang mengikut suami dan keluarganya sepanjang masa. Masih saya diam. Yup, saya bodoh.
Pada Januari 2014, usia anak kami 2 tahun, adik suami saya berkahwin dengan wanita pilihannya, lulusan ijazah kejuruteraan, bermulalah episod telinga saya berdarah dengan segala macam cemuhan, sindiran dan perbandingan. Menantu baru diangkat setinggi tingginya. Saya yang lulusan STPM hanya tersenyum sambil mendukung anak, tiap kali dibandingkan dari segi akademik. Saya masih sabar dan menganggap mereka masih keluarga suami yg mesti dihormati. Yup, saya bodoh.
Mohon Melanjutkan Pelajaran
2015, saya memohon melanjutkan ijazah di UiTM Shah Alam, secara jarak jauh. Kelas hanya pada hari minggu. Alhamdulillah, permohonan berjaya. Suami agak keberatan dan meminta saya bertanya pada ibunya. (Dalam hati terdetik, apa kena mengena ibunya dengsn saya nak melanjutkan pelajaran?) dan bila suami lihat saya seperti berat mengikut katanya, dia sendiri hubungi ibunya, membuat loud speaker dan meminta pendapat.
Jelas dan terang ayat ibunya, ”Hai, nak bersaing tahap akademik dengan biras ke?” Saya tetap berkeras. Walau saya takut-takut ditampar lagi, dikongkong lagi, saya juga takut sekiranya diceraikan (ibu bapa saya dah tak ada, adik beradik pula dah benci), saya sebatang kara. Kawan kawan juga dah renggang selepas saya berkahwin. Akhirnya suami beri kata putus, “Kalau awak nak sangat, yuran bayar sendiri.” saya akur.
Ads
Bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar, pekerja, isteri, ibu, dan menantu. Walaupun anak saya baru berusia 3 tahun lebih waktu itu, dia seperti mengerti kesibukan saya. Amar anak yang baik dan tak buat perangai sangat. Pada waktu saya rasa satu dunia menentang saya, saya lihat wajah Amar dan saya tenang. Saya masih ada Amar, satu satunya manusia di dunia yang masih sayangkan saya dan hormat saya. Berulang alik ke Shah Alam menaiki bas, terpaksa bayar lebih kepada pengasuh kerana hantar Amar bukan pada hari bekerja, yuran belajar, tiket pergi balik, semuanya duit saya. Saya gagahkan diri. Saya kuatkan diri bukan untuk masa depan saya, tapi masa depan Amar.
Suami Ada Perempuan Lain
Tahun 2016, terdengar ura-ura suami saya nak kahwin lagi satu. Saya tersentak, tapi saya pegang pada prinsip, selagi bukan dari mulutnya, maka saya akan abaikan. Sampai lah satu malam selepas tidurkan Amar, saya sedang menyiapkan assignment, dan suami cakap nak berbincang. Saya dapat rasa jantung saya berdegup sangat laju, tangan saya yang pegang pen terasa berpeluh dan menggeletar. Dan ya, dia beritahu sedang berkawan dengan perempuan lain. Saya tanya, sejak bila. Dia beritahu sudah 1 tahun.
Patutlah, dia tak kisah sangat saya ke Shah Alam, rupanya dia pun boleh dating dengan perempuan itu kerana Amar di rumah pengasuh. Tapi dia menyambung ayat “Awak jangan risau, saya belum nak kahwin dengan dia. Kami hanya berkawan. Kalau nak kahwin pun saya tak perlu minta izin awak. Tapi saya ni lelaki yang berani, jadi saya jujurlah dengan awak” Mendengar ayat ini, saya senyum dan tanya, “habis bila abang nak kawin dengan dia?” Dia jawab, “tahun depan?” Saya angguk. Saya kemaskan buku dan laptop, dan masuk tidur.
Pada jam 4 pagi, saya terjaga. Suami nyenyak tidur. Saya bangun dan solat sunat. Saya ke bilik sebelah dan tengok Amar. Saya peluk Amar dan menangis sepuas puasnya sehingga Amar terjaga tapi masih mamai. Satu ayat keluar dari mulut Amar yg mengubah hidup saya. Amar, anak yang baru berusia 4 tahun itu, dalam keadaan mamai, berkata pada saya: “Mak, Amar tak suka Babah.” Dan dia sambung tidur.
Mula Lakukan Perubahan Dalam Hidup
Selepas itu saya renung wajah Amar. Entah apa jadi pada saya malam itu, saya rasa saya bukan lagi perempuan yg sama. Saya rasa satu perubahan di hati saya. Di bilik Amar, sehingga ke subuh saya menimbang tara, menyusun hidup, dan membuat pilihan. Akhirnya saya nekad dengan satu keputusan terbesar dalam hidup.
Esoknya saya ke tempat kerja, saya tanya pada rakan sepejabat, ada tak apa-apa kerja part time yang boleh saya buat di rumah. Dia kata boleh kalau tolong isikan borang poslaju (dia berniaga online) dan saya bersetuju. Memang bayaran sikit, tapi dalam sebulan, lepas untuk keperluan susu Amar (update: suami tak pernah hulur nafkah keperluan saya dan Amar kerana dia tahu saya bekerja , melainkan bil-bil rumah, barang nak masak dan sewa rumah, kerana ibunya kata adik adiknya ada yang bersekolah, jadi dia yang sulung mesti bantu.)
Saya mula pergi kelas tiap-tiap minggu, sebelum itu saya pergi selang dua minggu, saya ambil subjek sehingga maximum credit hours, saya crampkan jadual saya sehabis habisnya, kerana saya nak cepat habis belajar. Saya buat kerja part time itu ini. Saya menyimpan di tabung haji. Sampai lah badan saya yang agak gempal beransur kurus. Suami masih mabuk bercinta, tapi tak apa. Misi terulung saya harus dilaksanakan.
Ads
Fokus Pada Misi
Dengan duit simpanan, saya keluarkan RM3800, saya beli kereta kancil 2nd hand. Suami tanya kereta siapa, saya jawab sayalah. Dia tanya kenapa beli, saya cakap mudah ke kelas, abang tak nak hantarkan saya, saya pun letih naik bas, saya belilah. Dia mungkin rasa tercabar (sebab saya tak pernah buat keputusan sendri tanpa tanya dia) lalu menendang sikit tayar kereta saya sambil berkata “kancil je pun.. besi buruk atas highway”. Tak apa, saya senyum. Fokus pada misi…misi..misi…
Di tempat kerja, saya tanya ada tak yang nak sewakan bilik. Alhamdulillah, ada sorang staff baru, dia nak sewakan bilik tapi dia pelik, untuk siapa sebab saya dah berkahwin. Jadi saya jawab, kalau saya dan anak saya, cuma untuk sementara, boleh? Dia okay.
Setiap malam, saya mengira bajet. Saya mencongak, menyusun masa depan. Badan semakin susut. Baju baju zaman bujang semua boleh pakai balik.
Suami Ditangkap Khalwat
Akhirnya, November 2017, Amar berusia 5 tahun, saya dikejutkan berita suami ditangkap khalwat. Saya masih senyum, keluarga suami sangat mempercayai bahawa dia dianiaya. Dan mereka menerima perempuan itu jika mahu berkahwin kerana perempuan itu seorang eksekutif yang bergaji besar. Ibu mertua siap berkata “Kena redha lah dimadukan. Orang suruh jaga suami, pulun nak sambung belajar.” Saya senyum. Fikirkan misi…misi…misi….
Disember 2017 mereka dikahwinkan. Saya waktu itu sibuk dengan persediaan final exam UiTM yang akan berlangsung Januari 2018. Selepas berkahwin baru, suami memang makin tak ambil tahu hal saya dan Amar. Tak apa, bila dia tak ada dirumah, saya senang menguruskan kerja part time dan Amar. Selesai peperiksaan akhir, suami ajak saya tinggal bersama dengan madu dirumah madu. Kerana dia dah tak mampu bayar sewa rumah yang diduduki saya waktu itu.
Saya menolak dengan baik dan dia kata ” kau pandai-pandai cari rumah lain, aku takkan bayar sewa rumah ni dah. Duit depo pun aku akan dapat bulan depan. barang-barang perabot aku nak pindahkan kat umah madu kau esok”. Saya hanya menjawab, “OK.”
Ads
Dijatuhkan Talak 3
Malam itu, saya kemas baju-baju dan barang keperluan yang penting untuk saya dan Amar. Dia tanya nak kemana hoi? Saya jawab, ke rumah sewa baru. Dia dengan mata terbeliak, berkata “kau keluar dari rumah ni malam ni, jatuh talak tiga” Saya dengan senyuman yang sangat bangga, mengambil barang-barang, Amar, dan kunci kereta. Saya terus ke rumah yang saya nak sewa bilik dengan rakan sekerja tu.
Selepas itu bertalu-talu whatsapp masuk handphone saya;
“Hoi, mana rak dalam bilik?” “Perempuan setan, kau ambil iron dan iron board?” “Betina, kenapa barang rumah banyak yang tak ada?”
Saya jawab dengan balasan ringkas, “Saya ambil semua yang saya beli dengan duit sendiri, jumpa di mahkamah.”
Sebenarnya sepanjang dia mabuk bercinta, saya persiapkan diri untuk berdikari. Saya beranikan diri memandu jauh. Saya tawakkal beli kereta 2nd hand( alhamdulillah kancil tu terbaik hahahahaha), dan lepas dia kahwin baru dan jarang balik tu, saya pindahkan sikit-sikit perabot dengan bantuan rakan pejabat.
Hari ini, selesailah urusan mahkamah selepas dua bulan lebih talak tiga dijatuhkan di rumah itu. Saya akhirnya seorang janda tapi saya janda yang sangat bahagia. Saya dah bersedia menjadi janda, physically and mentally. Financially too.
Sekarang saya nak tumpu pada Amar, dan nak cari balik adik beradik dan kawan-kawan dulu yang saya tinggalkan untuk minta maaf atas kebodohan saya. doakan saya ya.
-Anisah
Buat wanita ini, sesungguhnya anda memang seorang wanita yang kuat, cekal dan tabah! Bukan mudah untuk bangkit, membina benteng kekuatan diri untuk persiapan masa depan. Namun anda berjaya membuktikannya dan tidak mengharap simpati daripada bekas suami.
Buat wanita lain, yang mungkin senasib dan sama perjalanan seperti wanita ini, Jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran. Berani lah untuk ‘melangkah’ lebih jauh. Sentiasalah bersedia, persiapkan diri dengan ilmu, kewangan, kerjaya dan paling penting mampu berdikari walaupun tanpa insan yang bernama suami.
Multiple Sclerosis atau MS ialah sejenis penyakit neurologi autoimun yang menyebabkan keradangan sistem saraf pusat. Sistem imun menyerang mielin, yang merupakan lapisan perlindungan yang menyelaputi serat saraf.
Serangan ini menyebabkan radang dan tisu parut, lantas menyukarkan otak menghantar isyarat kepada bahagian lain badan.
Secara beransur-ansur Multiple Sclerosis atau sklerosis berbilang menyebabkan kemerosotan otak, yang seterusnya menimbulkan kerosakan mental dan kehilangan upaya dari segi fizikal. Multiple sclerosis lebih kerap dialami oleh wanita berbanding lelaki.
Nur Atiqah Samsudin atau lebih mesra dengan panggilan Kytty ini tidak pernah menyangka akan menghidap Multiple sclerosis. Semuanya bermula apabila dia merasakan penglihatannya bermasalah.
Matanya kabur dan bergoyang. Tidak tahan dengan derita keadaan tersebut, dia telah mendapatkan pemeriksaan di sebuah hospital. Namun doktor tidak dapat memberi kata putus apa yang sedang dialaminya itu. Dia kemudiannya dirujuk ke pakar mata.
“Saya bertemu dengan pakar mata bagi mengetahui apa yang berlaku pada mata saya. Pakar berkata mata saya tidak ada masalah tetapi apa yang saya alami itu membabitkan saraf mata. Selepas itu doktor telah melakukan pengimejan resonans magnetic (MRI) pada mata saya.
“Selesai sahaja MRI, pakar itu mengatakan saya mungkin mengalami Multiple sclerosis dan saya perlu melakukan dua ujian lagi bagi mengesahkannya. Selepas kedua-dua ujian itu dilakukan, akhirnya saya telah disahkan mengalami Multiple sclerosis,” terang Nur Atiqah.
Selalu Jatuh Dan Tidak Ada Keseimbangan
Jelas Nur Atiqah lagi, selain mata yang kabur, ada juga tanda-tanda lain yang dialaminya sebelum disahkan menghidap Multiple sclerosis.
“Saya selalu jatuh, tidak mempunyai keseimbangan dengan diri saya sendiri. Saya selalu sakit kepala dan saya mempunyai masalah dengan penglihatan saya. Hanya apabila mata kabur teruk baru saya bertemu doktor pakar mata.
“Saya tidak pernah menyangka akan menghidap penyakit ini. Setelah didiagnos, apa yang boleh saya katakan kadang-kadang saya rasa lemah. Pada awalnya keadaan saya tidak seteruk mana tetapi lama-kelamaan saya perlu bergantung dengan tongkat untuk bergerak.
“Tetapi saya ada keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa menyokong saya untuk meneruskan kehidupan saya. Sistem sokongan amat penting bagi pesakit seperti saya ini dan bersyukur kerana ibu bapa banyak menyokong saya,” luahnya lagi.
Sering Keluar Masuk Hospital
Tidak ada yang mahukan diri menghidap sebarang penyakit. Begitu juga dengan Nur Atiqah. Dia berasa kecewa dan hampa kerana dirinya masih muda ketika didiagnos menghidap Multiple sclerosis.
“Saya baru mahu memulakan hidup tetapi apakan daya, disahkan menghidap Multiple sclerosis telah mengubah segala-galanya. Saya rasa seakan hidup saya hancur,” ujarnya.
Walau kecewa dengan apa yang berlaku, Nur Atiqah sedar dia perlu melakukan sesuatu bagi memastikan diri dapat melawan penyakit ini. Langkah pertama yang dilakukan dalam merawat penyakit ini adalah bertemu dengan doktor pakar yang sesuai dengan penyakit yang dialaminya.
“ Untuk menggelakkan penyakit saya semakin memburuk, saya telah memulakan rawatan yang mengubahsuai penyakit (DMT). Perkara paling sukar bagi saya adalah saya perlu sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan. Sekerap tiga bulan sekali saya perlu mendapatkan rawatan.
“Multiple sclerosis ini adalah satu penyakit yang tidak ubat penyembuhan melainkan DMT untuk membuat pesakit berada dalam keadaan yang lebih baik daripada menjadi semakin teruk.
” Tetapi penyakit ini bukan bererti ia penghujung nyawa anda. Pesakit harus mempunyai hati yang tabah dan gigih semangat untuk memperjuangkan kehidupan dengan Mutiple Sclerosis.
“Saya sedar mungkin hidup saya tidak kelihatan begitu mudah. Tetapi saya harus berani dan percaya kepada diri sendiri untuk meneruskan kehidupan saya untuk masa depan kelak,” jelas Nur Aqilah positif.
Memerlukan Pemantauan
Perjuangan mengharungi multiple sclerosis tidak mudah. Terdapat pelbagai masalah yang dilaluinya ketika menghadapi penyakit ini.
“Saya sering kali berasa penat, saya juga mempunyai masalah dengan penglihatan saya yang sentiasa bergerak tanpa henti. Saya juga berasa pening, kebas di sesetengah anggota badan dan tidak boleh tahan dengan cuaca yang terlalu panas.
“ Pada awalnya multiple sclerosis ini banyak menghalang perkara yang saya suka lakukan. Saya boleh menguruskan diri saya sendiri tetapi kadang kala saya memerlukan pemantauan seseorang bersama saya jika saya mahu memasak untuk diri saya atau keluarga.
“ Tetapi sekarang saya rasa saya mampu untuk melakukan apa yang saya boleh. Mungkin saya tidak mampu berbuat kerja yang berat, tetapi saya sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk menjadi yang terbaik dan melakukan apa yang saya suka lalukan untuk diri saya,” luahnya lagi.
Nur Atiqah menghargai pengorbanan ibu bapa yang menjaganya
Sesungguhnya penyakit yang dihidapi bukanlah alasan bagi Nur Aiqah menggapai impian menjadi penulis. Dia yang telah menulis sejak berumur 11 tahun telah berjaya menghasilkan sebuah novel bertajuk Bound History, menggunakan nama pena Scarlet Storm.
“ Semangat saya untuk menjadi seorang penulis membuat saya percaya bahawa jika saya tidak meneruskan dan mengejar impian saya, tiada apa yang akan dicapai. Novel saya adalah cerita cinta di antara tiga lelaki yang cuba memenangi hati seorang wanita,” akhirinya
Foto: Nur Atiqah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kesihatan beransur baik, Aishah mohon doa terus sihat. Syukur alhmdulillah, penyanyi Aishah Ariffin, 57 berkongsi perkembangan kesihatannya yang kini beransur sembuh walaupun masih mendapatkan rawatan di hospital.
Terdahulu, Aishah dilaporkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan (RTK) di sebuah pusat perubatan swasta. Kemudiannya Aishah dikejarkan ke Hospital Ampang berikutan paras oksigen menurun kepada 92 peratus. Namun kini dia berada dalam keadaan stabil.
Kesihatan Beransur Baik, Aishah Mohon Doa Terus Sihat
Menerusi perkongsian sebuah video di akaun Instagramnya, Aishah amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraannya. Malah dia juga berasa terkejut apabila terdapat anak-anak sekolah tahfiz dan anak yatim yang mendoakan kesihatannya.
“Alhamdulillah. Tak dapat nak cakap betapa bersyukurnya saya dapat kawan-kawan termasuk pihak-pihak yang tak dikenali, yang mendoakan diri ini bermula daripada malam pertama saya berada dalam keadaan kritikal.
“Ramai teman-teman yang membantu dalam macam-macam cara. Saya tak tahu begitu ramai yang mendoakan saya. Terima kasih banyak-banyak kerana terus mendoakan. Hanya dalam keadaan macam ini baru kita tahu siapa yang benar-benar sayang pada kita.
“Semoga Allah SWT memberi peluang untuk kita semua menjadi insan yang lebih baik sebelum akhirnya Dia ambil semula kita suatu hari nanti,” ungkapnya dalam nada sebak.
Ketika berhadapan dengan situasi getir apabila kadar oksigennya semakin menurun baru-baru ini, Aishah hanya memikirkan soal kematian. Namun dia bersyukur kerana masih dipanjangkan usia sambil memberitahu tahap kesihatannya kini beransur baik.
“Teringat masa mula-mula keadaan oksigen tak berapa bagus masa itu, memang saya ingat waktu itu sudah sampai masa saya. Malah, saya bermimpi dikelilingi oleh anak-anak kucing yang dulu pernah saya beri makan.
“Doakanlah saya terus sihat dan dalam kembali menjadi manusia yang boleh berbakti kepada bukan sahaja orang susah, tetapi juga kepada anak-anak kucing saya,” luah Aishah yang begitu menghargai para petugas barisan hadapan membantu pesakit Covid-19.
Rakan-rakan dan keluarga mendoakan kesejahteraan kesihatan Aishah.
Sumber Foto : Instagram Aishah
APA RAHSIA KEJAYAAN KAMI JADI JUTAWAN MILENNIAL?
Chocodap’s, Faith Fleur, Anggun Cotton Collection, Teh Ais Pyorr, Masak-masak Cekyana (Oden viral) dan bayak lagi jenama lain mempunya ratusan ribu pelanggan masing-masing.
Tak ramai anak Melayu kita mampu bina empayar perniagaan dari bawah dari tiada apa-apa. Ia bukan dicipta sehari dua. Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan sepanjang pendakian.
• Apa rahsia mereka?
• Apa yang mereka lakukan?
• Apa ilmu-ilmu yang diamalkan?
• Siapa yang susah senang bersama mereka?
• Apa dugaan dan keperitan yang dilalui?
Teringin ikut jejak mereka?
Semua ini akan terjawab di program Webinar Eksklusif CEO BIsnes Viral anjuran Mingguan Wanita pada 25 September 2021 secara virtual. Dangarkan sendiri perkongsian jujur mereka. Eksklusif!
Menangi hadiah-hadiah cabutan bertuah serta wang tunai bernila RM100.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Jodoh seseorang bukan boleh dilihat dengan mata kasar. Semua itu perancangan Allah. Samalah halnya dengan rezeki dan anak. Tak boleh nak tafsir. Sebagai seorang yang beriman, jangan putus harap dan doalah yang baik-baik.
Kisah wanita yang baru menginjak usia 40 tahun ini bukanlah sengaja mahu dicanang-canang. Ada sudut baik untuk kita fikirkan bersama.
Tahun 2018 ini, usia saya menginjak ke angka 40 tahun. Pada usia ini, kaum wanita rata-rata telah bernikah dan punya anak-anak yang meningkat remaja. Saya pula sebaliknya, masih kekal memegang status ‘anak dara’ tapi kini ada penambahan ‘tua’.
Terus terang, jauh dari sudut hati, saya juga manusia normal, punya keinginan untuk punya pasangan hidup dan memiliki anak-anak penghias rumah tangga.
Namun ternyata, belum diizinkan Tuhan untuk saya mengecap semua itu. Menyingkap kisah hidup saya, sejak kecil saya tergolong pelajar yang cemerlang.
Sehinggalah akhirnya saya berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara. Pulang ke Malaysia, saya berkhidmat dengan sebuah syarikat yang agak tersohor sebagai akauntan.
Ternyata kehidupan peribadi saya tidak selancar kerjaya saya. Saya pernah beberapa kali menjalinkan hubungan dengan lelaki, semuanya terputus di tengah jalan.
Saya tak tahu apa sebabnya. Atau apakah kerana berpunca sikap saya sendiri yang ingin pasangan saya lebih hebat dan bijak daripada diri saya? Kadangkala apa yang kita harapkan tak kita peroleh.
Lupa soal Cinta, Fokus Sampai Dapat Ikut Jejak Mak Ayah
Selari dengan masa, saya seolah-olah ‘lupa’ akan soal cinta dan mencari pasangan hidup. Saya sibukkan diri dengan kerjaya dan menyambung pelajaran lagi di peringkat Sarjana.
Dilahirkan di dalam keluarga yang mementingkan pendidikan, ibu dan ayah tidak pernah beratkan saya dengan soal jodoh. Usia 30-an saya berlalu dengan mengejar ilmu dan kerjaya.
Selepas memiliki Sarjana, saya mengikut jejak langkah ayah dan ibu bergelar pensyarah di sebuah universiti awam.
Saya gembira dengan tugas mendidik anak-anak muda memandangkan dunia pendidikan sebenarnya dekat di jiwa saya. Rasa puas bila dapat berkongsi ilmu dengan pelajar-pelajar walau pun cabaran bukan sedikit.
Kata orang, ajar kanak-kanak lain, tapi bila ajar remaja ni lain. Sabar memang kena tinggi.
Cakap-cakap Belakang Buat Hati Mula Terasa
Kehidupan peribadi saya masih tetap sama. Bahkan ramai yang tidak sedar usia sebenar saya kerana saya kecil molek orangnya dan awet muda.
Saya enjoy dengan kehidupan saya lalui. Saya sering bercuti bersama rakan-rakan dan keluarga bila berkesempatan.
Namun, apabila adik saya mendirikan rumah tangga dua tahun lalu, baru saya mulai terasa ada kekurangan pada diri saya. Sebenarnya sebelum berkahwin, adik saya itu telah meminta izin saya memandangkan saya anak sulung.
Saya pula tak kisah kerana jika jodohnya sudah tiba, mengapa saya perlu larang pula. Jarak usia kami beza empat tahun. Manakala adik yang ketiga (bongsu) berjarak tujuh tahun daripada saya.
Ditakdirkan, adik saya itu bunting pelamin dan akhirnya selamat melahirkan seorang cahaya mata lelaki yang comel.
Dia juga menjadi kesayangan saya dan ahli keluarga yang lain. Ketika itu, mula timbul cakap-cakap di belakang, mempertikaikan mengapa saya masih tidak berkahwin.
Saya ingatkan saya mampu menahan diri daripada terkesan dengan kata-kata itu namun ternyata tidak. Itu juga yang menyebabkan saya ‘bawa diri’ dan menyambung pelajaran ke peringkat PhD di luar negara dan kembali ke Malaysia pertengahan tahun lepas.
Kini saya kembali mengajar di universiti yang sama. Namun kedatangan tahun 2018 ini membuatkan emosi saya terusik, mungkin kerana sudah memasuki angka ‘4 series’.
Saya mula terasa dan tertanya-tanya, apakah saya akan hidup bujang selamanya? Masih adakah lelaki yang sudi memperisterikan saya yang sudah berusia ini? Rata-rata kawan lelaki seusia saya lebih memilih gadis muda sebagai pasangan hidup…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!