berpuasa

Pejam celik, pejam celik dah separuh perjalanan berpuasa sebelum sampai ke garisan Syawal. Cepat betul masa berjalan. Lepas ni masing-masing sibuk dengan biskut raya, baju raya (mungkin ada yang dah siap awal-awal lagi kan) dan berkira-kira untuk menyediakan duit raya pada orang-orang tersayang.

Namun, bukan itu yang ingin dibicarakan tetapi tentang anak-anak kita yang baru belajar berpuasa. Kalau anak yang dah berusia 8 tahun ke atas tidak menjadi masalah sebab mereka dah dilatih sebelum ini. Insya Allah mampu berpuasa penuh.

Tetapi bagaimana dengan anak yang baru berumur 7 tahun yang baru di ajar untuk berpuasa. Bagi saya, pada peringkat umur ini, memang sudah boleh mak-mak ajar untuk berpuasa tetapi janganlah memaksa mereka dan menetapkan umur 7 tahun anak mesti penuh berpuasa.

Begitu juga dengan anak saya, sebelum ini abang-abangnya bila masuk 7 tahun, terus berpuasa. Mula-mula bimbang juga takut mereka tidak mampu menghabiskan satu hari berpuasa terutamanya bila rasa dahaga memang tak boleh ditahan-tahan. Alhamdulillah, mereka boleh menghabiskan 30 Ramadan dengan jayanya.

IKLAN

Tetapi, berlainan dengan anak perempuan yang berusia 7 tahun. Dia hanya mampu berpuasa satu hari sahaja pada hari permulaan Ramadan. Pada hari pertama, saya berpesan, jika lapar atau dahaga bagitau saya dan izinkan untuk dia berbuka. Masuk hari kedua, hanya separuh hari, dia berpuasa. Mungkin terliur apabila melihat adik-adiknya makan. Tak kisahlah, sekurangnya dia merasa sudah berpuasa.

Dari masa ke semasa saya cuba meminta dia untuk berpuasa lagi. Tak penuh satu hari pun tak apa, sekurang-kurangnya dia tahu itu adalah perkara wajib dilakukan. Untuk usia 7 tahun saya tidak terlalu memaksa, biar dia lakukan dengan sendirinya.

IKLAN

Tidak Janjikan Ganjaran

Sesetengah ibu menjanjikan akan memberikan hadiah atau apa-apa yang diminta apabila anak berjaya berpuasa penuh di bulan Ramadan. Tidak bagi saya. Kenapa? Bukan tidak memberi sokongan atas kesungguhan anak untuk berpuasa tetapi saya tidak mahu dia berpuasa semata-mata untuk mendapat hadiah atau ganjaran.

IKLAN

Paling penting, bila habis puasa, masanya untuk meraikan hari raya dengan penuh gembira. Hadiah yang mampu diberi hanyalah doa mak agar menjadi anak yang soleh dan solehah. Itu yang paling mujarab.

Tip Latih Anak Puasa

1. Minta anak tidur awal supaya senang untuk kejutkan dia bila bangun sahur nanti.
2. Buat makanan kegemaran anak. Kadang-kadang mak tak kisah pasal lauk apa nak dimakan, asalkan anak berselera tiap kali berbuka dan bersahur.
3. Pastikan masa bersahurm, anak-anak akhiri makanan dengan minum air kosong. Ini untuk elakkan mereka terasa haus dan letih pada siang hari.
4. Sesetengah anak terutamanya yang baru mula belajar puasa, pantang nampak makanan walau pun sekadar snek adiknya. Semuanya sedap. Jadi, janganlah tunjuk makanan itu depan dia. Atau mak-mak boleh aje pujuk bagitau, bila berbuka baru boleh makan.
5. Waktu petang, masa untuk mereka bermain. Jadi, elakkan anak-anak daripada bermain yang boleh mengeluarkan tenaga yang banyak. Ini untuk mengelakkan mereka rasa dahaga.
6. Selain berpuasa. Ajarlah sekali anak-anak untuk mendirikan solat, baca al-Quran bersedekah dan sebagainya. Jangan hanya sekadar berpuasa tetapi tidak bersolat.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI