Berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul. Kehilangan bayi yang baru berusia tiga bulan ini sudah tentu memberi kesan mendalam kepada ibunya. Anak yang ditatang penuh kasih sayang pergi secara tiba-tiba.
Semoga ibu dan keluarga kepada bayi lelaki berusia tiga bulan ini redha dengan pemergiannya. Bayi ini dipercayai meninggal dunia selepas tidur di rumah pengasuhnya di Taman Universiti, Johor Bahru.
Kejadian telah berlaku kira-kira jam 3 petang semalam, mangsa didapati tidak sedarkan diri selepas tiga jam diberi susu dan ditidurkan pengasuhnya. Sudah sampai masanya barangkali kerana menerusi pemeriksaan awal tiada unsur jenayah mahu pun kesan tersekat susu di kerongkong. Tentu ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
Menurut, Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah, bayi lelaki berkenaan dihantar secara harian oleh ibunya ke rumah pengasuh pada hari bekerja.
“Pada hari kejadian, mangsa diberikan susu sebelum ditidurkan pengasuhnya kira-kira jam 12 tengah hari.
“Pada jam 3 petang, pengasuh berkenaan mendapati mangsa tidak sedarkan diri sebelum menghubungi ibu bayi itu.
“Mangsa kemudian dibawa ke klinik kesihatan berhampiran oleh pengasuh serta ibu bapa bayi berkenaan untuk mendapatkan rawatan segera.
“Namun bayi berkenaan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya.
Mengulas lanjut, Fariz Ammar berkata, siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah, termasuk penderaan ditemui pada mangsa setakat ini.
“Bedah siasat sudah dijalankan hari ini dan polis masih menunggu analisis makmal mengenai punca sebenar kematian bayi berkenaan.
“Hasil bedah siasat awal mendapati tiada kesan susu tersekat di kerongkong atau saluran pernafasan bayi berkenaan, namun kita perlu tunggu hasil analisis lengkap,” katanya.
MW: Semoga keluarga bayi ini dikurniakan ketabahan untuk hadapi ujian yang maha hebat ini.
Sumber: Berita Harian