Perasaan sayu menyelubungi ramai, apatah lagi ibu dan bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang saban hari memori mereka diulit kenangan bersama anak istimewa itu. Pemergian kanak-kanak itu telah meruntun jiwa jutaan rakyat Malaysia. Antara individu yang merasa kehilangan termasuklah pengasuh kepada Zayn Rayyan, Auni Afiqah Abas
Bagi Auni, kehilangan tersebut sukar digambarkan apatah lagi kanak-kanak tersebut telah menjadi anak asuhannya sejak setahun yang lalu. Kejadian yang menimpa kanak-kanak tersebut menjadi kisah duka dalam hidupnya dan kini hanya kenangan bersama arwah menjadi peneman hari-harinya.
“Dia seorang yang lembut-selembutnya, macam bayi baru lahir. Dia tak pernah nak susahkan saya, susahkan sesiapa pun, termasuk mak dia.
“Dia datang rumah saya, masuk dalam, duduk, seperti budak normal. Sampai anak saya tarik tangan ajak main.
“Memang terasa kehilangan itu sangat perit sebab tak boleh terima kenyataan jadi macam ini,” katanya memetik Sinar Harian.
Tambah Auni lagi, selepas ini dia pasti akan terbayang Zayn Rayyan duduk di kerusi dan meja kegemarannya. Selain itu, kanak-kanak berusia 6 tahun itu amat menggemari menu-menu seperti spaghetti goreng, bihun goreng dan ayam masak cili padi yang menjadi memori Auni buat si kecil.
Selain Auni, Zayn Rayyan juga turut rapat dengan ibu mentua Auni Afiqah, Che Zaiton Abd Aziz di mana dia membahasakan dirinya dengan panggilan Umi dengan anak kecil itu.
Kini, tiada lagi anak asuhan yang selalu merebahkan kepala di ribanya seperti kebiasaannya.
“Dia akan duduk sebelah saya, baring atas riba saya. Itu memang tak pernah dibuat oleh anak asuhan lain tapi dia satu-satunya anak asuhan yang tinggalkan kesan kepada saya.
“Dia suka duduk macam itu, baring di paha saya. Dia diam saja, macam dalam dunia dia. Saya akan belai-belai kepala dia, tanya dia macam-macam,” ujarnya.
Memandangkan siasatan masih lagi dijalankan, Zaiton sempat menitipkan pesanan kepada semua pihak mengenai sensitiviti keluarga yang perlu diberi perhatian.
“Kita jaga perasaan ibu dan bapa Zayn juga. Tidak keluarkan apa-apa kenyataan. Serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan apa saja siasatan dan maklumat.
“Kita bukan di kalangan ahli keluarga, jangan buat apa-apa andaian dan buat sesuatu yang tidak sahih,” katanya yang mendoakan semoga Zayn Rayyan Abdul Matiin bahagia bersama PenciptaNya.