Dia panggil tidur sebelah, saya sibukkan diri main telefon.” tak sangka esoknya suami meninggal dan perginya tak kembali lagi.
Allahuakbar beratnya ujian. Suami pergi di saat isterinya merajuk. Di saat isteri masih dambakan sang suami datang memujuk.
Hanya Allah saja yang tahu bagaimana terkilannya perasaan seorang isteri apabila situasi ini berlaku. Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan:
Esok belum tentu hidup.
“Biasalah isteri kadang-kadang merajuk kan,” kata dia sambil kesat air mata.
Saya yang tadi boleh lagi membentuk senyum dah mula rasa berat bibir. Tak mampu membalas saya cuma mengangguk tanda setuju.
Dia sambung, “malam tu pula dia panggil saya tidur sebelah dia. Saya yang rasa berat perasaan nak ikut cakap suami. Malah saya buat keras tak nak.
Saya sibukkan diri main telefon dan mesej dengan kakak saya. Bercerita pasal suami saya lah. Tak sangka esoknya dia meninggal.”
Lagi banyak air jernih jatuh daripada mata dia. Disapunya kain tuala kecil ke mata kiri dan kanan. Keringkan air mata yang mengalir tak sudah. Makin disapu, makin banyak yang keluar.
Mungkin terkilan sangat dia tak layan suami betul-betul malam sebelum tu.
“Tak sangka ustaz, saya memang tak sangka suami nak pergi secepat ini,” diulang dekat 3, 4 kali sepanjang kami bersembang hal kematian suami dia.
Puan ini waris kepada arwah klien saya. Klien saya meninggal kemalangan motosikal. Kena langar lari.
Dia tak tahu menahu tentang hibah takaful yang suami dia ada ambil setahun setengah sebelum tu. Banyak benda bersembang sampai akhirnya dia cerita hal tadi.
Benar kawan-kawan, kita ini selalunya rasa akan hidup lama lagi.
Bermasam muka hari ini dengan pasangan, kita biar berlarutan 2,3 hari. Bahkan ada yang sampai berminggu-minggu tak bercakap. Walhal duduk serumah.
Kadang masing-masing tak nak mengalah. Menunggu-nunggu dipujuk. Kalau suami tak pujuk, isteri terus simpan muncung mulut. Biar panjang berjela.
Suami pun sama, kalau isteri tak pujuk punya lah sibuk main game tak sudah. Konon tak ada apa, tapi dalam hati merayu-rayu.
Bertahan-tahan akhirnya lewat malam tertidur. Esok pagi bangun terkejar-kejar urusan nak pergi kerja pula. Kalau sempat bersalaman lah, kalau tak sempat main lambai-lambai begitu sahaja. Mata tak bertentang langsung.
Masih pertahan ego sendiri.
Baca Juga Di Sini:
Jarak Usia 25 Tahun Bukan Penghalang, Takdir Bertemu Jodoh Dengan Cikgu Sendiri!
Cara Muliakan Hati Isteri, Suami Kena Turunkan Ego Layani Pasangan Ikut Perintah Allah
Takdir Tuhan salah seorang meninggal. Tuhan ambil dahulu. Tak balik dah rumah lepas keluar pergi kerja pagi tadi.
Allahu.
Tinggallah seorang sendirian. Waktu ini apa pun dah tak boleh. Nak patah balik masa jangan harap. Meratiblah perkataan maaf berjuta kali sekali pun, dah tak sampai ke deria pendengaran pasangan kita. Ini yang banyak berlaku.
Kawan-kawan yang dikasihi;
Pertahankan ego ini tak akan ke mana. Lebih lagi dalam hidup rumah tangga. Dengan pasangan kita lah lebih lagi untuk kita mudah beralah dan mengalah.
Sebelum tidur setiap malam, berdamailah. Minta maaf dan memberi maaf. Itu lebih baik buat kita dan pasangan.
Bukan untuk orang lain, untuk jiwa yang kita mengaku separuh hidup kita juga. Sebelum segalanya tinggal kenangan, kalian bina lah kenangan yang indah. Yang menjadi realiti. Bukan cuma dalam mimpi bila kita tinggal sendiri nanti.
Satu hal lagi, mujur arwah kawan saya ini seorang yang sangat berfikir tentang masa depan. RM400,000 dia tinggalkan untuk isteri.
Iya, duit hibah takaful. 2 minggu lepas meninggal terus dapat. Alhamdulillah.
Begitulah.
Firdaus Mokhtar,
Balik daripada perjumpaan tu baru lah saya menangis sakan. Ya Tuhan.
Kalau ada yang nak sediakan hibah juga untuk keluarga, saya boleh bantu sediakan. Mari, saya tunggu.
Mingguan Wanita : Tak salah nak merajuk dengan pasangan, namun berpada-padalah jangan sampai menyesal.
Sumber: Ustaz Firdaus Mokhtar
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita