Bila dah berkahwin dan mempunyai anak, pasti akan berlaku perubahan fizikal isteri. Berat badan berlebihan dan tak solid semasa zaman anak dara. Beruntungnya kalau ada isteri yang maintain persis anak dara.
Ditakdirkan pasangan berkahwin kerana memandang kecantikan, bimbang ia tak akan kekal lama. Tapi berkahwin kerana keperibadiannya pasti kekal bahagia.
Tapi bagi suami yang menghargai isteri, dia tidak kisah dengan perubahan fizikal isterinya. Beruntungnya sang isteri, terima seadanya.
Perubahan Fizikal Isteri, “Dia Cantik Di Mata Saya..” – Pierce Brosnan
Inilah pasangan yang cukup dikagumi dan menjadi contoh buat pasangan lain. Artis Hollywood yang terkenal dengan gelaran James Bond.
Pierce Brosnan, 70 tahun dan isteri Keely Shaye Smith, 59 tahun, sentiasa pamerkan sikap romantis satu sama lain. Perkahwinan yang dibina telah mencapai usia 27 tahun dengan kehadiran 5 cahaya mata.
“Saya mencintai setiap lekuk tubuh badannya. Dia adalah wanita paling cantik di mata saya,” kata Pierce Brosnan.
Temui Cinta Selepas Kematian Isteri Pertama
Setelah kehilangan isteri pertama akibat kanser ovari pada tahun 1991, aktor kacak ini menemui cintanya semula bersama Keely Smith. Mereka bertemu pada tahun 1994 ketika itu Keely Smith masih lagi bekerja sebagai wartawan TV.
Kekacakan Pierce Brosnan buat Keely tidak senang duduk dan mereka mula saling mengenali dan jatuh cinta. Ketika itu tubuh Keely sememangnya seperti supermodel dan dia juga adalah part-time model.
Pada mulanya ramai berpendapat mereka berdua hanya jatuh cinta kerana keduanya memiliki bentuk fizikal dan wajah yang tiada tandingan.
Ads
Sikap romantis, menghargai dan menghormati wanita adalah menyebabkan Pierce dikatakan seorang lelaki yang ‘seksi’.
Menurut dari Keely, dia dan suami dating kali pertama dengan menghabiskan masa berbual sehingga jam 3 pagi (lelaki yang tidak mengambil kesempatan).
Pierce juga seorang lelaki yang bersungguh apabila sanggup membelikan tiket penerbangan buat Keely semata-mata untuk melepaskan rasa rindu. Dia juga tidak malu apabila mengatakan rasa rindu yang kuat pada isteri tidak kira di mana dia berada.
Bila ditanya tentang rahsia rumahtangga, Pierce percaya tentang kualiti masa bersama. Pierce Brosnan juga adalah ciri material husband yang patut dicontohi.
Lebih 27 Tahun Hidup Bersama
Sangat mengejutkan apabila perkahwinan yang telah menjangkau 27 tahun telah memperlihatkan perubahan fizikal isteri sehingga ada yang beranggapan, Keely bukan isteri terbaik untuk Pierce.
Ads
Isteri Pierce Brosnan memiliki berat badan berlebihan. Dia bukan lagi wanita cantik seperti sebelum ini. Badannya yang berisi turut menjadi kritikan sehingga Pierce sendiri merasa bosan dengan kritikan yang diberikan terhadap isterinya. Tapi, Pierce ada jawapanya.
“Pada masa dulu, saya benar-benar mencintai kerana peribadinya bukan kerana kecantikannya. Sekarang saya jauh lebih mencintai kerana dia adalah ibu pada anak-anak saya.
“Saya sangat bangga padanya dan saya selalu berusaha untuk menjadi orang yang layak untuk mendapatkan cintanya,” katanya.
Bagi Pierce, Keely adalah orang yang paling penting dalam hidupnya.
Dalam waktu dia masih menangis kematian isterinya Cassandra Harris. Kehadiran Keely telah menghilangkan bayangan yang menghantuinya.
Ads
“Dia telah mengembalikan hidup saya,” kata Pierce.
Pernah beberapa pakar bedah menawarkan untuk melakukan pembedahan kosmetik kepada isterinya. Tetapi, dia menolak tawaran tersebut.
“Dia adalah wanita yang paling cantik di mata saya.”
Mingguan Wanita : Bila suami menghargai isteri dan terima isteri seadanya. Beruntungnya.
Ada ibu bapa yang kurang senang dan membuat tuduhan melulu bila anak menantu balik beraya tapi tidur di hotel/homestay. Setiap kali hari raya, tidak kiralah hari raya Aidilfitri mahupun hari raya Aidiladha, apa bila ada ahli keluarga yang menginap di hotel ataupun di homestay, pasti ada yang memandang serong.
Ustazah Asma’ Harun memberi nasihat kepada ibu bapa supaya memahami keadaan anak menantu. Dalam ketika bergembira menyambut hari raya yang mulia ini, mungkin ramai yang lupa dalam menjaga batas-batas yang disyariatkan dalam Islam.
Kita seolah lupa dan terlalu berseronok sehingga banyak larangan yang diabaikan. Hal ini kerana apabila sudah bercampur beramai-ramai, agak sukar untuk menjaga perihal aurat.
Berikut perkongsian daripada Ustazah Asma’ Harun yang mengupas tentang topik ini secara menyeluruh.
BALIK KAMPUNG TAPI TIDUR HOTEL/HOMESTAY
Apabila tiba musim raya, isu tidur di homestay atau hotel akan jadi ‘trending’. Penuh berita mengenai isu ini dan kebanyakannya menjurus kepada tanggapan negatif, sama ada daripada ibu ayah, adik-beradik atau saudara-mara.
Maka ada yang mencemuh, pandang atas bawah atau cakap belakang. Cerita di sebalik beraya di kampung memang seronok tapi sebenarnya mudah terpalit dosa jika tidak diteliti sebaiknya.
Jika banyak keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur berjemaah di ruang tamu sebab tak cukup bilik, maka akan berlaku pendedahan aurat ipar, sepupu atau biras semasa tidur. Bukan itu sahaja, bagi yang menyusu badan lagi sukar kerana mungkin tak sedar auratnya terdedah ketika sedang tidur selepas menyusukan anak. Allahu Akbar.
WAHAI IBU BAPA, SELIDIK DAHULU. WAHAI ANAK, JANGAN MELULU
Semasa menjadi perunding cara rumah tangga dulu, memang ramai ibu bapa mengadu bahawa anak mereka terjebak dengan pornografi atau ketagih melihat benda lucah bermula dengan situasi begini di kampung.
Pada awalnya hanya ternampak sikit, kemudian datang keinginan untuk melihat dengan lebih banyak. Keadaan ini harus difahami oleh semua pihak dengan berlapang dada. Sudah menjadi tanggungjawab buat seorang suami untuk memelihara maruah anak isteri.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (Surah at-Tahrim 66: 6)
Sebelum ibu ayah berkata sesuatu yang mungkin akan timbulkan salah faham, maka fahami dahulu situasinya kenapa. Bukanlah sebab rumah itu tidak selesa, tiada aircond, suasana kampung, dan lain-lain tetapi bagi menjaga maruah, aurat dan pergaulan anak dan isteri.
Seorang anak pula harus jujur jika bermalam di hotel/homestay. Terangkan kepada ibu ayah dengan baik dan jelas, kadang mungkin mereka terlalu rindukan anak yang sudah lama tak pulang, jadi tugas kita ialah cuba jelaskan dengan baik. Mudah-mudahan ibu ayah memahami dengan lapang dada.
Anak-anak yang memilih untuk tidak bermalam dirumah ibu bapa, perlulah sebab yang berkaitan syara’, bukan kerana tidak selesa dan lain-lain, dibimbangi akan membuatkan orang tua dan keluarga berjauh hati.
Dan pada waktu selain rehat malam maka sepatutnya perlu berada di rumah supaya boleh berbakti dan menggembirakan hati orang tua dan keluarga.
PENTING SANGAT, janganlah jadi seperti tetamu pula, datang pada waktu makan atau waktu tertentu sahaja, sikap ini memanglah akan menyakitkan hati banyak pihak. Tidur hotel atau homestay asalnya tiada masalah, tapi sikap kita yang bermasalah.
Maksudnya: “Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau menaati keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Luqman 31: 15)
BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI AJNABI
Kita maklum bahawa batas aurat seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya (ajnabi) ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.
Maksudnya: “Apa yang zahir daripadanya (perempuan) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.” (Kitab Asna al-Matalib, 1/176)
Walaupun batasan auratnya masih boleh dijaga, namun sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi saudara-mara yang ramai dan tiada privasi, sebaiknya bermalam di tempat berasingan kerana waktu tidur kita tak sedar apa yang terdedah.
Kecuali jika di kampung memang tak ramai atau setiap keluarga mendapat privasi yang diperlukan. Maka ketika itu tidur di rumah ibu bapa lebih baik bagi meraikan dan menggembirakan mereka.
Jika kita miliki anggota keluarga yang ramai, maka semakin ramailah orang yang perlu dijaga batas auratnya, terutama sekali wanita.
Mereka perlu menjaga aurat daripada sepupu, ipar, bapa tiri, adik-beradik angkat, biras, dll.
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya. Dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak suruhan (hamba) yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.” (Surah an-Nur 24: 31)
Semoga para suami, ibu ayah, abang, adik lelaki, ibu ayah mertua memahami akan kepentingan dalam penjagaan aurat ini dan tidak semudahnya berkecil hati dan bersangka buruk terhadap anak-anak yang memilih untuk bermalam selain di rumah.
Maksudnya : “Sesiapa yang memelihara penglihatannya, maka Allah SWT akan menyinari (memberi petunjuk) pandangannya dan juga hatinya.” (Kitab Tafsir Ibnu Kathir: Tahzib wa Tartib, Dr. Solah al-Khalidi, 4/2343)
DOA MENJAGA MARUAH DIRI
Mari kita amalkan doa ini, mudah-mudahan maruah diri dan keluarga kita sentiasa dipelihara oleh Allah SWT:
اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي
Maksudnya: “Ya Allah lindungilah auratku, amankanlah apa-apa yang menjadi pemeliharaanku.” (HR Ibnu Majah, hadis sahih)
Semoga penerangan ini bermanfaat, Allah merahmati dan melindungi seluruh ahli keluarga kita daripada perkara mungkar serta salah faham di dalam rumah tangga. Ameen Ya Rabbal Alamin.
Anak-anak sering dikatakan tidak pandai menipu, insan paling jujur. Tetapi tanpa kita sedar anak-anak menipu mak ayah atas sebab tertentu dan mereka ingin rasa selamat dan disayangi.
Sebaiknya bila anak menipu, mak ayah jangan terus marah… Sebaliknya ambil masa dan ceritakan keburukan berbohong. Barulah anak cepat terima dan teguran daripada mak, ayah.
Ikuti perkongsian Puan Wawa Shauqi ini dan fahami penjelasan yang cuba dia sampaikan:
Anak Menipu Bersebab
Selama ni saya ingat kanak-kanak tak pandai menipu.
Ya. Mereka ni jujur. Hati bersih. Tapi kita jangan mudah tertipu. Ada antara mereka yang hebat berlakon seolah-olah benda yang mereka cakap tu betul-betul berlaku.
3 sebab anak menipu :
1) Untuk diri dilihat hebat Anak yang kurang self esteem mereka-reka cerita supaya mereka dilihat hebat di mata orang lain. Bila menipu begitu, barulah mereka dapat perhatian yang mereka perlukan.
2) Takut kena marah Fakta mengejutkan! Ramai yang sangka fungsi otak yang terbesar adalah untuk berfikir. Rupanya tak. Otak lebih banyak bekerja untuk survival.
Dan menipu adalah salah satu bentuk survival. Anak menipu untuk elak diri dari dihukum, dimarahi dan dipaksa buat perkara yang mereka tak suka. Lagi mudah kita marah bila anak buat silap, lagi kreatif mereka belajar menipu.
3) Bercakap sebelum berfikir Boleh jadi mereka tak niat pun nak menipu. Tapi, sebab mulut ‘bekerja’ lebih laju dari otak, benda tak betul pun boleh terlepas dari mulut.
Bila Anak Menipu Jangan Terus Marah
Sebab Itu kita kena hati-hati menapis cerita yang diterima dari anak. Selagi kita tak nampak depan mata, kita beri respon sekadarnya sahaja. Lagi over react kita respon, lagi galak mereka menipu.
Dan elakkan dari memarahi mereka. Sebaliknya cari masa yang sesuai untuk sit down dan brief kat anak tentang keburukan menipu. Bawa mereka ke taman atau tawan hati mereka sebelum kita mula korek cerita.
“Hari ini mama nak cerita tentang tipu. Abang tau tak tipu itu apa? Tipu itu bila kita cakap sesuatu yang tak betul. Mama pun pernah menipu. Lepas tu, mama rasa tak tenang saja hati.
Rupanya tahu sebab apa? Sebab, Allah tahu kita tipu. Dan Allah marah. Kalau kita nak jadi anak soleh dan solehah, kita tak boleh menipu. Siapa yang tak bertaubat, nanti dekat akhirat Allah hukum orang yang menipu.
Dan masuk dalam neraka. Jadi, mama nak minta maaf dekat anak-anak mama kalau mama pernah tipu korang.”
Ambil Masa & Ceritakan Keburukan Berbohong
Kalau kita nak selidik sesuatu dari anak, boleh tanyakan mereka,
“Boleh mama tau tak, anak mama pernah tipu mama tak? Mama faham, kadang-kadang kita menipu sebab takut kena marah. Tapi hari ni mama decide tak nak marah. Malah mama tabik kalau anak mama boleh mengaku.”
Dan yang paling penting, kita mak ayah ni tunjuk teladan yang baik. Kalau tak betul, mengaku aje. Jangan pusing ke laut sebab takut kantoi.
Biasakan meminta maaf. Tak jatuh martabat kita sebagai mak ayah bila kita meminta maaf. Sebaliknya, ia buat anak lebih hormat kat kita. Malah mengajar anak, tak mengapa buat silap. Asalkan mengaku kemudian usaha betulkan kesilapan.
MW: Mak ayah pun tak lari daripada menipu kan, namun jangan biasakan diri menipu kerana anak-anak sentiasa memerhati tingkah laku kalian dan akhirnya menganggap menipu itu biasa. Sebelum mendidik anak, mak ayah harus berubah terlebih dahulu. Betul tak?
Ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku di perkhemahan Father Organic Farm, Jalan Genting, pertemuan terbaru adalah ibu dan anak berpelukan di bawah runtuhan.
Ibu Dan Anak Berpelukan Antara Satu Sama Lain
Mayat dua beranak ini ditemukan dalam keadaan berpelukan antara satu sama lain. Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, dua mangsa itu membabitkan seorang wanita dan anak perempuannya dianggarkan berusia antara empat hingga tiga tahun ditemui jam 4.40 petang di Sektor C Riverside.
“Seorang lagi mangsa ditemui di sektor sama selepas dikesan anjing pengesan (K9) dan usaha membawa keluar mayat berkenaan sedang giat dijalankan.
“Ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa meninggal dunia yang ditemui seramai 19 orang dan 14 lagi individu masih hilang sedang dikesan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata, 16 mayat mangsa yang ditemui sehingga jam 1 tengah hari tadi pada mulanya dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Bagaimanapun, semua mayat mangsa dipindahkan ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
“Mana-mana pihak yang mahu membuat pengecaman diminta datang ke Hospital Sungai Buloh atau datang ke lokasi untuk berhubung dengan komander operasi,” katanya.
Ditanya sama ada operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) akan diteruskan sehingga waktu malam, beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan pihak bomba berhubung perkara itu.
“Pada waktu malam, pastinya ada halangan dari segi cuaca, teknikal dan faktor keadaan gelap sekali gus menyebabkan ancaman yang tidak nampak.
“Jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, kami mungkin akan menangguhkan operasi ini pada waktu malam,” katanya.
Mingguan Wanita : Moga ahli keluarg mangsa tabah hadapi dugaan ini.
Sumber: Harian Metro
Gambar: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia